♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Sunday, December 30, 2018

Bilik study dah kemas!

Bilik study akan kembali beroperasi seperti biasa minggu depan.

Semoga pengguna bilik ini terus istoqomah dan mengekalkan kebersihan dan kekemasan bilik study bagi menjamin mama diorang tak bertukar jadi hulk sebab bilik study bersepah... 😩

Biasanya awal tahun je kemas macam ni, akhir tahun jadi macam kena langgar garuda 😭

Hari ni sehari suntuk mama kemas bilik ni je. Penat sebab sambil kemas, sambil membebel!

Gambar bilik study sebelum kemas ada di 2 gambar terakhir.

Sila istigfar 😅

#bilikstudyreenanaufal #dbestari16
#rumahneezamjulie

Saturday, December 29, 2018

Fotokopi Bahan Kuliah

Artikel enche Neezam hari ni di akhbar Harian Metro sisipan Minda.

Artikel penuh kat bawah ni. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

FOTOKOPI BAHAN KULIAH: HALAL ATAU HARAM?

Umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan. Begitulah ibaratnya dengan perniagaan atau kedai-kedai cetakan atau juga sinonim dengan perkataan ‘xerox’ atau fotokopi. Masakan tidak, ‘industri bersandarkan pendidikan’ seperti ini memang menjadi tumpuan, terutamanya dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) sejak sekian lama, dan ironinya budaya fotokopi ini masih ada. Budaya ini sudah seakan-akan meresap sebati dalam masyarakat kita seolah-olah budaya dan amalan ini dibenarkan dan amat sukar dibendung daripada terus berleluasa dari satu generasi ke satu generasi. Ia masih dan tetap menjadi salah satu pilihan pelajar yang 'evergreen' dan kelihatan 'halal' dalam memiliki buku, makalah, sumber rujukan dan apa sahaja dokumen berkaitan dalam kuliah, walau pun tidak seketara fenomena serupa pada 10-20 tahun yang lalu.

Kita selalu juga tertanya-tanya, mengapa pelajar di IPT masih menggunakan cara tersebut untuk membuat salinan nota kuliah mereka? Masakan tidak, semurah 3 hingga 5 sen sahaja harga untuk sesalinan dokumen bersaiz kertas A4, ia dianggap kaedah termurah, mudah dan cepat untuk mendapatkan maklumat daripada buku teks, buku nota malah modul yang digunakan oleh mereka dalam sesi perkuliahan. Ini adalah satu bentuk 'langkah penjimatan' yang cukup disukai oleh pelajar. Kelihatannya wang saku dan biasiswa/pinjaman boleh digunakan untuk tujuan lain seperti tambah nilai talian internet, makanan, pengangkutan dan lain-lain.

Akan hal ini, kebiasaannya, pensyarah akan mengusulkan buku-buku tertentu untuk dibeli oleh pelajar kerana ia dijadikan teks rujukan dalam kuliah. Namun, harga buku rujukan tertentu adalah agak mahal atas sebab pelbagai faktor seperti ia rujukan utama dalam bidang pengajian tertentu, diimport dari luar negara, ditulis oleh penulis tersohor dan sebagainya. Maka sudah tentulah para pelajar akan ada perasaan 'tersepit' antara dua pilihan keutamaan, mahu membeli dan memiliki buku rujukan original tersebut atau untuk terus berjimat-cermat dalam penggunaan wang ringgit. Dalam perspektif ekonomi, isu ini berkait dengan teori 'kos melepas' atau Opportunity cost di mana para pelajar akan cenderung memilih untuk membuat salinan fotokopi lantaran rasa tidak mampu untuk membeli buku rujukan tersebut.

Begitu pun, para pelajar harus memahami bahawa buku rujukan yang difotokopi itu adalah satu usaha jangka panjang oleh penulis karya akademik tersebut. Ia terhasil daripada pengetahuan, pengalaman dan kajian yang dihasilkan secara mutlak oleh penulis yang telah menghabiskan banyak masa, titik peluh dan buah fikiran untuk dikongsi oleh masyarakat dan khususnya mereka yang mempelajari bidang ilmu yang sama. Tidakkah para pelajar terfikir bahawa hasil ilmiah ini secara perundangannya mempunyai nilai 'hak milik' yang absah kepada penulisnya? Seterusnya, apakah tidak disedari bahawa penulis-penulis buku ini layak untuk menerima ganjaran hasil jualan buku-buku mereka hasil titik peluh mereka sendiri?

