♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Monday, May 27, 2019

Surprise advanced birthday buat abah tercinta!

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Hujung minggu yang lepas, aku dan adik-beradik semua berkumpul kat rumah emak abah. Kitorang ada plan baek punya untuk abah. Huhuhu...

Abah akan sambut birthday yang ke 68 tahun esok, 28 May 2019. Tapi kitorang nak buat surprise, sambut lebih awal. Lagipun hujung minggu macam ni lah dapat semua berkumpul bersama.

Abah memang tak der klu langsung. Kitorang buat macam biasa jer.

Hari Sabtu lepas, lepas semua dah balik dari solat tarawih, kitorang pun buat surprise!

Abah siap cakap "Eh! Apasal yang bergelap ni?"

Hehehehehe...

Alhamdulillah... surprise menjadi!

Abah pun memang seronok giler dapat handphone baru - hadiah daripada kitorang semua. Lepas ni bolehlah abah tangkap gambar kitorang banyak-banyak. Huhuhu...

Ni si 'kembar', Mia dan Neeyaz. Sorang lagi 'kembar' tak dapat kumpul bersama. Hijjaz kat KK. Diorang ni lahir tahun yang sama. Kebetulan pulak tahun 2017, kitorang 3 beradik semua dapat baby baru. Huhuhu... Tunggu raya tahun depan kot baru dapat jumpa Hijjaz, Haziq dan mama diorang. Insya Allah...

Seronok dua hari kat rumah mak abah. Masing-masing dapat masak untuk emak dan abah 2 hari ni. Bukan anak-anak jer masak untuk mak abah, abah pun buat satu dish jugak khas untuk anak-anak. Memang pelik bin ajaib. Abah bukan jenis pandai masak-masak ni.

Abah buat cekodok pisang. Memang kelakar pulak kitorang tengok. Permandangan yang jarang-jarang dapat dilihat. Huhuhu...

Siap abah kata "dah... jangan oter. Goreng jer...". Huhuhu...

Enche Neezam tolong goreng.

Enche Neezam punya dish lagi dasyat... sup tulang!

Dan puding cocktail.

Adik punya ikan sweet sour pun memang terbaek. Sekejap jer licin.

Cekodok abah buat sekejap jer licin. Tak sempat nak buat moreh.

Thank you semua! Seronok berkumpul.

Insya Allah... kiter kumpul lagi hari raya ketiga nanti yer.

Love you all so much!

Sunday, May 26, 2019

Playground sekejap!

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Pagi tadi dah sibuk main bayblade, petang tadi enche Neezam bawak anak-anak lelaki dia main taman sat. Ingat hilang ke manalah... rupanya ke taman permainan...

Simpan sini buat kenangan.

Mama love you Naufal & Neeyaz!

Bila ayah terjebak teruk dengan... bayblade!

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Sekarang ni memang tengah sibuk sana sini bebudak main bayblade. Korang mesti tau kan mendalah tu?

Si Naufal pun, asiklah nak kan bendalah ni. Bila dah ada 1 nak lagi 1... lagi dan lagi... pening nak layan.

Ni lagi pening jadinya bila ayah dia pun ikut terjebak jugak.

Adooooiiii... Khairunn Khairunn aku ni...

Tetiba jer aku tengok enche Neezam melayan Naufal, sibuk tanya-tanya mana lagi power, mana lagi kuat sumer. Ish ish ish... dah terjebak jugak orang tua ni! Huhuhu...

Got one for himself.

Sampai rumah... eh... rumah mak mertua enche Neezam, rumah family aku lah tu... dia sibuk main bayblade dengan si nopal.


Sabar jer lah... Yang buat aku seram, enche Neezam ni kalau dah minat, takut banyak pulak koleksi dia nanti. Boleh kalah koleksi Naufal nanti. Doa-doa jer lah dia tak terjebak teruk!

Saturday, May 25, 2019

Telefon Bimbit Boleh 'Membunuh'

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Artikel enche Neezam disiarkan hari ni seperti biasa di akhbar Harian Metro sisipan Minda. Artikel hari ni menyentuh tentang bahaya telefon bimbit.

