♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Friday, November 7, 2008

Tidak amanah bekerja tergolong orang munafik

Artikel Neezam di Utusan Malaysia hari ini. Bacalah yer... Semoga dapat memberi peringatan kepada kite semua, expecially kengkawan yang sedang bekerja tu... :)

Tidak amanah bekerja tergolong orang munafik

Oleh Khairunneezam Mohd. Noor

Perkataan 'amanah' berasal daripada bahasa Arab yang boleh ditakrifkan sebagai setia, kepercayaan, lurus dan seumpamanya. Namun, daripada konteks yang lebih mendalam, amanah difahami sebagai kepercayaan yang diletakkan oleh seseorang individu kepada pihak lain dalam memelihara atau menjaga akan sesuatu perkara tidak kira sama ada ia bersifat nyata atau tidak nyata.

Sifat amanah dikatakan sebagai sesuatu beban yang tidak terpikul dan telah ditolak oleh makhluk-makhluk Allah SWT yang lain, namun manusia pula sanggup untuk memikulnya. Ia berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahzaab, ayat 72.
Sifat amanah sangat berkait rapat dengan keimanan seseorang. Seseorang yang beriman adalah orang yang bersifat amanah dan menerima segala kewajipan yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan jujur.

Amanah yang dijunjung oleh manusia meliputi pertamanya amanah kepada Allah SWT. Ia termasuklah menunaikan segala kewajipan yang dituntut kepada-Nya, melaksanakan amal ibadah dengan ikhlas dan berterusan, dan menjaga keimanan supaya sentiasa subur.

Konteks amanah yang kedua adalah amanah sesama manusia. Ia meliputi perkara- perkara seperti memberikan hak kepada orang yang berhak, menepati janji, bersikap adil dan saksama, bercakap benar, dan melakukan ihsan kepada masyarakat sekeliling.

Sifat amanah ini adalah antara sifat wajib yang ada pada Rasul selain Siddiq (benar), Tabligh (menyampaikan) dan Fatonah (bijaksana). Sifat amanah Nabi Muhammad SAW merupakan model nilai-nilai murni yang sempurna dan unggul yang harus diterapkan dan diteladani dalam kehidupan.

Misalnya, dalam urusan pekerjaan, Baginda SAW mengendalikan perniagaan dengan penuh amanah, tanpa mengamalkan penipuan serta bertanggungjawab semasa membantu perniagaan Saidatina Khadijah binti Khuwailid (yang kemudiannya menjadi isteri baginda). Inilah resipi kejayaan unggul dalam kaedah bekerja yang bukan sahaja menunjukkan budi pekerti Rasulullah SAW yang mulia, bahkan telah berhasil memberikan keuntungan yang berlipat ganda kepada perniagaan Khadijah.

Jelasnya, sifat amanah Rasulullah SAW ini terserlah sebagai salah satu nilai-nilai murni dalam Islam yang menjadi tunjang kejayaan dan kesempurnaan seseorang ketika bekerja. Sebagai pekerja, seseorang itu perlu memenuhi dan mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh organisasi atau majikannya.

Umumnya masa, tenaga, kepakaran dan idea merupakan antara elemen yang disumbangkan oleh pekerja kepada organisasi. Begitu pun, setiap sumbangan yang diberikan atau kerja yang dilaksanakan itu perlulah turut didasari oleh nilai-nilai keperibadian murni yang digariskan Islam termasuklah sifat amanah.

Dalam membicarakan tentang sifat amanah ketika bekerja, tidak dapat tidak seseorang pekerja wajib memenuhi kedua-dua amanah iaitu kepada Allah SWT dan amanah sesama manusia. Ia jelas diisyaratkan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Anfal, ayat 27).

Sebagai hamba Allah yang beriman, walau sibuk mana sekalipun kita bekerja, hak-hak kita terhadap Allah perlu dilunaskan, apatah lagi jika ia adalah membabitkan soal amal ibadah, keislaman dan keimanan kita.

Islam telah memberikan rukhsoh atau keringanan dalam hal-hal tertentu pada waktu-waktu tertentu bagi umatnya yang giat melaksanakan pekerjaan bagi memajukan diri. Misalnya, jika seseorang melaksanakan tugas jauh di tempat lain melangkaui jarak dua marhalah, dia dibolehkan untuk menjamak dan/atau mengqasarkan solat fardunya.

Namun, bagi segolongan daripada kita yang tidak mempunyai sifat amanah kepada Allah SWT, jika diberikan keringanan sebanyak manapun, pasti akan sekadar 'mengambil ringan' hal-hal ibadah terutamanya yang fardu kerana kononnya terlalu fokus terhadap kerja-kerjanya.

Amanah dalam bekerja meliputi skop- skop sebagaimana berikut:

* Menyedari hakikat bahawa tugas adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan
sebaik-baiknya;

* Mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi menjalankan tugas
yang dipertanggungjawabkan;

* Menghindarkan dengan rela hati kepentingan diri daripada mengatasi
kepentingan tugas; dan

* Menentukan tiada penyelewengan dalam tugas sama ada dari segi masa, kuasa,
sumber wang dan peralatan serta tenaga kerja.

Kita selalu dimaklumkan di media cetak dan media massa lain akan laporan kes-kes pecah amanah, penyalahgunaan wang organisasi, penindasan pekerja bawahan dan sebagainya yang dilakukan oleh sebilangan pekerja dalam pelbagai sektor pekerjaan di negara kita. Itu tidak termasuk perbuatan- perbuatan tidak amanah yang lain seperti curi tulang dengan tidur atau keluar minum sesuka hati dalam waktu kerja, mencuri masa dengan berborak kosong, melayari bahan-bahan tidak berkaitan dengan kerja melalui internet, membuat kerja luar ketika sedang bekerja, dan sebagainya.

Ini merupakan amalan-amalan buruk semasa bekerja yang boleh mencacatkan kesempurnaan dan keberkatan bekerja. Cuba fikirkan, apakah adil jika kita menerima upah atau gaji, tetapi kita tidak melaksanakan kerja kita dengan beretika, amanah dan sebaik-baiknya?

Kemudian apakah berkat dan halal wang gaji yang kita peroleh itu untuk kita gunakan bagi menyara kehidupan isteri dan anak-anak?

Sesungguhnya, pekerja yang amanah dan meletakkan syariat Islam sebagai pegangan semasa bekerja akan sentiasa dilindungi oleh Allah SWT.

:: Klik sini untuk ke artikel ni kat Utusan online ::



*juliet le sweetheart : selalu jugak "mengular" masa bekerja dulu...


No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top