♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Saturday, May 25, 2019

Telefon Bimbit Boleh 'Membunuh'

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Artikel enche Neezam disiarkan hari ni seperti biasa di akhbar Harian Metro sisipan Minda. Artikel hari ni menyentuh tentang bahaya telefon bimbit.

Telefon Bimbit Boleh 'Membunuh'

Beberapa hari lepas, kita digemparkan dengan berita seorang budak perempuan berusia dua tahun direnjat elektrik selepas memasukkan pengecas telefon bimbit yang tidak dicabut dari plag ke dalam mulutnya. Kejadian berlaku ketika mangsa melawat datuk dan neneknya di Jahangirabad, India apabila kanak-kanak itu cuba menggigit atau menghisap pengecas yang tidak dipadamkan selepas telefon dicabut darinya. Laporan sebegini bukanlah satu isu yang baharu termasuklah di negara kita sendiri. Bahkan sebelum ini juga kita sudah biasa disajikan dengan laporan-laporan tragedi yang serupa akibat kecuaian kita apabila menggunakan dan mengecaj telefon bimbit.

Dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 mutakhir ini, telefon bimbit bukan lagi satu bentuk kehendak, akan tetapi ia adalah satu keperluan. Telefon bimbit bukan lagi satu lambang kemewahan, akan tetapi ia kini ‘wajib dimiliki’ merentasi tahap kemampuan ekonomi sesiapapun. Jelaslah bahawa berdasarkan insiden yang berlaku kepada pemuda tersebut, walaupun telefon bimbit menjadi satu keperluan pada masa kini, peralatan itu juga boleh mengundang kemudaratan kepada penggunanya kalau tidak kena gaya pengendaliannya.

Kajian di lanskap tempatan oleh laman web Statista yang berpengkalan di New York, melaporkan bahawa pada tahun ini, seramai 20.96 juta rakyat Malaysia memiliki dan menggunakan telefon pintar dan aplikasi internet secara aktif, peningkatan lebih sejuta pengguna berbanding tahun 2017. Statistik ini jelas memberi tafsiran bahawa telefon bimbit kini semakin dianggap ‘nyawa’ oleh sesetengah kita. Apa tidaknya, bangun tidur, perkara pertama dicari adalah telefon bimbit. Hendak tidur pun, benda terakhir yang dibelek adalah telefon bimbit. Satu kajian yang dibuat di Eropah mendapati bahawa pengguna telefon bimbit akan sekurang-kurangnya membelek telefon mereka setiap enam minit dan 67 peratus pengguna akan melayari aplikasi internet seperti Facebook, Twitter, dan seumpamanya sekurang-kurangnya 10 kali sehari.

Ternyata, fungsi pelbagai yang ada dalam telefon bimbit membantu dan memudahkan hampir kesemua urusan harian kita. Ia bukan sekadar digunakan untuk menelefon pihak lain, tetapi lebih daripada itu. Berkomunikasi sudah tidak memerlukan panggilan telefon kerana kita sudah boleh melakukannya melalui aplikasi-aplikasi pelbagai yang boleh dimuat turun ke dalam telefon bimbit. Mencari maklumat semudah A,B,C dengan hanya merujuk kepada bantuan internet di telefon bimbit. Berita, hiburan, ramalan cuaca, apa sahaja maklumat yang diperlukan hanya perlu dicari di internet melalui telefon bimbit. Global Positioning System atau GPS juga begitu mudah dimuat turun dan dirujuk kalau hendak ke mana-mana destinasi. Urus niaga juga sudah tidak memerlukan kita bersusah-payah keluar dari rumah dan beratur di kaunter, semuanya kini di hujung jari melalui telefon bimbit.

Menurut ‘Electrical Safety First’ iaitu sebuah badan yang berdaftar di United Kingdom berkenaan kempen keselamatan secara profesional dalam kalangan pengguna barangan elektrik di sana, pengguna barangan elektrik selalunya terdedah dengan risiko yang pelbagai apabila menggunakan telefon bimbit. Dalam kajian mereka, didapati para pengguna jarang-jarang hendak membaca dengan teliti arahan keselamatan yang disertakan dalam kotak pembungkus telefon bimbit semasa membelinya. Ini menyebabkan para pengguna terdedah kepada kecuaian dalam pengendalian dan penggunaan telefon bimbit secara selamat dan akan menjadi penyebab kepada tragedi yang tidak dijangka.

Banyak kecuaian yang biasanya dibuat dalam masyarakat kita apabila menggunakan telefon bimbit. Misalnya, amalan membiarkan telefon dicas tanpa had masa boleh menyebabkan berlaku gelembung tenaga dalam bateri telefon yang seterusnya boleh menyebabkan letupan atau ianya terbakar. Penggunaan aksesori gantian seperti bateri, wayar, suis pengecas, atau bateri pengecaj tiruan secara berleluasa turut menyumbang kepada peningkatan statistik kemalangan.

