♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Tuesday, April 30, 2019

My adorable little Neeyaz

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Dah lama tak update pasal budak comel sorang ni.

Insya Allah, awal bulan depan baby Neeyaz akan berusia 2 tahun. Hmmmm... baby lagi ke?

Yup! Sentiasa akan jadi baby mama dan ayah.

Hampir menginjak ke usia 2 tahun, mulut Neeyaz memang boleh tahun becok. Dah banyak vocab Neeyaz. Antaranya... nak makan nasi, nak susu, jom naik atas... paling tak tahan kalau dia cakap "nak Didi... nak Didi". Selagi tak pasang citer Didi, memang tu jer lah mulut dia sebut. Adoooiii anak...

Pastu pandai beza dah panas, sejuk...

Pastu suka cakap 'takut' sambil kecik-kecikkan mata. Ntah apa jer yang Neeyaz takutkan. Kadang-kadang tu tengok ikan goreng dan ayam goreng pun takut. Sebab Neeyaz macam geli. Huhuhu...

Ayat favorite Neeyaz 'nanak' (read: tak nak). Nada dan gaya masa cakap tak nak tu memang mengundang cubitan ke pipi sebab comel sangat. Huhuhu...

Aku suka bila Neeyaz ajak gi mana-mana, dia akan cakap "jom... jom... jom..." sambil tangan comel dia tu cari-cari dan tarik tangan aku. Pastu cakap "let's go!".

Kalau keluar, dah tahu kena pakai kasut. Pastu memilih... nak kasut favorite dia jer. Kasut basahan yang biasa pakai tu dah tak nak pakai dah.


Geram jer tengok rambut keteng tu.

Banyak mulut dan banyak akal si comel sorang ni. Dialah pujaan hati keluarga sekarang. Penyeri dan pengikat kasih sayang. Manja dengan mama, ayah, abang dan kakak. Dengan abang dia selalunya buat kawan main, dengan kakak pulak buat lawan gaduh. Entah apa anti sangat dengan kakak dia ntah. Mungkin sebab Niesreena suka menyakat dia. Naufal pulak rajin melayan dan mengajar kerenah ntah apa-apa, tu yang boleh ngam tu. Huhuhuh...

Mama loves you so much my adorable little baby... Khairunneeyaz.

Sunday, April 28, 2019

Post Birthday Celebration

Naufal turns 10

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Celebrate birthday lagi! Huhuhu...

Birthday Naufal semalam tak dapat kek... macam tak lengkap plak.

So, kali ni mama plak belanja kek... sepotong jer Naufal mintak. Huhuhu...

Happy birthday, Naufal!

Saturday, April 27, 2019

Happy 10th Birthday my dear Khairunnaufal

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Hari ni 27 April 2019.

Harijadi Naufal yang ke 10 tahun!

Alhamdulillah... Besar dah anak bujang mama. Dah 10 tahun. Tapi tetap manja.

Happy birthday Naufal. Mama dan ayah akan sentiasa mendoakan yang terbaik buat Naufal.

Naufal ni tiap-tiap tahun, harijadi mesti mintak mainan. Adaaaaa jer yang tengah viral. Adoooiii... Dan kali ni bendalah Bayblade ni pulak. Merata-rata orang jual.

Hari tu ada lah jugak belikan sepasang Bayblade untuk Naufal, pastu Naufal mintak stadium dia pulak. Hmmmm... banyak kali jugak pikir nak beli... Tapi memandangkan birthday dia, belikanlah jugak sepasang bayblade lagi dan stadium. Kasi puas hati...

Ayah tok dan mak tok video call ucap selamat harijadi kat Naufal.

Khairunneeyaz pun nak enterframe jugak. Muka baru bangun tidur bebudak ni.

Unfortunately, hari ni tak dapat nak bawak Naufal makan special kat luar sebab ayah kerja sepanjang hari ni. Tapi malam semalam, sempatlah makan special sikit kat tempat favorite kitorang bersempena dengan birthday Naufal.

Kat mana lagi kalau bukan kat El Boney. Nyum nyummm...

Tapi macam tak lengkap jer tak dapat kek kan? Esok jer lah kita cari yer Naufal.

Friday, April 26, 2019

Nur 2

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Habis dah citer Nur 2. Happy ending... best! Tapi rasa macam tak puas tengok 15 episod.

Tapi tak per lah... cukuplah tu... tertekan rasa tengok Nur ni. Bukan jer sebab citer Nur tu sendiri, tapi sebab 'ostad' kat rumah ni. Huhuhu... Kalau korang follow fb Enche Neezam, korang fahamlah. Taksub jugak enche Neezam ni tengok Nur 2. Walaupun kekadang tu dah tidur, sanggup bangun nak tengok live. Padahal dah rekod dah. Dia pulak yang lebih dari kiter. Ish ish ishhhh...

Aku pun baru semalam sempat maraton citer Nur 2 ni dari episod 1, semata-mata nak tengok ending dia live. Biasanya aku tak dapat nak tengok sebab si Neeyaz ajak naik bilik sebelum pukul 10 lagi. Biasalah baby Neeyaz... hobi dia golek-golek dengan mama sambil borak-borak atas katil. Suka nau lah dia. Walaupun dalam bilik ada tv, tapi aku tak boleh nak bukak sebab nanti baby Neeyaz suruh bukak Didi and Friends plak. Enjoi mana boleh nak rekod Didi ke hapa. So... redho jer lah... apalah penting sangat nak tengok Nur daripada spent masa dengan dak comel tu kan.

