♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Saturday, January 5, 2019

5 Formula Kerja Cemerlang

Salam hujung minggu!

Busy ke semua? Aku... macam biasa hujung minggu memang busy sokmo! Masa tu lah nak membasuh kain baju sekolah, cadar-cadar, towel... nak lap habuk, vakum, mop... cemerlang! Rasa tak cukup 24 jam sehari! Mintak jam lebih boleh? Hahahhaha...

Haaa... bukan kat office jer nak kerja cemerlang... kat rumah pun mestilah cemerlang jugak kan?

Anyway, macam biasa, hari ni hari Sabtu, artikel enche Neezam ada disiarkan di akhbar Harian Metro sisipan Minda. Artikel kali ni, beliau berkongsi formula kerja cemerlang. Tapi bukan kerja kat rumah tau... kalau nak cemerlang kerja kat rumah, nanti aku tulis artikel. Huhuhu...

Artikel penuh di bawah ni. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

5 Formula Kerja Cemerlang

Sesebuah organisasi tidak akan pernah sunyi dengan isu-isu dan permasalahan yang berkisar kepada warga kerjanya. Salah laku seperti nepotisme, kronisme, pecah amanah, ponteng kerja, kecurian dan lain-lain adalah antara kebejatan tingkah laku, pemikiran dan budaya kerja yang biasa menjadi buah mulut masyarakat terutamanya yang berurusan dengan satu-satu organisasi tersebut. Stigma tertentu kelihatannya masih kental lekat dengan satu-satu organisasi, misalnya ‘kepercayaan’ bahawa kakitangan jabatan kerajaan tertentu yang lembab, pelayan di kaunter yang garang tak bertempat, birokrasi berlapis-lapis yang menyulitkan urusan, dan sebagainya. Kesemua ketirisan ini perlu diminimumkan atau seeloknya berada pada aras sifar sama sekali oleh semua warga kerja tidak kiralah oleh pemimpin organisasi mahu pun pekerja-pekerja biasa. Ianya diyakini boleh direalisasikan bertitik tolak daripada bagaimana warga kerja dalam sesebuah organisasi itu meraikan dan mengamalkan konsep budaya kerja yang cemerlang.

Menurut Moran dan Harris dalam buku mereka yang bertajuk Managing Cultural Differences: Global Leadership Strategies for the 21st Century, budaya kerja cemerlang merujuk kepada nilai, kepercayaan dan sikap nilai, kepercayaan dan sikap pekerja terhadap pekerjaan. Menurut mereka lagi, budaya kerja cemerlang ini tidak tertakluk kepada satu-satu jenis organisasi sahaja, bahkan merentasi organisasi berasaskan kerajaan, swasta, organisasi berasaskan kebajikan dan kesukarelawanan. Walaupun setiap organisasi ini mempunyai ekosistem, cara kerja dan matlamat yang berbeza, namun, nilai yang dipegang oleh setiap ahli dalam organisasi mestilah sama iaitu nilai kerja yang positif dan cemerlang. Jumlah kesemua nilai yang dipegang oleh mereka itulah yang dikatakan sebagai budaya kerja. Sekiranya, nilai yang dipegang adalah baik, maka sudah tentulah budaya kerja itu akan menghasilkan kerja yang sangat baik. Begitulah sebaliknya sekiranya nilai yang dipegang itu adalah negatif.

Budaya kerja yang negatif akan membuatkan organisasi tidak mencapai matlamat dan hala tuju yang telah ditetapkan oleh organisasi. Kesannya kepada organisasi ialah produktiviti dan penghasilan yang dikeluarkan tidak mencapai piawaian yang ditetapkan. Masyarakat terutamanya pelanggan organisasi akan hilang kepercayaan kepada organisasi kerana budaya kerja yang diamalkan tidak menepati piawaian yang ditetapkan. Organisasi tidak dapat berkembang maju seiring dengan perkembangan semasa yang berlaku terutamanya dalam bentuk persaingan sesama organisasi. Dengan itu, organisasi akan mengalami kerugian dan kegagalan dalam pengurusan sekali gus memusnahkan organisasi. Budaya kerja yang diamalkan ini akan membebankan organisasi. Antara nilai-nilai yang dipegang ialah suka membuang masa, melepak, menunggu masa balik, tidak suka menolong, suka membantah, suka mengampu, membuat kerja sambil lewa, tidak jujur, bencikan kepada arahan, dan lain-lain. Ini adalah nilai-nilai yang akan menghancurkan organisasi sekali gus mendatangkan implikasi yang negatif kepada seluruh warga organisasi.