Telefon Bimbit Boleh 'Membunuh'

Beberapa hari lepas, kita digemparkan dengan berita seorang budak perempuan berusia dua tahun direnjat elektrik selepas memasukkan pengecas telefon bimbit yang tidak dicabut dari plag ke dalam mulutnya. Kejadian berlaku ketika mangsa melawat datuk dan neneknya di Jahangirabad, India apabila kanak-kanak itu cuba menggigit atau menghisap pengecas yang tidak dipadamkan selepas telefon dicabut darinya. Laporan sebegini bukanlah satu isu yang baharu termasuklah di negara kita sendiri. Bahkan sebelum ini juga kita sudah biasa disajikan dengan laporan-laporan tragedi yang serupa akibat kecuaian kita apabila menggunakan dan mengecaj telefon bimbit.

Dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 mutakhir ini, telefon bimbit bukan lagi satu bentuk kehendak, akan tetapi ia adalah satu keperluan. Telefon bimbit bukan lagi satu lambang kemewahan, akan tetapi ia kini ‘wajib dimiliki’ merentasi tahap kemampuan ekonomi sesiapapun. Jelaslah bahawa berdasarkan insiden yang berlaku kepada pemuda tersebut, walaupun telefon bimbit menjadi satu keperluan pada masa kini, peralatan itu juga boleh mengundang kemudaratan kepada penggunanya kalau tidak kena gaya pengendaliannya.

Kajian di lanskap tempatan oleh laman web Statista yang berpengkalan di New York, melaporkan bahawa pada tahun ini, seramai 20.96 juta rakyat Malaysia memiliki dan menggunakan telefon pintar dan aplikasi internet secara aktif, peningkatan lebih sejuta pengguna berbanding tahun 2017. Statistik ini jelas memberi tafsiran bahawa telefon bimbit kini semakin dianggap ‘nyawa’ oleh sesetengah kita. Apa tidaknya, bangun tidur, perkara pertama dicari adalah telefon bimbit. Hendak tidur pun, benda terakhir yang dibelek adalah telefon bimbit. Satu kajian yang dibuat di Eropah mendapati bahawa pengguna telefon bimbit akan sekurang-kurangnya membelek telefon mereka setiap enam minit dan 67 peratus pengguna akan melayari aplikasi internet seperti Facebook, Twitter, dan seumpamanya sekurang-kurangnya 10 kali sehari.

Ternyata, fungsi pelbagai yang ada dalam telefon bimbit membantu dan memudahkan hampir kesemua urusan harian kita. Ia bukan sekadar digunakan untuk menelefon pihak lain, tetapi lebih daripada itu. Berkomunikasi sudah tidak memerlukan panggilan telefon kerana kita sudah boleh melakukannya melalui aplikasi-aplikasi pelbagai yang boleh dimuat turun ke dalam telefon bimbit. Mencari maklumat semudah A,B,C dengan hanya merujuk kepada bantuan internet di telefon bimbit. Berita, hiburan, ramalan cuaca, apa sahaja maklumat yang diperlukan hanya perlu dicari di internet melalui telefon bimbit. Global Positioning System atau GPS juga begitu mudah dimuat turun dan dirujuk kalau hendak ke mana-mana destinasi. Urus niaga juga sudah tidak memerlukan kita bersusah-payah keluar dari rumah dan beratur di kaunter, semuanya kini di hujung jari melalui telefon bimbit.

Menurut ‘Electrical Safety First’ iaitu sebuah badan yang berdaftar di United Kingdom berkenaan kempen keselamatan secara profesional dalam kalangan pengguna barangan elektrik di sana, pengguna barangan elektrik selalunya terdedah dengan risiko yang pelbagai apabila menggunakan telefon bimbit. Dalam kajian mereka, didapati para pengguna jarang-jarang hendak membaca dengan teliti arahan keselamatan yang disertakan dalam kotak pembungkus telefon bimbit semasa membelinya. Ini menyebabkan para pengguna terdedah kepada kecuaian dalam pengendalian dan penggunaan telefon bimbit secara selamat dan akan menjadi penyebab kepada tragedi yang tidak dijangka.

