♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Monday, August 19, 2019

Tindakan Pantas Cantas Vandalisme

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Artikel enche Neezam disiarkan hari ni. Macam biasa di akhbar Harian Metro sisipan Minda. Artikel penuh ada di bawah. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

Tindakan Pantas Cantas Vandalisme

Sakit mata dan sakit hati! Itulah perasaan penulis apabila melihat dinding-dinding dan kaki lima di kawasan kejiranan saudara terdekat penulis diconteng dan disembur dengan perkataan yang tidak senonoh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sudahlah begitu, terdapat juga kesan bau air kencing manusia yang hanyir di sudut-sudut tangga apartmen tersebut yang cukup memualkan. Apakah takuk pemikiran sesetengah kita masih lagi seperti hidup di zaman batu? Tidak dapat digambarkan kesulitan yang terpaksa ditanggung masyarakat setempat akibat perbuatan vandalisme seperti ini di negara kita yang tercinta.

Laporan kes-kes vandalisme sangat acap kita ketemukan dalam media massa dan media cetak. Pada tahun 2016 misalnya, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dilaporkan telah menanggung kerugian lebih RM6 juta kerana menampung kos menggantikan 1300 unit tingkap koc komuternya yang pecah akibat perbuatan vandalisme. Contoh lain adalah kebakaran besar-besaran rumah kediaman kerana perlakuan mencuri kabel elektrik, kerosakan harta awam seperti di taman-taman rekreasi atau pengangkutan awam, kecurian yang berlaku terhadap harta milik surau atau rumah ibadat, dan seumpamanya. Perbuatan ini membuktikan bahawa pelaku vandalisme ini begitu ghairah melakukan perbuatan tidak bertamadun sebegini dan membelakangkan kepentingan dan hak orang lain.

Sememangnya penguatkuasaan dan tindakan undang-undang adalah antara kaedah terbaik dalam mengajar masyarakat untuk tidak melakukan vandalisme. Namun kaedah sebegini bukanlah jawapan yang bersifat total kepada pencegahan gejala buruk tersebut. Sebenarnya, kaedah psikologi dan pendidikan turut menyumbang ke arah pencegahan gejala vandalisme.

Dalam hal ini tidak berapa lama dahulu, kerajaan melalui Majlis Sosial Negara telah membuat keputusan untuk memulihkan kawasan-kawasan tegar dengan gejala sosial termasuklah vandalisme di sekitar Lembah Kelang. Majlis tersebut telah bersetuju melalui perbincangan bersama ahli akademik dan pakar dalam pelbagai bidang pembangunan sosial bahawa pelbagai projek sosial dan fizikal bagi memutihkan kawasan-kawasan tersebut berlandaskan ‘Teori Tingkap Pecah’ (Broken Window Theory) yang digagaskan oleh dua pakar sosiologi dari barat iaitu James Wilson dan George Kelling.

Teori Tingkap Pecah ini lahir hasil daripada kajian yang mendalam terhadap kaedah-kaedah yang paling signifikan dalam menangani keruntuhan nilai dan etika sosial dan menangani jenayah vandalisme di kalangan masyarakat di bandaraya New York, Amerika Syarikat pada awal 1980-an hingga 1990-an. Teori ini mendasari pemahaman bahawa untuk menangani gejala sosial, vandalisme dan seterusnya jenayah serius, keadaan fizikal di sesuatu kawasan itu perlu dipulihkan segera bagi meminimumkan pengulangan gejala yang sama.

Misalnya, jika ada tingkap bangunan yang pecah, ia perlu diganti dengan tingkap yang baru pada kadar segera. Jika tidak, lebih banyak lagi tingkap yang akan dipecahkan kerana si pelaku vandalisme akan merasakan pengurusan bangunan tidak mengambil endah akan kerosakan bangunannya dan meng'halal'kan perbuatan mereka. Begitu juga keadaannya dengan kaki-kaki lima atau lorong-lorong yang penuh dengan sampah, ianya perlu dibersihkan dengan segera. Jika tidak orang ramai akan terus meletakkan longgokan sampah yang lebih banyak kerana mereka memikirkan jalan tersebut sebagai tempat yang sesuai untuk dibuang sampah.