Manakala, budaya kerja yang positif akan membuatkan organisasi mencapai matlamat dan harapan yang ditetapkan. Kesannya kepada organisasi ialah produktiviti dan persaingan antara organisasi menunjukkan peningkatan pencapaian yang cemerlang. Budaya kerja yang cemerlang ini akan menguntungkan organisasi dari segi kualiti dan kepercayaan masyarakat terhadapnya. Masyarakat akan percaya kepada organisasi ini kerana piawaian yang ditetapkan dipatuhi oleh seluruh ahli dalam organisasi. Antara nilai-nilai yang dipegang dalam budaya kerja cemerlang ini ialah tidak suka membuang masa, suka berbincang, taat pada arahan ketua, suka membantu, membuat kerja dengan bersungguh-sungguh, selalu senyum, ikhlas dalam menjalankan kerja, jujur, penyabar dan lain-lain. Inilah antara nilai-nilai budaya kerja yang perlu menjadi pedoman dalam memastikan organisasi menerima implikasi yang positif hasil dari budaya kerja cemerlang yang diamalkan oleh warganya.

Bagi membentuk budaya kerja yang berkualiti dalam organisasi, Institut Integriti Nasional secara formalnya menggariskan beberapa ciri yang harus diberi perhatian di tempat kerja Antaranya, orientasi warga kerja haruslah bergerak di atas landasan yang betul sebagai prasyarat bagi menjayakan budaya kerja cemerlang iaitu mesti ada komitmen, mempunyai kesedaran kualiti, bersedia menerima perubahan dan tiada batasan masa untuk cemerlang. Kedua, komitmen daripada segala lapisan warga kerja bagi meningkatkan kecemerlangan organisasi adalah dituntut. Ketiga, kerja yang hendak dilaksanakan perlu dilakukan dengan sepenuh hati atas kehendak organisasi dengan mengetepikan segala kepentingan lain khususnya kepentingan peribadi. Keempat, sesebuah organisasi mewujudkan gaya pemikiran yang berorientasikan kecemerlangan supaya warga kerja lebih komited kepada matlamat utama jabatan. Kelima, sentiasa menggalakkan warga kerja menghayati serta mempraktikkan amalan-amalan pengurusan yang boleh meningkatkan kecemerlangan organisasi.

Budaya kerja cemerlang telah lama dibincangkan oleh ilmuan Islam, kerana Islam sangat menekankan hal ehwal kecemerlangan dalam apa sahaja kategori pekerjaan yang dilakukan oleh seseorang pekerja. Antara perkataan-perkataan yang melambangkannya kecemerlangan tertulis secara jelas dalam al-Quran adalah seperti ahsanu amala (perbuatan baik), aflaha (berjaya) dan ihsana (berbuat baik). Bahkan, dalam laungan azan sehari-harian telah terkandung seruan ke arah kecemerlangan, iaitu 'Hayya ‘ala al-falah'.yang bermaksud marilah menuju kejayaan. Antara ciri-ciri cemerlang ialah apabila sesuatu pekerjaan itu dilaksanakan dengan berkualiti seperti tekun, khusyuk, ikhlas, konsisten, amanah dan sebagainya. Islam bukanlah agama yang terbatas kepada aspek ibadah seperti solat, puasa dan haji, akan tetapi meluas kepada segala aspek kehidupan, termasuk budaya kerja.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan katakanlah: Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (Surah al-Taubah, ayat 105). Firman Allah SWT melalui perkataan “Bekerjalah” merujuk kepada semua jenis pekerjaan dan ia dalam bentuk kata perintah yang bererti suruhan. Maka Islam menolak semua jenis sikap malas tanpa pekerjaan, sebaliknya menyuruh umatnya bekerja dengan apa jua yang selari dengan perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya.

Menurut perbincangan ilmuan Islam, selain itu suruhan bekerja tidak dibiarkan begitu sahaja, ia diikuti dengan pemerhatian, pemantauan dan pengawasan daripada Allah SWT. Dengan kesedaran bahawa sepanjang masa segala amalan kita dipantau dan dihitung, seorang Muslim tidak akan tergamak untuk bekerja secara culas, malas, khianat dan merugikan organisasinya. Dia akan merasa malu, takut dan bertanggungjawab kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dan sesama umat Islam. Justeru sekalipun peringatan Allah SWT dalam ayat di atas merupakan ayat suruhan bekerja, daripada perspektif yang lain ia juga merupakan ayat ancaman kepada sesiapa yang bekerja tetapi tidak mengamalkan budaya kerja yang cemerlang.

Penulis Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

No comments :

back to top