Banyak kecuaian yang biasanya dibuat dalam masyarakat kita apabila menggunakan telefon bimbit. Misalnya, amalan membiarkan telefon dicas tanpa had masa boleh menyebabkan berlaku gelembung tenaga dalam bateri telefon yang seterusnya boleh menyebabkan letupan atau ianya terbakar. Penggunaan aksesori gantian seperti bateri, wayar, suis pengecas, atau bateri pengecaj tiruan secara berleluasa turut menyumbang kepada peningkatan statistik kemalangan.

Kemudian, kita selalu juga temukan keadaan pengguna yang menggunakan telefon bimbit mereka ketika sedang dicaj. Ini merupakan amalan berbahaya kerana pengguna terdedah kepada risiko renjatan elektrik yang boleh memudaratkan nyawa atas faktor-faktor sampingan seperti tangan yang basah ketika mengendalikan telefon yang dicaj, atau penggunaan elektrik lebih had menggunakan soket yang sama pada satu-satu masa.

Tidak kurang juga dengan amalan pengguna yang mengecaj telefon bimbit menggunakan alat pengecaj mudah alih seperti power bank yang mengundang risiko tidak terjangka andai tidak berhati-hati dalam penggunaannya. Power bank dilihat sebagai satu penyelesaian yang praktikal kerana kita semua boleh melakukan proses pengecasan telefon di mana jua berada. Namun, apabila kerap menggunakannya untuk mengecas semula telefon bimbit, ia lebih berisiko untuk mengalirkan kuasa yang tidak stabil berbanding ketika mengecas dengan tenaga elektrik secara langsung. Kesannya mungkin akan lebih buruk andai pengguna menggunakan power bank tiruan atau yang tidak memenuhi spesifikasi keselamatan yang sewajarnya. Aliran kuasa yang tidak stabil ini berisiko tinggi dalam menyebabkan letupan dan kebakaran seperti mana yang terbukti melalui laporan insiden-insiden seumpamanya di seluruh tanahair.

Akan hal ini, terdapat beberapa panduan daripada pelbagai pihak berautoriti yang cukup berguna untuk para pengguna telefon bimbit mengekalkan langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian telefon bimbit dan alat pengecajnya meletup berulang:-

  • Elakkan membeli alat pengecaj tiruan atau murah. Lambakan alat pengecaj tiruan yang murah menyebabkan kita sebagai pengguna terdedah kepada risiko keselamatan walau pun ianya menjimatkan penggunaan wang dalam poket. Ia bukan sahaja memiliki komponen-komponen lektronik di bawah standard yang sepatutnya, bahkan ia selalunya gagal mengecaj telefon bimbit dengan optimum dan mampu merosakkan bateri telefon.
  • Elakkan membeli alat pengecaj universal yang boleh dibeli begitu mudah di pasaran dan di internet yang mendakwa ia boleh mengecaj hampir kebanyakan jenama telefon bimbit dengan mudah. Menurut pakar, telefon bimbit yang berbeza memerlukan pengecajan bateri yang berbeza tahap kuasanya dan alat pengecaj universal akan mengundang risiko terlebih caj atau kurang efisien.
  • Beli alat pengecaj yang original. Ia bukan sahaja menenangkan fikiran, bahkan ia sedikit-sebanyak menjamin keselamatan kerana telah diuji oleh pengeluar agar mengikuti spesifikasi keselamatan sewajarnya. Walau pun mahal, namun ia tahan lama.
  • Jangan menutup telefon atau alat pengecaj ketika ia sedang dicaj. Ini untuk memastikan haba yang dihasilkan ketika proses mengecaj dapat dibebaskan dengan selamat dan mengelakkan risiko kebakaran andai berlaku pintasan elektrik.
  • Caj telefon secara optimum dan tidak lebih had. Amalan mengecaj dengan berhati-hati mengikut had masa akan menjamin hayat bateri yang lebih lama. Kita juga boleh mengelak berlakunya gelembung kuasa bateri yang boleh mengundang letupan.
  • Matikan telefon ketika mengecaj. Ini kerana ketika telefon dihidupkan, arus elektrik yang keluar dan masuk secara serentak akan merosakkan molekul kimia dalam bateri akibat daripada penambahan beban.
  • Selalu periksa sebarang kerosakan pada alat pengecaj. Ada kemungkinan wayar pengecaj telah terkoyak dan terdedah kepada bahaya renjatan elektrik andai disentuh. Perbaikinya andai ada kemahiran atau, beli yang baharu.
  • Jangan mengecas telefon bimbit di dalam kereta. Ini kerana ketika kita mengecas kita akan menggunakan sambungan pemetik api. Arus elektrik dalam kereta selalunya tidak stabil dan menyebabkan tenaga yang masuk ke dalam bateri juga tidak stabil. Maka apabila selalu mengecas dalam kereta, komponen bateri akan mudah rosak.
  • Jangan biarkan wayar alat pengecaj dibiarkan terpasang selepas selesai mengecaj. Ini merupakan amalan yang sangat merbahaya terutamanya jika di rumah ada anak-anak kecil yang mungkin akan menyentuh atau memasukkan wayar itu ke dalam mulut dan berisiko terkena renjatan elektrik.
  • Jelas, teknologi aplikasi telefon bimbit mempunyai kebaikan namun ia turut membawa keburukan andai kita sebagai pengguna culas dan tidak cakna kepada kaedah pengendalian teknologi ini dengan baik. Kita bertanggungjawab bukan sahaja memastikan keselamatan diri sendiri terjaga, bahkan anak-anak dan masyarakat sekeliling.

