♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Monday, June 22, 2015

Ramadhan: Melatih anak-anak beribadah

Artikel enche Neezam di Utusan Malaysia hari ni bersempena dengan bulan Ramadan yang mulia. Kaedah-kaedah yang kami praktikkan untuk mendidik anak-anak supaya berpuasa.

Ramadan: Melatih anak-anak beribadah

Jemaah termasuk kanak-kanak menunaikan solat sunat tarawih di Masjid Muhammadiah, yang dikenali sebagai Masjid Cina di Ipoh, Perak.

RAMADAN adalah waktu terbaik untuk umat Islam melaksanakan amal ibadah kerana telah dijanjikan oleh Allah SWT keberkatan dan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Sayugia, ibadah puasa Ramadan menjadi antara tunjang Rukun Islam dan semua umat Islam tidak kira usia perlu sedar kewajipan untuk menunaikannya termasuklah anak-anak kecil.

Walaupun kanak-kanak masih belum mukallaf iaitu diwajibkan melak­sanakan syariat, ibadah berpu­a­sa oleh mereka dianggap sebagai suatu bentuk latihan.

Riwayat oleh Bukhari dan Muslim, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Kami puasakan pula anak-anak kecil kami, dan kami berangkat ke masjid dengan menjadikan mainan daripada kapas buat mereka, jika ada salah seorang daripada mereka menangis minta makanan, kami berikan mainan itu kepadanya sampai masuk waktu berbuka."

Pernyataan ini jelas memberi isyarat bahawa ibadah puasa perlu dididik dan dilatih sejak kecil. Menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak seawal usia lima hingga tujuh tahun menghayati kele­bihan berpuasa Ramadan. Latihan menahan nafsu makan dan minum di siang hari serta memperbanyakkan amalan mulia dan mengelakkan diri daripada kemungkaran adalah sangat besar impaknya apabila anak-anak ini mening­kat dewasa kelak. Mereka tidak akan berasa canggung untuk melaksanakan bukan sahaja amalan berpuasa bahkan ibadah fardu lain seperti bersolat dan zakat. Begitu juga jiwa mereka akan terdi­dik untuk memperbanyakkan ibadah sampingan yang melengkapkan diri menjadi manusia soleh dan solehah.

Minda dan pemikiran anak-anak perlu dididik supaya tidak mentafsir Ramadan sinonim dengan pesta bunga api dan mercun. Hindarkan mereka daripada terjebak dengan sindrom negatif sebegini yang bukan sahaja membazirkan wang malah membahayakan nyawa.

Anak-anak juga tidak seharus­nya dibiarkan terlalu leka menonton televisyen, bermain permainan komputer, atau membuat aktiviti tidak berfaedah. Sebaliknya mereka perlu dibimbing menambahkan amal ibadah yang dijanjikan ganjaran sangat besar oleh Allah SWT.

Melatih anak-anak berpuasa perlulah secara berperingkat-pering­kat. Turuti tahap kemampu­an mereka seadanya seperti puasa setengah ha­ri, sekadar beberapa jam, atau beberapa hari sepanjang Ramadan. Unsur ganjaran juga boleh dipraktikkan sebagai elemen penggalak mereka berpuasa. Misal­nya, menyediakan masakan kegemaran mereka untuk berbuka dan bersahur, memberikan pujian, hadiah atau sejumlah ‘duit raya’.

Ibu bapa boleh menceritakan apa perlunya berpuasa mengikut konteks agama dan kesihatan agar mereka faham bahawa berpuasa adalah suatu amalan yang sangat besar faedahnya. Anak-anak perlu dilatih dengan rukun dan pantang larang ketika berpuasa supaya mereka bijak memelihara kesempurnaan puasa mereka.

Dalam bulan Ramadan ini juga, mereka boleh diajak menunaikan solat fardu dan sunat tarawih secara berjemaah sama ada di rumah atau di masjid dan juga bertadarus al-Quran bersama-sama. Anak-anak juga boleh diasuh mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga, jiran dan masyarakat de­ngan menganjurkan majlis berbuka puasa, berziarah dan bersedekah.

Jika kaedah-kaedah yang disarankan ini dapat diamalkan sepanjang Ramadan, insya-Allah mereka akan menjadi bukan sahaja umat Islam yang diredai-Nya, bahkan yang sempurna akhlak dan tatasusilanya. Didikan agama yang mantap sejak kecil pasti dapat menjamin kekentalan dan keutuhan personaliti anak-anak ini apabila menginjak dewasa.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan 
Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sumber dan artikel penuh di sini: http://www.utusan.com.my/rencana/ramadan-melatih-anak-anak-beribadah

No comments :

back to top