Berdasarkan teori ini juga, strategi terbaik mencegah kebejatan sosial dan vandalisme adalah dengan memperbetulkan sesuatu masalah sementara ianya masih tidak serius. Padang permainan kanak-kanak, telefon awam, tandas awam dan taman rekreasi merupakan antara kawasan yang perlu sentiasa dipelihara dan dipulihara bagi mengelakkan kes-kes vandalisme terus berleluasa.

Terdapat satu kajian longitudinal yang dibuat oleh pengkaji-pengkaji bidang sosial di Australia yang cukup menarik dalam mendasari kesesuaian Teori Tingkap Pecah ini dalam menangani vandalisme. Hasil kajian tersebut mendapati, walau pun undang-undang Graffiti Prevention Bill diperkenalkan pada tahun 2007 dan dikemas kini sehingga tahun 2016, namun tembok dinding kedai-kedai di persisiran bandaraya Melbourne seperti di Northcote, Geelong, Fitzroy dan Camberwell, acap kali menjadi dinding pameran lukisan-lukisan ‘graffiti’ oleh pelaku vandalisme. Hukuman denda serta-merta AUD1000.00 dan penjara sehingga maksimum dua tahun di bawah undang-undang ini seakan-akan tidak mendatangkan rasa takut kepada mereka.

Berdasarkan Teori Tingkap Pecah, apabila pemilik kedai hanya membatu dan tidak berbuat apa-apa, didapati bahawa semakin banyak graffiti yang dicorakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini. Berbeza dengan keadaannya bagi pemilik kedai yang tidak jemu mengecat semula dinding kedainya setelah diconteng berkali-kali, kejadian vandalisme graffiti sebegini akan berkurangan dan akhirnya terhenti sendiri.

Berorientasikan Teori Tingkap Pecah inilah kerajaan berhasrat untuk melaksanakan tindakan-tindakan bersepadu dalam mewujudkan persekitaran kehidupan masyarakat yang bersih, selesa dan aman. Apabila persekitaran menjadi teratur dan indah, maka kebejatan sosial dan vandalisme dapat dikurangkan dan seterusnya dihapuskan. Kita sendiri sedia maklum bahawa memang wujud sesetengah masyarakat yang sebenarnya tidak berniat untuk membuat kerosakan terhadap kemudahan awam, tetapi sebenarnya secara tidak langsung ada tindak-tanduknya itu yang mencerminkan sikap vandalisme.

Misalnya, kerana terlalu malas hendak turun ke tingkat bawah, ada penghuni rumah apartmen dengan selamba melempar bungkusan sampah dari tingkat atas ke bawah. Tindakan ini bukan sahaja menunjukkan tiadanya rasa bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran, bahkan boleh mengundang maut jika sampah tersebut menghempap kepala orang lain di bawah. Begitu juga keadaannya dengan kemudahan-kemudahan awam yang tidak digunakan secara berhemah oleh masyarakat. Itu sebabnya kita selalu dapat melihat tiang-tiang telefon awam dan perhentian bas yang selalu menjadi mangsa vandalisme seakan-akan ‘hidup segan, mati tak mau’. Sikap seperti ‘tak apa, nanti ada orang lain akan bersihkan’, atau ‘ini bukan harta aku’ adalah antara penyebab mengapa kebejatan sosial dan vandalisme sebegini masih terus berulang dan tiada noktahnya.

Untuk menjayakan usaha kerajaan memulihkan persekitaran fizikal di kawasan-kawasan terpilih ini, kerjasama dan keprihatinan semua pihak adalah sangat-sangat membantu. Tanggungjawab pemulihan ini perlu dipikul secara holistik oleh semua pihak, bukan sekadar kerajaan atau majlis perbandaran, bahkan masyarakat dan setiap individu. Jika setiap ahli dalam masyarakat memberi sokongan walaupun sebesar zarah, ianya akan tetap bermakna. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak untuk menjaga kebersihan dan mewujudkan rasa kebertanggungjawaban apabila menggunakan kemudahan awam. Ajar dan berikan contoh terbaik kepada mereka untuk misalnya tidak membuang sampah sesuka hati, dan lebih baik lagi ajar mereka untuk kitar semula sampah yang dibuang untuk tujuan lain yang lebih baik.