Begitu juga dengan hak syarikat percetakan yang telah bertungkus-lumus menjalankan proses perniagaan mereka bagi menjual buku-buku ini demi keuntungan dalam perniagaan mereka. Untuk itu, apabila hasil ilmiah ini difotokopi sewenang-wenangnya, ia adalah satu bentuk rompakan terhormat kepada hak milik penulis asal buku tersebut dan ini adalah satu gejala tidak beretika yang sungguh berleluasa dalam arena keilmuan yang cukup mulia iaitu di institusi pengajian tinggi.

Bukan sahaja ia satu kesalahan di sisi etika dan undang-undang, dalam Islam sendiri ia adalah sesuatu yang tidak bertepatan dengan syariat apabila hasil karya ilmiah ini dicetak semula tanpa keizinan penulis dan syarikat percetakan yang merupakan 'tuan punya' karya tersebut. Yusof al-Qardawi dalam kitabnya “Halal Dan Haram Dalam Islam” menyatakan bahawa Islam mengharamkan seorang muslim membeli sesuatu yang sudah diketahui, bahawa barangan tersebut adalah hasil rompakan atau hasil curian, ataupun sesuatu yang telah diambil dari orang lain dengan jalan yang tidak betul. Ini kerana perbuatan tersebut adalah menyamai amalan membantu perompak, pencuri selain ianya melanggar hak-hak orang lain, serta melanggar undang-undang berdasarkan kepada hadith Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa yang membeli barangan curian, sedangkan dia mengetahui bahawa barangan tersebut adalah satu hasil curian, maka dia bersekutu dalam dosa yang cacat” (Riwayat al-Baihaqi).

Untuk itu semua pihak harus bertindak dan bertanggungjawab dalam mencari solusi terbaik sebagai jalan penyelesaian bagi membendung masalah fotokopi ini daripada terus berleluasa. Antara alternatif yang ingin dicadangkan oleh penulis adalah seperti mana berikut. Pertama, semua pihak terutamanya pelajar IPT harus faham dan hadam dengan perkiraan hukum daripada perspektif Islam. Terdapat pelbagai pandangan telah diutarakan oleh ulama’-ulama’ kontemporari dalam merumuskan hukum dan kaedah membendung fenomena fotokopi ini.

Ada ulama’ yang menyatakan bahawa perbuatan fotokopi ini haram dan tercela. Ia sangat jelas berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah, apabila mengharamkan sesuatu, maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil daripada yang haram)” (Ar-Rawdu Al-Murabba’, Riwayat Ibn Hibban). Hadis ini satu isyarat jelas yang melarang umat Islam menjalankan perniagaan sesuatu yang haram kerana hasilnya juga menjadi haram, maka perbuatan memiliki sesuatu seperti buku rujukan secara tidak sah juga diibaratkan sebagai memperoleh sesuatu dengan haram.

Ada sesetengah pendapat lain pula yang membenarkan amalan ini atas dasar keperluan yang amat mendesak seperti masalah kesempitan kewangan atau keperluan yang meruncing untuk mendapatkan naskhah yang asal, dengan bersandarkan kepada Kitab al-Ashbah Wa al–Nazhoir iaitu : "Suatu keperluan boleh jatuh dalam kategori terdesak samada ia berbentuk umum atau khusus". Ini bermaksud perbuatan fotokopi ini adalah dibenarkan bagi kegunaan peribadi sahaja dan bukanlah bagi tujuan mengaut keuntungan atau tuntutan berupa faedah-faedah lain yang mana ianya adalah berlawanan dengan tujuan asal.

Kedua, kaedah kedua adalah dengan meminta keizinan untuk membuat salinan daripada penulis dan syarikat penerbitan buku yang dikehendaki. Namun, keizinan mungkin sesuatu yang sangat mustahil untuk diperoleh, lantaran faktor royalti dan keuntungan yang telah dikira-kira oleh pemilik karya. Ketiga, dicadangkan agar institusi pengajian tinggi dapat menambahkan lagi kuantiti buku-buku rujukan yang diperlukan pelajar di perpustakaan masing-masing supaya ia dapat dipinjam dan dijadikan rujukan pelajarsepanjang semester/pengajian. Pensyarah perlu bekerjasama dengan bekerjasama rapat dengan pihak perpustakaan dalam mencadangkan buku-buku rujukan yang sepatutnya dari semasa ke semasa.

