♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Saturday, April 13, 2019

Fitnah Barah Memusnah Masyarakat

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Artikel enche Neezam di Harian Metro berkenaan bahaya FITNAH bersempena PRK Rantau hari ini. Semoga yang haq terus kekal haq, yang batil jahanam dengan kebatilannya - quote KM Noor.

Artikel penuh di bawah ni. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

Fitnah Barah Memusnah Masyarakat

Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘bau busuk tidak berbangkai’. Jika ditakrifkan secara lahiriah, ia membawa erti bau busuk yang dihidu sangat kuat, tetapi tetapi fizikal jasad bangkai yang menjadi punca itu tidak langsung dapat ditemukan. Begitupun, secara implisitnya, peribahasa ini memberi maksud bahawa fitnah itu adalah sesuatu yang tidak benar dan boleh mengundang kesan negatif. Perkataan ‘fitnah’ berasal daripada bahasa Arab yang bererti kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan. Atau dalam pengertian sehari-hari, kata fitnah ini sering dimaksudkan sebagai berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan bertujuan untuk membinasakan reputasi seseorang yang lain yang tidak sesuai dengan kenyataan atau kebenaran. Dilihat dari pentakrifan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat pula, fitnah adalah tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang.

Fitnah sebaliknya adalah sesuatu yang lazat bagi penggemarnya. Fitnah umpama makanan yang mengenyangkan apatah lagi andai ia tersebar luas dan dipercayai oleh umum. Fenomena atau budaya fitnah memfitnah ini sebenarnya tidak hanya terjadi pada dunia hari ini sahaja tetapi telah berlaku sejak zaman Rasulullah s.a.w dan zaman sebelum Baginda lagi. Misalnya, fitnah yang berlaku ke atas isteri Rasulullah SAW sendiri, iaitu Saidatina Aishah RA. Dalam peristiwa yang diada-adakan oleh kaum munafik itu, Saidatina Aishah RA telah dituduh melakukan perkara yang tidak bermoral dengan seorang sahabat Baginda bernama Safwan bin Mu‘attal. Dalam kes ini, selain Saidatina Aishah RA sendiri sebagai mangsa fitnah yang terpaksa menanggung malu dan derita, Baginda Rasulullah SAW sebagai suami turut menanggung aib dan malu di hadapan masyarakat awam. Kesan fitnah tersebut telah menyebabkan baginda tidak banyak bercakap dan terpaksa mengurungkan diri daripada masyarakat awam sambil berdoa kepada Allah SWT supaya diberi petunjuk bagi menangani aib itu. Keadaan itu kembali pulih dengan turunnya wahyu Allah SWT ayat 11-19 daripada Surah al-Nur.

Meskipun jenayah fitnah itu dikatakan suatu gejala yang tidak asing daripada kehidupan manusia dan berlaku di mana-mana tanpa mengira batasan masa, namun situasinya agak berbeza. Pada suatu ketika dahulu, setiap fitnah yang berlaku itu mudah disekat dan agak lambat untuk disebarkan. Bijak pandai menyatakan bahawa terdapat dua faktor penyebabnya. Pertama, faktor adat sopan dan ikatan persaudaraan masyarakat Melayu yang kuat menyebabkan segala unsur negatif dapat diketepikan dengan mudah. Mereka saling mempertahankan maruah antara satu sama lain. Kedua, faktor kemudahan teknologi internet dan telekomunikasi yang masih belum wujud lagi pada ketika itu. Segala fitnah tidak dapat disebarkan dengan cepat. Jika berjaya disebarkan pun, ia hanya dalam lingkungan masyarakat setempat dan tidaklah sampai ke serata pelosok dunia. Penyebarannya pula lebih berbentuk verbal dan media cetak yang terhad.

Keadaan fitnah pada zaman dulu adalah sangat berbeza dengan situasi fitnah yang sedang membarah dalam masyarakat mutakhir ini. Kewujudan media-media sosial seperti Facebook, Twittter, Instagram, web, blog dan sebagainya menjadi medium popular menyebarkan sesuatu fitnah. Gambar atau video begitu mudah diubahsuai dan dimanipulasikan menggunakan teknik pengeditan canggih tanpa perlu memikirkan kos dan menjimatkan masa. Ia disebarkan melalui internet misalnya dan dalam sekelip mata telah ditatap oleh jutaan penerima yang tanpa sifat tabayyun atau mengusul periksa, percaya bulat-bulat akan fitnah itu.

