♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Friday, November 14, 2008

Menjaga amanah kepada Allah dan sesama manusia

Artikel Enche Neezam di Utusan Malaysia hari ini, bahagian Rencana.

Menjaga amanah kepada Allah dan sesama manusia

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR

PERKATAAN amanah berasal daripada bahasa Arab. Dari segi lughah atau bahasa dapat ditakrifkan sebagai setia, kepercayaan, lurus dan seumpamanya. Namun, daripada konteks yang lebih mendalam, amanah difahami sebagai kepercayaan yang diletakkan oleh seseorang individu kepada pihak lain dalam memelihara atau menjaga sesuatu perkara sama ada yang bersifat nyata atau tidak nyata.

Sifat amanah dikatakan sebagai sesuatu beban yang tidak terpikul dan telah ditolak oleh makhluk-makhluk Allah SWT yang lain, namun disanggupi oleh manusia untuk memikulnya. Ia berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

'Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan' (surah al-Ahzaab, ayat 72).

Sifat amanah sangat berkait rapat dengan keimanan seseorang. Seseorang yang beriman bersifat amanah dan menerima segala kewajipan yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan jujur. Amanah yang dijunjung oleh manusia meliputi pertamanya amanah kepada Allah SWT. Ia termasuklah menunaikan segala kewajipan yang dituntut kepadaNya, melaksanakan amal ibadah dengan ikhlas dan berterusan, dan menjaga keimanan supaya sentiasa subur.

Konteks amanah yang kedua adalah amanah sesama manusia. Ia meliputi perkara-perkara seperti memberikan hak kepada orang yang berhak, menepati janji, bersikap adil dan saksama, bercakap benar, dan melakukan ihsan kepada masyarakat sekeliling.
Sifat amanah ini adalah merupakan antara empat sifat-sifat wajib yang ada pada Rasul selain Siddiq (Benar), Tabligh (menyampaikan) dan Fatonah (bijaksana). Sifat amanah Nabi Muhammad SAW merupakan model nilai-nilai murni yang sempurna dan unggul yang harus diterapkan dan diteladani dalam kehidupan. Misalnya, dalam urusan pekerjaan, Baginda SAW mengendalikan perniagaan dengan penuh amanah, tanpa mengamalkan penipuan serta bertanggungjawab semasa membantu perniagaan Saidatina Khadijah binti Khuwailid (yang kemudiannya menjadi isteri baginda).

Inilah resipi kejayaan unggul dalam kaedah bekerja yang bukan sahaja menunjukkan budi pekerti Rasulullah SAW yang mulia, bahkan telah berhasil memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada perniagaan Saidatina Khadijah.

Jelasnya, sifat amanah Rasulullah SAW ini terserlah sebagai salah satu nilai-nilai murni dalam Islam yang menjadi tunjang kejayaan dan kesempurnaan seseorang ketika bekerja. Sebagai pekerja, seseorang itu perlulah memenuhi dan mencapai matlamat-matlamat yang telah ditetapkan oleh organisasi atau majikannya. Umumnya masa, tenaga, kepakaran dan idea merupakan antara elemen yang disumbangkan oleh seseorang pekerja kepada organisasi. Begitupun, setiap sumbangan yang diberikan atau kerja yang dilaksanakan itu perlulah turut didasari oleh nilai-nilai keperibadian murni yang digariskan Islam termasuklah sifat amanah.

Dalam membicarakan tentang sifat amanah ketika bekerja, tidak dapat tidak seseorang pekerja wajib memenuhi kedua-dua amanah kepada Allah SWT dan amanah sesama manusia. Ia jelas diisyaratkan melalui firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Anfal, ayat 27).

Sebagai hamba Allah yang beriman, walau sesibuk mana sekalipun kita bekerja, hak-hak kita terhadap Allah perlu dilunaskan, apatah lagi jika ianya adalah membabitkan soal amal ibadah, keislaman dan keimanan kita. Islam telah memberikan rukhsoh atau keringanan dalam hal-hal tertentu pada waktu-waktu tertentu bagi umatnya yang giat melaksanakan pekerjaan bagi memajukan diri.

Misalnya, jika seseorang melaksanakan tugas jauh di tempat lain melangkaui jarak dua marhalah, dia dibolehkan untuk menjamak dan/atau mengqasarkan solat fardhunya. Misalan ini merupakan suatu keringanan yang istimewa diberikan kepada umat Islam agar dapat terus tawaduk melaksanakan amanah untuk beribadah dan melunaskan tanggungjawab pekerjaannya. Namun, bagi segolongan daripada kita yang tidak mempunyai sifat amanah kepada Allah SWT ini, jika diberikan keringanan sebanyak manapun, pasti akan sekadar 'mengambil ringan' hal-hal beribadah terutamanya yang fardu kerana kononnya terlalu fokus terhadap kerja-kerjanya.

Sesungguhnya, pekerja yang amanah dan meletakkan syariat Islam sebagai pegangan semasa bekerja akan sentiasa dilindungi oleh Allah SWT, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Empat perkara sekiranya kamu memilikinya kamu tidak akan ditimpa (balasan) terhadap apa yang kamu tidak buat di dunia: Jaga amanah, bercakap benar, berakhlak baik dan mengawal pemakanan (halal dan haram)." Manakala pekerja yang tidak berhati-hati dalam menjaga amanah adalah tergolong dalam golongan orang-orang yang munafiq. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ada tiga tanda munafiq: Apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia mungkiri dan apabila diberi amanah ia khianati (Muttafaqun 'Alaih).



*juliet le sweetheart : Niesreena; amanah Allah yang paling bernilai dalam hidup aku...



No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top