♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Wednesday, December 3, 2008

Sihir paksi kejahatan syaitan sesatkan akidah umat

Actually ni artikel yang sama kuar kat Utusan Malaysia ari tu tapi hari ni kuar plak kat Berita Harian tapi ada lain skit...

Sihir paksi kejahatan syaitan sesatkan akidah umat

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Ilmu hitam jadi amalan orang fasik, kufur kembang biak persengketaan dalam masyarakat

Dalam zaman serba moden pada hari ini, janganlah terkejut andai mengetahui bahawa sesetengah ahli masyarakat kita masih kuat terbelenggu dengan amalan sihir yang boleh mencacatkan akidah. Sebut sahaja nasi tangas, angin tuju-tuju, santau, ubat guna-guna, minyak dagu, dan seumpamanya ia pastilah antara cabang-cabang sihir yang tersohor dan masih tegar diamalkan dalam masyarakat kita.

Sesungguhnya perbuatan sihir ini tidak lain dan tidak bukan adalah berpaksikan kepada ilmu atau ajaran syaitan yang sememangnya mahukan akidah umat Islam terus sesat dan rosak binasa. Sihir tidak memberikan apa-apa kebaikan untuk orang yang mengamalkannya, lebih-lebih lagi orang-orang yang menjadi mangsanya.

Sihir yang menggunakan perantaraan jin dan syaitan tidak lebih daripada bermatlamat negatif untuk memenuhi nafsu serakah, melunaskan dendam kesumat, mahu menunjukkan bahawa diri seseorang itu kuat, atau pun sebagai isyarat diri tidak boleh dicabar dan diganggu-gugat secara fizikal, perasaan dan emosinya.

Baru-baru ini penulis dihubungi oleh seorang sahabat karib sewaktu sama-sama belajar di universiti dahulu. Sahabat ini menceritakan perihal keluarga dan dirinya sendiri yang menjadi mangsa sihir oleh orang-orang tertentu. Apa yang menjadi kekesalan buat penulis adalah perbuatan sihir tersebut telah berlarutan bertahun-tahun lamanya. Banyak impak buruk yang terpaksa ditanggung oleh sahabat dan keluarganya termasuklah menderita pelbagai penyakit misteri, diganggu jelmaan lembaga hitam, mengalami mimpi yang mengerikan dan sebagainya.

Sahabat penulis ini dan keluarganya telah berusaha sehabis daya untuk berubat menggunakan amalan perubatan moden dan tradisional, serta bertemu pakar perubatan berasaskan Islam. Namun, masih juga kesabaran dan keimanan mereka diuji Allah SWT apabila kesan-kesan sihir tersebut masih tidak berkurangan, bahkan semakin hebat mengasak kesejahteraaan hidup mereka. Sememangnya berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul sengsara kesan sihir ini.

Dalam kes yang dialami oleh sahabat penulis ini bahkan sesiapa sahajapun mangsa sihir, pasti akan mengundang beberapa persoalan. Jika benarlah ada orang lain membuat sebarang kesilapan, salah faham, mengganggu hak peribadi atau sebagainya terhadap kita, apakah tidak ada kaedah lain yang lebih tepat untuk kita menyelesaikan pertelingkahan tersebut selain daripada amalan sihir? Apakah agaknya nilai kepuasan diri orang yang menyihir apabila melihat mangsa-mangsanya tersiksa secara fizikal, emosi dan mentalnya bahkan sehingga tercabut nyawanya?

Bukankah elok jika persengketaan itu diakhirkan dengan perbincangan yang telus, maaf-memaafkan, redha-meredhai dan berdamai. Firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Dan jika mereka condong kepada perdamaian maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang maha mendengar lagi maha mengetahui (Surah al-Anfal, ayat 61).

Jelas, manusia yang sanggup melakukan sihir adalah rapuh nilai keimanannya. Golongan ini mudah bersekongkol dan tunduk mengalah pada bisikan dan hasutan syaitan. Inilah amalan orang-orang yang fasik dan kufur. Orang-orang seperti ini tidak sedar bahawa Allah SWT adalah maha berkuasa dan maha adil. Jika baik amalan seseorang itu, maka balasan yang baik jualah yang akan diterimanya daripada Allah SWT, begitulah jua padah yang sebaliknya jika dia melakukan kejahatan. Ini selaras dengan Firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula’ (Surah al-Zalzalah, ayat 7&8).

