♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Thursday, December 30, 2010

Syabas Malaysia!!!

Alhamdulillah... akhirnya Piala Suzuki AFF 2010 menjadi milik Malaysia untuk julung-julung kalinya!!!

Yey!!!

Akhirnya itu garuda itu menyembah ke bumi dan dibaham HARIMAU MALAYA!!!

Aaaaauuuummmmmmm!!!

Tahniah!!! Tahniah!!!

Tahniah team Malaysia!!!

Pic from Utusan Malaysia

Excited betul kan? Hehehhehehe... Of courselah... Dari awal lagi aku dah tunggu perlawanan bermula dari depan tv.

Ha... sepanjang perlawanan tu berlansung, korang perasan tak beberapa perkara yang aku perasan? Iaitu...

* masa lagu Malaysia, Negaraku, dinyanyikan, diorang, RI, terpekik dan membuat bising sambil bunyikan hon berkali-kali. Tak hormat langsung!

* pengadil bias! Bila pemain Malaysia dijatuhkan obviously, pengadil buat donno jer! Bila pemain RI jatuh, pemain Malaysia mesti kena! Bias!

* RI pun ada ultramen gaks! Asyik laser apex Fahmi jer. Sian Fahmi... Nasib baik Fahmi hebat! :)

* cameraman diorang gatai! Asyik fokus pada penonton perempuan yang cun-cun jer. Hmmmm... memang cantik lah. Mengalahkan artis cantiknya. Nasib baik RI yang datang ke negara kita ni tak secantik diorang tu. Kalau tak... hmmmm... nanti laki kiter plak dibawa lari ke Lombok! Huhuhu... Tapi bila Malaysia dah score 1 gol, dah tak der dah diorang fokus ke arah penonton perempuan lagi. Kagetlah tuuuuu... Huhuhu... ;p

* Haaa... korang ada perasan Julia Perez tak tadi? Aku tak nampak lah pulak. Teringin gak nak tengok si Jupe tu. Katanya nak pakai baju seksi. Kononnya nak balas dendam kat pemain Malaysia dan pakai baju seksi untuk jejaskan tumpan pemain kita. Muahahahah... pigi daaaaa!!! Silap-silap tumpuan pemain korang yang terjejas. Macamlah ko tu famous sangat kat Malaysia ni. Orang tak kenal pun saper Julia Perez. Aku tahu ni pun sebab terbaca kat paper aritu yang si Jupe nak balas dendam cara tu... Hahahaha... Piiiiiii rah!

Apa-apa pun, alhamdulillah, semuanya dah berakhir...

Dan Malaysia juara 4-2!!!

Tahniah team Harimau Malaya!

Tahniah juga kepada Safee Sali sebagai penjaring terbanyak musim ni dengan 5 gol!

Tahniah juga pada K. Rajagobal selaku jurulatih. Hmmmm... ada harapan dapat 'Datuk' *wink*. Perasan tak, Rajagobal ni suka pakai kemeja warna putih, kan? :)

Oh ya... dan satu lagi... walaupun apex Fahmi tak dapat anugerah MVP, Most Valueable Player, tapi bagi aku, apex Fahmi, orang yang paling layak dapat anugerah tu! Dia memang penjaga gol yang hebat! Sangat hebat! Tahniah Fahmi!!!

Tahniah team Malaysia!

MALAYSIA BOLEH!

Oh ya... mari kiter sama-sama doakan agar kesemua pemain dan pegawai bola sepak Malaysia selamat pulang ke Malaysia... Amin...

***** kita nantikanlah tuduhan-tuduhan yang bakal dilemparkan oleh RI kepada Malaysia atas sebab kekalahan diorang malam tadi. Mungkinkah isu bomoh dan isu laser ultramen akan timbul lagi?

Wednesday, December 29, 2010

Diaries anyone?

Tahun baru tiba lagi. Dan seperti biasa... bila tiba tahun baru aku mesti nak beli

D.I.A.R.I

Korang dah dapat satu?

Atau korang memang bukan jenis penulis diari?

Aku... sejak sekolah menengah lagi, memang tiap-tiap tahun akan dapatkan diari tahun baru. Masa sekolah tu, awal-awal tahun, sebulan dua tu, rajinlah tulis diari. Konon-konon tulislah apa yang terjadi pada hidup sehari-hari. Tapi lama-lama bosan pulak. Dah tu... rutin harian sama jer...