Aku sebenarnya memang jarang sangat tengok drama Melayu. Sebab aku rasa drama melayu ni cliche. Orang kaya bercinta dengan orang miskin, pastu dua orang orang lelaki berebut satu perempuan dan sebaliknya, citer dato-dato, tan sri-tan sri, berebut harta... macam tu lah lebih kurang. Malas nak tengok... lagipun komitmen nak tengok pun non hado. Banyak benda lain nak tengok.

Tapi citer Nur ni... lain.

Dulu masa Nur 1 pun aku tak tengok gak. Sampailah ia jadi viral. Baru ada rasa nak tengok. Tu pun fikir... apa yang best sangat? Lagi pulak, bila tengok heroin dia Ameera Rosly. Hmmmm... aku pernah tengok drama AR berlakon dengan Amar Bahrin dulu... macam kayu jer... Opppsss... sorry...

Tapi bila tengok AR berlakon sebagai Nur, rasa macam... this is not that AR yang aku pernah tengok dia berlakon dulu. Memang menjadi sangat watak yang dia pegang - cantik dan naif. Terus jatuh hati dengan AR.

Aku memang suka Nur & Nur 2, jalan citer best, dialog nampak spontan dan tak tercapai dek akal, pelakon best, OST pun best! Dan selalunya kalau watak antagonis ni memang orang benci giler, tapi dalam Nur 2 ni, aku rasa first time lah dalam sejarah, watak antagonis paling menyerlah sekali! Tahniahlah Azhan Rani.

Aku rasa disebabkan watak Ustaz Hamadi ni, tenggelam terus watak Nur, Ustaz Adam dan Juita.

Huhuhu...

Agak-agak dak Ijat nak buat Nur 3 tak?

Thursday, April 25, 2019

E-filling

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Adoiiii orang tua ni. Orang tengah serius ni.

Dia sempat pulak.

🤦🏻‍♀️
#efiling

Monday, April 22, 2019

Jom kemas rumah!

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Hari ni aku cuti... nak kemas rumah yang berhabuk sangat - lap habuk, vakum, mop, bersihkan karpet, cuci kipas, etc... Banyak benda nak buat sebelum Ramadhan menjelma.

Semoga misi hari ni berjaya. Jangan termarathon tengok Nur2 sudahlah 😅 Last tengok Nur2 episod 3...

Ya Allah... Kuatkanlah semangatku...

#rumahneezamjulie #dbestari16

Saturday, April 20, 2019

Beli Belah Online: Rahmat atau Bala

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Amboi tajuk artikel enche Neezam hari ni... mesti dapat ilham dari tabiat aku yang suka membeli-belah online ni. Huhuhu...

Tabiat membeli online aku ni bermula sejak kerja kat Shah Alam ni lah... Terikut-ikut kawan-kawan. Dulu tak berani beli online sebab takut tak selamat. Tapi bila tengok kengkawan beli online semuanya ok jer... Tu yang terberjangkit pulak. Hehehhe...

Antara sebab aku suka berbelanja online ni sebab senang nak cari benda yang kita nak dan banyak pilihan, pastu kadang-kadang kita boleh dapat harga lebih murah. Dulu aku suka berbelanja kat Lazada. Tapi aku rasa sejak end of last year kot, Lazada dah ada delivery charges, so aku beralih pulak kepada Shopee. Aku rasa kat Shopee lebih murah. Harga barang murah dan kos penghantaran pun murah berbanding Lazada.

Tapi alhamdulillah... setakat ni tabiat ni boleh dibendung lagi. So, aku rasa tak lah bala sangat. Huhuhu... Cuma tu lah... kadang-kadang tu rasa ada benda tak perlu pun nak terbeli sebab terbekenan di hati. Bahaya jugak kan...

Apa pulak pendapat korang tentang berbelanja online ni? Rahmat ke bala?

Jom baca pendapat enche Neezam dalam artikel beliau kat bawah ni.

Membeli-belah Secara Atas Talian: Rahmat atau Bencana?

Peredaran zaman bergerak seiring dengan perkembangan teknologi. Nilai ketamadunan manusia kelihatannya turut bersandar kepada bagaimana majunya sesebuah generasi itu mencipta dan memanfaatkan evolusi sains dan inovasi demi kelangsungan hidup. Akan hal ini, dapat dilihat bahawa sebilangan besar ahli dalam masyarakat pada hari ini ‘memakmurkan’ trend membeli-belah secara atas talian. Ia dikatakan sebagai satu budaya yang sangat cepat berkembang, diterima, dan diraikan lantaran nilai ‘pro’ yang lebih banyak daripada ‘kontra’ jika dibandingkan dengan kaedah membeli-belah secara konvensional.

“Jimat”. Itulah perkataan yang selalu dikaitkan dengan dengan membeli-belah secara atas talian. Jimat duit petrol kereta untuk ke pasaraya dan jimat masa kerana tidak perlu ke lokasi lain andai pasaraya yang dikunjungi tiada barangan yang dicari. “Masyarakat sekarang semakin malas!”, itulah pula tanggapan sesetengah pihak mengenai trend pembelian barang atas talian ini. Golongan ini menegaskan sebegitu kerana kelihatannya membeli–belah seperti itu adalah simbol ‘kemalasan’ kerana secara fizikalnya kita tidak perlu bergerak ke mana-mana lokasi. Hanya perlu duduk, menghadap skrin telefon bimbit atau gajet, buka laman sesawang atau aplikasi internet tertentu dan bakal pembeli akan menemukan katalog-katalog barangan pilihan. “You name it, you will get it”, namakan sahaja pasti anda akan temukan ia. Pilih sahaja barangan, buat pesanan, bayar dan tunggu saja dalam tempoh tertentu, barang yang dipesan akan sampai di depan pintu rumah.

