♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Saturday, October 13, 2007

Mendidik anak-anak bersederhana di Hari Raya

Bersempena dengan hari raya ni artikel Neezam yang disiarkan pun menyentuh tentang hari raya jugak. Bacalah yer kengkawan!

Mendidik anak-anak bersederhana di Hari Raya

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR

TIDAK dinafikan bahawa kanak-kanak adalah golongan yang paling seronok setiap kali Hari Raya Aidilfitri menjelang tiba. Bagi kanak-kanak yang berlatih berpuasa dalam bulan Ramadan, Hari Raya adalah kemuncak kesyukuran kerana berjaya menyempurnakan ibadah yang menjadi salah satu tunjang Rukun Islam.

Ditambah lagi budaya menyambut Hari Raya di Malaysia yang cukup meriah, menyemarakkan lagi perasaan gembira di hati kanak-kanak.

Di Hari Rayalah mereka akan berpeluang memakai baju serba baru, makan pelbagai juadah istimewa seperti ketupat, lemang, rendang, dan kuih raya, mengutip angpau berisi wang pelbagai warna, mengikuti keluarga menziarahi rumah sanak saudara dan sahabat handai, dan menonton rancangan Hari Raya yang pelbagai di televisyen.

Tidak ada salah dan silapnya untuk kanak-kanak merasai keseronokan sebegini sepanjang sambutan Hari Raya. Namun, mereka perlu dibimbing dan difahamkan akan konsep ‘wasadthiah’ atau bersederhana menyambut Hari Raya mengikut lunas-lunas Islam. Selama 11 bulan manusia bergelumang dengan tuntutan keduniaan dan kehendak nafsu, selama itu jualah fitrah asal manusia dicemari dan dirosakkan. Maka dengan izin Allah, manusia dikurniakan ruang terbaik dalam bulan Ramadan untuk berpuasa dan melaksanakan amal ibadah yang dapat menguatkan dan menyucikan semula fitrahnya. Daripada perspektif Islam, sambutan Aidilfitri bermaksud hari yang disambut sebagai tanda kejayaan dalam mengembalikan fitrah seseorang hamba Allah kepada keadaan asalnya yang suci dan bersih.

Dalam hal mendidik kanak-kanak menyambut kejayaan mengembalikan fitrah yang suci di Hari Raya ini, ia tidak sepatutnya disulamkan dengan unsur- unsur negatif. Misalnya boros berbelanja untuk kelengkapan rumah dan pakaian, terlalu leka menonton hiburan di televisyen, makan terlalu banyak dan membazir, lalai melaksanakan solat, bermain mercun dan sebagainya.

Kanak-kanak perlu diasuh untuk meneruskan kesinambungan amal ibadah tidak kira yang bersifat khusus atau umum yang dilaksanakan semasa bulan Ramadan pada bulan-bulan yang berikutnya. Ibadat khusus seperti berpuasa boleh diteruskan dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal dan puasa sunat pada setiap Isnin dan Khamis. Begitu juga dengan meneruskan amalan Qiamullail yang telah diakui kelebihan dan faedahnya daripada pandangan Islam dan perspektif sains.

Bertandang ke masjid atau surau untuk solat berjemaah juga perlu digalakkan. Ajarkanlah juga kanak-kanak untuk memperbanyakkan amalan membaca al-Quran dan memahami maksudnya, berzikir dan berdoa kepada-Nya. Amalan khusus seperti ini berupaya membentuk jiwa kanak-kanak yang ikhlas untuk beribadah dan sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah dengan izin-Nya.

Amalan-amalan mulia seperti menyertai marhaban dan berzanji, menghadiri majlis ilmu, berjimat cermat dalam berbelanja, bersedekah, bantu-membantu orang yang tidak berkemampuan, berziarah, hormat kepada orang tua dan sebagainya adalah ibadah umum yang perlu disuburkan dalam diri kanak-kanak.

Tujuannya supaya mereka faham akan konsep ‘amal makruf, nahi mungkar’ iaitu memperbanyakkan amalan yang mulia dan meninggalkan perbuatan yang dilarang.

Teguhnya peribadi mulia kanak-kanak yang dibentuk sepanjang bulan Ramadan tidak akan bermakna jika kita sebagai ibu bapa atau penjaga tidak turut sama menunjukkan contoh yang baik sebagai ikutan mereka. Bersederhanalah dalam menyambut bulan Syawal sama seperti bersederhana sepanjang Ramadan bersama anak-anak. Wujudkanlah suatu anjakan paradigma yang bertunjangkan syariat Islam semasa menyambut hari lebaran yang diraikan selama sebulan.

Resmi ketam yang mengajar anaknya berjalan betul mesti dibuang jauh-jauh untuk merealisasikan pembentukan jiwa dan minda anak-anak yang mulia dan soleh. Didikan yang tepat akan dapat mengubah tanggapan anak-anak yang selama ini mensinonimkan hari lebaran dengan duit raya, mercun dan bunga api kepada rasa syukur ke hadrat Ilahi dan melipat kali gandakan amal ibadah.

KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR ialah Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top