Agama Islam sangat-sangat mencela dan melarang umatnya daripada terjebak dalam amalan sihir ini. Rasionalnya adalah kerana amalan sihir ini dengan mudah merosakkan akidah dan menghancurkan keimanan seseorang Muslim. Sihir menyebabkan seseorang yang mengamalkannya hilang keyakinan terhadap kekuasaan Allah SWT bahkan menganggap dirinya lebih berkuasa kerana mampu mendatangkan mudarat kepada pihak lain sesuka hatinya. Sihir berupaya menebalkan rasa sombong, takbur dan zalim dalam kalangan pengamalnya.

Sihir juga akan mengembang biakkan persengketaan, sifat dendam yang tak surut-surut, mengundang fitnah, berpecah belah dan hilang kepercayaan sesama ahli dalam masyarakat. Bayangkanlah jika sihir menjadi permainan sebati dalam hidup, kalau tercuit sedikit perasaan marah terhadap orang lain, maka sihir pantas dijadikan alat untuk membalas perbuatan orang tersebut. Bermakna, tak habis-habislah orang di sana sini sakit menderita dek permainan sihir yang tak kunjung padam.

Sebagai masyarakat muslim kita perlu secara kolektif, bersungguh-sungguh dan istiqamah menangani dan membasmi perbuatan sihir. Antara lainnya adalah dengan cara:

• Segenap lapisan masyarakat perlulah utuh mendalami, menyebarkan dan menghayati ajaran Islam dan menjadikan ia sebagai cara hidup. Islam itu sendiri bermaksud taat, akur dan penyerahan diri kepada Allah SWT dan juga memberi maksud sejahtera. Maka, menghayati Islam bermakna membugarkan kesejahteraan hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah SWT.

• Menyelesaikan pertelingkahan dan salah faham dengan kaedah yang tepat dan rasional serta mengamalkan konsep maaf-memaafkan sesama individu.

• Sentiasa memohon taufik dan hidayah daripada Allah SWT agar sentiasa teguh keimanan dalam diri dan diberi perlindungan daripada hasad dengki, perbuatan jahat dan sihir manusia, jin dan syaitan.

• Menjadikan al-Quran dan al-Hadis sebagai panduan dalam semua aspek kehidupan. Begitu juga mengamalkan hafazan dan bacaan ayat-ayat atau surah-surah tertentu dalam al-Quran. Dengan izin Allah SWT ia mampu menjadi pendinding, penangkis dan penawar kesan sihir kepada seseorang.

• Memberi didikan kepada masyarakat akan bahayanya amalan sihir yang bukan sahaja merosakkan akidah seseorang bahkan tindak-tanduk dan pemikiran akan turut menjadi porak-peranda dan tidak rasional.

• Berdakwah secara berhikmah dan mengambil tindakan tegas terhadap orang yang melakukan sihir supaya dibukakan hijab dalam hatinya untuk segera berubah dan bertaubat nasuha kepada Allah SWT.

• Tidak menyokong dan bekerjasama dengan pengamal sihir supaya amalan jahatnya itu akan lenyap dan tidak diwarisi oleh sesiapapun.

Bagi yang terkena amalan sihir, apa yang perlu dibuat adalah terus yakin dengan kekuasaan Allah SWT. Dengan izin-Nya serta sifat pengasih dan penyayang-Nya, pasti dapat kita menangkis sebarang perbuatan sihir jahat manusia, jin dan syaitan. Janganlah pula kaedah yang sama (iaitu sihir) hendak dipraktikkan untuk membalas kembali kejahatan pihak pengamal sihir tersebut.

Sifat sabar juga perlu terus ada dalam diri. Teruskan mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan menepati syariat Islam dengan penuh tawakkal kepada Allah. Anggaplah bahawa ini adalah salah satu bentuk ujian Allah SWT untuk menguji keteguhan nilai Islam dan Iman dalam diri seseorang itu sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya’ (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).


*juliet le sweetheart : ada kawan yang terlalu taksub dengan sihir dan bomoh...


Tuesday, December 2, 2008

Sambutan Aidiladha di perantauan tak semeriah di tanahair

Haaa... artikel Neezam hari ni kat Berita Harian. Mesti kengkawan kat perantauan tu *expecially warga Desa Bundoora!* geraaaaaaammmm jer baca artikel ni ek... Sabarlah kengkawan. Apa-apa pun, tak semua orang dapat merasa beraya di luar negara *macam kitorang* Hehehhehe... So, bergembiralah!!!