Sejarah membeli-belah secara atas talian ini bermula pada tahun 1979 apabila Michael Aldrich, seorang usahawan, pakar IT dan pereka cipta, berjaya menghubungkan siaran televisyen domestik dengan real time computer untuk melakukan transaksi perbankan melalui saluran telefon domestik. Usaha ini terus berkembang pada era 1980an dan 1990an apabila browser world wide web mula beroperasi dan dapat dilayari hampir di seluruh dunia yang memberi ruang kepada perusahaan-perusahaan tertentu memasarkan barangan melalui atas talian. Pada tahun 1995, Amazon mula memasarkan dan menjual buku secara atas talian, manakala syarikat gergasi seperti Dell dan Cisco menggunakan internet untuk semua transaksi penjualan mereka. Begitu juga dengan laman sesawang eBay yang mula menjadi tumpuan atas talian dengan memberikan ruang kepada peniaga dan pembeli untuk membida dan menawarkan harga pelbagai barangan yang mencecah nilai jualan sebanyak USD131 pada tahun 1995 itu. Menurut laman sesawang eReviewes yang berpengkalan di United Kingdom, pada tahun 2015, jual beli atas talian di seluruh dunia mencatatkan nilai setinggi USD1.55 trillion yang membuktikan betapa ‘makmur’nya mod transaksi sebegini yang menjadi pilihan utama masyarakat seluruh dunia.

Kini, trend pembelian barangan secara atas talian ini sangat ketara di seluruh dunia. Misalnya, mengikut kajian Pew Research Centre yang berpengkalan di Amerika Syarikat, pada tahun 2017, lapan daripada 10 warga Amerika Syarikat adalah pembeli-belah secara atas talian, dan secara puratanya 87 ke 90 peratus pembeli barangan secara atas talian adalah golongan umur pertengahan antara 18 hingga 29 tahun. Di Malaysia pula, banyak kajian turut dibuat berkenaan amalan membeli secara atas talian ini. Misalnya, satu kajian yang dibuat oleh Vase Technology ke atas seribu responden tempatan, mendapati bahawa 55 peratus daripada mereka lebih selesa dan memilih membeli secara atas talian berbanding 45 peratus secara konvensional. Hasil kajian ini juga mendapati pembeli atas talian di Malaysia banyak membeli gajet dan aksesori elektronik, diikuti produk kesihatan dan kecantikan, dan juga produk alatan rumah dan pakaian.

Canadian Pos dalam satu kajian sosialnya pada tahun 2016 menemukan beberapa sebab utama mengapa membeli-belah secara atas talian menjadi satu ‘fenomena’ mutakhir ini. Pertama, pembeli hanya perlu mencari apa mereka mahukan hanya dengan menekan papan kekunci pada telefon atau komputer, dan barangan yang dicari akan ditemukan dalam masa hanya beberapa saat! Kedua, tiada keperluan untuk bersesak-sesak atau beratur seperti di pasaraya dan transaksi juga menggunakan sistem perbankan atas talian tanpa perlu ada wang tunai di tangan. Ketiga, boleh membeli-belah pada bila-bila masa tanpa perlu risau dengan waktu berurusan konvensional dan terhad seperti di pasaraya. Kadang kala, sebelum mahu melelapkan mata di atas katil pun, transaksi pembelian boleh dilakukan dengan begitu selesa. Keempat, Ianya mudah bagi pembeli untuk membuat perbandingan harga dan juga ulasan pihak lain yang pernah membeli sesuatu barang yang hendak dibeli. Ianya kelihatan efektif dalam mewujudkan rasa selamat dan selesa untuk membeli sesuatu barangan itu, dengan kemampuan untuk memilih yang paling murah, paling berkualiti, dan paling dipercayai ramai. Yang kelimanya, barangan boleh didapatkan secara global, iaitu pembelian tidak terhad hanya pada penjual tempatan, atau daripada satu-satu negara sahaja, bahkan ia boleh diperoleh daripada mana-mana ceruk dunia.

Begitupun, sebagai pembeli yang bijak, kita harus berhati-hati dan memikirkan juga kesan negatif yang telah banyak juga terpaksa ditanggung oleh para pembeli secara atas talian yang lain. Melalui kes-kes yang mungkin telah diangkat sehingga ke tribunal tertentu atau mahkamah, kita perlu menimbang tara sebaiknya keperluan untuk membeli secara atas talian ini agar tidak ‘menangis’ di kemudian hari. Misalnya, isu barangan yang dibeli sama ada ia adalah tulen atau pun cetak rompak boleh juga mendatangkan kesan sampingan selain kerugian iaitu bahaya apabila mengendalikan atau menggunakan produk cetak rompak yang biasanya ditawarkan pada harga jauh lebih murah berbanding kebiasaannya. Seterusnya, pelanggan adakalanya perlu menunggu jangka masa yang lama untuk menerima barangan anda. Kadang-kadang, ini juga boleh mengambil masa sehingga sebulan atau lebih lama jika produk itu dibeli dari luar negara. Ada kalanya, produk langsung tidak sampai ke tangan kerana hilang sewaktu proses pengeposan, tersalah alamat, atau kalau diterima pun, ia sudah rosak atau tidak boleh digunakan. Kemudian, sebagai pembeli, kita tidak dapat menguji produk sebelum membeli kerana ianya hanya terhad kepada penampilan produk dan ciri-cirinya dalam gambar, brosur atau iklan penjual atas talian ini.