Pagi : Pergi sekolah, jumpa kengkawan yang sama, cikgu-cikgu yang sama tiap-tiap hari;

Tengahari : Balik sekolah, lunch, gi ngaji;

Petang : Riadah, tengok tv;

Malam : Buat kerja sekolah;

Hujung minggu : Gi rumah nenek...

Sama jer setiap hari. Lama-lama, jadi malaslah pulak nak tulis diari, kan?

Selain tu, ada lah jugak sesekali meluahkan perasaan kat diari. Terutamanya bila marah dan tak tau nak luahkan pada siapa. Habis aku memaki-maki dalam diari. Bila dah tulis, tak lah rasa lega pun. Tapi rasa terluahlah jugak walaupun hanya tulis dalam diari.

Pastu bila dah rasa lega, baca balik diari, yang tulis marah-marah tu... hmmmm... tak pasal-pasal timbul perasaan marah semula. Ting tong tol!

So, sejak dari itu, aku malas dah nak tulis benda yang akan membuatkan aku marah. Bila jadi benda yang best, tak tertulislah pulak. Huhuhu...

Akhirnya, diari yang aku ada setiap tahun, masa sekolah dulu, dijadikan buku catatan kerja sekolah. Kalau ada kerja sekolah yang perlu disiapkan, tulis dalam diari. Hehehhe...

Lepas SPM dulu pun pernah ada diari. Masa tu dah mula gatal-gatal dengan cinta-cinta monyet ni. Ada sorang abang ni, suka kat aku, aku pun suka gak kat dia. Habis aku tulis perasaan suka aku pada sorang abang ni kat dalam diari. Entah macam mana kontoi pulak dengan emak. Emak terbaca diari aku. Oooooo... malunyer!!! Akibatnya... hmmmm... tak payah citerlah... huhuhu...

Sejak dari tu, malas dah nak ada diari! Wek! ;p

Tapi bila dah masuk universiti, diari menjadi benda penting bagi aku. Aku tetap tak menulis rutin harian. Bosan. Tapi aku tuliskan semua kerja yang perlu disiapkan, tarikh hantar assignment, tarikh exam dan semua info kengkawan seperti alamat dan nombor talifon kengkawan. Birthday kengkawan pun semua aku simpan masa tu. Diari lebih menjadi organiser bagi aku.

Hmmm... bila dah kerja, mula berjinak-jinak dengan fotopages dan blog. Kat sinilah aku catatkan semua yang terlintas kat fikiran aku dan yang penting, tiada rahsia lagi. Apa yang aku tulis, itulah yang ingin aku kongsi dengan korang semua!

Dulu, masa kerja, abah pernah bagi aku pda, personal digital assistant. Senang. Semua info disimpan dalam pda. Pastu bila dah lama-lama guna, rasa macam payah pulak. Payah nak masukkan data. Akhirnya aku bertukar semula ke buku diari yang old pesen. Lebih selesa!

~PDA; gambar hanya hiasan semata-mata. Ini bukan pda yang aku dapat dulu. Pda aku tu tak bewarna pun. Black and grey jer. But still touched skrin. Huhuhuhu...~

So, sehingga hari ini, aku masih selesa menggunakan buku diari. Old pesen pun, old pesenlah! Janji aku selesa!

But still, diari bukanlah tempat untuk aku luahkan perasaan, tapi untuk mencatatkan segala maklumat dan tarikh-tarikh penting aku, keluarga dan kengkawan.

Kalau nak luahkan perasaan... kan ada enche Neezam muah muah cayang! Dan ada jugak blog dan korang! :)

You might also like...

1
Apekah?
.
1
Aloooo
aberibadi!
1
Laundry
Day

Tuesday, December 28, 2010

Tawakal jalan terbaik hadapi dugaan hidup

Artikel enche Neezam hari ini di Berita Harian di bahagian Agama. Penuh setengah muka surat...

Jom baca! Semoga kita sama-sama mendapat pengajaran darinya...

