♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Thursday, May 15, 2008

Didik anak tentang pemakanan sihat

Mr. Hubby kata, inilah artikel terpendek dalam sejarah dia menulis artikel.

Artikel Neezam kat Utusan Malaysia bahagian rencana hari ini, 15 Mei 2008.

Didik anak tentang pemakanan sihat

SEBAGAI ibu bapa kita memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memastikan anak-anak kita makan makanan yang berkhasiat, selamat dan seimbang.

Anak-anak wajar didedahkan dengan tabiat pemakanan yang sihat. Mereka perlu tahu bahawa setiap hari tubuh badan mereka memerlukan zat-zat makanan tertentu yang cukup dan seimbang untuk terus hidup sihat.

Mereka perlu dididik bahawa pengambilan gizi makanan yang tidak seimbang akan memberi kesan negatif dalam jangka masa pendek dan panjang terhadap diri mereka seperti kegemukan, kencing manis, sakit jantung dan sebagainya.

Anak-anak perlu digalakkan untuk membawa bekalan makanan dari rumah. Dengan cara ini, kita dapat memastikan anak-anak mendapat khasiat secukupnya daripada pemakanan mereka kerana kita sendiri yang menyediakan makanan tersebut.

Bekalkanlah mereka dengan jenis makanan yang bervariasi dan memenuhi selera mereka namun dalam masa yang sama masih seimbang akan khasiatnya. Misalannya dibekalkan mereka dengan nasi berlauk, atau mi goreng bertelur, dan lengkap dengan sepotong buah.

Ada sesetengah ibu bapa terutamanya yang bekerja merungut bahawa mereka tidak sempat untuk memasak setiap hari bagi menyediakan bekalan makanan untuk anak-anak ke sekolah. Kalau hendak seribu daya.

Ini bukanlah alasan yang konkrit kerana di pasaran pada hari ini terdapat begitu banyak produk makanan segera yang berkhasiat misalnya roti, biskut dan susu yang boleh diperoleh dengan harga yang murah.

Amalan membawa bekalan makanan ke sekolah sebegini bukan bermaksud kita kedekut bahkan ia satu strategi bersifat serampang dua ma-ta. Ia bukan sekadar mampu mencegah anak-anak kita daripada kes keracunan makanan bahkan kita menggalakkan mereka untuk berjimat cermat dan tidak membazir membeli sesuatu yang kurang berfaedah.

Duit poket yang diberikan saban hari boleh disimpan oleh anak-anak sebagai tabungan untuk kegunaan sendiri pada masa hadapan.

Akhirnya, anak-anak kita juga akan dapat belajar dan mengamalkan nilai-nilai murni ajaran Islam dan moral apabila bekalan makanan yang dibawa dikongsi bersama-sama dengan rakan- rakan lain.

Sifat ikhlas dan pemurah ditonjolkan apabila anak-anak tidak lokek memberi sedikit bekalannya kepada rakan-rakan.

Inilah yang akan difahami anak-anak sebagai ‘orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa’.

Persahabatan mereka dengan rakan-rakan juga menjadi erat kerana mereka saling memahami dan bertimbang rasa daripada hal sekecil-kecil perkongsian makanan sehinggalah kepada aspek kecemerlangan akademik, ‘ibarat aur dengan tebing’ saling perlu-memerlukan.

*juliet le sweetheart : masa sekolah rendah dulu selalu beli nasi lemak sambal sotong sebungkus 30 sen.

No comments :

back to top