♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Sunday, January 13, 2019

Buat onde-onde buah Melaka with my handsome little helper

Tetiba teringin nak makan onde-onde buah Melaka. Pastu rasa macam susah nak cari sebab bukan bulan puasa. Huhuhu... Kalau bulan puasa, rasanya berlambak jer jual kat pasar Ramadhan. Tapi bila bukan bulan puasa, macam tak tau mana nak cari.

Jadinya... buat sendiri jer lah... bukan susah pun...

Aku buat satu cawan tepung jer. Cukuplah makan anak-beranak.

Alhamdulillah... ada dak kecik tolong kat dapur. Senang sikit kerja.

Aku gentel. Naufal tolong angkat bila dah masak dan siapkan seterusnya. Alhamdulillah... boleh harap jugak budak sorang ni. Bukan senang dia nak menolong kat dapur. Huhuhu...

Good job, Naufal!

Saturday, January 12, 2019

When Khairunn gives lecture to little Khairunns

Hujung minggu pun sibuk bagi lecture ayah ni.

Tapi student yang sorang tu berani betul buat bising masa lecturer garang tengah bercakap.

Ish ish ishhhhh... nasib baik comel. Tak jadi lecturer garang nak marah. Huhuhu...

My Khairunns 💙

5 Syarat Kerja Jadi Ibadah

Assalamualaikum wbt.

Artikel enche Neezam hari ni di akhbar Harian Metro sisipan Minda.

Artikel penuh di bawah ni. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

5 SYARAT KERJA JADI IBADAH

Dalam satu hadis Rasulullah SAW (diriwayatkan oleh al-Hakim, al-Tirmizi dan al-Baihaqi), Allah SWT sangat mencintai seorang mukmin yang bekerja. Pada masa yang sama, Islam turut mencela mereka yang bermalas-malasan dan duduk senang menganggur, seperti mana sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: Lebih baik seseorang bekerja dengan mengumpulkan seikat kayu api di belakangnya berbanding dengan seseorang yang meminta-minta (mengemis) lantas ada yang memberi atau enggan memberi sesuatu padanya." (Riwayat al-Bukhari). Bekerja merupakan satu usaha seseorang untuk pelbagai asbab dan tujuan. Antaranya, menambah nilai-nilai seperti kebahagiaan, kesenangan, rezeki dan sebagainya. Tetapi, apabila seseorang itu memulakan pekerjaannya sehari-hari, tidakkah dia terfikir, apakah sebenarnya matlamat dan niat pergi bekerja ini?

Ada antara kita yang memikirkan bahawa matlamat utama bekerja adalah untuk meraih gaji yang setimpal demi menyara kehidupan dirinya dan keluarga. Ada yang bermatlamatkan untuk mencari pengalaman, membina reputasi kerjaya. Ada yang ingin bermuamalah atau berurusan dengan orang lain sebagai memenuhi kepuasan silaturrahim dan bersosial. Daripada perspektif Islam, kesemua matlamat dan niat ini tiada salah dan silapnya. Namun, untuk memastikan bahawa kita bakal memperoleh manfaat dan ganjaran di dunia mahu pun di akhirat, maka niat kita untuk bekerja itu perlulah disulamkan dan dimulakan dahulu dengan niat bekerja kerana Allah SWT.

Dalam Islam, bekerja ini merupakan satu bentuk kefarduan atau satu perintah Allah SWT seperti mana yang difirmankan-Nya dalam al-Quran yang bermaksud: Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan". (Surah al-Taubah, ayat 105).

Akan hal ini, Allah SWT mengisyaratkan kita sebagai hamba-hamba-Nya untuk bekerja dalam keadaan terus mentaati segala suruhan dan larangan-Nya dan sentiasa mengingati Allah demi mendapatkan keredaan Allah SWT. Apabila kita bekerja dengan niat yang tepat, maka kita akan sentiasa memiliki sifat waspada dan hati-hati terhadap etika, nilai dan hukum-hakam yang mendasari pekerjaan kita. Kita juga akan terpandu dengan wujudnya kesedaran tentang halal dan haram serta lingkungan batasan dalam syariat Islam sepanjang waktu bekerja.

Kemudian, demi memanfaatkan hasil kerja kita sebaiknya, maka berniatlah juga untuk menjadikan kerja kita ini sebagai satu bentuk ibadah, tanda tunduknya nilai perhambaan kita kepada Allah SWT. Imam al-Ghazali Rahimahullahu Taala, dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin ada menyebutkan lima syarat untuk menjadikan sesuatu kerja itu sebagai ibadah.