Sambutan Aidiladha di perantauan tak semeriah di tanahair

SESUNGGUHNYA umat Islam ternanti-nanti tibanya Aidiladha atau Hari Raya Korban yang secara rasminya akan disambut 8 Disember ini di seluruh negara.

Berdasarkan pengalaman peribadi, menyambut Hari Raya Korban di perantauan tidaklah semeriah seperti yang dirasakan di tanah air. Perantau sekadar dapat peluang bersolat sunat di masjid atau surau. Ada juga dalam kalangan komuniti perantau seperti pelajar atau pekerja yang menganjurkan majlis kenduri kecil-kecilan atau takbir beramai-ramai, sama ada di kedutaan Malaysia, di rumah atau di dewan komuniti.

Peluang untuk berhimpun beramai-ramai seperti ini memberikan ruang kepada semua untuk melepaskan rindu terhadap sanak-saudara di Malaysia, bertukar fikiran, berkongsi suka dan duka, dan sama-sama menghayati erti yang tersurat dan tersirat mengenai pengorbanan.

Sambutan perayaan yang dibuat adalah sederhana, tetapi jauh di lubuk hati masing-masing sedar bahawa mereka sedang melaksanakan erti pengorbanan yang bukan calang-calang.

Pengorbanan untuk meninggalkan keluarga tercinta jauh beribu-ribu batu di tanah air, menimba ilmu dan mencari pengalaman di bumi asing, mengangkat senjata membantu menjaga keharmonian dan keselamatan negara yang sedang dilanda krisis, bersusah payah membina kehidupan dan berdikari, dan mentadbir hal-ehwal makanan dan pakaian keluarga adalah contoh pengorbanan yang cukup berbeza dan unik jika dibandingkan dengan ibadah korban yang biasa diamalkan di tanah air.

Namun, semua pengorbanan ini tetap bersandarkan kepada matlamat mendapatkan keredaan Allah membawa balik segala ilmu dan pengalaman yang ditimba di luar negara untuk dikongsi bersama dengan anak bangsa.

KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR


*juliet le sweetheart : Insya Allah... tahun depan beraya di Bundoora pulak :)




Friday, November 28, 2008

Sihir cacatkan akidah

Sihir, satu amalan yang telah lama wujud dalam semua masyarakat. Lebih menyedihkan lagi amalan yang dilakhnati Allah swt ni macam mainan jer bagi orang melayu beragama Islam.

Masa kat UTM dulu, ada kawan aku ni, mak dia sampai meninggal sebab kena sihir. Paling mengecewakan, sihir tu dilakukan oleh adik-beradik mak dia sendiri. Teruk betul!

Ni artikel my mr. hubby kat Utusan Malaysia hari ni kat bahagian Rencana. Semoga artikel ni dapat memberikan sedikit sebanyak panduan untuk kiter semua...

Sihir cacatkan akidah

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR

Dalam zaman serba moden pada hari ini, janganlah terkejut andai mengetahui bahawa sesetengah ahli masyarakat kita masih kuat terbelenggu dengan amalan sihir yang boleh mencacatkan akidah. Sebut sahaja nasi tangas, angin tuju-tuju, santau, ubat guna-guna, minyak dagu, dan seumpamanya ia pastilah antara cabangcabang sihir yang tersohor dan masih tegar diamalkan dalam masyarakat kita.

Sesungguhnya perbuatan sihir ini tidak lain dan tidak bukan adalah berpaksikan kepada ilmu atau ajaran syaitan yang sememangnya mahukan akidah umat Islam terus sesat dan rosak binasa. Sihir tidak memberikan apa-apa kebaikan untuk orang yang mengamalkannya, lebih-lebih lagi orang yang menjadi mangsanya.

Sihir yang menggunakan perantaraan jin dan syaitan tidak lebih daripada bermatlamat negatif untuk memenuhi nafsu serakah, melunaskan dendam kesumat, mahu menunjukkan bahawa diri seseorang itu kuat, atau pun sebagai isyarat diri tidak boleh dicabar dan diganggu-gugat secara fizikal, perasaan dan emosinya.

Banyak impak buruk yang terpaksa ditanggung oleh mangsa sihir seperti penderitaan penyakit yang tidak terubat dengan kaedah perubatan konvensional, mengalami mimpi yang mengerikan, diganggu lembaga menakutkan, tertutup peluang mencari rezeki, menjadi 'bodoh-bodoh alang' dan sebagainya.