Unsur penipuan juga boleh berlaku apabila wujud penjual atas talian yang tidak jujur dan memang mengambil kesempatan untuk menipu. Begitu juga dengan isu kebolehpercayaan dan keselamatan transaksi pembelian atas talian menggunakan kad kredit yang boleh menyebabkan pembeli ditipu mentah-mentah apabila barangan tidak diperoleh, wang dalam akaun bank tetap dipotong untuk pembayaran.

Nyatanya, andai ianya adalah sesuatu yang boleh dikawal, memudahkan, dan memberikan banyak kelebihan, silakan meneruskan transaksi pembelian atas talian. Anda mungkin seorang pembeli yang berhemah dan tahu mengawal diri apabila membeli secara atas talian. Andai pernah tertipu, atau takut tertipu, maka alternatif untuk membeli-belah secara konvensional dan fizikal masih banyak dan anda tidak sedikitpun kelihatan ‘ketinggalan zaman’ berbanding para pembeli secara atas talian ini. Mungkin trend pembelian atas talian ini satu ‘rahmat’ bagi sesetengah kita, namun mungkin jua ia adalah satu ‘bencana’ buat sesetengah yang lain. Tepuk dada, tanya selera!

Dr Khairunneezam bin Mohd Noor, Penulis Pensyarah Kanan di Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kempimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Tuesday, April 16, 2019

Wiiiii...

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Kekanak kalau turun papan gelongsor memang sebut "Wiiiii..." eh?

Huhuhu...

Dari zaman Niesreena ke Naufal ke Neeyaz... asal turun dari slide mesti sebut "wiii..." dengan penuh confident. Huhuhu...

Excited Neeyaz petang ni. First time mama bawak dia gi taman permainan lepas balik kerja. Biasanya dah balik, terus jer masuk rumah. Macam-macam benda nak buat.

Tapi hari ni disebabkan enche Neezam outstation dan aku pun dah tapau makan semua, ada masa ni, bawaklah si kecik ni ke taman permainan berdekatan dengan rumah.

Naufal pun terkejut tengok aku tiba-tiba muncul kat situ. Tak pernah-pernah mama rajin nak berjalan ke taman. Huhuhu...

Lepas 30 minit macam tu, ajak si Neeyaz ni balik. Hmmm... dia tak nak balik pulak!

Adoooiii...

Pujuk-pujuk tak jalan. Siap jawab "nak nak" kemain ditekan-tekan lagi. Ish budak sorang ni.

Akhirnya aku buat-buat berjalan balik tinggalkan dia kat wiii dia tu. Tau takut... terus nak ikut balik. Huhuhuu... Memacam hal budak manja sorang ni.

Buat hal macam ni, next time mama tak nak lah bawak gi taman lagi.

Huhuhu...

Saturday, April 13, 2019

Fitnah Barah Memusnah Masyarakat

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Artikel enche Neezam di Harian Metro berkenaan bahaya FITNAH bersempena PRK Rantau hari ini. Semoga yang haq terus kekal haq, yang batil jahanam dengan kebatilannya - quote KM Noor.

Artikel penuh di bawah ni. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

Fitnah Barah Memusnah Masyarakat

Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘bau busuk tidak berbangkai’. Jika ditakrifkan secara lahiriah, ia membawa erti bau busuk yang dihidu sangat kuat, tetapi tetapi fizikal jasad bangkai yang menjadi punca itu tidak langsung dapat ditemukan. Begitupun, secara implisitnya, peribahasa ini memberi maksud bahawa fitnah itu adalah sesuatu yang tidak benar dan boleh mengundang kesan negatif. Perkataan ‘fitnah’ berasal daripada bahasa Arab yang bererti kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan. Atau dalam pengertian sehari-hari, kata fitnah ini sering dimaksudkan sebagai berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan bertujuan untuk membinasakan reputasi seseorang yang lain yang tidak sesuai dengan kenyataan atau kebenaran. Dilihat dari pentakrifan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat pula, fitnah adalah tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang.

Fitnah sebaliknya adalah sesuatu yang lazat bagi penggemarnya. Fitnah umpama makanan yang mengenyangkan apatah lagi andai ia tersebar luas dan dipercayai oleh umum. Fenomena atau budaya fitnah memfitnah ini sebenarnya tidak hanya terjadi pada dunia hari ini sahaja tetapi telah berlaku sejak zaman Rasulullah s.a.w dan zaman sebelum Baginda lagi. Misalnya, fitnah yang berlaku ke atas isteri Rasulullah SAW sendiri, iaitu Saidatina Aishah RA. Dalam peristiwa yang diada-adakan oleh kaum munafik itu, Saidatina Aishah RA telah dituduh melakukan perkara yang tidak bermoral dengan seorang sahabat Baginda bernama Safwan bin Mu‘attal. Dalam kes ini, selain Saidatina Aishah RA sendiri sebagai mangsa fitnah yang terpaksa menanggung malu dan derita, Baginda Rasulullah SAW sebagai suami turut menanggung aib dan malu di hadapan masyarakat awam. Kesan fitnah tersebut telah menyebabkan baginda tidak banyak bercakap dan terpaksa mengurungkan diri daripada masyarakat awam sambil berdoa kepada Allah SWT supaya diberi petunjuk bagi menangani aib itu. Keadaan itu kembali pulih dengan turunnya wahyu Allah SWT ayat 11-19 daripada Surah al-Nur.