Pertama, kerja yang dibuat itu tiada unsur haram mahu pun syubhah (meragukan). Dalam hal ini, segala perkara yang mungkar seperti penipuan, mengambil kesempatan, menindas pihak lain, dan sebagainya dielakkan demi menjaga kesucian nilai kerja yang dizahirkan. Misalnya, ada antara kita yang tidak bijak menguruskan kepentingan antara tugasan dan juga tuntutan atau kehendak peribadi yang tiada kaitan dengan pekerjaan. Masa yang sepatutnya digunakan dengan baik untuk menyiapkan kerja dibazirkan dengan melayari laman sosial atau laman perniagaan di internet yang boleh dikategorikan sebagai satu bentuk ‘pencurian masa’ tanpa disedari.

Kedua, kerja itu dimulakan dengan nawaitu atau niat yang tepat dan murni. Sudah tentulah niat yang paling utama adalah niat bekerja kerana Allah SWT. Dengan niat yang tepat, seperti mana yang disebutkan di atas, maka redha Allah akan sentiasa mengiringi seseorang itu sepanjang waktu bekerja. Daripada Amirul Mu’minin Abu Hafs, Umar bin Al-Khattab R.A., katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang dia ingin memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang dia ingin menikahinya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.”(riwayat Bukhari dan Muslim).

Ketiga, kerja itu sepadan dengan gaji atau bayaran yang diterima. Setiap daripada kita menyumbangkan tenaga dan kepakaran yang dimiliki untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab di tempat kerja. Hasil daripada kepakaran dan sumbangan inilah, maka dalam kontrak pekerjaan kebiasaannya akan dinyatakan secara jelas jumlah bayaran gaji atau upah yang akan diberikan sebagai balasan oleh pihak majikan. Mungkin kerana kerja itu apabila dibuat berhari-hari dalam jangka masa yang panjang, semangat bekerja kadang kala mudah meruntun dan melonglai. Akan hal ini, kelihatannya ada dalam kalangan kita yang cuai dan culas dalam menjaga ‘kehalalan’ bayaran gaji yang diterima. Setiap sen yang kita terima dalam gaji itu perlu selaras dengan tanggungjawab dan tugasan yang diamanahkan oleh majikan atau organisasi. Bertangguh-tangguh kerja, ponteng, malas, membuat perkara lain seperti berniaga atau bersosial yang keterlaluan adalah antara perkara yang boleh menyebabkan nilai halal dalam gaji menjadi rosak.

Keempat, menjaga adab dan etika sepanjang waktu bekerja adalah satu elemen yang jelas mampu membentuk ‘roh’ pekerjaan yang cemerlang. Antara contoh adab dan etika kerja adalah seperti menyelesaikan tugas pada masa yang ditetapkan, komunikasi sopan, berpakaian bersih, kemas dan menutup aurat sesuai dengan pekerjaan, bertoleransi dan tidak berkira dalam kerja berpasukan, mewujudkan suasana kerja yang harmoni tanpa krisis dengan rakan sekerja, mematuhi undang-undang dan arahan majikan, dan mematuhi prosedur dan kaedah yang betul semasa bekerja.

Kelima, pekerjaan itu tidak menghalang seseorang untuk melaksanakan tanggungjawab beribadah kepada Allah dan perhubungan sesama insan lain. Dalam tempoh bekerja, tiada alasan untuk seseorang itu menidakkan tanggungjawabnya terhadap amal ibadahnya kepada Allah SWT, lebih-lebih lagi dalam urusan solat, atau ibadah fardu lain yang disyariatkan Islam. Misalnya, ada antara kita suka menangguh-nangguhkan waktu solat atau meninggalkannya terus atas alasan kesibukan kerja. Jika rosak nilai hablum minallah atau hubungan kita dengan Allah SWT, maka bagaimana redha Allah akan sentiasa memayungi kita, terutamanya ketika sedang giat mencari rezeki kurniaan-Nya. Begitu juga dalam bekerja, kita harus berhati-hati dalam menjaga perhubungan kita sesama rakan sekerja, pihak atasan mahu pun mereka yang berada di bawah penyeliaan kita. Kehidupan kita ini bukan hanya tertakluk di tempat kerja sahaja, bahkan jua silaturrahim itu berpanjangan ketika di luar waktu kerja. Maka, nilai hablum minannas atau hubungan sesama manusia perlu sentiasa juga dipelihara di tempat kerja.

Penulis Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top