♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Monday, May 20, 2019

Jalan-jalan petang @ Gemereh

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Hujung minggu ni balik ke rumah mertua. Lepas settle masak sumer tadi, enche Neezam ajak jalan-jalan pusing kampung. Biasanya kitorang pusing kampung naik kereta. Kali ni enche Neezam ajak naik motor plak.

Uiissshhhh... dah lama tak naik motor dengan boipren aku nih!

Huhuhu... tapi kali ni bawak boipren junior sekali. Seronok si kecik ni naik motor.

Sedap betul bau rumput lepas hujan.

Suasana kampung memang best!

Saturday, May 18, 2019

Sebenar-benarnya Guru Adalah...

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

16 Mei yang lepas, seluruh negara menyambut Hari Guru. Dikesempatan ini aku jugak nak mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru yang pernah mengajar aku dari aku tadika hinggalah ke universiti - Tadika Kemas DBKL Setapak Jaya 1A tahun 1986, SRK Wangsa Maju Seksyen 1 tahun 1987-1993, SM Zon R(1) Wangsa Maju tahun 1994-1998 dan pensyarah-pensyarah di Fakulti Sains Komputer, UTM Skudai.

Terima kasih atas segala ilmu dan tunjuk ajar.

Selamat Hari Guru juga buat semua warga pendidik di seluruh Malaysia!

Jadi guru ni bukanlah mudah. Seriously! Mungkin orang fikir... alaaa... senang jer jadi guru... mengajar je pastu kerja separuh hari. Huhuhu... A big NO NO!

Aku rasa jadi guru ni adalah kerja yang paling stress di dunia. Huhuhu... Aku pernah jadi cikgu ganti lepas habis belajar dulu dan lepas balik dari Melbourne sementara nak cari kerja.

Masa lepas belajar dulu, aku sempat mengajar di SM Teknik Setapak. Aku mengajar matapelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu, dari pelajar kemahiran hinggalah teknik. Mostly pelajar kat sekolah ni lelaki. Masa ni rasa mengajar tak stress sangat sebab para pelajar semua ok, mendengar kata, hormat kat guru. Walaupun aku marah-marah, tapi diorang tetap hormat. Rasa seronok mengajar. Lagi tambah seronok bila nampak prestasi mengajar meningkat. Aku sempatlah mengajar setahun lebih kat sini sehingga aku dapat kerja tetap.

Lepas balik dari Melbourne tahun 2011, aku dan enche Neezam tinggal kat Segamat jap. Sementara cari kerja tetap, aku jadi cikgu ganti. Sempatlah jadi cikgu kat SRK Paya Jakas, Jementah. OK je kat sini, walaupun student memang macam-macam perangai. Tapi aku still boleh handle. Pastu berkenalan dengan cikgu-cikgu yang baik-baik kat sini.

Tamat kontrak kat sana, aku jadi cikgu ganti kat salah sebuah sekolah menengah kat tengah bandar Segamat. Nama aku tak mahu sebut sebab pengetua jenis 'macam bagus'... dan students... memang... hmmmm... mostly macam pengetua dia jugak. Nasib baik cikgu-cikgu baik-baik. Walaupun sekolah jenis perempuan semua, tapi ni lah sekolah yang paling aku susah nak handle dan hari-hari balik rasa nak nangis. Memang nightmare! Huhuhu...

Nasib baik sekejap jer mengajar kat sana, aku terus dapat kerja tetap. Alhamdulillah... aku masih bekerja di tempat kerja yang sama sehinggalah ke hari ini.

Aku rasa stress guru zaman dulu dan zaman sekarang memang dah tak sama - dari segi beban kerja, tekanan dari pihak atasan hinggalah nak hadap perangai pelajar. Tu belum lagi yang jauh dari famili. Kesian... memang cabaran guru zaman sekarang lebih berkali-kali ganda! Tabik buat semua guru!

Panjang lebar pulak aku cerita kali ni... Ok dah lah...

Artikel enche Neezam yang disiarkan hari ni di akhbar Harian Metro sisipan Minda bersempena dengan Hari Guru. Artikel penuh ada di bawah ni.

Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

Sebenar-benarnya Guru Adalah...

Guru merupakan seseorang yang sangat mulia, bahkan dimuliakan di sisi agama Islam. Sesiapa yang memuliakan guru bererti ia memuliakan Rasulullah SAW, sesiapa yang memuliakan Rasulullah SAW bererti memuliakan Allah SWT, dan sesiapa memuliakan Allah SWT, maka syurgalah tempat kediamannya di akhirat kelak. Dalam kitabnya ‘Ihya’ `Ulum al-Din’ karangan Imam al-Ghazali, beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu, dan salah satu daripadanya adalah memuliakan guru lantaran saratnya ilmu dan kebijaksanaannya yang memberikan manfaat kepada kehidupan anak-anak muridnya.