Meskipun jenayah fitnah itu dikatakan suatu gejala yang tidak asing daripada kehidupan manusia dan berlaku di mana-mana tanpa mengira batasan masa, namun situasinya agak berbeza. Pada suatu ketika dahulu, setiap fitnah yang berlaku itu mudah disekat dan agak lambat untuk disebarkan. Bijak pandai menyatakan bahawa terdapat dua faktor penyebabnya. Pertama, faktor adat sopan dan ikatan persaudaraan masyarakat Melayu yang kuat menyebabkan segala unsur negatif dapat diketepikan dengan mudah. Mereka saling mempertahankan maruah antara satu sama lain. Kedua, faktor kemudahan teknologi internet dan telekomunikasi yang masih belum wujud lagi pada ketika itu. Segala fitnah tidak dapat disebarkan dengan cepat. Jika berjaya disebarkan pun, ia hanya dalam lingkungan masyarakat setempat dan tidaklah sampai ke serata pelosok dunia. Penyebarannya pula lebih berbentuk verbal dan media cetak yang terhad.

Keadaan fitnah pada zaman dulu adalah sangat berbeza dengan situasi fitnah yang sedang membarah dalam masyarakat mutakhir ini. Kewujudan media-media sosial seperti Facebook, Twittter, Instagram, web, blog dan sebagainya menjadi medium popular menyebarkan sesuatu fitnah. Gambar atau video begitu mudah diubahsuai dan dimanipulasikan menggunakan teknik pengeditan canggih tanpa perlu memikirkan kos dan menjimatkan masa. Ia disebarkan melalui internet misalnya dan dalam sekelip mata telah ditatap oleh jutaan penerima yang tanpa sifat tabayyun atau mengusul periksa, percaya bulat-bulat akan fitnah itu.

Sepatutnya, semakin pesat perkembangan teknologi dan kemodenan dalam sesebuah masyarakat, semakin majulah ketamadunan dan nilai peradaban bangsanya. Tetapi, dalam hal fitnah ini, kelihatannya ia adalah di sebaliknya. Kemajuan teknologi itu digunakan sebaiknya untuk menyebarkan fitnah yang menyemarakkan dengan cepat akan api kebencian dan perpecahan. Fitnah telah membunuh nilai sopan santun, hormat-menghormati dan nilai berhati-hati dalam mendengar khabar berita. Hal ini lebih-lebih lagi apabila masyarakat dikuasai oleh perasaan berbaur materialistik iaitu tamak, iri hati, dengki, pentingkan diri sendiri, kemarahan yang membuak-buak, lebih mengutamakan kedudukan, pangkat dan harta dunia melebihi kepentingan agama. Dalam situasi ini, mereka tanpa rasa bersalah sanggup memfitnah orang asing bahkan saudara dan sahabatnya demi mencapai cita-cita dan matlamat yang diimpikan.

Lebih mendukacitakan lagi jika jenayah fitnah ini turut menular dalam kalangan golongan pemimpin masyarakat. Mereka ini sanggup menabur fitnah terhadap musuh atau pesaing kepemimpinannya kerana tidak sealiran dalam pemikiran dan ideologi yang dibawanya. Jika golongan pemimpin sebegini pun menjadi ‘lebih sudu dari kuah’ yang sepatutnya menjadi contoh teladan yang baik kepada orang bawahan atau masyarakat pun terjebak dalam penciptaan dan penyebaran fitnah, maka siapa lagi yang patut menjadi ikutan dan contoh teladan kepada masyarakat?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Hati yang dihinggapi oleh fitnah akan menumbuhkan padanya bintik-bintik hitam, manakala hati yang tidak dihinggapinya, akan menumbuhkan padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati tersebut terbahagi dua. Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah selama langit dan bumi masih ada, manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran. Segala-galanya adalah mengikut keinginan” (Riwayat Muslim).

Yang nyata fitnah merupakan suatu pembohongan besar yang sangat merugikan dan termasuk dalam dosa yang tak terampuni oleh Allah SWT. Kerana impak negatif dan bahayanya maka Islam melarang umatnya memfitnah kerana ia adalah haram. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani (al-Hujurat, ayat 12).

Perbuatan fitnah boleh menimbulkan banyak kesan negatif. Pertamanya, ia boleh menimbulkan kesukaran dan kesengsaraan. Oleh kerana berita yang disebarkan tidaklah benar, fitnah sangat merugikan terutama bagi orang yang difitnah kerana nama dan reputasi baiknya boleh ‘membusuk’ dengan mudah dalam kalangan masyarakat. Keduanya, ia menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat kerana mereka takut akan menjadi ‘mangsa’ atau terjebak dengan masalah apabila berurusan dengan orang yang diburuk-burukkan atas fitnah. Ketiga, fitnah merungkai tali silaturrahim. Fitnah berupaya menjarakkan perhubungan kerana pihak-pihak yang terlibat akan sentiasa memandang negatif terhadap pihak lain, suu al-zhon atau syak wasangka dan tiada kepercayaan. Keempat, fitnah juga adalah satu daripada tanda kemunafikan apabila fitnah yang direkayasa itu bersifat dusta dan mengundang murka Allah SWT. Kelima, fitnah merupakan salah satu dosa besar yang menjadi penghalang seorang Muslim masuk syurga. Akibat dari perbuatan fitnah sendiri akan menjadi tanggungannya seumur hidup yang apabila tidak segera bertaubat maka nerakalah jua pengakhiran bagi dirinya.

