♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Saturday, November 24, 2018

Anak & Makanan

Artikel enche Neezam hari ni di akhbar Harian Metro sisipan minda.

Berikut adalah artikel penuhnya:-

SIHATKAH TABIAT MAKAN ANAK-ANAK?

Ada sesetengah ibu bapa yang risau dan tidak gembira apabila anak-anak mereka lebih cenderung memilih makanan ringan berbanding buah-buahan atau sayur-sayuran. Kebanyakan makanan segera dan makanan ringan di pasaran hari ini mengandungi emulsifier, bahan pewarna dan perisa tiruan yang ada di antaranya boleh mendatangkan mudarat. Begitu juga dengan kandungan lemak, gula dan garam yang tinggi ditambah lagi kandungan serat yang sangat rendah yang dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan sesiapa sahaja yang menjamahnya terutama anak-anak.

Tidak dinafikan, ada ibu bapa yang tidak mengambil kisah pun akan hal ini, ditambah lagi mereka sendiri mempunyai tabiat pemakanan yang kurang sihat. Ada juga ibu bapa yang beranggapan tiada salahnya anak-anak tidak dihidangkan sayuran atau buah-buahan dalam menu harian, lantaran begitu banyak pil-pil vitamin yang boleh dibeli untuk anak-anak di pasaran sebagai ‘mekanisme kawalan semula’. Ironinya, pakar pemakanan sendiri tidak menggalakkan masyarakat untuk terlalu bergantung kepada pil-pil supplement seperti ini.

Menurut Jennifer Tailor, Marry McKenna dan Susan Evers (2005) dalam penulisan artikel mereka bertajuk ‘Determinants of healthy eating in children and youth’ terdapat tiga faktor yang menyebabkan anak-anak mempunyai tabiat makanan yang tidak sihat. Pertama, apabila anak-anak mempunyai pilihan makanan ringan yang banyak di rumah. Misalnya, ada ibu bapa yang melambakkan sebegitu banyak stok makanan ringan, gula-gula atau air berkarbonat di dapur sekadar tujuan untuk dinikmati secara ringan sambil bersantai menonton televisyen. Namun, keadaan ini membuka ruang dan pengaruh kepada anak-anak untuk lebih tertarik menikmati makanan ringan tersebut berbanding makanan berat yang lebih berkhasiat. Tidaklah salah untuk sesekali anak-anak makan makanan ringan namun ibu bapa perlu menyediakan pilihan makanan ringan yang berkhasiat seperti biskut, roti berkrim, bertih jagung rendah lemak, yogurt atau pun kismis.

Faktor kedua, keperluan anak-anak untuk memilih makanan kegemaran. Kadang kala, ada anak-anak yang dipaksa ibu bapa untuk makan satu-satu jenis makanan berkhasiat sahaja. Ia akan menyebabkan anak-anak kebosanan dan tidak berminat untuk terus menikmati sajian makanan yang serupa. Maka ibu bapa harus bijak mempelbagaikan makanan yang disajikan sama ada kepelbagaian jenis makanan atau cara masakannya. Yang pentingnya, khasiat makanan tetap terpelihara dan memberi faedah kepada perkembangan tubuh badan dan mental anak-anak. Jika anak-anak mahu makan burger, sosej atau ayam goreng seperti mana yang dijual di restoran makanan segera, ibu bapa sendiri sebenarnya mampu untuk membuat dan memasak makanan-makanan segera tersebut dengan jaminan khasiat yang lebih tinggi.

Faktor ketiga pula adalah emosi. Kanak-kanak yang mengalami kesedihan, ketakutan atau krisis kekeluargaan cenderung memiliki tabiat kurang makan atau terlebih makan. Jika ibu bapa melihat emosi anak-anak yang terganggu sebegini turut memberi kesan negatif kepada tabiat pemakanan mereka, maka dicadangkan agar masalah yang menghantui anak-anak itu diselesaikan dahulu, bukan terfokus kepada membetulkan kaedah makan mereka.

Untuk itu, sebagai ibu bapa kita berperanan dalam membentuk dan menyelaraskan tabiat pemakanan anak-anak yang sihat. Portal Rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia misalnya mencadangkan beberapa perkara dalam menyusun atur semula jadual pemakanan anak-anak dan tabiat makanan seharian yang sihat:

Gunakan maklumat yang positif
Beritahu anak-anak bahawa semua makanan boleh memenuhi keperluan pemakanan yang sihat. Tidak ada makanan yang baik atau tidak baik. Kunci utama pemakanan sihat ialah pilihan dan pengambilan makanan secara sederhana. Ajar mereka mengenai pemakanan yang baik dengan cara yang mudah, seperti susu yang boleh membantu perkembangan tulang yang kuat atau lobak merah membantu deria penglihatan kekal baik dan fokus. Tumpukan kepada pemilihan makanan yang kaya dengan nutrien