Kemudian, kita selalu juga temukan keadaan pengguna yang menggunakan telefon bimbit mereka ketika sedang dicaj. Ini merupakan amalan berbahaya kerana pengguna terdedah kepada risiko renjatan elektrik yang boleh memudaratkan nyawa atas faktor-faktor sampingan seperti tangan yang basah ketika mengendalikan telefon yang dicaj, atau penggunaan elektrik lebih had menggunakan soket yang sama pada satu-satu masa.

Tidak kurang juga dengan amalan pengguna yang mengecaj telefon bimbit menggunakan alat pengecaj mudah alih seperti power bank yang mengundang risiko tidak terjangka andai tidak berhati-hati dalam penggunaannya. Power bank dilihat sebagai satu penyelesaian yang praktikal kerana kita semua boleh melakukan proses pengecasan telefon di mana jua berada. Namun, apabila kerap menggunakannya untuk mengecas semula telefon bimbit, ia lebih berisiko untuk mengalirkan kuasa yang tidak stabil berbanding ketika mengecas dengan tenaga elektrik secara langsung. Kesannya mungkin akan lebih buruk andai pengguna menggunakan power bank tiruan atau yang tidak memenuhi spesifikasi keselamatan yang sewajarnya. Aliran kuasa yang tidak stabil ini berisiko tinggi dalam menyebabkan letupan dan kebakaran seperti mana yang terbukti melalui laporan insiden-insiden seumpamanya di seluruh tanahair.

Akan hal ini, terdapat beberapa panduan daripada pelbagai pihak berautoriti yang cukup berguna untuk para pengguna telefon bimbit mengekalkan langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian telefon bimbit dan alat pengecajnya meletup berulang:-

  • Elakkan membeli alat pengecaj tiruan atau murah. Lambakan alat pengecaj tiruan yang murah menyebabkan kita sebagai pengguna terdedah kepada risiko keselamatan walau pun ianya menjimatkan penggunaan wang dalam poket. Ia bukan sahaja memiliki komponen-komponen lektronik di bawah standard yang sepatutnya, bahkan ia selalunya gagal mengecaj telefon bimbit dengan optimum dan mampu merosakkan bateri telefon.
  • Elakkan membeli alat pengecaj universal yang boleh dibeli begitu mudah di pasaran dan di internet yang mendakwa ia boleh mengecaj hampir kebanyakan jenama telefon bimbit dengan mudah. Menurut pakar, telefon bimbit yang berbeza memerlukan pengecajan bateri yang berbeza tahap kuasanya dan alat pengecaj universal akan mengundang risiko terlebih caj atau kurang efisien.
  • Beli alat pengecaj yang original. Ia bukan sahaja menenangkan fikiran, bahkan ia sedikit-sebanyak menjamin keselamatan kerana telah diuji oleh pengeluar agar mengikuti spesifikasi keselamatan sewajarnya. Walau pun mahal, namun ia tahan lama.
  • Jangan menutup telefon atau alat pengecaj ketika ia sedang dicaj. Ini untuk memastikan haba yang dihasilkan ketika proses mengecaj dapat dibebaskan dengan selamat dan mengelakkan risiko kebakaran andai berlaku pintasan elektrik.
  • Caj telefon secara optimum dan tidak lebih had. Amalan mengecaj dengan berhati-hati mengikut had masa akan menjamin hayat bateri yang lebih lama. Kita juga boleh mengelak berlakunya gelembung kuasa bateri yang boleh mengundang letupan.
  • Matikan telefon ketika mengecaj. Ini kerana ketika telefon dihidupkan, arus elektrik yang keluar dan masuk secara serentak akan merosakkan molekul kimia dalam bateri akibat daripada penambahan beban.
  • Selalu periksa sebarang kerosakan pada alat pengecaj. Ada kemungkinan wayar pengecaj telah terkoyak dan terdedah kepada bahaya renjatan elektrik andai disentuh. Perbaikinya andai ada kemahiran atau, beli yang baharu.
  • Jangan mengecas telefon bimbit di dalam kereta. Ini kerana ketika kita mengecas kita akan menggunakan sambungan pemetik api. Arus elektrik dalam kereta selalunya tidak stabil dan menyebabkan tenaga yang masuk ke dalam bateri juga tidak stabil. Maka apabila selalu mengecas dalam kereta, komponen bateri akan mudah rosak.
  • Jangan biarkan wayar alat pengecaj dibiarkan terpasang selepas selesai mengecaj. Ini merupakan amalan yang sangat merbahaya terutamanya jika di rumah ada anak-anak kecil yang mungkin akan menyentuh atau memasukkan wayar itu ke dalam mulut dan berisiko terkena renjatan elektrik.
  • Jelas, teknologi aplikasi telefon bimbit mempunyai kebaikan namun ia turut membawa keburukan andai kita sebagai pengguna culas dan tidak cakna kepada kaedah pengendalian teknologi ini dengan baik. Kita bertanggungjawab bukan sahaja memastikan keselamatan diri sendiri terjaga, bahkan anak-anak dan masyarakat sekeliling.

    No comments :

    back to top