Bagi menghadapi jenayah fitnah yang membarah ini, Menurut Mohd Shukri Hanapi (2018) terdapat beberapa tips yang dikemukakan oleh ulama besar, Abu Laith al-Samarqandiy. Pertama, jangan mudah percaya segala fitnah yang disebarkan kerana orang yang memfitnah itu tidak dapat diterima penyaksiannya; kedua, mencegah fitnah itu, sebab mencegah kemungkaran itu adalah wajib; ketiga, harus membencinya, kerana ia adalah maksiat dan dosa; keempat, jangan bersangka jahat terhadap orang yang difitnah, sebab berburuk sangka terhadap sesama Muslim itu hukumnya haram; kelima, jangan selidiki keadaan orang yang difitnah itu, sebab Allah SWT melarang menyelidiki kejahatan orang; dan yang keenam, jika tidak menyukai perbuatan orang yang memfitnah itu, maka janganlah memberitahu sesiapun segala fitnah yang disebarkan itu. Untuk itu, kita juga seharusnya beringat, dalam usaha menolak sebarang berita fitnah tersebut, jangan pula sampai kita membuat fitnah terhadap si pembawa atau pembuat fitnah itu. Apa beza kita dengan mereka kalau kita pun terjebak sama, dua kali lima. Jika dibiarkan jenayah fitnah menguasai jiwa, ia akan terus melekat di hati seseorang sehinggalah dia terjerumus ke dalam neraka bersama fitnah-fitnahnya.

Dr Khairunneezam Mohd Noor, Penulis Pensyarah Kanan di Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Tuesday, April 9, 2019

Resepi | Kerabu daun selom

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

> Dah lama tak kongsi resepi kat blog ni. Tetiba hari ni nak berkongsi plak.

Bukan apa... sebab hari ni try buat kerabu daun selom. First time buat. Dan memang sedap!

Kenal tak daun selom? Daun selom ni rupa dia macam ulam raja. Tapi beza kat batang dia. Kalau batang dia lompong (kosong), tu daun selom dan kalau batang dia berisi, itu daun ulam raja.

Balik kerja tadi, pakcik keselamatan kat office tu bagi banyak sangat daun selom ni. Pakcik tanam dekat depan office. Segar bugar daun selom dia. Aku suka jer makan macam tu je, buat ulam. Sedap jugak. Tapi sebab banyak sangat... kalau makan macam tu jer, dah rasa macam lembu pulak. Huhuhu... Lagipun sayang kalau tak habis makan, layu pulak. Dah tak segar... tak sedap.

So, aku call enche Neezam on the way balik tadi, suruh enche Neezam cari bahan-bahan buat kerabu. Pandai pulak enche Neezam cari. Perfect! Ni aku share kat bawah dengan resepi. Tapi anggaran aku tak letaklah... korang agak-agak jer lah... ikut suka korang... sebab aku pun agak-agak jer.

Kerabu daun selom

Bahan-bahan: -

Daun selom
Taugeh
Kelapa parut (putih sahaja)
Bunga kantan
Bawang besar
Cili merah
Cili padi
Limau kasturi
Kerang

Cara-caranya: -

Daun selom, bunga kantan, cili merah dan cili padi tu racik-racik jer.

Bawang besar dimayang halus.

Taugeh tu buang ekor/akar dia.

Kelapa parut goreng sekejap hingga agak garing.

Kerang tu dibersihkan dan direbus sekejap. Kemudian kopek kulit dia.

Campurkan semuanya. Kemudian taburkan sedikit garam dan perah limau kasturi.

Sedia untuk dihidangkan!

Kalau korang suka, boleh jugak tambah udang kering. Tapi aku tak minat udang kering. Macam ni pun dah sedap! Sangat!

Selamat mencuba!

Saturday, April 6, 2019

Generasi 'kecanduan' gajet

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Salam hujung minggu semua. Busy ke?

Hujung minggu kali ni aku balik rumah mak abah. Rindu... dah lama tak jumpa mak abah. Selalu dapat balik sebulan sekali jer. Padahal rumah dekat jer.

Hmmmm... tu lah... Memasing busy sangat. Hujung minggu jer ada jer hal.

So, hari ni kat rumah mak, relax lah sikit. Lepak-lepak dengan mak abah. Masak... makan... tidur... huhuhu... Manyak syok! Mak pulak sediakan asam pedas ikan pari kegemaran aku... memang ngamlah! Bertambah makan!

Hari ni, hari Sabtu, macam biasa, artikel enche Neezam disiarkan di akhbar Harian Metro sisipan Minda. Tajuk kali ni menyentuk pasal gajet. Generasi mana yang kecanduan tu? X? Y? Z?

Jom baca artikel penuh di bawah. Semoga bermanfaat.

Generasi Kecanduan Gajet

Albert Einstein, seorang pakar fizik yang mengutarakan teori relativiti yang agung pernah menjangka dan mengungkapkan: “Saya takut suatu hari nanti teknologi akan mengatasi interaksi manusia. Dunia akan mempunyai generasi yang bodoh.” Apakah kegusaran Einstein ini hanya ilusinya atau sudah menjadi kenyataan? Jawapannya kita boleh lihat sendiri di hadapan mata kita mutakhir ini.

Di satu sudut restoran, terlihat satu keluarga yang sedang duduk sambil menunggu makanan yang dipesan. Pasti kita sering terjumpa keadaannya bila hampir semua ahli keluarga itu menunduk diam atau tersenyum-senyum seorang diri. Kalau dua puluh atau tiga puluh tahun yang lalu, keadaan ini pastilah mengundang rasa pelik kerana duduk bersama-sama tapi sunyi sepi tanpa bicara. Dulu-dulu, suasananya rancak dengan perbualan atau riuh dengan gelak ketawa sekeluarga. Masa berkualiti berkumpul sekeluarga digunakan sebaik mungkin dan terserlah silaturrahim yang cukup mengujakan. Namun kini, situasi sebegini seakan-akan hendak pupus. Semua menunduk sepi kerana terpesona menatap skrin gajet.Itulah penangan perkembangan teknologi dan internet yang mudah dilayari melalui gajet. Bukankah ini keadaan yang dimaksudkan oleh Einstein?

