♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Saturday, March 9, 2019

Had Kebebasan Anak-anak

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Kebebasan Anak-anak Bukan Taruhan

Pandangan dan amalan ibu bapa dan penjaga dalam mendidik anak-anak sememangnya berbeza-beza. Ramai yang percaya kebebasan untuk anak-anak bertindak dan berfikir adalah kaedah yang terbaik untuk tidak merencatkan perkembangan dan kreativiti mereka. Dikatakan anak-anak akan lebih mudah meneroka erti kehidupan mengikut keinginan dan kehendak mereka yang digabungkan dengan potensi dan kecenderungan domain kognitif, afektif dan psikomotor masing-masing. Kebebasan tanpa batasan yang diberi, dianggap sebagai bukti kasih sayang yang tidak berbelah bahagi buat anak-anak. Maka, ke mana anak-anak pergi, dengan siapa mereka bergaul dan aktiviti apa yang dilakukan tidak diambil kisah.

Pun begitu, ibu bapa yang memberikan kebebasan bersyarat selalu juga membawa natijah yang tidak diingini, baik terhadap anak-anak mahu pun diri mereka sendiri. Sehingga ke satu tahap apabila anak-anak sudah sebal dengan kebebasan tanpa bimbingan, maka tingkah laku yang silap dianggap betul, tindakan yang salah dianggap biasa, dan pilihan mereka tidak akan ditentang oleh ibu bapa. Apa sahaja yang dibuat anak-anak mereka, diterima bulat-bulat tanpa ditegur atau dikawal. Inilah kesilapan besar yang dibuat oleh sebilangan ibu bapa. Bila berlaku sesuatu yang buruk terhadap anak-anak di masa hadapan, barulah hendak menyesal. Begitu juga halnya dengan kes-kes anak-anak yang didera, pertelingkahan dalam keluarga, rumahtangga yang porak peranda dan sebagainya menjadi pendorong utama kepada gejala anak-anak remaja lari dari rumah.

Kisah kehilangan anak-anak yang masih menjadi misteri sebenarnya perlu dijadikan tauladan sebaiknya buat ibu bapa yang lain. Mengikut data yang dikeluarkan oleh Portal Rasmi Kanak-kanak Hilang, Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan kanak-kanak, Polis Diraja Malaysia, antara tahun 2014 hingga 2018, seramai 732 orang kanak-kanak dan remaja dilaporkan hilang dan sehingga kini tidak ditemui. Dalam satu statistik yang pernah dikeluarkan oleh PDRM juga, dikatakan purata 4 kes kehilangan kanak-kanak dan remaja dilaporkan setiap hari di seluruh negara. Ada yang sudah hilang bertahun-tahun dan tidak dijumpai sehingga ke saat ini. Gambaran statistik sebegini adalah sesuatu yang sepatutnya boleh mencelikkan mata hati ibu bapa terhadap tanggungjawab untuk menjaga anak-anak mereka sebaiknya.

Pengawasan dan penjagaan yang lebih berkesan perlu dipraktikkan oleh ibu bapa. Ibu bapa perlu sedar betapa anak-anak itu adalah anugerah tuhan yang tidak ternilai yang perlu dijaga sebagai amanah yang utama dalam kehidupan. Ia selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui. Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 27-28). Rasulullah SAW juga mengingatkan kita tentang tanggungjawab terhadap anak-anak melalui hadisnya yang bermaksud: “Seseorang dianggap berdosa, apabila membiarkan (tidak mempedulikan) orang yang wajib diberikan nafkah.” (Riwayat Muslim).

Di bahu ibu bapa terletak tanggungjawab yang berat untuk memastikan perkembangan dan kemandirian anak-anak agar seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Umum tahu bahawa anak-anak itu adalah diibaratkan seperti helaian kain putih yang perlu dicorakkan sebaiknya mengikut acuan yang dikehendaki oleh ibu bapanya. Ini bermaksud ibu bapa harus faham kaedah ‘menang-menang’ dalam mendidik dan mengawasi anak-anak. Menang di pihak mereka apabila anak-anak mendengar kata, berdisiplin dan terkawal. Menang di pihak anak-anak pula adalah mereka tidak berasa terlalu terkongkong, mempunyai ruang untuk bersuara dan mempertahankan pendapat dan membuat aktiviti yang disukai di dalam lingkungan batas yang sepatutnya.