Sikap tegur-menegur dan ambil peduli di kalangan jiran-jiran juga perlu supaya tidak ada yang lepas tangan dalam menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran. Jika ada yang ternampak individu-individu tertentu yang membuat vandalisme, tegur mereka secara berhemah atau adukan segera kepada pihak yang berwajib. Amalan gotong-royong dan bekerjasama membersih dan mengindahkan kemudahan awam mahu pun kawasan kejiranan perlulah disemai dan dikekalkan. Memang sudah ada beberapa komuniti perumahan yang telah mengambil inisiatif dalam mengawal gejala sosial seperti mewujudkan rukun tetangga, mengecat semula dinding-dinding rumah dan balai raya, mengedarkan risalah-risalah berkaitan kebersihan dan menganjurkan program-program pendidikan, namun ianya perlu juga disuburkan dan diamalkan oleh semua komuniti masyarakat di seluruh negara.

Sunday, August 18, 2019

Kayuh lagi - explore ladang getah dan kelapa sawit

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Cycling lagi!

Sejak akhir-akhir ni asyik update pasal cycling jer kan. Sorrylah... tapi kali ni memang kena post jugak. Sebab nak tunjuk keindahan kampung halaman enche Neezam. Selama ni macam tak perasan jer. Huhuhu...

Pagi tadi sempat kayuh sekitar Gemereh jer. Kat dalam-dalam kawasan kampung.

Best pagi-pagi, sejuk dan nyaman jer. Siap jumpa burung enggang. Tapi tak sempat nak tangkap gambar. Huhuhu... Hopefully ada rezeki lagi akan datang.

Bestnya kali ni sebab masuk ke dalam kawasan kampung, jumpa bermacam-macam pokok buah-buahan, masuk ladang getah dan ladang kelapa sawit. Orang bandar macam aku ni memang jakunlah.

Huhuhu...

Nampak sangat tak jakunnya? Huhuhu...

Semalam enche Neezam berbasikal dengan Naufal. Jalan yang sama jugak. Naperlah Naufal tak menunjukkan kejakunan macam aku. Dia relax jer.

Dak kecik sorang ni pun sibuk nak ikut berbasikal dengan ayah dan abang dia. Nasib baik sempat tahan. So, berbasikal belakang rumah jer lah yer Neeyaz.

Kalau orang tanya "best ker berbasikal?".

Aku akan kata "yup! Memang best!"

Dulu aku rasa macam tak sokong enche Neezam beli basikal sebab takut basikal jadi besi buruk jer kat rumah. Tapi bila memang guna ni, rasa bestlah. Harap-harap tetap berguna dalam jangka masa panjang.

Tapi kalau korang nak berbasikal untuk turunkan berat badan, rasanya tak okay. Sebab dah beberapa kali berbasikal ni, berat badan tetap maintan BERAT! Huhuhu... Mungkin sebab berbasikal seminggu sekali, tapi makan berat hari-hari!

😅😅😅😅😅

Friday, August 16, 2019

Salam Jummat

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Salam Jumaat uollsss!

Kebetulan hari ni tersama warna pulak dengan enche Neezam.

Sehati sejiwang pulak rasa. Huhuhu...

Thursday, August 15, 2019

Girls Night Out... Bowling time!

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Alhamdulillah... akhirnya menjadi jugak outing dengan bebudak nih. Haiissshhhh... bertahun plan. Malam ni gagahkan jugak.

Banyak kali dah plan nak outing dengan dengan kengkawan ni. Akhirnya menjadi sebab Sahara dah nak berhenti kerja. Sebelum Sahara balik Penang. Kiter kasi jadik! Kalau tak asik postpone jer.

Sedapnya lahai ribeye... Dah lama tak makan kat sini. Tapi harga dia dah naik mencanak!

