♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Friday, January 11, 2008

Mengajar konsep Hijrah di kalangan anak-anak

Artikel pertama Neezam bagi tahun ini di Utusan Malaysia.

Mengajar konsep Hijrah di kalangan anak-anak

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR

KALENDAR Masihi telah berganjak ke tahun 2008 dan ia diikuti dengan sambutan yang cukup meriah di segenap pelosok negara bagi meraikan kedatangan tahun baru ini.

Golongan kanak-kanak adalah antara yang tidak ketinggalan dalam meraikan kedatangan tahun baru. Ramai ibu bapa yang membawa anak-anak mereka mengikuti acara seperti pengiraan detik menjelang tahun baru, pertunjukan bunga api, konsert, dan seumpamanya.

Namun berapa ramai di kalangan ibu bapa yang beragama Islam menggalakkan anak-anak untuk menyambut kedatangan tahun baru mengikut kalendar Islam atau Hijriah? Jika anak-anak begitu lancar menghafal nama-nama bulan dalam kalendar Masihi, apakah mereka turut mampu mengingati nama dan susunan bulan-bulan mengikut kalendar Hijriah? Adakah anak-anak kita telah diajarkan juga tentang sejarah dan pengajaran yang tersurat dan tersirat daripada sambutan awal Muharam ini? Kebetulan pula sambutan Awal Muharam (1 Muharam 1429 Hijrah) kali ini jatuhnya hanya berselang kira-kira 9 hari dari sambutan tahun baru 2008, iaitu pada 10 Januari. Maka, sewajarnyalah sebagai umat Islam yang mendasari konsep Islam Hadhari di negara kita ini perlu mendidik anak-anak kita menghayati akan kesyumulan dan kesempurnaan ajaran Islam, termasuklah dalam menyambut kedatangan bulan Muharam dan inti pati sambutannya.

Hijrah daripada konteks bahasa bermaksud perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Secara konsepsualnya adalah suatu usaha mengubah nasib atau keadaan sedia ada kepada keadaan yang lebih baik. Hijrah seseorang itu jika disertakan dengan usaha, kesungguhan dan penyerahan kepada Allah s.w.t, maka dia akan dijanjikan kejayaan dan ganjaran pahala.

Anak-anak perlu didedahkan bahawa berdasarkan lipatan sejarah Islam, sahabat Nabi Muhammad s.a.w, Saidina Umar al-Khattab r.a. adalah orang bertanggungjawab menggagaskan penggunaan kalendar Islam berdasarkan peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah. Peristiwa hijrah diiktiraf sebagai permulaan bulan dalam kalendar Islam dan peristiwa tersebut berlaku pada tahun 622 Masihi mengikut kalendar Masihi. Anak-anak perlu diberitahu bahawa peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w ini adalah bertunjangkan kepada ketaatan terhadap perintah Allah s.w.t di mana sebagai seorang umat Islam yang beriman seseorang perlu melaksanakan apa yang disuruh-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya.

Selain itu, terdapat banyak prinsip mulia yang perlu dididik kepada anak-anak di sebalik konsep hijrah. Menjadi kelaziman apabila masuk sahaja tahun baru, kebanyakan orang akan mewujudkan azam baru untuk menjadi lebih baik dan sempurna serba-serbinya berbanding tahun-tahun yang lepas.

Begitu jugalah perlu diterapkan dalam diri anak-anak bahawa dalam mendasari anjakan tahun baru kalendar Islam, membentuk azam baru itu adalah berpaksikan kepada perubahan atau penghijrahan ke arah kebaikan.

Anak-anak perlu difahamkan hijrah mengajar manusia untuk membentuk amalan perpaduan, tolong-menolong dan hormat-menghormati antara sesama manusia tidak kira usia, bangsa dan agama. Dengan cara ini, anak-anak akan terasuh menjadi modal insan yang mempunyai akhlak yang terpuji seiring dengan ketinggian martabat dan ilmu pengetahuan yang dimilikinya. Konsep hijrah juga berkesan mendidik anak-anak untuk sabar dan tidak melaksanakan sesuatu yang boleh memudaratkan diri akibat kecewa dengan sebarang kegagalan, misalnya terjebak dengan gejala ponteng sekolah, merempit, atau menagih dadah.

Akhirnya konsep hijrah berupaya membentuk peribadi anak-anak menjadi insan yang sentiasa yakin dengan ketentuan Allah s.w.t dan bertawakal setelah giat melaksanakan sesuatu usaha ke arah kebaikan. Ia selaras dengan konsep tawakal Rasulullah s.a.w semasa berhijrah ke Madinah dan berusaha mengelakkan ancaman bunuh kaum Musyrikin Mekah.

Allah s.w.t menjanjikan balasan yang sewajarnya kepada mereka yang berserah kepada-Nya seperti yang dinyatakan dalam surah an-Nahl ayat 41-42 maksudnya: Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui. (Mereka itu ialah) orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya.

Segala pengajaran dan prinsip yang diserlahkan melalui peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w perlulah diterapkan secara berterusan dalam kehidupan anak-anak. Sempena kedatangan awal Muharam ini, marilah kita mengajak anak-anak meraikannya dengan cara muhasabah diri, perbetulkan kesilapan, perbanyakkan amalan mulia dan membulatkan tekad untuk berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan keredaan-Nya di dunia dan akhirat.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top