Antara langkah-langkah yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa untuk menjaga dan membimbing anak mereka adalah ibu bapa berperanan menjadi sumber primer dalam memberi bimbingan keagamaan, moral, adab, tatasusila serta kebudayaan. Bimbingan secara langsung sebegini akan melahirkan perasaan yakin di kalangan anak-anak bahawa ibu bapa adalah ‘role-model’ yang terbaik untuk diikuti mereka. Dampingi mereka pada waktu gembira misalnya dengan menghadiahkan sesuatu jika mereka berjaya di dalam pelajaran, atau jadilah sumber nasihat dan pemotivasi terbaik jika anak-anak menghadapi kegagalan atau mempunyai masalah.

Seterusnya, budayakan dan terapkan di dalam minda anak-anak dengan konsep ‘rumahku adalah syurgaku’. Konsep begini memberi isyarat bahawa rumah adalah tempat terbaik untuk anak-anak meluangkan masa. Untuk itu, rumah perlulah diselia oleh ibu bapa sebaiknya daripada segi kebersihan, keselesaan, kemudahan dan sebagainya. Jika rumah berupaya menjadi lokasi penarik minat anak-anak, maka akan kuranglah risiko untuk anak-anak terdedah dengan anasir kurang sihat jika mereka selalu keluar rumah.

Ibu bapa perlu peka dan tahu gerak geri anak-anak sepanjang masa. Misalnya ambil tahu dan tanyakan kepada anak-anak bilakah waktu persekolahan mereka, waktu menghadiri tuisyen, waktu beriadah bersama rakan-rakan, aktiviti mereka di alam siber dan sebagainya. Peka bukan bermaksud ‘kepoh’ nak menjaga tepi kain anak-anak, tetapi lebih kepada sifat mahu memantau dan prihatin terhadap apa yang anak-anak lakukan setiap masa. Ramai ibu bapa yang membelikan anak-anak mereka telefon bimbit untuk tujuan pemantauan ini, dan ia diakui sebagai salah satu kaedah kawalan yang praktikal.

Ibu bapa sepatutnya cuba memperuntukkan jumlah masa yang sebaiknya untuk membuat aktiviti bersama anak-anak. Zaman sekarang rata-rata ibu bapa mempunyai karier masing-masing dan mereka selalu mempunyai kekangan masa untuk berada di rumah sepanjang masa. Namun ia bukan halangan untuk masih rapat dengan anak-anak kerana mereka boleh luangkan masa untuk bergaul mesra dengan anak-anak selepas waktu bekerja atau pada hujung minggu. Misalnya solat dengan anak-anak secara berjemaah, makan malam bersama-sama, menyemak kerja sekolah mereka, berkelah sekeluarga di hujung minggu, berbual-bual dan sebagainya.

Kemudian, ibu bapa mesti menghadkan batas kebebasan anak-anak. Kebebasan perlu ditafsirkan kepada anak-anak mengikut justifikasi yang diterimapakai oleh ibu bapa, masyarakat dan budaya secara umumnya. Contohnya, jika anak-anak kecil mahu membeli sesuatu di kedai, mereka perlu dididik untuk pergi bersama-sama ibu bapa atau adik beradik yang sudah cukup matang. Jika anak-anak remaja mahu bersiar-siar atau keluar bersama rakan-rakan, mereka perlu diajar supaya menghormati batas pergaulan dengan rakan berlainan jantina, adab dan tatasusila berpakaian dan bertingkah laku, serta memastikan waktu untuk anak-anak keluar tidak melampaui had dan batasnya.

Seterusnya, ibu bapa bertanggungjawab untuk tahu dan kenal siapa rakan-rakan anak-anak mereka. Pastikan rakan-rakan yang bercampur gaul dengan anak-anak mempunyai keperibadian yang diyakini, baik dan tidak berkecimpung dengan gejala-gejala negatif dan boleh mempengaruhi sikap dan kemandirian anak-anak. Didik juga anak-anak untuk tidak begitu percaya kepada orang yang tidak dikenali supaya mereka tidak mudah untuk terpedaya dengan pujuk rayu orang asing tersebut yang mahu melakukan sesuatu yang buruk terhadap mereka. Panduan-panduan ini disarankan buat ibu bapa agar tidaklah nanti ‘bila terantuk baru nak terngadah’ dan berperanan sebagai cadangan pencegahan kepada berlakunya pengulangan kes-kes anak-anak yang hilang atau lari dari rumah.

Dr Khairuneezam bin Mohd Noor

Penulis Pensyarah Kanan di Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

No comments :

back to top