♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Wednesday, July 17, 2019

Rambut saya dah pendek...

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Ok! Mama dah kokak rambut my baby Neeyaz. Belasah jer. Ok lah, kan? Huhuhu...

Bukan main susah nak potong rambut dia. Asik bergerak jer. Nak-nak bila dah ada bekas potong rambut bersepah kat badan dia. Asik tergaru-garu je. Menguji kesabaran sungguh. Nasib baik nampak comel lagi walaupun mama potong ntah hapa-hapa jer.
Huhuhu...

Sunday, July 14, 2019

Cuba Burger Portugal McDonald's

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Seronoknya duduk rumah sendiri hujung minggu. Walaupun penat, tapi banyak kerja rumah settle. Lega rasanya.

Semalam memang seharian menguruskan rumah. Hari ni pun... macam tak habis-habis kerja.

Petang tadi enche Neezam tetiba ajak gi Aeon. Pelik betul. Biasanya dia tak suka gi tempat ramai-ramai orang ni. Katanya, jalan-jalan cuci mata. Hilangkan penat duduk kat rumah.

So, tadi sempatlah jugak pekena burger baru McD - Portuguese Chicken Burger @ Burger Ayam Portugal.

Oklah... sedap. Katanya daging tu disalut dengan sos piri-piri. Tapi rasanya tak sama dengan sos peri-peri Nandos. Huhuhu... Bolehlah kalau korang nak cuba sebab burger ni dalam masa terhad jer.

Naufal dan Niesreena macam biasa... suka ayam goreng McD.

Sekejap jer cuti Sabtu Ahad... Esok nak kerja dah. Hmmmm...

Saturday, July 13, 2019

Biar Penanya Terus Berkarya

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Alhamdulillah... macam biasa artikel enche Neezam disiarkan di akhbar Harian Metro di sisipan Minda. Artikel penuh di bawah yer. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

Biarkan Penanya Terus Menari

Baru-baru ini tujuh Sasterawan Negara telah diberikan penghargaan yang julung kali diperoleh mereka, apabila kerajaan bersetuju memberi elaun penghargaan bulanan berjumlah RM5,000 pada bulan Jun. Peruntukan tambahan itu diluluskan kepada Kementerian Pendidikan untuk pembiayaan elaun kepada semua Sasterawan Negara terbabit iaitu Datuk Seri Dr A. Samad Said, Profesor Emeritus Dr Muhammad Salleh, Datuk Noordin Hassan, Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan, Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah, Datuk Dr Baharuddin Zainal dan Datuk Dr Zurinah Hassan. Pemberian elaun penghargaan secara bulanan ini adalah elaun tambahan baharu diberikan sebagai tanda penghargaan kepada usaha dan dedikasi mereka kepada membina bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Kesemua Sasterawan Negara ini dipilih oleh Urusetia Panel Anugerah Sastera Negara yang diketuai oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kerajaan berharap bahawa elaun ini dapat membantu menjamin kebajikan, kesejahteraan dan memberi keselesaan kepada Sasterawan Negara supaya dapat terus menyumbang idea pemikiran, keilmuan dan sumbangan karya bermutu tinggi untuk tatapan masyarakat. Kerajaan turut yakin bahawa elaun berkenaan dapat menjamin kesinambungan mutu hasil seni yang cemerlang dan menunjukkan penekanan terhadap sastera serta bahasa daripada semua lapisan masyarakat. Apa yang menarik juga adalah sekiranya terdapat pertambahan senarai Sasterawan Negara pada masa akan datang, mereka akan turut menikmati pemberian elaun yang serupa.

Selain daripada elaun ini, banyak usaha kerajaan terdahulu dan kerajaan sekarang dalam mengangkat dan memberi pengiktirafan kepada perjuangan para sasterawan di negara kita. Misalnya, Anugerah Sastera Negara (ASN) mula diperkenalkan pada 1981 hasil cetusan idea bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn yang menginginkan sebuah hadiah sastera berprestij bagi memartabatkan sastera di Malaysia.

Tokoh sasterawan yang menerima ASN, adalah mereka yang aktif dan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi yang membawa gelaran Sasterawan Negara. Sejak diperkenalkan 38 tahun yang lalu, ASN dianugerahkan kepada 13 orang penerima. Antara penerima selain tujuh di atas ialah Keris Mas (1981), Dato’ Dr Shahnon Ahmad (1982), Datuk Usman Awang (1983), Arena Wati (1987), Datuk Abdullah Hassan (1996) S. Othman Kelantan (2003) dan Anwar Ridhwan (2009). Penerima ASN mendapat warkah penghormatan negara, wang tunai sebanyak RM60,000, penerbitan sebanyak 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan bagi tujuan sebaran ke sekolah, pustaka dan agensi kerajaan. Di samping itu, ASN juga layak menerima kemudahan perubatan kelas satu di hospital kerajaan, kemudahan dan keselesaan dalam kegiatan mencipta karya sastera, kemudahan dalam menerbitkan karya dan penterjemahan karya ke dalam bahasa asing.