Keempat, para pelajar harus kreatif dalam menggunakan sumber di internet dalam mencari buku-buku rujukan berbentuk elektronik. Banyak laman sesawang yang mengumpulkan pelbagai genre buku rujukan yang tersohor dan terkini untuk dimuat turun secara sah kerana pengendali laman web tersebut kebiasaannya telah mendapat keizinan daripada para pemilik asal karya-karya akademik tersebut. Kelima, para pensyarah harus tegas dalam memastikan gejala fotokopi buku ini tidak terus berleluasa dengan memberikan nasihat sewajarnya kepada pelajar. Pensyarah turut boleh menggunakan sebaik mungkin sistem pangkalan data yang kebanyakannya telah dibina oleh institusi pengajian masing-masing yang boleh memuatkan nota-nota kuliah, slaid pembentangan, bahan rujukan dalam pelbagai bentuk yang telah dimuat turun daripada internet dan sebagainya.

Penulis Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Wednesday, December 26, 2018

Transformasi ruang makan dan dapur kering 2013-2018

Dah penghujung tahun 2018. Cepat betul rasa tahun ni. Tup tup dah hujung tahun.

Alhamdulillah... tahun 2018 ni baik-baik ajer. Banyak benda yang dapat dicapai dan banyak benda jugak yang sekadar tinggal angan-angan. Huhuhu...

Apa yang tinggal anggan-angan? Tentulah azam yang sama setiap tahun... nak KURUS! Muahahahhaahahha... Memang entah bila dapat capai. Kui kui kui... Makin gemuk ada lah... Enche Neezam yang makin kurus. Ishhh... jeles! Tapi malas nak ikut dia jogging. Cam ner? Heheheh...

Tak per lah... chubby pun chubbylah... janji happy... makan sedap... husband sayang... hahahaha... kata-kata nak sedapkan hati.

Insya Allah... kita bawak azam tersebut ke tahun depan plak. #azam2019

Selain nak kurus... huhu... salah satu azam tahun 2018 ni ialah nak decor-decor ruang tamu. Konon nak pasang panel tv... nak tampal tv kat dinding... nak beli perabot yang dah lama aku aim... tapi bahagian lain plak yang terdeco. Semuanya gara-gara sebab dinding ruang makan tercomot. So, fokus bertukar dari ruang tamu, ke ruang makan plak. Tapi deco ruang makan ni bukan mengambil masa setahun ni ajer. Malah bertahun-tahun! Tapi berkat sabar... alhamdulillah... impian terlaksana.

Kitorang pindah masuk rumah January 2013. Dulu masa dapat kunci memang first aim nak pasang kabinet dapur dulu. Tapi belum ada rezeki lagi. Bagi kewangan stabil dulu.

So, sabar jerlah dengan dapur yang besar tapi apa pun tak der... huhuhu...

Meja makan pun comel jer. Alhamdulillah cukup untuk kami berempat masa tu.

Macam rumah bujang jer kan. Huhuhu...

Tahun 2016, ada rezeki lebih sikit kitorang renovate dapur. Tambah dapur basah kat belakang dan dapur basah sedia ada kitorang jadikan bilik study.

Dapur basah.

Dapur kering.

Then baru mampu nak pasang kabinet dapur idaman. Memula angan-angan nak buat island kat tengan-tengah dapur tu, macam rumah omputeh. Huhuhu... tapi bila fikir-fikir balik... buat kaunter jer lah. Better!

Dapur memang kawasan yang paling aku suka kat rumah sebab tempat makan! Dan jugak tempat aku selalu mengajar Niesreena dan Naufal buat kerja sekolah... sampailah sekarang... walaupun dah ada balik study.

Lepas raya tahun ni, dinding kat ruang makan tu comot sikit. Lap-lap tak boleh hilang. Nak cat separuh kang pelik plak dinding tu jadinya. Terus timbul idea nak decor dinding kat dapur. Ingat nak pasang wallpaper... tapi bila survey kat kedai, tak der plak design yang berkenan.

Bila tengok-tengok kat youtube pasal wall decor, tiba-tiba terjumpa plak pasal wainscoting. Tanya upah kontraktor buat, memang mahal! So, aku buat sendiri! Diy jer. Jimat!

Belajar buat kat youtube. Nampak senang. Gigih ukur dan buat kira-kira. Pastu cari kayu. Pasang sendiri.

Dua hari... settle tampal wainscoting kat dinding dan cat. Aku tampal wainscoting... enche Neezam tolong cat.