    Monday, May 20, 2019

    Jalan-jalan petang @ Gemereh

    بسم الله الرحمن الرحيم

    السلام عليكم

    Hujung minggu ni balik ke rumah mertua. Lepas settle masak sumer tadi, enche Neezam ajak jalan-jalan pusing kampung. Biasanya kitorang pusing kampung naik kereta. Kali ni enche Neezam ajak naik motor plak.

    Uiissshhhh... dah lama tak naik motor dengan boipren aku nih!

    Huhuhu... tapi kali ni bawak boipren junior sekali. Seronok si kecik ni naik motor.

    Sedap betul bau rumput lepas hujan.

    Suasana kampung memang best!

    Saturday, May 18, 2019

    Sebenar-benarnya Guru Adalah...

    بسم الله الرحمن الرحيم

    السلام عليكم

    16 Mei yang lepas, seluruh negara menyambut Hari Guru. Dikesempatan ini aku jugak nak mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru yang pernah mengajar aku dari aku tadika hinggalah ke universiti - Tadika Kemas DBKL Setapak Jaya 1A tahun 1986, SRK Wangsa Maju Seksyen 1 tahun 1987-1993, SM Zon R(1) Wangsa Maju tahun 1994-1998 dan pensyarah-pensyarah di Fakulti Sains Komputer, UTM Skudai.

    Terima kasih atas segala ilmu dan tunjuk ajar.

    Selamat Hari Guru juga buat semua warga pendidik di seluruh Malaysia!

    Jadi guru ni bukanlah mudah. Seriously! Mungkin orang fikir... alaaa... senang jer jadi guru... mengajar je pastu kerja separuh hari. Huhuhu... A big NO NO!

    Aku rasa jadi guru ni adalah kerja yang paling stress di dunia. Huhuhu... Aku pernah jadi cikgu ganti lepas habis belajar dulu dan lepas balik dari Melbourne sementara nak cari kerja.

    Masa lepas belajar dulu, aku sempat mengajar di SM Teknik Setapak. Aku mengajar matapelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu, dari pelajar kemahiran hinggalah teknik. Mostly pelajar kat sekolah ni lelaki. Masa ni rasa mengajar tak stress sangat sebab para pelajar semua ok, mendengar kata, hormat kat guru. Walaupun aku marah-marah, tapi diorang tetap hormat. Rasa seronok mengajar. Lagi tambah seronok bila nampak prestasi mengajar meningkat. Aku sempatlah mengajar setahun lebih kat sini sehingga aku dapat kerja tetap.