Kemain posing memasing. Kitorang bukan pandai main pun. Huhuhu... Sajer jer enjoy enjoy. Tapi sesekali tak sengaja kena strike dan spare memang gamatlah sorak tak hengat dunia!

Memang seronok sangat malam ni - makan-makan, chit chatting, bowling! Even ke longkang pun memasing tetap dengan positive energy!

Thank you for making this happened korang! We should do this more often.

To Sahara, please keep this memory forever in your heart. We will miss you so much! All the best kat tempat baru!

Tuesday, August 13, 2019

Berbasikal Segamat - Jementah - Segamat

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Alhamdulillah, kitorang sampai ke Segamat semalam. Niesreena dan Naufal nak duduk kat rumah ayah tok dan mak tok sempena cuti sekolah kali ni.

Balik kampung kali ni enche Neezam sibuk sangat nak bawak balik basikal. Nak berbasikal kat kampung katanya.

So, petang semalam aku pun ikut enche Neezam. Bila lagi nak berbasikal berdua kan? My little Khairunns, ayah tok dan mak tok diorang jaga.

Pusing-pusing sekitar Gemereh ni semalam dapatlah dalam 14 km. Penat jugak pusing-pusing kampung ni sebab banyak turun naik bukit. Serius penat!

Enche Neezam pun seronoklah bercerita... inilah tempat dia gi mancinglah, ni rumah kawan dia nama ni lah, macam-macam lah...

Semalam enche Neezam kata nak ajak Naufal pula. Nak kayuh dari Gemereh ke Jementah pastu patah balik semula ke Gemereh.

Issshhh... aku risau pulak nak lepaskan Naufal sebab lalu jalan besar, kan. Kalau kat Bandar Enstek tu kat kawasan perumahan jer, aku beranilah lepaskan. Ni jalanraya banyak lori... risau pulak.

So, aku mengofferkan diri untuk ikut enche Neezam.

Pagi tadi lepas solat subuh, kitorang gerak. Memang bestlah kayuh pagi-pagi... angin sejuk jer... Tapi kayuh 5 km rasa macam nak balik. Huhuhu... penatnya.

Walau jalan lurus, tapi memang banyak naik turun bukit. Waktu turun bukit tu memang syoklah... bila naik bukit... hmmmm... masa tu jugak rasa nak call ayah mertua datang ambik tepi jalan. Huhuhu...

Tapi alhamdulillah... enche Neezam sangat supportive. Bila tengok aku macam tak larat, dia dok sorak dari belakang, bagi perangsang sikit.

Ya Allah! Bila nampak kilang Eco, rasa semangat sebab tau dah nak sampai.

Sikit lagi!

Sikit lagi!

Dan bila nampak sekolah SMK Jementah rasa nak menjerit kegembiraan! Tak sangka aku berjaya kayuh sejauh itu! Huhuhu...

Sampai Jementah, kitorang perlahan-lahan lajak ke Paya Jakas. Gi ke tadika tempat enche Neezam belajar dulu dan SK Paya Jakas, tempat aku pernah jadi cikgu sandaran suatu masa dulu.

Ronda-ronda sekitar pekan Jementah jap. Enche Neezam mengimbau semula kenangan masa dia dok Jementah masa sekolah rendah dulu. Tempat dia mandi sungai, rumah penjaga dia, sekolah dan macam-macam lagilah.

Kitorang sempat jugak breakfast kat kedai Pak Maon.

Adoi mukaku.... peluh habih!

Lepas breakfast, kitorang patah balik ke Gemereh.

Alhamdulillah, lebih kurang pukul 11 sampai kat rumah. Bila balik rasa sekejap jer. Tapi serius penat weh!

Overal, dari rumah ke Paya Jakas dalam 24 km. Pastu pusing-pusing lagi dalam kampung kat Jementah. So, pergi balik lebih kurang 50 km kayuh hari ni.

Huhuhu... tak sangka.

I'm proud of myself. Walaupun jenis tak bersenam, tapi gagah jugak capai matlamat. Huhuhu...

Malam ni badan dah mula sakit-sakit dah ni. Nak kena cari yoko yoko ni.

Adeeehhhh!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top