Pastu diy tampal cermin kat dinding. Cermin-cermin tu aku beli kat kedai Eco jer. So kos untuk cermin-cermin ni cuma RM40 jer.

Then pasang lampu led bawah kabinet tu. Lampu beli kat Mr DIY.

Pastu tukar lampu gantung dan tampal frame agar dinding tak nampak kosong sangat.

Alhamdulillah... tukar sikit-sikit, decor sikit-sikit, akhirnya jadilah hasilnya macam sekarang.

<

Biasa barang-barang decor yang aku beli pun murah-murah jer. Macam frame-frame dan alas-alas tu sumer aku beli kat Mr DIY yer, ayat kursi tu dah lama dah beli online, lampu kat Nilai 3 harganya tak sampai RM100 pun, pokok pisang tu kat Cowbow RM35 jer. Kalau ikutkan berkenan yang SSF punya, tapi harga diaaaaa... hmmmm... tak per lah... Nak rumah cantik, tak semestinya kena pakai barang mahal. Setuju tak?

Alhamdulillah... bersyukur atas rahmat yang Allah berikan. Settle lah dekor dua bahagian ni. Satu jer lah... kalau korang perasan, langsir jer tak bertukar-tukar. Huhuhu... Tak per lah... ok lagi... Baru 5 tahun, lagi 5 tahun baru kiter tukar yer. Boleh?

Tengah kumpul duit sikit-sikit. Insya Allah azam 2019 kiter decor ruang tamu plak. Ruang tamu sekarang memang simple habis. Saper nak tengok transformasi ruang tamu? Jom follow blog juliet le sweetheart ni yer. ❤

#dbestari16 #rumahneezamjulie

Saturday, December 22, 2018

Perihal Pemimpin di Tempat Kerja

Macam biasa, artikel enche Neezam disiarkan di akhbar Harian Metro sisipan Minda. Kali ni mengenai Perihal Pemimpin di Tempat Kerja.

Artikel penuh di bawah. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

BUKAN SENANG MENJADI PEMIMPIN DI TEMPAT KERJA

Apabila memperihalkan mengenai kepimpinan di tempat kerja, ada yang suka mempunyai pemimpin yang berorientasikan pekerja atau pun yang berorientasikan tugasan. Pemimpin yang berorientasikan pekerja dikatakan mudah didekati, bertolak ansur, banyak memberi persetujuan berbanding arahan, lantaran sifat kemanusiaan yang tinggi menjadi dambaan semua pekerja. Sebaliknya bagi pemimpin yang berorientasikan tugasan, mereka kelihatan tegas, garang, menekankan disiplin dan output, maka kerana dengan itulah matlamat kerja lebih cepat dicapai dan terurus.

Banyak kajian yang telah dibuat oleh pakar dalam bidang kepemimpinan mengenai kaedah kepemimpinan seperti yang disebutkan di atas. Misalnya usaha para pengkaji di Ohio State University dan Michigan of Michigan yang diiktiraf sebagai pelopor kepada Teori Kepemimpinan Situasi yang memperihalkan spektrum yang sangat berbeza antara kedua-dua gaya kepimpinan berorientasikan pekerja dan tugasan ini. Ia diteruskan dengan kajian oleh Robert Blake dan Jane Mouton yang memfokuskan kepada kaedah kepemimpinan mana yang perlu diamalkan oleh seseorang pemimpin di organisasi. Atas apa sebab pun, kepimpinan merupakan suatu elemen penting dan daya penggerak kepada usaha pencapaian matlamat semua pekerja dan organisasi itu sendiri.

Islam mengiktiraf akan kepentingan konsep kepimpinan, seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila tiga orang keluar bermusafir maka hendaklah mereka melantik seorang daripada mereka sebagai ketua (Amir)” (riwayat Abu Hurairah).

Untuk itu, Islam memberikan banyak garis panduan dan prinsip kepimpinan agar ianya diamalkan secara adil, saksama, berkesan dan mendapat keredaan Allah SWT. Dalam al-Quran misalnya, banyak panduan yang diberikan dalam mewujudkan prinsip kepimpinan yang tepat.