    Lepas balik dari Melbourne tahun 2011, aku dan enche Neezam tinggal kat Segamat jap. Sementara cari kerja tetap, aku jadi cikgu ganti. Sempatlah jadi cikgu kat SRK Paya Jakas, Jementah. OK je kat sini, walaupun student memang macam-macam perangai. Tapi aku still boleh handle. Pastu berkenalan dengan cikgu-cikgu yang baik-baik kat sini.

    Tamat kontrak kat sana, aku jadi cikgu ganti kat salah sebuah sekolah menengah kat tengah bandar Segamat. Nama aku tak mahu sebut sebab pengetua jenis 'macam bagus'... dan students... memang... hmmmm... mostly macam pengetua dia jugak. Nasib baik cikgu-cikgu baik-baik. Walaupun sekolah jenis perempuan semua, tapi ni lah sekolah yang paling aku susah nak handle dan hari-hari balik rasa nak nangis. Memang nightmare! Huhuhu...

    Nasib baik sekejap jer mengajar kat sana, aku terus dapat kerja tetap. Alhamdulillah... aku masih bekerja di tempat kerja yang sama sehinggalah ke hari ini.

    Aku rasa stress guru zaman dulu dan zaman sekarang memang dah tak sama - dari segi beban kerja, tekanan dari pihak atasan hinggalah nak hadap perangai pelajar. Tu belum lagi yang jauh dari famili. Kesian... memang cabaran guru zaman sekarang lebih berkali-kali ganda! Tabik buat semua guru!

    Panjang lebar pulak aku cerita kali ni... Ok dah lah...

    Artikel enche Neezam yang disiarkan hari ni di akhbar Harian Metro sisipan Minda bersempena dengan Hari Guru. Artikel penuh ada di bawah ni.

    Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

    Sebenar-benarnya Guru Adalah...

    Guru merupakan seseorang yang sangat mulia, bahkan dimuliakan di sisi agama Islam. Sesiapa yang memuliakan guru bererti ia memuliakan Rasulullah SAW, sesiapa yang memuliakan Rasulullah SAW bererti memuliakan Allah SWT, dan sesiapa memuliakan Allah SWT, maka syurgalah tempat kediamannya di akhirat kelak. Dalam kitabnya ‘Ihya’ `Ulum al-Din’ karangan Imam al-Ghazali, beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu, dan salah satu daripadanya adalah memuliakan guru lantaran saratnya ilmu dan kebijaksanaannya yang memberikan manfaat kepada kehidupan anak-anak muridnya.

    Begitu mulia darjat seorang guru di sisi agama, namun tidak sesekali seorang guru itu memerlukan anak-anak muridnya membalas jasa-jasanya secara materialistik. Cukuplah hanya dengan membuktikan bahawa mereka boleh menjadi insan yang cemerlang dan terbilang pencapaian akademiknya dan akhirnya mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Kerjaya perguruan ini mempunyai nilainya yang unik dan tersendiri.

    Menjadi guru bukanlah tugas yang mudah dan menuntut kecekalan dan semangat mendidik yang tinggi. Ini adalah kerana guru merupakan orang yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak-anak bangsa. Daripada semudah mengajarkan konsep mengeja, menulis dan mengira sehinggalah kepada formula saintifik dan teks kesusasteraan, para guru tidak akan jemu-jemu menaburkan bakti tanpa mengira penat dan lelah.

    Tema sambutan hari guru tahun ini ‘Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi’, menyerlahkan hakikat bahawa peranan guru adalah sangat-sangat signifikan dalam usaha membentuk dan membina kejayaan dalam kalangan generasi pelapis negara di masa hadapan. Peranan penting yang dimainkan oleh para guru adalah diumpamakan seperti obor yang menerangi jalan yang berliku dan gelap untuk dilalui oleh anak-anak bangsa yang dahagakan panduan dan ilmu pengetahuan.

