♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Saturday, August 10, 2019

Mereka harus dilindungi

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Salam hujung minggu you all. Dah dalam perjalanan balik ke kampung ke? Atau busy mengemas kain baju lagi?

Hmmm.. aku masih sibuk mengemas baju anak-anak. Entah pukul berapa nak gerak ni pun tak tau lah. Tapi kitorang beraya dekat jer. Dekat Kajang jer. So tak der lah risau sangat, kot kot jem ke hapa kan. Insya Allah, lepas kemas-kemas ni, kitorang geraklah ke Kajang melalui Lekas. Insya Allah lekas sampai ke Kajang.

Alhamdulillah... hari ni artikel enche Neezam disiarkan di Akhbar Harian Metro sisipan minda. Macam biasa.

Siapa yang harus dilindungi tu? Jom baca artikel penuh ada di bawah.

Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

Mereka Harus Dilindungi

Anak-anak merupakan satu anugerah daripada Allah SWT dan menjadi kewajipan bagi kita sebagai ibu dan bapa menjaga anugerah ini dengan penuh amanah. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya” (Surah al-Syura, ayat 49). Begitu jualah anak-anak ini merupakan satu bentuk ujian buat ibu dan bapa sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian bagimu” (Surah at-Taghabun, ayat 15). Ujian dalam hal ini bermaksud, anak-anak adalah satu bentuk cubaan dalam menduga keimanan ibu bapa. Andai kata tersalah melaksanakan tanggungjawab terhadap anak-anak, maka ia akan mengundang dosa dan kemurkaan-Nya.

Bijak pandai ada menyebut bahawa anak-anak kecil itu umpama sehelai kain putih. Terserah kepada kebijaksanaan ibu bapanya untuk mencorakkan ia dengan sewajarnya. Ibu bapa memegang tanggungjawab yang berat untuk memastikan perkembangan dan kemandirian anak-anak agar seimbang dari aspek fizikal, emosi, rohani dan intelek. Fungsi ibu bapa bukan semata-mata memberi makanan dan pakaian, bahkan meliputi aspek didikan yang sempurna serta menjaga keselamatan, kesihatan dan hak-hak mereka yang lain.

Namun, masih lagi wujud sebilangan masyarakat kita yang tidak memahami peri pentingnya memberi perhatian dan didikan yang sempurna buat anak-anak. Golongan ibu bapa ini bukan setakat mengabaikan bahkan mendera anak-anak mereka sendiri. Terbaharu, seperti yang dilaporkan dalam Harian Metro pada penghujung Julai lalu, pihak polis telah menahan lelaki berusia 40 tahun di Taiping, Perak yang dipercayai mendera dua anaknya berusia 12 dan 15 tahun sejak beberapa tahun yang lalu. Ini adalah antara ratusan kes yang seakan-akan sudah menjadi halwa telinga kita sehari-hari.

Penderaan biasanya berlaku dalam bentuk fizikal iaitu memukul atau menyiksa tubuh badan anak-anak dalam jangka masa berterusan sehinggakan ada yang cedera parah dan menemui ajal. Penderaan juga berlaku dengan cara berbeza seperti penderaan seksual, penderaan secara mental, pengabaian oleh ibu bapa dan sebagainya.

Statistik kes penderaan kanak-kanak di negara ini menunjukkan terdapat 429 kes dilaporkan pada tahun 2018 melibatkan penderaan fizikal, seksual, pengabaian dan kecuaian. Laporan-laporan seperti ini sungguh membimbangkan semua pihak, apatah lagi Malaysia telah hampir 62 tahun mengecapi kemerdekaan. Kemerdekaan yang berjaya membawa negara keluar daripada belenggu penjajahan rupa-rupanya belum sepenuhnya disusuli dengan pembangunan nilai-nilai ketamadunan dan keibubapaan yang sewajarnya oleh sebilangan kita dalam masyarakat.

Apa sebenarnya punca penderaan anak-anak ini? Menurut laman sesawang The National Society for the Prevention of Cruelty to Children (NSPCC), penderaan kanak-kanak berpunca daripada masalah yang ditimbulkan oleh anak-anak dan masalah yang berlaku di pihak pendera itu sendiri. Anak-anak dikatakan menjadi punca penderaan kerana sifat mereka yang sedang dalam proses awal meneroka erti kehidupan. Atas sebab ini, kanak-kanak akan sering melakukan kesilapan, bermain dengan lasak, asyik menangis, tidak mendengar cakap, mengulang kesilapan, tidak berdisiplin dan seumpamanya. Bagi ibu bapa pula masalah seperti tekanan di tempat kerja, krisis rumah tangga, penyalahgunaan alkohol dan dadah, tekanan emosi, kurang didikan agama, pengalaman sendiri yang pernah didera ketika kecil dan kecuaian menjadi faktor pendorong kepada penderaan anak-anak mereka.

