♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Wednesday, December 3, 2008

Sihir paksi kejahatan syaitan sesatkan akidah umat

Actually ni artikel yang sama kuar kat Utusan Malaysia ari tu tapi hari ni kuar plak kat Berita Harian tapi ada lain skit...

Sihir paksi kejahatan syaitan sesatkan akidah umat

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Ilmu hitam jadi amalan orang fasik, kufur kembang biak persengketaan dalam masyarakat

Dalam zaman serba moden pada hari ini, janganlah terkejut andai mengetahui bahawa sesetengah ahli masyarakat kita masih kuat terbelenggu dengan amalan sihir yang boleh mencacatkan akidah. Sebut sahaja nasi tangas, angin tuju-tuju, santau, ubat guna-guna, minyak dagu, dan seumpamanya ia pastilah antara cabang-cabang sihir yang tersohor dan masih tegar diamalkan dalam masyarakat kita.

Sesungguhnya perbuatan sihir ini tidak lain dan tidak bukan adalah berpaksikan kepada ilmu atau ajaran syaitan yang sememangnya mahukan akidah umat Islam terus sesat dan rosak binasa. Sihir tidak memberikan apa-apa kebaikan untuk orang yang mengamalkannya, lebih-lebih lagi orang-orang yang menjadi mangsanya.

Sihir yang menggunakan perantaraan jin dan syaitan tidak lebih daripada bermatlamat negatif untuk memenuhi nafsu serakah, melunaskan dendam kesumat, mahu menunjukkan bahawa diri seseorang itu kuat, atau pun sebagai isyarat diri tidak boleh dicabar dan diganggu-gugat secara fizikal, perasaan dan emosinya.

Baru-baru ini penulis dihubungi oleh seorang sahabat karib sewaktu sama-sama belajar di universiti dahulu. Sahabat ini menceritakan perihal keluarga dan dirinya sendiri yang menjadi mangsa sihir oleh orang-orang tertentu. Apa yang menjadi kekesalan buat penulis adalah perbuatan sihir tersebut telah berlarutan bertahun-tahun lamanya. Banyak impak buruk yang terpaksa ditanggung oleh sahabat dan keluarganya termasuklah menderita pelbagai penyakit misteri, diganggu jelmaan lembaga hitam, mengalami mimpi yang mengerikan dan sebagainya.

Sahabat penulis ini dan keluarganya telah berusaha sehabis daya untuk berubat menggunakan amalan perubatan moden dan tradisional, serta bertemu pakar perubatan berasaskan Islam. Namun, masih juga kesabaran dan keimanan mereka diuji Allah SWT apabila kesan-kesan sihir tersebut masih tidak berkurangan, bahkan semakin hebat mengasak kesejahteraaan hidup mereka. Sememangnya berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul sengsara kesan sihir ini.

Dalam kes yang dialami oleh sahabat penulis ini bahkan sesiapa sahajapun mangsa sihir, pasti akan mengundang beberapa persoalan. Jika benarlah ada orang lain membuat sebarang kesilapan, salah faham, mengganggu hak peribadi atau sebagainya terhadap kita, apakah tidak ada kaedah lain yang lebih tepat untuk kita menyelesaikan pertelingkahan tersebut selain daripada amalan sihir? Apakah agaknya nilai kepuasan diri orang yang menyihir apabila melihat mangsa-mangsanya tersiksa secara fizikal, emosi dan mentalnya bahkan sehingga tercabut nyawanya?

Bukankah elok jika persengketaan itu diakhirkan dengan perbincangan yang telus, maaf-memaafkan, redha-meredhai dan berdamai. Firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Dan jika mereka condong kepada perdamaian maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang maha mendengar lagi maha mengetahui (Surah al-Anfal, ayat 61).

Jelas, manusia yang sanggup melakukan sihir adalah rapuh nilai keimanannya. Golongan ini mudah bersekongkol dan tunduk mengalah pada bisikan dan hasutan syaitan. Inilah amalan orang-orang yang fasik dan kufur. Orang-orang seperti ini tidak sedar bahawa Allah SWT adalah maha berkuasa dan maha adil. Jika baik amalan seseorang itu, maka balasan yang baik jualah yang akan diterimanya daripada Allah SWT, begitulah jua padah yang sebaliknya jika dia melakukan kejahatan. Ini selaras dengan Firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula’ (Surah al-Zalzalah, ayat 7&8).

Agama Islam sangat-sangat mencela dan melarang umatnya daripada terjebak dalam amalan sihir ini. Rasionalnya adalah kerana amalan sihir ini dengan mudah merosakkan akidah dan menghancurkan keimanan seseorang Muslim. Sihir menyebabkan seseorang yang mengamalkannya hilang keyakinan terhadap kekuasaan Allah SWT bahkan menganggap dirinya lebih berkuasa kerana mampu mendatangkan mudarat kepada pihak lain sesuka hatinya. Sihir berupaya menebalkan rasa sombong, takbur dan zalim dalam kalangan pengamalnya.

Sihir juga akan mengembang biakkan persengketaan, sifat dendam yang tak surut-surut, mengundang fitnah, berpecah belah dan hilang kepercayaan sesama ahli dalam masyarakat. Bayangkanlah jika sihir menjadi permainan sebati dalam hidup, kalau tercuit sedikit perasaan marah terhadap orang lain, maka sihir pantas dijadikan alat untuk membalas perbuatan orang tersebut. Bermakna, tak habis-habislah orang di sana sini sakit menderita dek permainan sihir yang tak kunjung padam.