Sepatutnya, semakin pesat perkembangan teknologi dan kemodenan dalam sesebuah masyarakat, semakin majulah ketamadunan dan nilai peradaban bangsanya. Tetapi, dalam hal fitnah ini, kelihatannya ia adalah di sebaliknya. Kemajuan teknologi itu digunakan sebaiknya untuk menyebarkan fitnah yang menyemarakkan dengan cepat akan api kebencian dan perpecahan. Fitnah telah membunuh nilai sopan santun, hormat-menghormati dan nilai berhati-hati dalam mendengar khabar berita. Hal ini lebih-lebih lagi apabila masyarakat dikuasai oleh perasaan berbaur materialistik iaitu tamak, iri hati, dengki, pentingkan diri sendiri, kemarahan yang membuak-buak, lebih mengutamakan kedudukan, pangkat dan harta dunia melebihi kepentingan agama. Dalam situasi ini, mereka tanpa rasa bersalah sanggup memfitnah orang asing bahkan saudara dan sahabatnya demi mencapai cita-cita dan matlamat yang diimpikan.

Lebih mendukacitakan lagi jika jenayah fitnah ini turut menular dalam kalangan golongan pemimpin masyarakat. Mereka ini sanggup menabur fitnah terhadap musuh atau pesaing kepemimpinannya kerana tidak sealiran dalam pemikiran dan ideologi yang dibawanya. Jika golongan pemimpin sebegini pun menjadi ‘lebih sudu dari kuah’ yang sepatutnya menjadi contoh teladan yang baik kepada orang bawahan atau masyarakat pun terjebak dalam penciptaan dan penyebaran fitnah, maka siapa lagi yang patut menjadi ikutan dan contoh teladan kepada masyarakat?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Hati yang dihinggapi oleh fitnah akan menumbuhkan padanya bintik-bintik hitam, manakala hati yang tidak dihinggapinya, akan menumbuhkan padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati tersebut terbahagi dua. Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah selama langit dan bumi masih ada, manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran. Segala-galanya adalah mengikut keinginan” (Riwayat Muslim).

Yang nyata fitnah merupakan suatu pembohongan besar yang sangat merugikan dan termasuk dalam dosa yang tak terampuni oleh Allah SWT. Kerana impak negatif dan bahayanya maka Islam melarang umatnya memfitnah kerana ia adalah haram. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani (al-Hujurat, ayat 12).

Perbuatan fitnah boleh menimbulkan banyak kesan negatif. Pertamanya, ia boleh menimbulkan kesukaran dan kesengsaraan. Oleh kerana berita yang disebarkan tidaklah benar, fitnah sangat merugikan terutama bagi orang yang difitnah kerana nama dan reputasi baiknya boleh ‘membusuk’ dengan mudah dalam kalangan masyarakat. Keduanya, ia menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat kerana mereka takut akan menjadi ‘mangsa’ atau terjebak dengan masalah apabila berurusan dengan orang yang diburuk-burukkan atas fitnah. Ketiga, fitnah merungkai tali silaturrahim. Fitnah berupaya menjarakkan perhubungan kerana pihak-pihak yang terlibat akan sentiasa memandang negatif terhadap pihak lain, suu al-zhon atau syak wasangka dan tiada kepercayaan. Keempat, fitnah juga adalah satu daripada tanda kemunafikan apabila fitnah yang direkayasa itu bersifat dusta dan mengundang murka Allah SWT. Kelima, fitnah merupakan salah satu dosa besar yang menjadi penghalang seorang Muslim masuk syurga. Akibat dari perbuatan fitnah sendiri akan menjadi tanggungannya seumur hidup yang apabila tidak segera bertaubat maka nerakalah jua pengakhiran bagi dirinya.

Bagi menghadapi jenayah fitnah yang membarah ini, Menurut Mohd Shukri Hanapi (2018) terdapat beberapa tips yang dikemukakan oleh ulama besar, Abu Laith al-Samarqandiy. Pertama, jangan mudah percaya segala fitnah yang disebarkan kerana orang yang memfitnah itu tidak dapat diterima penyaksiannya; kedua, mencegah fitnah itu, sebab mencegah kemungkaran itu adalah wajib; ketiga, harus membencinya, kerana ia adalah maksiat dan dosa; keempat, jangan bersangka jahat terhadap orang yang difitnah, sebab berburuk sangka terhadap sesama Muslim itu hukumnya haram; kelima, jangan selidiki keadaan orang yang difitnah itu, sebab Allah SWT melarang menyelidiki kejahatan orang; dan yang keenam, jika tidak menyukai perbuatan orang yang memfitnah itu, maka janganlah memberitahu sesiapun segala fitnah yang disebarkan itu. Untuk itu, kita juga seharusnya beringat, dalam usaha menolak sebarang berita fitnah tersebut, jangan pula sampai kita membuat fitnah terhadap si pembawa atau pembuat fitnah itu. Apa beza kita dengan mereka kalau kita pun terjebak sama, dua kali lima. Jika dibiarkan jenayah fitnah menguasai jiwa, ia akan terus melekat di hati seseorang sehinggalah dia terjerumus ke dalam neraka bersama fitnah-fitnahnya.

Dr Khairunneezam Mohd Noor, Penulis Pensyarah Kanan di Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top