Begitu mulia darjat seorang guru di sisi agama, namun tidak sesekali seorang guru itu memerlukan anak-anak muridnya membalas jasa-jasanya secara materialistik. Cukuplah hanya dengan membuktikan bahawa mereka boleh menjadi insan yang cemerlang dan terbilang pencapaian akademiknya dan akhirnya mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Kerjaya perguruan ini mempunyai nilainya yang unik dan tersendiri.

Menjadi guru bukanlah tugas yang mudah dan menuntut kecekalan dan semangat mendidik yang tinggi. Ini adalah kerana guru merupakan orang yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak-anak bangsa. Daripada semudah mengajarkan konsep mengeja, menulis dan mengira sehinggalah kepada formula saintifik dan teks kesusasteraan, para guru tidak akan jemu-jemu menaburkan bakti tanpa mengira penat dan lelah.

Tema sambutan hari guru tahun ini ‘Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi’, menyerlahkan hakikat bahawa peranan guru adalah sangat-sangat signifikan dalam usaha membentuk dan membina kejayaan dalam kalangan generasi pelapis negara di masa hadapan. Peranan penting yang dimainkan oleh para guru adalah diumpamakan seperti obor yang menerangi jalan yang berliku dan gelap untuk dilalui oleh anak-anak bangsa yang dahagakan panduan dan ilmu pengetahuan.

Terdapat lima peranan seseorang guru yang diyakini mampu memberikan impak positif terhadap usaha memperkemaskan diri untuk bersedia dalam mendukung hasrat kerajaan dalam melahirkan bakal pemimpin dan tunjang pembangunan negara di masa hadapan. Pertamanya, pembinaan kekuatan intelek memungkinkan seseorang guru terus menjadi ‘ensiklopedia bergerak’ yang dijadikan sumber rujukan di dalam bidang masing-masing. Guru berperanan mengupayakan diri dengan ilmu dan pengalaman agar dapat membangunkan potensi modal insan melalui penyerapan elemen-elemen kerohanian dan kurikulum, menyediakan kepelbagaian bahan rangsangan bagi mengoptimumkan potensi anak-anak murid serta menyediakan pelan pembangunan individu yang menyeluruh dan bersepadu bagi menghasilkan modal insan yang menghayati aspirasi negara. Bukan sahaja anak murid mendapat faedah daripada proses pengajaran dan pembelajaran secara langsung di sekolah, bahkan masyarakat sekeliling turut mendapat kebaikannya apabila guru yang mantap nilai inteleknya ini berkongsi kepakarannya dengan pihak awam.

Kedua, nilai kepimpinan berwibawa pula perlulah diadun sebaiknya berasaskan ajaran agama Islam yang syumul dan apa yang digariskan dalam konteks moral. Seorang guru sememangnya akan menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak muridnya. Daripada perspektif Islam, seseorang guru itu perlu memainkan peranan kepemimpinannya secara holistik. Antara peranannya adalah sebagai Pendidik (Muaddib), sebagai Penyebar Informasi (Musaddid), sebagai Pembaharu (Mujaddid) atau penyebar transformasi dan perkembangan sesuatu cabang ilmu, sebagai Penyatu Ummah (Muwahid) dan juga sebagai Pejuang (Mujahid) dalam mempertahankan keluhuran ajaran dan syariat Islam. Jika betul dan sempurna kaedah kepimpinannya, maka betul jualah sifat dan sikap anak-anak murid. Jika salah memimpin, pastilah anak-anak murid sendiri yang menerima implikasi negatif dan mewarisi kesilapan gurunya.

Ketiga, peranan guru adalah untuk menunjukkan kemurnian akhlak dan budi pekertinya untuk menjadi ikutan dan panduan buat anak-anak murid. Sopan santun, lembut tutur kata, berdisiplin, bermentaliti kelas pertama dan memiliki ‘towering personality’ ibarat pakaian yang perlu dipakai 24 jam seminggu oleh guru-guru kerana banyak mata yang melihat keperibadian mereka. Bukanlah bermaksud guru perlu bersifat hipokrit menunjukkan dirinya begitu baik seperti malaikat. Tetapi akhlak mulia itu perlu ditanam dan disuburkan sebaiknya dalam diri, supaya tidaklah ada orang yang akan mengungkap peribahasa ‘kalau guru kencing berdiri, anak murid pula kencing berlari’.

