♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Saturday, May 11, 2019

Senangnya Kikis Duit

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Macam biasa, artikel enche Neezam disiarkan hari ni di akhbar Harian Metro di sisipan Minda. Tajuk kali ni 'Senangnya Kikis Duit'.

Hamboi! Saper yang mengikis tu?

Isteri? Hahahaha... tetiba terasa plak...

Tak lah... bukan isteri yang mengikis yer yang enche Neezam cerita ni.

Artikel enche Neezam kali ni menyentuh tentang penipuan secara atas talian. Contohnya macam Macau Scam tu, kalau korang pernah dengar. Dah banyak sebenarnya cerita pasal penipuan macam ni, tapi masih ramai jugak yang terkena. Habis sehingga ke kikisan yang terakhir! Sian...

Aku memang tak paham kenapa sesetengah orang ni sanggup keluarkan duit berpuluh ribu untuk orang yang tak kenal. Hmmm... kadang-kadang yang terkena tu sebab tamak pun mungkin jugak, sebab kena pukau pun mungkin jugak, kan?

Semoga kita dijauhkan dari menjadi mangsa.

Artikel penuh di bawah ni. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

Senangnya Kikis Duit

Sudah terhantuk baru terngadah. Itulah perumpamaannya buat mangsa-mangsa penipuan siber atau online. Kehilangan wang dalam sekelip mata sehingga mencecah ribuan malah jutaan ringgit adalah sesuatu yang tidak disangka. Ini kerana pada awalnya, mungkin nafsu mangsa untuk mendapatkan sejumlah pulangan wang yang lebih besar menguasai fikiran sehingga begitu senang mempertaruhkan nasib mempercayai pihak yang tidak bertanggungjawab melalui skandal penipuan siber sebegini.

Menurut Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), penipuan siber sebegini dijalankan oleh individu atau syarikat yang tidak sah serta banyak mensasarkan individu yang berusia 50 tahun ke atas berikutan golongan usia berkenaan dikatakan mudah terpedaya serta tidak begitu meluas dalam penggunaan sosial media. Setiausaha CAKE, Mohamad Yusrizal Yusoff menyatakan bahawa ada mangsa yang datang membuat aduan kepada mereka yang kerugian sehingga RM100,000 seorang dalam hanya satu transaksi. Mereka menggunakan duit simpanan untuk membeli barang yang ditawarkan contohnya membeli kereta melalui laman web terkemuka. Ada juga warga emas mengeluarkan duit dari dalam peti besi yang disimpan sekian lama selepas mempercayai ‘janji’ manis si penjenayah siber.

Kes yang dilaporkan di atas adalah antara 8,313 kes penipuan siber membabitkan wang berjumlah kira-kira RM300 juta direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun 2018. Di samping itu, sepanjang tahun 2018, sebanyak 3,816 kes penipuan telekomunikasi atau tipu panggilan direkod membabitkan jumlah wang kira-kira RM162.6 juta, 286 kes pinjaman tidak wujud (RM37.2 juta); 1,398 kes 419 Scam (RM80 juta) dan 2,813 kes pembelian dalam talian (RM19.5 juta).

Dengan perkembangan dalam perkhidmatan atas talian dan penggunaan internet, terdapat banyak peluang untuk ‘para penyangak’ melakukan kesalahan kriminal dengan melakukan penipuan dan fraud. Ini adalah contoh skim penipuan yang mengambil peluang ke atas individu-individu bernasib malang untuk tujuan mendapatkan sesuatu seperti wang, kata laluan akaun penting di internet, bahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, nombor keselamatan kad kredit dan sebagainya. Ini biasanya dilakukan melalui panggilan palsu atau e-mel palsu atau spam.

Antara jenis-jenis penipuan siber bersifat global yang lain termasuklah peraduan yang mudah tetapi ganjarannya besar, laman sesawang perniagaan pelbagai barangan yang tidak wujud, penipuan skim cepat kaya, piramid atau loteri, penipuan cinta (romance scam), E-mel rangkaian sosial palsu, penipuan e-mel phishing, wifi percuma, mesej atau e-mel ancaman atau menakut-nakutkan dan lain-lain. Begitu pun, menurut sumber di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, empat jenis penipuan siber yang paling banyak dilaporkan di Malaysia ketika ini membabitkan penipuan telekomunikasi (termasuk Macau Scam), pinjaman tidak wujud, African Scam dan penipuan berkaitan pembelian dalam talian. Penipuan siber ini adalah satu bentuk ancaman serius terhadap rakyat kerana penipuan ini mengakibatkan mangsa dirompak secara tidak sedar dengan begitu mudah dan licik.

Banyak pihak memberikan panduan yang cukup berguna untuk kita mengelakkan diri daripada terjebak menjadi mangsa penipuan siber sebegini. Panduan keselamatan ini cukup mudah untuk kita temukan di media sosial atau laman-laman sesawang kerajaan, NGO mahu pun orang perseorangan. Penulis berkongsikan panduan yang diberikan oleh laman sesawang Loanstreet.com.my.