Antaranya menurut Yusuf Ismail dalam bukunya ‘Mengurus Secara Islam’, kepimpinan yang bermatlamatkan mencari keredhaan Allah SWT melalui surah at-Taubah (ayat 72), melaksanakan amal makruf dan mencegah kemungkaran (ali-Imran, ayat 104 hingga 110), membuat keputusan sesuai dengan prinsip-prinsip Islam (al-Maidah, ayat 44, 45, 47, dan 50) dan menjaga kesejahteraan masyarakat (al-Baqarah, ayat 148 dan al-Qasas, ayat 77). Seterusnya seruan untuk membangunkan kapasiti individidu semaksimum mungkin (ali-Imran, ayat 139 dan al-Hujarat, ayat 13), melaksanakan prinsip syura (ali-Imran, ayat 159 dan as-Syura, ayat 36), mewujudkan jamaah (as-Saf, ayat 4), berlaku adil (al-Maidah, ayat 8 dan an-Nisa’, ayat 129), dan berlaku Ihsan (an-Nahl, ayat 90).

Menurut perbahasan para sarjana, asas kepada kepimpinan Islam mestilah menjurus kepada tiga matlamat utama. Pertamanya ‘akidah’, iaitu hakikat kepimpinan itu adalah amanah Allah SWT yang mempunyai implikasi kepada keimanan terhadap Rukun Iman yang enam yang pasti ditanya di akhirat kelak. Sesiapa yang berjaya memimpin dengan baik akan ke syurga dan yang tersasar akan ke neraka.

Keduanya, ‘syarak’, iaitu mengakui dan menurut setiap syariat dan undang-undang yang diperuntukkan oleh Allah SWT di dalam sumber teragung iaitu kitab Al-Quran dan panduan Rasulullah SAW melalui al-Hadis. Pematuhannya dikelaskan sebagai suatu ibadah seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT bahawa manusia itu diciptakan untuk tujuan beribadah.

Ketiga pula adalah ‘akhlak’, yang menjadi asas kepada kepimpinan Islam dan ianya mestilah bertunjang kepada aqidah dan syariat. Akhlak yang terpuji memberi refleksi ke arah pembentukan kepimpinan yang sempurna seperti mana yang disyariatkan Islam.

Ciri-ciri pemimpin yang berpaksikan syariat Islam akan memberikan kesan kepada gaya kepimpinannya dan penerimaan ahli-ahli di bawahnya. Begitu juga dengan kepimpinan di dalam sesebuah organisasi, jika betul dan baik pemimpinnya, maka pekerja-pekerja atau orang bawahannya juga akan menuruti amalan betul dan baik yang ditunjukkan terajunya.

Seseorang yang memegang jawatan pengurus dan sekaligus sebagai pemimpin perlu faham bahawa dia perlu melaksanakan amanah dan kepercayaan yang telah diberikan oleh organisasi. Ia selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya” (an-Nisa’: 58).

Jika pangkat dan autoritinya itu disalahgunakan dan ditadbir dengan cara yang tidak betul, maka kesannya adalah kepimpinannya itu tidak diredhai Allah SWT. Bila tidak mendapat keredhaan-Nya, hilangnya keberkatan dalam pekerjaannya dan hilanglah jua kepercayaan organisasi dan para pengikut terhadap kemampuan pengurus tersebut.

Islam turut menekankan konsep seseorang pemimpin untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh, tekun dan cekap. Seseorang yang dilantik menjadi pengurus dan pemimpin bukanlah seorang insan yang sempurna serba-serbinya. Pepatah Melayu ada menyebut bahawa ‘belakang parang kalau diasah lagikan tajam’ apatah lagi manusia yang bersungguh-sungguh mahu mengubah dirinya. Maka, seseorang pemimpin itu perlulah sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri, bekerja dengan komited untuk memantapkan kemahiran kerja dan kemahiran kepimpinan. Begitu juga, dari semasa ke semasa tekun untuk menambahbaikkan nilai produktiviti dan kecekapan kerja supaya mampu menjadi contoh yang baik kepada pekerja bawahan. Diriwayatkan oleh al-Baihaqi bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun”.

Begitu juga dengan saranan untuk pemimpin membugarkan kaedah melaksanakan kerja secara berpasukan seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan…” (Al-Ma’idah, ayat 2).