~Artikel kali ni mengenai tawakal...~

~Oleh... my beloved hubby... enche Khairunneezam!~

Tawakal jalan terbaik hadapi dugaan hidup

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Setiap kejadian menimpa manusia pasti ada sebab serta mempunyai hikmah

KITA selalu mendengar keluh kesah sesetengah orang yang bertanyakan kenapa agaknya suratan kehidupan mereka begitu susah untuk memperoleh kesenangan dan begitu senang pula mendakap kesusahan.

Mereka iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan senang memperoleh kesenangan secara berterusan. Ada manusia yang hidup senang dan kaya raya, ada hidup susah dan melarat, ada dulunya senang tetapi kemudian hidup melarat.

Hakikatnya, inilah asam garam dan pancaroba kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat analisis dan muhasabah. Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah SWT mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran.

Cuba nilai mengapa sesetengah manusia diberikan ujian terlalu hebat oleh Allah SWT? Mengapa sesetengah yang lain diberi rahmat dan rezeki yang tidak putus-putus?

Setiap sesuatu dijadikan atau ditakdirkan-Nya itu pasti ada sebab dan mempunyai hikmah. Manusia hanya perlu bersyukur jika diberikan rahmat dan rezeki yang melimpah ruah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 18)
Begitu juga sebaliknya, manusia perlu terus-menerus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan perlu dihadapi dengan waras, bijak, tenang, serta berserah tanpa kompromi atau bersyarat kepada Allah SWT.

Tidak perlulah melihat dalam perspektif yang luas, lihat saja diri kita sendiri. Dalam banyak waktu, kita iri hati melihat sahabat yang nampak bahagia sepanjang masa dibanding kita tidak senang atau bahagia seperti mereka.

Ini memang amalan manusia, suka membanding-bandingkan diri dengan orang lain. Cuba lihat rakan lain yang selalu dirundung kesukaran, kesakitan, kepayahan dan duka? Bandingkan nasib mereka dengan kita.

Hanya dengan cara ini kita akan mengucap syukur Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya kita menyedari ketentuan nasib yang lebih baik dan senang berbanding mereka. Hakikatnya, manusia sukar untuk merasa puas.

Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah reda, bersyukur dan bertawakal kepada-Nya. Giatkan usaha dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih baik daripada sebelum ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

Akan tiba masanya, kalau tidak di dunia, Insyaallah di akhirat kelak, terbit sinar kebahagiaan dan rahmat-Nya menerangi kehidupan, berkat kesabaran serta keimanan menempuhi ujian demi ujian.

Perlu diingat, sebanyak mana harta kemewahan dan kesenangan dianugerah Allah hendaklah disyukuri. Perlu juga diyakini segala nikmat diperoleh dengan izin Allah SWT, dan dengan kehendak Allah juga, boleh hilang dalam sekelip mata.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan ‘kami telah beriman’ sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah SWT mengetahui orang yang benar dan dan orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan, baik mahupun tidak, akan tetap dihitung dan diberi balasan sewajarnya oleh Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya), dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Untuk itu, janganlah kita mudah mengeluh apabila berdepan dugaan hingga mudah syaitan menusuk jarum kebencian terhadap takdir Allah SWT. Kita menjadi lupa kepada Allah serta lupa kekuasaan dan pembalasan-Nya.

Janganlah kita menjadi seperti kaduk naik junjung atau luncai yang terjun dengan labu-labunya sehingga dikatakan sebagai orang yang ‘kufur nikmat’.

Happy hour!

Seronok jumpa adik hari ni!

Borak-borak, gelak-gelak, makan-makan, gosip-gosip!

Dah lama betul tak lepak sesama...

Tak puas rasanya 3 jam bersama tadi!

Rindu sangat kat adik! :)

My adik and me! @ McD Segamat...

Sunday, December 26, 2010

Dah dapat! Yey!

Dapat apa?

Dapat...

K.U.N.C.I.R.U.M.A.H!!!

Adoooiiii... penatnyer... aku dan hubby baru jer balik dari Seremban menguruskan urusan sewa rumah...

Alhamdulillah... akhirnya, hari ni dapat jugak kitorang berjumpa dengan tuan rumah. So, tadi dapatlah masuk dan tengok sendiri keadaan di dalam rumah yang kitorang nak sewa tu.