Ramai mangsa sihir telah berusaha sehabis daya untuk berubat sama ada dengan menggunakan perubatan moden, perubatan secara tradisional atau bertemu pakar perubatan berasaskan Islam. Namun, dalam kes-kes tertentu, kesan sihir masih tidak berkurangan. Masih juga kesabaran dan keimanan mereka diuji Allah SWT apabila kesan-kesan sihir tersebut semakin hebat mengasak kehidupan mereka. Sememangnya berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul sengsara kesan sihir ini.

Dalam kes yang dialami oleh mangsa-mangsa sihir beberapa persoalan wajar diajukan.
Pertamanya, jika benarlah ada orang lain membuat sebarang kesilapan, salah faham, mengganggu hak peribadi atau sebagainya terhadap kita, apakah tidak ada kaedah lain yang lebih tepat untuk kita menyelesaikan pertelingkahan tersebut selain daripada amalan sihir?

Kedua, apakah agaknya nilai kepuasan diri orang yang menyihir apabila melihat mangsa-mangsanya tersiksa secara fizikal, emosi dan mentalnya bahkan sehingga tercabut nyawanya?

Jelas, manusia yang sanggup melakukan sihir adalah rapuh nilai keimanannya. Golongan ini mudah bersekongkol dan tunduk mengalah pada bisikan dan hasutan syaitan. Inilah amalan orang yang fasik dan kufur.

Orang seperti ini tidak sedar bahawa Allah SWT adalah maha berkuasa dan maha adil. Jika baik amalan seseorang itu, maka balasan yang baik jua yang akan diterimanya daripada Allah SWT, begitulah jua padah yang sebaliknya jika dia melakukan kejahatan.

Agama Islam sangat-sangat mencela dan melarang umatnya daripada terjebak dalam amalan sihir ini. Rasionalnya adalah kerana amalan sihir dengan mudah merosakkan akidah dan menghancurkan keimanan seseorang Muslim.

Sihir menyebabkan seseorang yang mengamalkannya hilang keyakinan terhadap kekuasaan Allah SWT bahkan menganggap dirinya lebih berkuasa kerana mampu mendatangkan mudarat kepada pihak lain sesuka hatinya. Sihir berupaya menebalkan rasa sombong, takbur dan zalim dalam kalangan pengamalnya.

Sihir juga akan mengembang biakkan persengketaan, sifat dendam yang tak surut-surut, mengundang fitnah, berpecah belah dan hilang kepercayaan sesama ahli dalam masyarakat.

Bayangkanlah jika sihir menjadi permainan sebati dalam hidup, kalau tercuit sedikit perasaan marah terhadap orang lain, maka sihir pantas dijadikan alat untuk membalas perbuatan orang tersebut. Bermakna, tak habis-habislah orang di sana sini sakit menderita dek permainan sihir yang tak kunjung padam.

Sebagai masyarakat Islam kita perlu secara kolektif, bersungguh-sungguh dan istiqamah menangani dan membasmi perbuatan sihir. Antara lainnya adalah dengan cara:
Segenap lapisan masyarakat perlulah utuh mendalami, menyebarkan dan menghayati ajaran Islam dan menjadikan ia sebagai cara hidup. Islam itu sendiri bermaksud taat, akur dan penyerahan diri kepada Allah SWT dan juga memberi maksud sejahtera.
Maka, menghayati Islam bermakna membugarkan kesejahteraan hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah SWT.

Menyelesaikan pertelingkahan dan salah faham dengan kaedah yang tepat dan rasional serta mengamalkan konsep maaf-memaafkan sesama individu.
Sentiasa memohon taufik dan hidayah daripada Allah SWT agar sentiasa teguh keimanan dalam diri dan diberi perlindungan daripada hasad dengki, perbuatan jahat dan sihir manusia, jin dan syaitan.

Menjadikan al-Quran dan al-Hadis sebagai panduan dalam semua aspek kehidupan. Begitu juga mengamalkan hafazan dan bacaan ayat-ayat atau surah-surah tertentu dalam al-Quran. Dengan izin Allah SWT ia mampu menjadi pendinding, penangkis dan penawar kesan sihir kepada seseorang.