Kesan penderaan ini sudah tentulah kepada diri anak-anak itu sendiri. Di samping kesan fizikal di tubuh badan, wujud juga kesan mental dan psikologi. Anak-anak sudah tidak meletakkan ibu bapa sebagai pelindung yang boleh diharapkan di dalam kehidupan. Bahkan ibu bapa akan dianggap sebagai musuh yang ditakuti dan perlu dijauhi. Andai anak-anak itu meningkat remaja, mereka mungkin mencari erti ‘ketenangan’ daripada penderaan dengan berjinak-jinak menghisap rokok, lari dari rumah, terlibat dengan gangsterisme, bahkan menyalahgunakan dadah.

Kesan penderaan kepada anak-anak ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Dikatakan bahawa mereka meneruskan ‘warisan’ ini bila mana mereka mendera anak-anak sendiri pula di atas faktor membalas dendam atau melempiaskan tekanan perasaan yang dilaluinya semasa kecil. Inilah antara gejala negatif yang menjadi implikasi daripada hilangnya nilai ‘kemerdekaan’ dalam jiwa dan minda kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan. Jika disoroti pernyataan di dalam Akta Kanak-kanak 2001, kanak-kanak diiktiraf sebagai kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran negara. Akta ini turut menyatakan bahawa kanak-kanak berhak mendapat perlindungan dan bantuan dalam segala hal dan mengiktiraf ibu bapa dan keluarga memainkan peranan dalam pembesaran, penyaraan dan kebajikan mereka. Namun mengapa masih ada lagi kes-kes penderaan?

Inilah satu gejala yang boleh diiktiraf sebagai budaya ‘barbarian’ dan tidak bertamadun. Apakah wajar anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa-apa ini didera sedemikian rupa? Jika faktor mahu mendidik dijadikan alasan, ini bukanlah kaedah yang tepat. Jika ibu bapa dan rumah tidak lagi menjadi entiti perlindungan yang boleh diharapkan oleh anak-anak, apalah ertinya kata-kata yang biasa kita dengar iaitu ‘Rumahku, Syurgaku’ pada mereka.

Sebagai langkah membanteras gejala penderaan terhadap anak-anak ini, kerajaan sejak sekian lama serius melaksanakan kempen-kempen kesedaran dalam memupuk nilai kasih sayang dalam institusi kekeluargaan. Kempen-kempen kekeluargaan yang diuar-uarkan melalui media baharu, media massa, media cetak dan bahan-bahan edaran di pusat-pusat komuniti jelas cuba memupuk semangat dan kesedaran bahawa keluarga perlu diberikan keutamaan.

Dalam konteks perundangan pula, kerajaan telah menggubal Akta Kanak-kanak 2001 yang melindungi hak golongan kanak-kanak daripada sebarang perlakuan penderaan atau pencabulan hak mereka. Andai sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, seseorang itu boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya. Selain itu, sesiapa yang didapati mendera kanak-kanak sehingga mengakibatkan kematian, akan disiasat dan disabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori, gantung sampai mati.

Namun, langkah pencegahan gejala penderaan yang lebih bermakna adalah dalam kalangan ibu bapa sendiri. Pertamanya, ibu bapa perlu meluangkan lebih masa untuk mendampingi anak-anak mereka. Ianya dapat memberi kesempatan yang luas kepada ibu bapa memahami perkembangan dan keperluan anak-anak mereka serta memupuk tali silaturrahim yang erat dalam keluarga. Bawalah anak-anak bersiar-siar atau berkelah, bersukan, menyertai aktiviti komuniti dan keagamaan, dan sebagainya.

Kedua, ibu bapa berperanan menjadi sumber primer dalam memberi bimbingan keagamaan, moral, adab dan tatasusila. Bimbingan secara langsung sebegini akan melahirkan perasaan yakin dalam kalangan anak-anak bahawa ibu bapa adalah ‘role-model’ yang terbaik untuk diikuti. Ketiga, sekiranya anak-anak ada membuat kesilapan, dahulukan dengan nasihat dan teguran, bukan sewenang-wenangnya menghukum dan memukul membuta tuli. Hukuman yang ingin dikenakan sekalipun perlulah tidak melampaui batasan. Cukup sekadar untuk memberi pengajaran agar anak-anak tidak mengulang kesilapan.

Keempat, jika wujud sebarang bibit-bibit atau anasir yang boleh mendorong ke arah melakukan penderaan, ibu bapa perlu segera mendapatkan khidmat nasihat seperti kaunseling, pakar perkembangan psikologi kanak-kanak, pakar perubatan, ahli agama dan sebagainya.

Ingatlah bahawa suatu hari nanti anak-anak ini jualah yang akan membela nasib kita semasa tua. Jika dari kecil lagi sudah didera dan tidak diberikan bimbingan yang sewajarnya, tidak mustahil kita sebagai ibu bapa akan menjadi penghuni rumah-rumah kebajikan atau rumah orang-orang tua kelak tanpa dilawati mereka lagi.

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for dropping by!

back to top