Ketagihan terhadap gajet dalam masyarakat semakin meluas dan mencandu. Kebanyakan kita kelihatan seakan-akan ‘mayat hidup’, meninggalkan realiti persekitaran, dan menikmati hidup di dunia maya. Biar tiada sahabat bergelak ketawa di sisi, tapi dapat khayal bersosial di persada internet. Ketagihan itu bukan sahaja dirasai golongan dewasa tetapi kanak-kanak juga turut menerima tempiasnya. Disebabkan penggunaan gajet yang berlebihan ini, ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap hubungan kekeluargaan dalam masyarakat. Memberi ruang menggunakan bahkan memberikan hak milik gajet kepada anak-anak seperti telefon bimbit, tablet dan seumpamanya kini umpama satu trend dalam kalangan ibu dan bapa.

Niat awal kelihatan bagus, gajet dikatakan mampu merangsang pemikiran anak-anak. Perisian-perisian atas talian tertentu dikatakan mampu mendidik anak-anak dengan pelbagai wadah ilmu dan yang dikatakan sesuai dengan peringkat umur anak-anak yang berbeza. Anak-anak menjadi terkawal dan diam dan ibu bapa tidak akan terganggu untuk menyelesaikan aktiviti masing-masing.Tapi malangnya, ia acap kali juga disalahgunakan oleh ibu bapa kononnya sebagai ubat merawat anak-anak daripada menangis atau ‘buat perangai’. Akibatnya, kanak-kanak akan menghabiskan masa berjam-jam untuk meneroka bukan sahaja segala aplikasi pembelajaran bahkan permainan yang mudah dimuat turun dalam gajet berkenaan. Kemahiran bersosial juga kelihatannya menjadi terhad dan ruang lingkup mahabbah dan silaturrahim menjadi sempit. Menjadi lumrah, bila ada pertemuan sekeluarga sekarang ini, semua berkumpul bukan untuk bertanya khabar bertukar cerita, tapi duduk berkumpul bersama-sama tapi melayan gajet masing-masing.

Banyak kajian telah dibuat oleh pelbagai pihak untuk memerihalkan buruk dan baiknya fenomena ‘melekat dengan gajet’ dalam kalangan anak-anak. Pediatric Academic Societies yang berpangkalan di Amerika Syarikat dalam satu hasil kajiannya menunjukkan 30 peratus bayi berusia setahun di negara itu sudah didedahkan dan terbiasa menggunakan tablet serta telefon pintar. Selain itu, sebanyak 36 peratus bayi berusia lingkungan dua tahun menggunakan gajet miliknya untuk bermain permainan video. Hasil kajian ini juga mendapati, 65 peratus ibu bapa mengaku memberikan gajet kepada anak-anak supaya anak mereka lebih mudah dikawal, manakala 29 peratus ibu bapa menggunakan kemudahan itu untuk memudahkan anak-anak tidur.

Penggunaan gajet elektronik secara berlebihan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak membawa kesan sama seperti yang dialami penagih dadah. Pakar kanak-kanak bersetuju bahawa kecanggihan teknologi membawa masalah baharu kepada pertumbuhan kanak-kanak dan memberi amaran kepada ibu bapa terhadap penggunaan gajet elektronik, termasuk telefon bimbit sebagai agen pengawal mereka. Penggunaan gajet elektronik berlebihan menyebabkan simptom sama seperti yang dialami penagih dadah. Penyalahgunaan dadah dalam jangka panjang diketahui akhirnya akan mengubah otak pengguna dan mereka memerlukan lebih banyak dadah untuk menghasilkan keseronokan atau khayalan yang sama. Penggunaan gajet elektronik berlebihan didapati membawa kesan yang sama seperti dadah.

Hasil kajian yang dikongsi oleh University of Michigan di C.S Mott Children‘s Hospital menyatakan, jika tahap keseronokan tidak dicapai, ia menimbulkan masalah dari segi tumpuan, kelakuan dan ‘mood’ kanak-kanak. Kajian ini juga memerihalkan kesan negatif penggunaan peranti elektronik berlebihan termasuklah kurang tidur, prestasi akademik lemah, pengasingan sosial dan masalah hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan. Ia juga boleh membawa kepada gangguan mental dalam keadaan lain seperti kemurungan dan kegelisahan.

Dalam wawancara bersama media, Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud menegaskan bahawa fenomena dan kesan negatif kecanduan gajet ini perlu dilihat dan ditangani secara serius oleh ibu bapa dan penjaga kanak-kanak. Banyak kaedah yang boleh diaplikasikan, namun yang paling utama menurutnya adalah ibu bapa boleh menunjukkan dahulu tauladan dalam penggunaan gajet secara berhemah. Andai anak-anak ‘dikuatkuasakan’ dengan peraturan menggunakan gajet, namun ibu bapa pula boleh berleluasa menggunakannya tanpa had, maka ia ibarat mencurah air ke daun keladi.