Manusia fitrahnya tidak mampu berbuat sesuatu dengan sempurna secara sendirian. Bantu-membantu, nasihat-menasihati dan saling bekerjasama adalah unsur yang sangat berkesan dalam mentadbir kehidupan yang lebih baik dan lebih bermakna dalam sesebuah masyarakat. Begitu juga dengan masyarakat dalam konteks sesebuah organisasi, semangat berpasukan sangat tinggi nilainya bukan sahaja untuk mencapai matlamat organisasi dan individu pekerja, bahkan untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Maka pemimpin dalam sesebuah organisasi perlu sentiasa melaksanakan strategi-strategi yag berkesan dalam mewujudkan konsep ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ dan ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’ di kalangan ahli-ahli dalam organisasi. Setiap pekerja tidak kira pangkat dan latar belakang dianggap sebagai aset penting dalam memakmurkan dan membangunkan organisasi dan peranan mereka itu dihargai sebaiknya. Pemimpin yang sentiasa mengambil tahu dan membantu akan hal ehwal para pengikutnya adalah pemimpin yang sangat disukai dalam Islam seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak bermanfaat bagi sesama manusia” (Riwayat Al-Quda’).

Penulis Pensyarah Kanan di Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Tuesday, December 18, 2018

Belenggu Budaya Fotokopi

Masa pergi PD hujung minggu hari tu, enche Neezam sibuk melayan kerja ni lah... Nasib baiklah aku ni memahami yang laki aku memang jenis busy dan kerja tak kira tempat dan masa. Huhuhu... Tapi tak der lah enche Neezam dok mengadap kerja jer... cuma dia ambik masa sikit jer untuk kerja. Kalau dari sampai hingga ke balik dok mengadap kerja jer... memang merajuklah aku... baik dok rumah jer... Huhuhu...

Alhamdulillah tersiar pendapat enche Neezam di akhbar Sinar Harian hari ni.

Untuk artikel penuh, cuba klik kat gambar.

So, korang cam ner? Pernah fotokopi buku masa kat Uni? Aku dulu... hmmmmm... eerrrr... rahsia... huhuhu...

Sunday, December 16, 2018

Kiter relax je hari ni k!

Syok hari ni lepak kat PD. Little Khairunns dok ligan main air dan pasir. Baby Neeyaz sama naik dengan kakak dan abang dia. Kemain tak nak rehat. Keluar masuk, keluar masuk air. Huhuhu...

Alhamdulillah cuaca hari ni cantik jer... tak panas sangat. Orang ramai tapi tak lah crowded sangat.

Akhirnya dak kecik ni kena paksa masuk khemah dengan ayah. Syok sangat main kat pantai sampai tak nak minum susu pun!

Tapi sekejap jer lah dalam khemah tu. Kejap tu baby Neeyaz "Jom... jom". Pastu berlari ke pantai balik. Penat mama kejar nak oiiiii... Mama betul-betul eksersais hari ni. Huhuhu...

Ni masalah... ajak balik, tak nak balik! Aiyoooo... kemain tak nak lagi!

Memang penat tiga-tiga Khairunns hari ni... oh tak... empat-empat... huhuhu...

Puaslah berejam kat PD. Seronok main air. Lepak-lepas tengok gelagat anak-anak tepi pantai. Tak sibuk fikir nak mengemas rumah... nak memasak... mendobi bagai...

Just relaxxxxxxxxxxxx...

Belek Setiap 6 Minit

Artikel enche Neezam semalam di akhbar Harian Metro sisipan Minda. Agak-agak belek apa setiap 6 minit tu? Handphonelah kan... apa lagi...

Korang macam mana? Setiap berapa minit?

Artikel penuh di bawah. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

Belek Setiap 6 Minint

Beberapa hari lepas, kita digemparkan dengan berita seorang remaja lelaki yang maut akibat terkena renjatan elektrik daripada telefon bimbit yang sedang dicas di rumahnya di Kampung Gaing Baru, Rembau. Mangsa dikatakan telahpun meninggal dunia ketika ditemui oleh ibunya. Pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemui kesan lebam atau luka, sebaliknya pendarahan di sebelah telinga kiri. Ketika itu mangsa sedang memakai 'earphone' dan telefon bimbit miliknya yang berada bersebelahan sedang dicas. Seorang daripada abang mangsa cuba mematikan suis elektrik sebelum menyedari terdapat kesan renjatan elektrik pada wayar berkenaan. Mangsa dibawa ke hospital dan hasil bedah siasat mengesahkan remaja itu maut akibat terkena renjatan elektrik. Salam takziah diucapkan buat waris dan keluarga Almarhum.

