♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Saturday, September 20, 2008

Ole-ole dari Enche Neezam

Pagi-pagi buta lagi, selepas solat subuh, Neezam kejutkan aku dengan artikel dia ni. Sajer jer dia suruh aku tengok komputer pagi-pagi buta. Rupa-rupanya artikel hubby mengenai kehidupan kitorang kat sini, kat Desa Bundoora tercinta ni, tersiar kat surat khabar Utusan Malaysia, hari ni. Patutlah nampak ceria jer dia. ^_^

Kepada semua warga sedesa Bundoora, terimalah ole-ole dari 'tok penghulu Desa Bundoora' *gelaran yang ntah macam mana boleh lekat kat Neezam plak* sebelum balik pulang beraya kat Malaysia... Dan kepada kengkawan yang berada di Malaysia, bolehlah tahu macam mana kehidupan masyarakat Malaysia Desa Bundoora ni serba sedikit.... Oooooo... tidak lupa kepada kengkawan yang berada di Melbourne city, Clayton dan kawasan yang tidak sewaktu dengan Desa Bundoora ni, enjoy the reading ok! Dengan ucapan 'jangan jeles... famous Desa Bundoora seantero Malaysia'... Hehehehe... Minta ampun, maaf zahir batin... Jangan marah arrr, jeles tak per... Huhuhuhu... ;p

Ramadhan Erat Perpaduan Desa Bundoora

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

HARI ini di Bundoora sebuah kawasan pinggiran bandar terletak kira-kira 20 kilometer dari pusat kota raya Melbourne, Australia wujud satu komuniti pelajar dan pekerja warganegara Malaysia yang berbilang bangsa, keturunan dan agama, yang cukup kuat nilai-nilai persaudaraan dan setiakawan.

Walaupun tanah air tercinta ditinggalkan jauh beribu batu, namun seperti mana adatnya di Malaysia, ukhuwah warga 'Desa Bundoora' di sini cukup kuat bertunjangkan ajaran Islam dan tatasusila budaya bangsa pegangan masing-masing.

Penulis sekadar ingin berkongsikan bersama khalayak umum akan kesegaran nilai-nilai silaturrahim yang dinikmati sendiri oleh penulis dan sahabat handai di tempat yang lebih senang untuk kami panggil Desa Bundoora ini.

Beberapa hari sebelum menjelang bulan Ramadan, penulis telah dijemput untuk meraikan satu majlis akikah dan cukur rambut anak sulung seorang sahabat terdekat di sini. Dalam majlis yang serba sederhana tetapi meriah ini, penulis berpeluang berbual panjang dengan beberapa sahabat yang baru sahaja tiba dari Malaysia membawa seisi keluarga bagi melanjutkan pengajian mereka. Sahabat- sahabat ini berkongsikan rasa kelegaan dan syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana dipermudahkan segala urusan mereka.

Umum mengakui bahawa banyak perkara yang sebenarnya begitu kritikal dan memeningkan dalam tahap-tahap awal penghijrahan di luar negara. Lebih-lebih lagi jika urusan sebegini merupakan satu pengalaman pertama yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Sahabat-sahabat tadi melahirkan rasa syukur kerana kehidupan peringkat awal yang difikirkan sangat sukar untuk dilalui di bumi asing dalam mencari rezeki dan ilmu pengetahuan, rupa-rupanya menjadi begitu lancar kerana ada pihak-pihak di sini yang tidak putus-putus bermurah hati memberikan bantuan dan sokongan tidak berbelah bahagi.

Sifat murni dan tanggungjawab ini selaras dengan apa yang dituntut dalam Islam dalam menjaga perhubungan sesama insan (hablum minannas). Rasulullah SAW sendiri mengingatkan kita akan ganjaran yang akan diterima jika kita menjaga hubungan silaturrahim melalui sabda baginda yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, hendaklah ia memelihara hubungan silaturrahim" (riwayat Bukhari dan Muslim).

Apa yang penulis maklum, terdapat beberapa orang rakan menawarkan rumah mereka sendiri kepada rakan-rakan baru yang sukar mendapatkan kediaman sementara tak ubah seperti konsep homestay. Privacy' yang dinikmati, sanggup dibuang jauh-jauh dan tetamu yang menumpang diraikan umpama kaum keluarga sendiri.

Kelihatannya dalam kalangan warga Malaysia di Desa Bundoora ini sudah boleh diumpamakan seperti saudara sedarah sedaging.

Manakan tidak, kalau ada yang sakit pening dan tak termampu menghadapi masalah bersendirian, pasti dengan pantas puluhan tangan akan sudi menghulur bantuan.

Tidak kurang juga meriahnya aktiviti sepanjang bulan Ramadan ini seperti anjuran majlis berbuka puasa, solat sunat tarawih secara berjemaah, dan bertadarus al-Quran yang dilakukan bersama-sama. Pendek kata, memang sukar untuk sesiapa yang berada di Desa Bundoora ini untuk berasa terasing atau diasingkan, kecualilah mereka sengaja mahu memencilkan diri sendiri. Inilah resam perpaduan yang menggambarkan bahawa setiap individu warga Malaysia di Desa Bundoora ini cukup cermat dalam menjaga hubungan silaturrahim.

Hakikatnya, satu-satu perkumpulan masyarakat yang memandang sepi akan kepentingan dan kesan-kesan positif menjalinkan silaturrahim tidak akan merasai nikmat persaudaraan yang sebenar-benarnya.

Tanpa wujudnya sifat-sifat murni seperti mengambil berat, bantu-membantu, nasihat-menasihati, dan kasih-mengasihi kerana Allah SWT, maka hilanglah kemanisan silaturrahim dalam hidup bermasyarakat. Masyarakat tersebut akan mudah berpecah-belah dan tidak dapat 'seiring dan sejalan' dalam apa jua perkara.

Tidak dapat tidak, dalam pada kita giat melalui kehidupan bermasyarakat, pasti akan wujud pertikaman lidah, perbezaan pendapat, silap tutur bicara, mahu pun keterlanjuran perbuatan. Itu merupakan adat dalam kehidupan yang sukar untuk dielakkan.

Ditambah lagi kalau ada segolongan insan yang dipanggil 'batu api' yang gemar menebar fitnah melaga-lagakan orang lain dan memutuskan silaturrahim sesama ahli dalam komuniti.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud 'tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan' (riwayat Muslim).

Lantaran itu, apa yang penting adalah agar semua ahli dalam sesuatu masyarakat mempunyai sikap profesional, menghindarkan rasa iri hati, tidak sombong, tidak mengadu domba, tidak melampaui batas dalam bergaul, bahkan tidak menyimpan sebarang dendam kesumat.
Cukup molek jika semua pihak yang mungkin berkaitan dalam pertelingkahan menyuburkan sifat memaafkan dan reda dengan apa yang telah dilakukan oleh para sahabat yang lain demi mengukuhkan hubungan silaturrahim yang telah dibina.

Hubungan silaturrahim yang ditonjolkan oleh komuniti Malaysia di Desa Bundoora ini merupakan satu contoh terjemahan kekuatan dan kesepaduan ummah.



*juliet le sweetheart : beberapa jam lagi jer nak balik ni... ^_^


No comments :

back to top