Memberi didikan kepada masyarakat akan bahayanya amalan sihir yang bukan sahaja merosakkan akidah seseorang bahkan tindak-tanduk dan pemikiran akan turut menjadi porak-peranda dan tidak rasional.

Berdakwah secara berhikmah dan mengambil tindakan tegas terhadap orang yang melakukan sihir supaya dibukakan hijab dalam hatinya untuk segera berubah dan bertaubat nasuha kepada Allah SWT.

Tidak menyokong dan bekerjasama dengan pengamal sihir supaya amalan jahatnya itu akan lenyap dan tidak diwarisi oleh sesiapa pun.

Bagi yang terkena amalan sihir, apa yang perlu dibuat adalah terus yakin dengan kekuasaan Allah SWT. Bersabar dan carilah jalan penyelesaian yang terbaik dan menepati syariat Islam dengan penuh tawakal kepada Allah. Tiada penyakit di dalam dunia ini yang tidak ada penawarnya.

Anggaplah bahawa ini adalah salah satu bentuk ujian Allah SWT untuk melihat keteguhan iman seseorang. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).



*juliet le sweetheart : Semoga kiter dilindungi Allah swt daripada segala perbuatan terkutuk ni yer kengkawan...



Friday, November 21, 2008

Kasihnya ibu bawa ke syurga

Artikel Neezam di Berita Harian hari ni bersempena dengan hari ibu. Selamat Hari Ibu buat semua yang bergelar ibu terutamanyer buat mak tercinta!

Kasihnya ibu bawa ke syurga

Sesungguhnya, seorang wanita yang bernama ibu perlulah sentiasa ditabalkan sebagai antara insan yang paling dihormati dan dikasihi. Masakan tidak peranan dan jasa ibu bukan calang-calang tahapnya. Ibulah insan yang bertarung nyawa semasa mengandung dan melahirkan anak-anaknya ke dunia. Saat anak-anak masih kecil, ibulah yang menyuapkan makanan, memberikan susu, mendodoikan tidur, mengajar bertatih dan sebagainya. Apabila anak-anak sedang membesar dan meningkat dewasa, ibu tidak putus-putus melaksanakan peranannya menjadi pendidik, menjadi tempat anak-anak bermanja dan mengadu nasib, menjadi penghibur dan pengubat rasa sedih dan nestapa. Untuk itu sebagai anak-anak, kita bertanggungjawab meraikan dan memuliakan ibu sepanjang hayat.

Daripada perspektif Islam, martabat seorang ibu itu perlu dimuliakan sebagaimana Allah SWT mengangkat tinggi darjat golongan ibu melalui firman-Nya dalam Surah Luqman, ayat 14 yang bermaksud: ‘Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).’

Sebarang tindak-tanduk atau percakapan yang boleh menghiris hati ibu perlulah dielakkan apa lagi bersikap kurang ajar kepada ibu. Sebagai misalan, cerita rakyat ‘Si Tanggang’ yang disumpah menjadi batu dek kerana menderhaka kepada ibunya. Zahirnya memanglah tidak masuk akal seorang ibu boleh menyumpah anaknya menjadi batu, tetapi secara tersiratnya pengajaran yang boleh diperoleh daripada cerita dongeng ini adalah jangan membuatkan ibu sengsara, sedih dan hampa dengan perbuatan kita. Kelak balasan cukup pedih akan diturunkan oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.

Allah SWT menegaskan dalam Surah al-Israa’, ayat 23 maksudnya: ‘Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)’.

Bayangkan, untuk anak-anak berkata ‘Ha’ pun ditegah oleh Allah SWT untuk dilakukan kepada ibu, apatah lagi jika kita bersikap kasar, membentak atau ke tahap memukul mereka. Kita harus ingat bahawa, keredhaan Allah SWT itu terletak kepada keredhaan ibu. Murkanya ibu bermaksud, murka jualah Allah SWT terhadap kita.

Nabi Muhammad SAW juga telah memberi banyak isyarat yang jelas akan tingginya martabat seorang ibu dalam kehidupan kita. Dikatakan pada suatu hari datang seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan lelaki itu berkata: ‘Saya ingin melaksanakan Jihad dan ikut pergi berperang di jalan Allah, tetapi ibu tidak sepenuh hati melepaskan saya untuk berbuat demikian’. Rasulullah SAW kemudian menjawab, ‘Pulanglah kamu dan beradalah di sisi ibumu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan yang mengutusku untuk menyampaikan kebenaran, bahawa untuk berada di sisi ibu bagi satu malam (dan melayan serta berbuat baik kepadanya) adalah lebih baik daripada mengikut berperang dan berjihad di jalan Allah selama setahun.’