Sentiasa galakkan anak anda untuk memilih makanan yang kaya dengan nutrien di rumah atau pun ketika di luar seperti di kantin sekolah. Ajar mereka untuk sentiasa memilih makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, makanan yang diperkaya dengan nutrien, bijirin penuh dan yang tinggi serat, minuman bersusu berbanding minuman cordial, hidangan yang kurang berminyak dan bergula dan sebagainya. Tetapkan peraturan makanan keluarga

Kanak-kanak lebih mudah memilih makanan sekiranya mereka tahu peraturan pemakanan keluarga. Contohnya, setiap ahli keluarga wajib bersarapan pagi setiap hari, susu ialah minuman pilihan selepas makan malam atau snek di sekolah perlulah daripada 5 kumpulan makanan dalam piramid makanan dan yang kurang minyak, garam dan gula. Tetapkan beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi apabila makan di luar, seperti memesan air buah-buahan tanpa gula atau air kosong.

Jadi contoh tauladan yang baik
Kanak-kanak mudah dipengaruhi oleh keadaan sekeliling dan orang yang rapat dengan mereka. Sebagai ibu bapa, pemilihan makanan yang anda buat akan mempengaruhi anak-anak. Jika anda memilih makanan yang sihat, anak-anak juga akan mencontohi anda. Selain menunjukkan contoh tabiat makan yang sihat, bincang dengan anak-anak tentang Panduan Piramid Makanan dan pelbagai sajian makanan lazat yang boleh dinikmati. Masak bersama-sama

Kanak-kanak lebih teruja dan berminat untuk mengambil makanan sihat apabila mereka diberi peluang untuk menyediakan makanan. Libatkan mereka semasa menyediakan hidangan. Benarkan mereka menambah apa yang mereka gemar dalam makanan mengikut kreativiti mereka. Adakan sesi permainan masak-memasak bersama kawan-kawan mereka atau pergi ke kelas masakan bersama mereka. Membeli makanan bersama

Libatkan anak-anak semasa membeli belah atau ajak mereka sama-sama menanam sayur atau buah di kebun, sekiranya ada. Pilih makanan yang kaya dengan khasiat yang diperlukan badan mereka. Bantu anak memilih satu atau dua bungkusan makanan snek kegemaran mereka yang kaya dengan nutrien untuk dibawa ke sekolah.

Bincang berkenaan pilihan makanan sihat
Selalulah berbincang dengan anak anda berkenaan pemilihan makanan dan mengapa pemakanan sihat itu penting untuk pembelajaran dan menjadi lebih aktif di rumah dan di sekolah. Sama ada di restoran makanan segera, kantin sekolah atau vending machine, galakkan mereka untuk memilih makanan yang berkhasiat seperti minuman bersusu atau jus buah-buahan berbanding minuman berkarbonat, dan sandwich berbanding keropok kentang.

Pastikan makanan berkhasiat mudah diperoleh
Jika mampu, sediakan bekalan makanan berkhasiat di rumah. Ini termasuklah pelbagai buah-buahan seperti pisang, jambu batu, epal dan oren serta sayur-sayuran yang boleh dimakan mentah seperti salad, timun dan tomato (tidak ramai anak-anak yang makan sayur mentah) dan susu rendah lemak atau susu berperisa, keju, yogurt, snek bijirin penuh atau rendah lemak dan biskut bergula.Ingatkan anak anda bahawa mereka boleh memilih makanan ini jika mereka lapar dan memerlukannya dalam keadaan tergesa-gesa.

Jadikan waktu makan sebagai waktu bersama-sama keluarga
Jadikan waktu makan sebagai waktu yang penting untuk semua ahli keluarga. Waktu makan bersama-sama tidak hanya tertumpu pada waktu makan malam, ia boleh juga pada sebarang waktu makan yang sesuai dengan anda.

Menurut ajaran Islam sendiri, sebagai ibu bapa kita disyariatkan untuk mencari dan menyediakan makanan yang terjamin status halalnya, bahkan ditekankan supaya makanan diambil dari sumber yang baik lagi berkhasiat. Ini sebagai mana yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 172 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah apabila benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah.”

Kesimpulannya, jika tabiat makan anak-anak tidak diselaraskan dan dikawal sebaiknya oleh ibu bapa, dikhuatiri mereka akan mudah menghidap penyakit-penyakit kronik yang boleh mengundang kesan negatif dalam jangka masa pendek mahu pun panjang. Pemilihan makanan yang tepat turut mampu membantu seisi keluarga untuk berjimat-cermat sekaligus memiliki tubuh badan yang sihat. Duit tidak dibazirkan membeli makanan yang tidak berkhasiat lagi ‘beracun’, bahkan jimat daripada terpaksa membayar bil-bil perubatan kerana keadaan ahli keluarga yang sering sakit dek tabiat makan yang buruk.

Dr Khairunneezam Mohd Noor,
Penulis Pensyarah Kanan di Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

No comments :

back to top