Aku suka lah... :) Kat dalam rumah tu semua ruang dah siap dipasang lampu dan kipas siling. Dah siap grill dan rail langsir kat pintu dan semua tingkap.

Suka! Suka!! Suka!!!

Tuan rumah pun nampak gayanya boleh bertolak ansur dan diorang beri kepercayaan pada kitorang untuk menjaga rumah tu. Insya Allah...

So, tadi, kitorang dah settle dengan tuan rumah dengan surat perjanjian sewa dan deposit. Dengan ini, kompomlah, kitorang akan menetap kat rumah ini. Insya Allah...

So, lepas ni, nak pikir nak menghias rumah pulak! Yey!

Suka! Suka!! Suka!!!

Tak sabarnya nak pindah masuk! \^*^/

Thursday, December 23, 2010

8 A

Tahniah

KHAIREENA FAZEERA BINTI MOHD NOOR

atas kejayaan, mendapat

straight As

8A

dalam PMR!

Congratulations!!!


Wednesday, December 22, 2010

Hormatilah jiran anda

Tetiba jer nak cerita pasal jiran plak hari ni kan. Bukan apa, sebab hari ni, artikel enche Neezam disiarkan kat Berita Harian bertajuk 'Ibu bapa perlu didik anak hormati, bantu jiran'.

Cerita pasal jiran ni, aku ada jugak pengalaman tak best dengan jiran. Maklumlah, bila dah duduk berjiran ni, ada macam-macamlah perangai jiran yang kita kena berdepan, kan? Kalau jiran baik, alhamdulillah lah... Tapi malangnya, di kawasan kediaman family aku dulu, ramai yang jiran macam hampeh, busybody, talam bermuka-muka dan mulut jahat. Anak beranak sama jer. Sibuk jer nak tau tentang family orang.

Biasanya diorang tu LEBIH SANGAT nak tau kelemahan atau keburukkan yang ada pada orang. Lepas tu sibuk nak jaja cerita sana sini. Siap tokok tambah cerita lagi! Seronok betul diorang menjatuhkan air muka dan maruah orang. Entah apalah kepuasan yang diorang dapat, kan? Dan kalau cerita baik-baik atau kelebihan orang, kalau boleh diorang tak nak dengar sebab cemburu dan iri hati. Kadang-kadang tu siap tak nak percaya lagi! Hampeh sungguh...

Kalau diingatkan balik perangai-perangai jiran-jiran aku ni dulu memang sakit hati. Menyampah!

Walaupun ada ramai jiran yang berperangai buruk kat tempat aku tu, tapi masih ada jugak jiran-jiran yang baik dan memang boleh dibuat kawan. Bak kata orang, kalau orang buat baik dengan kiter, apa salahnya kalau kiter buat baik jugak pada orang tu, dan kalau ada orang buat buruk kat kiter, baik kiter ignore jer diorang tu. Tak rugi kalau tak berkawan dengan orang yang hati busuk macam diorang tu. Semoga Allah swt memberi petunjuk dan pembalasan kat diorang...

Hmmmm... macam manalah agaknya tempat kediaman yang bakal kitorang pindah nanti kan? Harap-harap tak der lah jiran-jiran suka busybody, talam dua muka dan bermulut jahat kan... amin...

Ini artikel enche Neezam hari ni. Silalah baca yer. Semoga kiter sama-sama dapat belajar dan manfaat darinya. Insya Allah...

Ibu bapa perlu didik anak hormati, bantu jiran

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Generasi muda mesti diasuh supaya faham hak tetangga dalam hidup bermasyarakat

KEHARMONIAN hidup berjiran adalah sesuatu yang sangat dititikberatkan dalam syariat Islam. Walaupun sempadan rumah dipisahkan dengan pagar besi mahupun tembok konkrit, namun perkongsian nilai hidup harmoni tetap kukuh dengan adanya sifat mengambil berat dan menghormati.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar, juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri.” (Surah an-Nisa’, ayat 36)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Pepatah Melayu juga ada menyebut, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Tafsiran pepatah ini merujuk pentingnya hidup bertunjangkan nilai kemuafakatan, kesefahaman dan tolak ansur sesama manusia. Nilai muafakat itu penting dalam konteks hidup berjiran.