Selain itu banyak panduan lain disyorkan oleh pelbagai pihak untuk mengawal penggunaan gajet oleh anak-anak. Antaranya: Ibu bapa perlu memantau dan mengawal selia penggunaan gajet oleh anak-anak. Antaranya, dengan cara membuat peraturan khas dalam aspek masa dan had penggunaan gajet anak-anak setiap hari. Mungkin boleh dicadangkan bahawa had penggunaan gajet terhadap kanak-kanak hanya satu jam pada waktu pagi dan sejam pada waktu petang manakala pada waktu malam pula penggunaan gajet adalah sifar demi meluangkan masa bersama keluarga dengan berkualiti.

Penggunaan gajet hanya di ruangan tertentu sahaja di dalam rumah dan ruangan itu mestilah mudah dipantau oleh ibu bapa, misalnya di ruang tamu, di bilik belajar atau di ruangan santai. Ini membantu ibu bapa melihat secara langsung berapa lama dan apa yang sedang dilayari oleh anak-anak melalui gajet tersebut.

Jangan biarkan anak-anak melayari gajet bersendirian sepanjang masa, kerana dikhutiri tanpa sedar anak-anak melayari sesuatu yang tidak sepatutnya mereka muat turun atau tonton di laman maya. Tentukan apakah jenis aplikasi permainan atau pembelajaran yang boleh dilayari atau dimuat turun oleh anak-anak. Menurut laman sesawang PandaSecurity.com, ibu bapa bertanggungjawab menentusahkan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilayari dan dimuat turun oleh anak-anak ke dalam gajet mereka. Ada kalanya anak-anak yang naif ini tidak sedar bahawa mereka memuat turun sesuatu yang mungkin bersifat lucah atau mempunyai virus yang boleh merosakkan gajet mereka. Untuk itu, syarikat antivirus komputer terkenal iaitu Kaspersky Lab ada memberikan panduan komprehensif bagaimana ibu bapa boleh mewujudkan apa dipanggil sebagai Parental Control untuk mengawal penggunaan internet melalui gajet oleh anak-anak.

Gajet sebagai alat ganjaran dan hukuman. Kaedah ini menggalakkan anak-anak untuk berusaha membuat sesuatu seperti membuat ulang kaji, membantu urusan ibu bapa di rumah, atau sumbangan dan bantuan tertentu yang dibuat oleh anak-anak. Setiap kali mereka berjaya melakukannya ganjaran diberi dengan ruang masa tertentu untuk menggunakan gajet. Begitu juga sebagai hukuman iaitu apabila anak-anak ada melakukan sebarang kesilapan tertentu atau kegagalan melakukan sesuatu yang ditetapkan ibu bapa, maka mereka dilarang menggunakan gajet untuk tempoh masa tertentu. Ini akan mendidik mereka supaya tidak melakukan kesilapan yang sama.

Ada yang mengamalkan gajet yang tidak dicas baterinya sehingga penuh sebagai kaedah untuk menghadkan penggunaannya oleh anak-anak. Ini sedikit sebanyak membantu menghadkan tempoh penggunaan gajet oleh mereka.

Pastikan ibu bapa mempunyai dan mengaktifkan kod kata kunci untuk gajet mereka yang dirahsiakan daripada anak-anak. Ia sangat membantu dari segi kawalan kerana anak-anak terpaksa mendapatkan bantuan ibu bapa untuk mengaktifkan kod kata kunci gajet tersebut.

Cari alternatif lain untuk mengisi masa lapang anak-anak. Ibu bapa harus bijak mengatur aktiviti-aktiviti yang boleh menghilangkan kebergantungan anak-anak kepada gajet. Misalnya aktiviti santai sekeluarga bermain catur, mengemas rumah, berkebun, bermain permainan minda, aktiviti keagamaan dan seumpamanya.

Wallahu a'lam.

Dr Khairunneezam bin Mohd Noor, Penulis Pensyarah Kanan di Program Dakwah dan Pengursan islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia


Wednesday, April 3, 2019

Pelancaran buku enche Neezam @ PBAKL19

السلام عليكم

Salam Israk Mikraj kepada semua.

Hari ni Negeri Sembilan cuti sempena Israk Mikraj, Selangor kerja. So, enche Neezam dan little Khairunns bercutilah hari ni memandangkan enche Neezam bekerja di Negeri Sembilan dan bebudak pun sekolah kat Nilai. Aku jer yang bekerja kat Shah Alam ni. Huhuhu...

Tapi walaupun cuti, enche Neezam bekerja jugak hari ni. Biasalah laki aku tu. Busy manjang. Tapi bukanlah kerja hakiki hari ni. Enche Neezam ke PWTC sebab ada pelancaran buku beliau sempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019.

So, Niesreena dan Naufal pun ikutlah sekali. Nasib baik taska boleh jaga baby Neeyaz. Kalau tak... jenuhlah enche Neezam kena bawak sekali. Huhuhu...

Alhamdulillah... ada 2 buah buku enche Neezam bersama kawan-kawan beliau yang diancarkan kali ni - Kepimpinan Era Moden dan Antologi Puisi Sulaman Tinta.

Hari ni buku enche Neezam dirasmikan oleh sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said.

Serba putih Pak Samad. Cuma tak lengkap dengan cermin mata bulat beliau jer.

Semalam pun ada sebuah buku enche Neezam lagi yang dilancarkan, kat PWTC jugak.

So, sesiapa yang berminat untuk dapatkan buku-buku ni, bolehlah cari enche Neezam atau Penerbitan USIM. Insya Allah... bermanfaat...

Niesreena dan Naufal pun tak lepaskan peluang dapatkan buku-buku kat Pesta Buku ni.

Untuk baby Neeyaz pun ada!

Seronok si kecik ni, ayah datang ambik awal kat taska tadi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top