Penipuan Jual Beli Atas Talian

Fenomena e-dagang semakin popular di Malaysia. Keadaan ini turut meningkatkan penipuan jual beli dalam talian secara mendadak. Beberapa bentuk penipuan urusniaga atas talian ialah penjual tidak menghantar barangan kepada pembeli setelah bayaran dibuat, atau penjual menghantar barang tiruan kepada pembeli dan bukan barangan asli yang dipersetujui. Langkah keselamatan untuk penipuan seperti ini adalah dengan menyemak deskripsi produk dengan teliti dan tanya kepada penjual jika anda mempunyai apa-apa ketidakpastian tentang item tersebut. Tambahan lagi, rujuk komen atau penilaian (review) tentang barangan yang dibuat oleh pembeli lain. Pastikan anda membaca penilaian tersebut pada halaman penjual sebelum membuat sebarang pembelian. Jauhi laman web yang tidak menunjukkan ulasan pengguna.

Penipuan Pekerjaan Dalam Talian

Penipuan pekerjaan dalam talian sentiasa berlaku. Gaji yang sangat lumayan, konsep bekerja dari rumah, dan pelbagai umpan lain digunakan untuk memerangkap anda. Sebahagian daripada mereka akan mempergunakan anda untuk memindahkan wang sebagai cara pengubahan wang haram mereka. Pekerjaan tersebut menyebabkan anda mempunyai risiko untuk dipenjarakan. Sesetengah majikan palsu yang bertopeng wakil rekrut daripada syarikat-syarikat terkemuka akan memerlukan anda untuk mendepositkan sejumlah wang sebagai yuran pemprosesan yang boleh dikembalikan supaya dapat menjamin peluang pekerjaan anda. Selepas itu, tentulah mereka akan melarikan diri dengan wang anda tanpa meninggalkan jejak. Jadi, langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil adalah anda tidak perlu membayar apa-apa wang untuk temu duga. Anda juga tidak harus membantu pihak ketiga memindahkan wang dan jika pekerjaan tersebut kedengaran terlalu bagus sehingga kedengaran tidak realistik, mungkin itu memang satu penipuan.

Penipuan Pelaburan Forex

Forex iaitu pusat perdagangan mata wang menjadi pilihan pelaburan yang semakin popular. Pelaburan tersebut boleh mendatangkan keuntungan yang lumayan dalam jangka masa panjang. Sama seperti sebarang jenis pelaburan yang lain, Forex memerlukan kerja keras dan pengalaman sebelum membuahkan hasil. Perisian ajaib yang dijual di pasaran hari ini kononnya dapat membantu anda mencapai pendapatan yang mustahil. Janji kosong untuk melabur jumlah yang kecil untuk memenangi jumlah yang tidak terhad seharusnya menimbulkan sangsi orang ramai. Sebaliknya orang ramai masih ditipu oleh janji-janji kosong ini. Anda juga harus was-was akan broker forex yang mendakwa mereka datang daripada syarikat-syarikat yang dikawal selia. Anda mungkin tidak akan dapat melihat wang anda lagi sekiranya dana pelaburan anda jatuh ke tangan yang salah. Anda harus mempercayai syarikat-syarikat terkemuka sahaja serta melakukan sedikit penyelidikan sebelum membuat keputusan pelaburan.

Penipuan e-mel atau Phishing

Phishing ialah satu usaha penipuan untuk mencuri maklumat peribadi seperti nama pengguna dan kata laluan akaun bank anda. Penipu biasanya menghantar e-mel yang kelihatan sah, dan akan memaklumkan penerima untuk mengemaskini maklumat mereka untuk menambah baik pengalaman langganan mereka. Setelah mengklik link tersebut, anda akan diarahkan ke laman web palsu yang kelihatan sama dengan laman web perbankan yang asal. Sekiranya anda menerima e-mel sebegini rupa, anda harus membuat panggilan kepada bank anda dan mendapat pengesahan sama ada e-mel itu benar atau palsu. Nombor yang anda panggil haruslah nombor telefon rasmi bank dan bukannya nombor yang diberi dalam e-mel.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sendiri telah sekian lama mengadakan perbincangan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM bagi mencari kaedah memerangi jenayah berkenaan. Salah satu cadangan terkini yang sedang dipertimbangkan ialah membentuk jawatankuasa kerja terdiri daripada wakil SKMM, institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi untuk bekerjasama dengan JSJK bagi mempercepatkan perkongsian maklumat serta memberi maklum balas serta-merta kepada orang ramai jika ada elemen penipuan dikesan.

Selain itu, antara cadangan lain turut dipertimbangkan ialah syarikat telekomunikasi menaik taraf sistem mereka bagi membantu pihak polis mengesan alamat Protokol Internet (IP) yang digunakan oleh ‘scammer’ atau penjenayah siber. Tambahan lagi, diusulkan agar pendaftaran pelanggan prabayar dibuat, yang mana syarikat telekomunikasi mengemas kini pangkalan data pelanggan prabayar mereka untuk memastikan semua nombor yang aktif disahkan dan mengandungi maklumat terkini pengguna. Perkhidmatan nombor prabayar akan ditamatkan sekiranya pengguna gagal mengemas kini maklumat.

Menurut sumber Kementerian Komunikasi dan Multimedia, maklumat itu juga akan disemak semula dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertujuan mengeluarkan rekod pelanggan prabayar yang diragui atau ‘phantom numbers’. Semua pihak perlu membantu pihak kerajaan meningkatkan usaha mendidik dan memaklumkan orang ramai mengenai penipuan ini melalui pengumuman khidmat awam dalam media cetak, radio, televisyen dan media sosial bagi memastikan orang awam mengetahui dan sentiasa berjaga-jaga supaya tidak menjadi mangsa.

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top