    Terdapat lima peranan seseorang guru yang diyakini mampu memberikan impak positif terhadap usaha memperkemaskan diri untuk bersedia dalam mendukung hasrat kerajaan dalam melahirkan bakal pemimpin dan tunjang pembangunan negara di masa hadapan. Pertamanya, pembinaan kekuatan intelek memungkinkan seseorang guru terus menjadi ‘ensiklopedia bergerak’ yang dijadikan sumber rujukan di dalam bidang masing-masing. Guru berperanan mengupayakan diri dengan ilmu dan pengalaman agar dapat membangunkan potensi modal insan melalui penyerapan elemen-elemen kerohanian dan kurikulum, menyediakan kepelbagaian bahan rangsangan bagi mengoptimumkan potensi anak-anak murid serta menyediakan pelan pembangunan individu yang menyeluruh dan bersepadu bagi menghasilkan modal insan yang menghayati aspirasi negara. Bukan sahaja anak murid mendapat faedah daripada proses pengajaran dan pembelajaran secara langsung di sekolah, bahkan masyarakat sekeliling turut mendapat kebaikannya apabila guru yang mantap nilai inteleknya ini berkongsi kepakarannya dengan pihak awam.

    Kedua, nilai kepimpinan berwibawa pula perlulah diadun sebaiknya berasaskan ajaran agama Islam yang syumul dan apa yang digariskan dalam konteks moral. Seorang guru sememangnya akan menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak muridnya. Daripada perspektif Islam, seseorang guru itu perlu memainkan peranan kepemimpinannya secara holistik. Antara peranannya adalah sebagai Pendidik (Muaddib), sebagai Penyebar Informasi (Musaddid), sebagai Pembaharu (Mujaddid) atau penyebar transformasi dan perkembangan sesuatu cabang ilmu, sebagai Penyatu Ummah (Muwahid) dan juga sebagai Pejuang (Mujahid) dalam mempertahankan keluhuran ajaran dan syariat Islam. Jika betul dan sempurna kaedah kepimpinannya, maka betul jualah sifat dan sikap anak-anak murid. Jika salah memimpin, pastilah anak-anak murid sendiri yang menerima implikasi negatif dan mewarisi kesilapan gurunya.

    Ketiga, peranan guru adalah untuk menunjukkan kemurnian akhlak dan budi pekertinya untuk menjadi ikutan dan panduan buat anak-anak murid. Sopan santun, lembut tutur kata, berdisiplin, bermentaliti kelas pertama dan memiliki ‘towering personality’ ibarat pakaian yang perlu dipakai 24 jam seminggu oleh guru-guru kerana banyak mata yang melihat keperibadian mereka. Bukanlah bermaksud guru perlu bersifat hipokrit menunjukkan dirinya begitu baik seperti malaikat. Tetapi akhlak mulia itu perlu ditanam dan disuburkan sebaiknya dalam diri, supaya tidaklah ada orang yang akan mengungkap peribahasa ‘kalau guru kencing berdiri, anak murid pula kencing berlari’.

    Keempat, dalam era modenisasi dan dihambat arus globalisasi ini, sememangnya guru perlu mempunyai kesediaan untuk berubah. Penggunaan teknologi pengajaran terkini di sekolah dan pengenalan dasar dan polisi pendidikan yang baru adalah contoh perubahan yang tidak boleh tidak perlu dihadapi dan ditangani oleh guru sebaiknya. Kalau guru terus mahu berada di takuk yang lama, maka dirinya akan menjadi ketinggalan dan tidak relevan di mata anak-anak murid dan bahkan di mata masyarakat. Jati diri guru yang menjadi sumber ilmu pengetahuan, hanya akan menjadi sesuatu yang retorik dek kerana seseorang guru itu tidak hadam dengan perkembangan dan perubahan teknologi semasa.

    Kelima, minat dan cinta terhadap profesion keguruan akan mendorong ke arah kesempurnaan kerjaya seseorang guru. Bapa penulis yang juga seorang guru pernah menyebut ‘sebenar-benar guru adalah guru yang menanam niat menjadi guru, dan bukan kerja sebagai guru’. Ujarnya lagi, ‘Bekerja sebagai guru’ bermakna hanya menjalankan tugas rasmi dalam sesi persekolahan, tidak proaktif dan hanya menunggu setiap hujung bulan mendapat gaji. Manakala ‘menjadi guru’ pula ibarat meletakkan roh seorang guru dalam diri yang berperanan mendidik, membimbing dan meneladani sesiapa sahaja, proaktif, tidak mengharapkan apa-apa balasan, dan sedia berbakti pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja demi anak-anak murid.