Pun begitu, dikatakan terdapat suatu ketika yang agak suram bagi dunia sastera, apabila Sasterawan dan karya-karya mereka seperti dikesampingkan oleh kerajaan dan masyarakat. Pada ketika itu, sastera sering kali dikatakan tiada nilai ekonomi, sehingga menyebabkan minat masyarakat terhadap sastera semakin menurun. Dilah Tua, Timbalan Dekan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak dalam satu penulisannya menyatakan antara isu pokok yang membuakkan kesuraman itu berkaitan dengan penerbitan dan pencetakan karya penerima ASN yang dilihat gagal dilaksanakan oleh pihak kerajaan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Jika tidak, masakan A. Samad Said mengisytiharkan mogok seni serta kurang mesra dengan DBP sejak awal 1990-an.

Di samping itu, penyebaran karya-karya penerima ASN ke sekolah, perpustakaan dan agensi kerajaan seperti yang dijanjikan juga dilihat gagal. Perkara ini menyebabkan masyarakat turut terkesan sama apabila mereka kelihatan ‘buta’ dalam memahami fungsi dan peranan Sasterawan Negara dalam konteks pembinaan negara bangsa. Kelihatan juga para Sasterawan Negara ini menjadi terasing dan seakan terpaksa mengemis agar masyarakat dapat menghargai kemurnian suara hati mereka tentang isu-isu kehidupan yang diterjemahkan mereka melalui medium seni sastera ini. Sebagai susuk penting persuratan kebangsaan di Malaysia, Sasterawan Negara tidak seharusnya dibiarkan mengemis dan menagih simpati untuk meneruskan kehidupan.

Terkini, Kementerian Pendidikan telah merancang penempatan Sasterawan Negara di 20 universiti awam, di seluruh negara. Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dalam satu temu ramah menyatakan keyakinan bahawa usaha akan menjadikan mahasiswa di universiti awam mutakhir ini, sebagai mahasiswa yang berilmu tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana penulisan karya sastera amat penting dan mengandungi pelbagai mesej tersirat yang jika diungkap akan menjadi khazanah tidak ternilai kepada generasi akan datang. Sebagai pancang memperkembangkan kesusasteraan Melayu, DBP yakin lebih banyak universiti awam akan turut melaksanakan program pengembangan sastera. Ia menjadi titik tolak kepada kebangkitan semula karya sastera tanah air dalam jiwa anak bangsa khususnya generasi muda negara, serta menyemarakkan nilai kesusasteraan setiap warga universiti tanpa mengira latar belakang ke tahap tertinggi. Sambutan meriah terhadap program sasterawan negara di universiti ini merupakan petunjuk awal yang mempunyai dampak positif terhadap pembinaan tamadun bangsa yang lebih cemerlang.

Pemberian elaun sebegini bukanlah menjadi asbab utama yang dicari-cari dalam kalangan sasterawan. Pada mereka perjuangan untuk berkarya, berkongsi pendapat dan penegasan dalam menegakkan kebenaran dan menolak kebatilan daripada pelbagai aspek, melalui penulisan dan karya sastera adalah matlamat paling teratas mengatasi segalanya. Elaun sebegini juga tidak dianggap seperti satu ‘gula-gula’ bagi penerimanya, atau diterima seakan satu isyarat supaya sasterawan perlu ‘menutup mulut’ daripada mengkritik dan menegur pihak penguasa negara. Ia jelas melalui mesej yang disampaikan oleh Datuk Dr Zurinah Hasan, yang merupakan salah seorang daripada tujuh Sasterawan Negara yang menerima elaun tersebut, bahawa sebarang pengiktirafan dan wang ringgit tidak akan mempengaruhi haluan dalam penulisan dan karyanya. Selagi ada kudrat dan ruang untuk memberikan kritikan, selagi itulah mereka akan berkarya supaya leluhur denyut nadi dan penderitaan rakyat akan dapat disampaikan secara indah, berestetika dan jelas melalui sastera kepada kerajaan atau pihak penguasa.

Bagi rakyat marhain, insentif yang diterima oleh Sasterawan Negara ini diraikan sebagai sesuatu yang pasti menaikkan semula nilai ekonomi sastera satu peringkat yang dapat dibanggakan. Di satu perspektif yang berbeza, insentif ini pasti dapat menghilangkan ‘kedahagaan’ sebilangan rakyat dalam menikmati keindahan sesi sastera yang sepatutnya dikekalkan dan diwariskan kepada generasi muda supaya ia tidak akan lapuk ditelan zaman. Pemartabatan status Sasterawan Negara oleh pihak kerajaan sangat membantu dalam memekarkan semula khazanah persuratan di rantau ini dan seterusnya membina negara bangsa yang kaya nilai di dalam jiwanya. Semoga lebih ramai lagi bakat-bakat seni penulisan sastera yang ada di seluruh tanahair bereksperimentasi dan menjulang martabat dan kualiti seni ini melalui penulisan-penulisan yang segar, kontemporari dan akan sentiasa hidup dalam kalangan masyarakat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top