Laporan sebegini bukanlah satu isu yang baharu, bahkan sebelum ini juga kita sudah biasa disajikan dengan laporan-laporan tragedi yang serupa akibat kecuaian kita apabila menggunakan dan mengecaj telefon bimbit. Dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 mutakhir ini, telefon bimbit bukan lagi satu bentuk kehendak, akan tetapi ia adalah satu keperluan. Telefon bimbit bukan lagi satu lambang kemewahan, akan tetapi ia kini ‘wajib dimiliki’ merentasi tahap kemampuan ekonomi sesiapapun. Jelaslah bahawa berdasarkan insiden yang berlaku kepada pemuda tersebut, walaupun telefon bimbit menjadi satu keperluan pada masa kini, peralatan itu juga boleh mengundang kemudaratan kepada penggunanya kalau tidak kena gaya pengendaliannya.

Kajian di lanskap tempatan oleh laman web Statista yang berpengkalan di New York, melaporkan bahawa pada tahun ini, seramai 20.96 juta rakyat Malaysia memiliki dan menggunakan telefon pintar dan aplikasi internet secara aktif, peningkatan lebih sejuta pengguna berbanding tahun 2017. Statistik ini jelas memberi tafsiran bahawa telefon bimbit kini semakin dianggap ‘nyawa’ oleh sesetengah kita. Apa tidaknya, bangun tidur, perkara pertama dicari adalah telefon bimbit. Hendak tidur pun, benda terakhir yang dibelek adalah telefon bimbit. Satu kajian yang dibuat di Eropah mendapati bahawa pengguna telefon bimbit akan sekurang-kurangnya membelek telefon mereka setiap enam minit dan 67 peratus pengguna akan melayari aplikasi internet seperti Facebook, Twitter, dan seumpamanya sekurang-kurangnya 10 kali sehari.

Ternyata, fungsi pelbagai yang ada dalam telefon bimbit membantu dan memudahkan hampir kesemua urusan harian kita. Ia bukan sekadar digunakan untuk menelefon pihak lain, tetapi lebih daripada itu. Berkomunikasi sudah tidak memerlukan panggilan telefon kerana kita sudah boleh melakukannya melalui aplikasi-aplikasi pelbagai yang boleh dimuat turun ke dalam telefon bimbit. Mencari maklumat semudah A,B,C dengan hanya merujuk kepada bantuan internet di telefon bimbit. Berita, hiburan, ramalan cuaca, apa sahaja maklumat yang diperlukan hanya perlu dicari di internet melalui telefon bimbit. Global Positioning System atau GPS juga begitu mudah dimuat turun dan dirujuk kalau hendak ke mana-mana destinasi. Urus niaga juga sudah tidak memerlukan kita bersusah-payah keluar dari rumah dan beratur di kaunter, semuanya kini di hujung jari melalui telefon bimbit.

Menurut ‘Electrical Safety First’ iaitu sebuah badan yang berdaftar di United Kingdom berkenaan kempen keselamatan secara profesional dalam kalangan pengguna barangan elektrik di sana, pengguna barangan elektrik selalunya terdedah dengan risiko yang pelbagai apabila menggunakan telefon bimbit. Dalam kajian mereka, didapati para pengguna jarang-jarang hendak membaca dengan teliti arahan keselamatan yang disertakan dalam kotak pembungkus telefon bimbit semasa membelinya. Ini menyebabkan para pengguna terdedah kepada kecuaian dalam pengendalian dan penggunaan telefon bimbit secara selamat dan akan menjadi penyebab kepada tragedi yang tidak dijangka.

Banyak kecuaian yang biasanya dibuat dalam masyarakat kita apabila menggunakan telefon bimbit. Misalnya, amalan membiarkan telefon dicas tanpa had masa boleh menyebabkan berlaku gelembung tenaga dalam bateri telefon yang seterusnya boleh menyebabkan letupan atau ianya terbakar. Penggunaan aksesori gantian seperti bateri, wayar, suis pengecas, atau bateri pengecaj tiruan secara berleluasa turut menyumbang kepada peningkatan statistik kemalangan.

Kemudian, kita selalu juga temukan keadaan pengguna yang menggunakan telefon bimbit mereka ketika sedang dicaj. Ini merupakan amalan berbahaya kerana pengguna terdedah kepada risiko renjatan elektrik yang boleh memudaratkan nyawa atas faktor-faktor sampingan seperti tangan yang basah ketika mengendalikan telefon yang dicaj, atau penggunaan elektrik lebih had menggunakan soket yang sama pada satu-satu masa.