    Untuk itu, dalam usaha membentuk jati diri dan kualiti keperibadian dalam kalangan anak-anak murid, seorang guru itu perlu memikirkan apakah agaknya martabat keguruan yang ingin ditonjolkan dalam kerjaya mereka. Seperti mana dalam pandangan bijak pandai Islam, terdapat empat martabat guru atau pendidik.

    Pertama, sebagai Mudarris atau guru yang hanya mengajar mata pelajaran kemahiran mereka sahaja. Kedua, sebagai Mu’allim yang bermaksud guru yang tidak hanya mengajar mata pelajaran mereka tetapi turut menyampaikan ilmu-ilmu lain. Ketiganya Mursyid yang bermaksud guru yang menyampaikan ilmu dan menunjukkan jalan yang benar. Akhirnya, martabat guru yang keempat, Murabbi yang bermaksud guru yang mendidik, memelihara, mengasuh, mentarbiyyah anak didiknya menjadi manusia yang berilmu, bertaqwa dan beramal soleh.

    Sebagai seorang guru yang realistik keempat-empat ciri di atas hendaklah difahami dan dihayati di dalam kehidupannya sebagai pendidik. Jika tugas ini dapat direalisasikan dalam pendidikannya maka kedudukan seseorang guru itu sungguh mulia dan diyakini akan memberikan kesan yang sangat positif dalam usaha melahirkan anak-anak murid yang bakal mencorak kepemimpinan negara pada masa hadapan.

    Sesungguhnya, peranan guru dalam dunia pendidikan adalah sangat penting dan relevan kerana mereka sangat dekat dengan jiwa anak-anak bangsa. Untuk negara mencapai tahap kemajuan yang berperadaban tinggi dan pembinaan negara-bangsa yang bersepadu berlandaskan acuannya yang tersendiri negara memerlukan strategi dan pelan pembangunan yang baru mengikut kesesuaian zaman dan masa.

    Di sinilah daya upaya guru sebagai agen perubahan yang berkesan perlu dititikberatkan kerana strategi pembangunan negara bukan hanya setakat memfokuskan kepada pembangunan material dan pendidikan semata-mata, tetapi ia harus seiring dengan pendidikan dan pembangunan spiritual dan rohani setiap isi rakyat di Malaysia agar kemajuan dapat dicapai dan dinikmati oleh generasi masyarakat Malaysia di masa akan datang.

    Wednesday, May 15, 2019

    Jom mop rumah dengan Daia

    بسم الله الرحمن الرحيم

    السلام عليكم

    Haaa... ni bukan iklan berbayar yer. Tapi sajer jer nak kongsi salah satu produk favorite aku.

    Kalau lepas memasak, memang jadi kebiasaan aku akan mop lantai dapur. Terutamanya kalau lepas memasak menu yang berminyak-minyak dan merecik-recik.

    Aku suka gunakan Daia ni, warna kuning (lemon) dan purple (lavender). Setengah atau satu penutup cukup dah. Dicampur dengan air. Bila lap lantai, naik bau wangi sampai ke ruang tamu!

    Haaa... tengok... lantai pun berkilat.

    Satu tabiat lagi, walaupun ada mop, aku suka lap lantai guna kain buruk. Rugi jer beli 2-3 mop bermacam jenis. Kain buruk jugak pilihan hati.

    Huhuhu...

    #donemasak #rumahneezamjulie #dbestari16

    Tuesday, May 14, 2019

    Wak Kang in the house...

    بسم الله الرحمن الرحيم

    السلام عليكم

    Si Neeyaz ni, waktu orang tengah duduk tunggu waktu berbuka, tetiba si kecik ni datang pakai songkok macam ni!

    Adoiii... buat lawaklah si kecik sorang ni! Terbahak-bahak kitorang gelak!

    Pastu nak tangkap gambar, macam-macam aksi pulak di buat. Tak diam! Tu yang ambik gambar sumer blur. Huhuhu...

    Apple of our eyes! Sayang sangat dengan si kecik ni. Penyeri keluarga!

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

    Lagi cerita lain...

    Thank you for stopping by!

    back to top