Mengambil berat hidup berjiran sebenarnya perlu dipupuk dalam kalangan anak kecil kerana pada usia itu mereka mudah menyerap sebarang pendidikan untuk diamalkan dalam kehidupan seharian, ibarat melentur buluh daripada rebungnya.

Hidup berjiran saling tak ubah seperti ‘aur dengan tebing’, saling perlu-memerlukan. Mana perkara yang silap, ditegur secara berhemah dan berhikmah, mana yang betul pula dijadikan panduan semoga kehidupan sentiasa di bawah keredaan Allah SWT.

Anak juga perlu tahu jiran itu terbahagi kepada beberapa kategori yang mempunyai hak dan keutamaan tersendiri. Menurut hadis Rasulullah SAW, kategori pertama adalah jiran bukan Islam yang mempunyai satu hak iaitu hak berjiran.

Kategori kedua adalah jiran beragama Islam yang mempunyai dua hak iaitu hak jiran dan hak Islam. Manakala kategori ketiga pula, jiran beragama Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan, memiliki tiga hak iaitu hak jiran, Islam dan kekeluargaan.

Perbezaan hak ini perlu dijelaskan kepada anak lantaran kepentingannya dalam menyatupadukan komuniti kejiranan setempat tanpa mengabaikan walau satu pun hak mana-mana pihak.

Sejak usia kecil, jika anak-anak faham kepentingan menjaga hak dan keharmonian sesama jiran tetangga, diyakini mereka akan dapat memupuk nilai murni hidup bermasyarakat seperti disyariatkan Islam.

Untuk itu, ada banyak perkara yang boleh ibu bapa terapkan kepada anak erti kemanisan hidup berjiran antaranya menggalakkan anak mengamalkan sikap hormat, merendah diri, tidak sombong serta menunjukkan tingkah laku dan pertuturan mulia terhadap jiran tetangga.

Ia selaras sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah seseorang itu berperilaku baik terhadap jiran tetangganya.” ( Hadis Mutafaqun ’alaih)

Menegah anak berburuk sangka, menimbulkan fitnah, mengumpat serta mencerca jiran tetangga. Sikap buruk seperti ini berupaya meleraikan ikatan silaturahim sesama jiran. Anak perlu diajar jangan cepat mempercayai atau menyebarkan berita buruk berkaitan jiran demi menjaga maruah mereka.

Memupuk anak mengamalkan budaya bertanya khabar dan menziarahi jiran tetangga terutama jika mereka sakit, ditimpa kesusahan atau menghadapi musibah. Adab berziarah perlu difahami sejelasnya oleh anak kerana ada masa tidak sesuai untuk kita bertandang ke rumah jiran.

Mendidik anak menjadi ‘ringan tulang’ membantu jiran yang memerlukan pertolongan. Menegah anak mengganggu dan merosakkan dan hak jiran seperti membuat bising yang boleh mengganggu ketenteraman, membuang sampah di halaman rumah jiran atau mengambil sesuatu milik mereka tanpa keizinan.

Menggalakkan anak menyertai program komuniti setempat seperti solat berjemaah di masjid, majlis bertadarus dan bertahlil, kenduri serta gotong-royong. Dengan cara ini barulah anak faham jiran tetangga adalah pihak paling rapat untuk meminta bantuan serta berkongsi suka dan duka kehidupan.

Jika berlaku sebarang masalah ataupun percanggahan pendapat, anak perlu dilatih melaksanakan kaedah penyelesaian yang tepat, mengikut syariat Islam serta tidak membesarkan perkara itu hingga menjadi kronik.

Sifat berdendam juga perlu dibuang jauh-jauh dalam kalangan anak demi menjaga kemurnian perhubungan sesama jiran, malah anak perlu juga menyuburkan sifat bertolak-ansur dan mudah memaafkan apa juga kesalahan pihak lain terhadap mereka.

Apa yang lebih penting, ibu bapa sendiri perlu menunjukkan contoh sebaiknya kepada anak dalam hal kehidupan berjiran. Jika kita bermasam muka, bermusuhan dan sering mengasingkan diri daripada bertemu mesra dengan jiran, tidak hairanlah jika anak turut mengikut tindak tanduk negatif kita.

Penulis ialah pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top