Keempat, dalam era modenisasi dan dihambat arus globalisasi ini, sememangnya guru perlu mempunyai kesediaan untuk berubah. Penggunaan teknologi pengajaran terkini di sekolah dan pengenalan dasar dan polisi pendidikan yang baru adalah contoh perubahan yang tidak boleh tidak perlu dihadapi dan ditangani oleh guru sebaiknya. Kalau guru terus mahu berada di takuk yang lama, maka dirinya akan menjadi ketinggalan dan tidak relevan di mata anak-anak murid dan bahkan di mata masyarakat. Jati diri guru yang menjadi sumber ilmu pengetahuan, hanya akan menjadi sesuatu yang retorik dek kerana seseorang guru itu tidak hadam dengan perkembangan dan perubahan teknologi semasa.

Kelima, minat dan cinta terhadap profesion keguruan akan mendorong ke arah kesempurnaan kerjaya seseorang guru. Bapa penulis yang juga seorang guru pernah menyebut ‘sebenar-benar guru adalah guru yang menanam niat menjadi guru, dan bukan kerja sebagai guru’. Ujarnya lagi, ‘Bekerja sebagai guru’ bermakna hanya menjalankan tugas rasmi dalam sesi persekolahan, tidak proaktif dan hanya menunggu setiap hujung bulan mendapat gaji. Manakala ‘menjadi guru’ pula ibarat meletakkan roh seorang guru dalam diri yang berperanan mendidik, membimbing dan meneladani sesiapa sahaja, proaktif, tidak mengharapkan apa-apa balasan, dan sedia berbakti pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja demi anak-anak murid.

Untuk itu, dalam usaha membentuk jati diri dan kualiti keperibadian dalam kalangan anak-anak murid, seorang guru itu perlu memikirkan apakah agaknya martabat keguruan yang ingin ditonjolkan dalam kerjaya mereka. Seperti mana dalam pandangan bijak pandai Islam, terdapat empat martabat guru atau pendidik.

Pertama, sebagai Mudarris atau guru yang hanya mengajar mata pelajaran kemahiran mereka sahaja. Kedua, sebagai Mu’allim yang bermaksud guru yang tidak hanya mengajar mata pelajaran mereka tetapi turut menyampaikan ilmu-ilmu lain. Ketiganya Mursyid yang bermaksud guru yang menyampaikan ilmu dan menunjukkan jalan yang benar. Akhirnya, martabat guru yang keempat, Murabbi yang bermaksud guru yang mendidik, memelihara, mengasuh, mentarbiyyah anak didiknya menjadi manusia yang berilmu, bertaqwa dan beramal soleh.

Sebagai seorang guru yang realistik keempat-empat ciri di atas hendaklah difahami dan dihayati di dalam kehidupannya sebagai pendidik. Jika tugas ini dapat direalisasikan dalam pendidikannya maka kedudukan seseorang guru itu sungguh mulia dan diyakini akan memberikan kesan yang sangat positif dalam usaha melahirkan anak-anak murid yang bakal mencorak kepemimpinan negara pada masa hadapan.

Sesungguhnya, peranan guru dalam dunia pendidikan adalah sangat penting dan relevan kerana mereka sangat dekat dengan jiwa anak-anak bangsa. Untuk negara mencapai tahap kemajuan yang berperadaban tinggi dan pembinaan negara-bangsa yang bersepadu berlandaskan acuannya yang tersendiri negara memerlukan strategi dan pelan pembangunan yang baru mengikut kesesuaian zaman dan masa.

Di sinilah daya upaya guru sebagai agen perubahan yang berkesan perlu dititikberatkan kerana strategi pembangunan negara bukan hanya setakat memfokuskan kepada pembangunan material dan pendidikan semata-mata, tetapi ia harus seiring dengan pendidikan dan pembangunan spiritual dan rohani setiap isi rakyat di Malaysia agar kemajuan dapat dicapai dan dinikmati oleh generasi masyarakat Malaysia di masa akan datang.

Wednesday, May 15, 2019

Jom mop rumah dengan Daia

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Haaa... ni bukan iklan berbayar yer. Tapi sajer jer nak kongsi salah satu produk favorite aku.

Kalau lepas memasak, memang jadi kebiasaan aku akan mop lantai dapur. Terutamanya kalau lepas memasak menu yang berminyak-minyak dan merecik-recik.

Aku suka gunakan Daia ni, warna kuning (lemon) dan purple (lavender). Setengah atau satu penutup cukup dah. Dicampur dengan air. Bila lap lantai, naik bau wangi sampai ke ruang tamu!

Haaa... tengok... lantai pun berkilat.

Satu tabiat lagi, walaupun ada mop, aku suka lap lantai guna kain buruk. Rugi jer beli 2-3 mop bermacam jenis. Kain buruk jugak pilihan hati.

Huhuhu...

#donemasak #rumahneezamjulie #dbestari16

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top