Sebagai masyarakat muslim kita perlu secara kolektif, bersungguh-sungguh dan istiqamah menangani dan membasmi perbuatan sihir. Antara lainnya adalah dengan cara:

• Segenap lapisan masyarakat perlulah utuh mendalami, menyebarkan dan menghayati ajaran Islam dan menjadikan ia sebagai cara hidup. Islam itu sendiri bermaksud taat, akur dan penyerahan diri kepada Allah SWT dan juga memberi maksud sejahtera. Maka, menghayati Islam bermakna membugarkan kesejahteraan hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah SWT.

• Menyelesaikan pertelingkahan dan salah faham dengan kaedah yang tepat dan rasional serta mengamalkan konsep maaf-memaafkan sesama individu.

• Sentiasa memohon taufik dan hidayah daripada Allah SWT agar sentiasa teguh keimanan dalam diri dan diberi perlindungan daripada hasad dengki, perbuatan jahat dan sihir manusia, jin dan syaitan.

• Menjadikan al-Quran dan al-Hadis sebagai panduan dalam semua aspek kehidupan. Begitu juga mengamalkan hafazan dan bacaan ayat-ayat atau surah-surah tertentu dalam al-Quran. Dengan izin Allah SWT ia mampu menjadi pendinding, penangkis dan penawar kesan sihir kepada seseorang.

• Memberi didikan kepada masyarakat akan bahayanya amalan sihir yang bukan sahaja merosakkan akidah seseorang bahkan tindak-tanduk dan pemikiran akan turut menjadi porak-peranda dan tidak rasional.

• Berdakwah secara berhikmah dan mengambil tindakan tegas terhadap orang yang melakukan sihir supaya dibukakan hijab dalam hatinya untuk segera berubah dan bertaubat nasuha kepada Allah SWT.

• Tidak menyokong dan bekerjasama dengan pengamal sihir supaya amalan jahatnya itu akan lenyap dan tidak diwarisi oleh sesiapapun.

Bagi yang terkena amalan sihir, apa yang perlu dibuat adalah terus yakin dengan kekuasaan Allah SWT. Dengan izin-Nya serta sifat pengasih dan penyayang-Nya, pasti dapat kita menangkis sebarang perbuatan sihir jahat manusia, jin dan syaitan. Janganlah pula kaedah yang sama (iaitu sihir) hendak dipraktikkan untuk membalas kembali kejahatan pihak pengamal sihir tersebut.

Sifat sabar juga perlu terus ada dalam diri. Teruskan mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan menepati syariat Islam dengan penuh tawakkal kepada Allah. Anggaplah bahawa ini adalah salah satu bentuk ujian Allah SWT untuk menguji keteguhan nilai Islam dan Iman dalam diri seseorang itu sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya’ (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).


*juliet le sweetheart : ada kawan yang terlalu taksub dengan sihir dan bomoh...


Tuesday, December 2, 2008

Sambutan Aidiladha di perantauan tak semeriah di tanahair

Haaa... artikel Neezam hari ni kat Berita Harian. Mesti kengkawan kat perantauan tu *expecially warga Desa Bundoora!* geraaaaaaammmm jer baca artikel ni ek... Sabarlah kengkawan. Apa-apa pun, tak semua orang dapat merasa beraya di luar negara *macam kitorang* Hehehhehe... So, bergembiralah!!!

Sambutan Aidiladha di perantauan tak semeriah di tanahair

SESUNGGUHNYA umat Islam ternanti-nanti tibanya Aidiladha atau Hari Raya Korban yang secara rasminya akan disambut 8 Disember ini di seluruh negara.

Berdasarkan pengalaman peribadi, menyambut Hari Raya Korban di perantauan tidaklah semeriah seperti yang dirasakan di tanah air. Perantau sekadar dapat peluang bersolat sunat di masjid atau surau. Ada juga dalam kalangan komuniti perantau seperti pelajar atau pekerja yang menganjurkan majlis kenduri kecil-kecilan atau takbir beramai-ramai, sama ada di kedutaan Malaysia, di rumah atau di dewan komuniti.

Peluang untuk berhimpun beramai-ramai seperti ini memberikan ruang kepada semua untuk melepaskan rindu terhadap sanak-saudara di Malaysia, bertukar fikiran, berkongsi suka dan duka, dan sama-sama menghayati erti yang tersurat dan tersirat mengenai pengorbanan.

Sambutan perayaan yang dibuat adalah sederhana, tetapi jauh di lubuk hati masing-masing sedar bahawa mereka sedang melaksanakan erti pengorbanan yang bukan calang-calang.

Pengorbanan untuk meninggalkan keluarga tercinta jauh beribu-ribu batu di tanah air, menimba ilmu dan mencari pengalaman di bumi asing, mengangkat senjata membantu menjaga keharmonian dan keselamatan negara yang sedang dilanda krisis, bersusah payah membina kehidupan dan berdikari, dan mentadbir hal-ehwal makanan dan pakaian keluarga adalah contoh pengorbanan yang cukup berbeza dan unik jika dibandingkan dengan ibadah korban yang biasa diamalkan di tanah air.

Namun, semua pengorbanan ini tetap bersandarkan kepada matlamat mendapatkan keredaan Allah membawa balik segala ilmu dan pengalaman yang ditimba di luar negara untuk dikongsi bersama dengan anak bangsa.

KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR


*juliet le sweetheart : Insya Allah... tahun depan beraya di Bundoora pulak :)




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top