Tidak kurang juga dengan amalan pengguna yang mengecaj telefon bimbit menggunakan alat pengecaj mudah alih seperti power bank yang mengundang risiko tidak terjangka andai tidak berhati-hati dalam penggunaannya. Power bank dilihat sebagai satu penyelesaian yang praktikal kerana kita semua boleh melakukan proses pengecasan telefon di mana jua berada. Namun, apabila kerap menggunakannya untuk mengecas semula telefon bimbit, ia lebih berisiko untuk mengalirkan kuasa yang tidak stabil berbanding ketika mengecas dengan tenaga elektrik secara langsung. Kesannya mungkin akan lebih buruk andai pengguna menggunakan power bank tiruan atau yang tidak memenuhi spesifikasi keselamatan yang sewajarnya. Aliran kuasa yang tidak stabil ini berisiko tinggi dalam menyebabkan letupan dan kebakaran seperti mana yang terbukti melalui laporan insiden-insiden seumpamanya di seluruh tanahair.

Akan hal ini, terdapat beberapa panduan daripada pelbagai pihak berautoriti yang cukup berguna untuk para pengguna telefon bimbit mengekalkan langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian telefon bimbit dan alat pengecajnya meletup berulang: -

  • Elakkan membeli alat pengecaj tiruan atau murah. Lambakan alat pengecaj tiruan yang murah menyebabkan kita sebagai pengguna terdedah kepada risiko keselamatan walau pun ianya menjimatkan penggunaan wang dalam poket. Ia bukan sahaja memiliki komponen-komponen lektronik di bawah standard yang sepatutnya, bahkan ia selalunya gagal mengecaj telefon bimbit dengan optimum dan mampu merosakkan bateri telefon.
  • Elakkan membeli alat pengecaj universal yang boleh dibeli begitu mudah di pasaran dan di internet yang mendakwa ia boleh mengecaj hampir kebanyakan jenama telefon bimbit dengan mudah. Menurut pakar, telefon bimbit yang berbeza memerlukan pengecajan bateri yang berbeza tahap kuasanya dan alat pengecaj universal akan mengundang risiko terlebih caj atau kurang efisien.
  • Beli alat pengecaj yang original. Ia bukan sahaja menenangkan fikiran, bahkan ia sedikit-sebanyak menjamin keselamatan kerana telah diuji oleh pengeluar agar mengikuti spesifikasi keselamatan sewajarnya. Walau pun mahal, namun ia tahan lama.
  • Jangan menutup telefon atau alat pengecaj ketika ia sedang dicaj. Ini untuk memastikan haba yang dihasilkan ketika proses mengecaj dapat dibebaskan dengan selamat dan mengelakkan risiko kebakaran andai berlaku pintasan elektrik.
  • Caj telefon secara optimum dan tidak lebih had. Amalan mengecaj dengan berhati-hati mengikut had masa akan menjamin hayat bateri yang lebih lama. Kita juga boleh mengelak berlakunya gelembung kuasa bateri yang boleh mengundang letupan.
  • Matikan telefon ketika mengecaj. Ini kerana ketika telefon dihidupkan, arus elektrik yang keluar dan masuk secara serentak akan merosakkan molekul kimia dalam bateri akibat daripada penambahan beban.
  • Selalu periksa sebarang kerosakan pada alat pengecaj. Ada kemungkinan wayar pengecaj telah terkoyak dan terdedah kepada bahaya renjatan elektrik andai disentuh. Perbaikinya andai ada kemahiran atau, beli yang baharu.
  • Jangan mengecas telefon bimbit di dalam kereta. Ini kerana ketika kita mengecas kita akan menggunakan sambungan pemetik api. Arus elektrik dalam kereta selalunya tidak stabil dan menyebabkan tenaga yang masuk ke dalam bateri juga tidak stabil. Maka apabila selalu mengecas dalam kereta, komponen bateri akan mudah rosak.
  • Jangan biarkan wayar alat pengecaj dibiarkan terpasang selepas selesai mengecaj. Ini merupakan amalan yang sangat merbahaya terutamanya jika di rumah ada anak-anak kecil yang mungkin akan menyentuh atau memasukkan wayar itu ke dalam mulut dan berisiko terkena renjatan elektrik.

Jelas, teknologi aplikasi telefon bimbit mempunyai kebaikan namun ia turut membawa keburukan andai kita sebagai pengguna culas dan tidak cakna kepada kaedah pengendalian teknologi ini dengan baik. Kita bertanggungjawab bukan sahaja memastikan keselamatan diri sendiri terjaga, bahkan anak-anak dan masyarakat sekeliling.

Penulis Pensyarah Kanan di Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top