Begitu juga cerita di mana seorang lelaki telah bertemu dengan Rasulullah SAW di mana lelaki itu menyoal, ‘Siapakah orangnya dalam dunia ini yang perlu saya hormati dan hargai?’ Lalu Rasulullah SAW menjawab ‘Ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi sebanyak dua kali ‘Siapakah selepas ibu?’ dan jawapan Rasulullah SAW tetap ‘Ibumu’. Akhirnya bila ditanya lagi ‘Siapakah selepas ibu?’ barulah Rasulullah SAW menjawab ‘Bapamu’. Jelas bahawa mesej Rasulullah SAW ini menganjurkan agar seorang ibu yang kaya dengan sifat lemah lembut dan kasih sayangnya itu perlu diberikan penghargaan yang lebih tinggi berbanding insan-insan lain di dunia ini.

Secara rasminya Hari Ibu akan disambut di Malaysia setiap tahun pada 11 Mei, sebagai tanda penghargaan kepada golongan wanita yang bergelar ibu. Banyaklah aktiviti yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk meraikan golongan ibu pada tarikh tersebut. Namun, untuk meraikan ibu bukan sekadar tertakluk pada tarikh tertentu semata-mata, bahkan kita perlu meraikan ibu sepanjang mana yang kita mampu. Begitu juga meraikan ibu bukan sekadar dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti menghadiahkan jambangan bunga atau mengucapkan rasa sayang, tetapi perlu diserlahkan melalui amalan-amalan lain yang bersifat lebih realistik dan bermakna.

Sebagai anak-anak, ibu perlu diberikan perhatian. Bantu dan sokonglah ibu sebaik-baiknya tidak kira dari segi material, fizikal mahupun emosional. Patuh dan ikut segala nasihat dan permintaan mereka selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam. Sebagai anak-anak kita juga memainkan peranan untuk menegur ibu kita jika mereka ada membuat sebarang kesilapan yang mungkin boleh mendorong mereka tersasar daripada batasan yang disyariatkan Islam dan norma-norma budaya dan masyarakat.

Bagi anak-anak yang menetap berjauhan dengan ibu, jenguk-jenguklah mereka selalu atau setidak-tidaknya keraplah bertanyakan khabar berita mereka. Jika dirasakan sesuai dan dipersetujui keluarga dan ibu sendiri, apa salahnya untuk ibu yang telah mencecah usia ‘emas’nya itu menetap bersama-sama supaya boleh dijaga makan minum dan pakainya. Kalau dulu ibu berupaya menyuap makan dan menguruskan kehidupan semua anaknya, takkanlah anak-anak yang sebegitu ramai tidak boleh menjaga seorang ibu yang telah tua dan kurang kudrat dan upayanya itu.

Penghormatan dan usaha meraikan ibu tidak terhenti pada saat terakhir nafas ibu dihembuskan di dunia ini. Walaupun ibu kita sudah meninggal dunia dan tidak lagi berada di hadapan mata, sebagai anak-anak kita perlu terus mendoakan kesejahteraan roh ibu agar sentiasa dirahmati Allah SWT dan diletakkan dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Israa’ ayat 24, maksudnya: ‘Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.’

Seseorang ibu lazimnya tidak meminta-minta untuk kita membalas segala jasa dan pengorbanannya. Apa yang ibu lakukan adalah ikhlas kerana kita adalah zuriat kesayangannya. Namun, kerana wujudnya hubungan dan ‘chemistry’ yang telah terjalin di antara kita dengan ibu sejak berada dalam rahimnya lagi menuntut kita untuk menghargai, menyanjungi dan menyayangi mereka. Cuba kita sama-sama menghayati akan rangkap-rangkap terakhir dalam sebuah puisi bertajuk ‘Ke Makam Bonda’ karya Usman Awang: ‘Begitulah bakti kami berikan, Tiada sama bonda melahirkan, Kasih bonda tiada sempadan, Kemuncak murni kemuliaan insan’. Jelaslah bait-bait puisi ini mengajak kita mengakui bahawa sesungguhnya kasih sayang yang diberikan oleh orang lain tidak akan dapat menandingi kasih sayang yang dicurahkan oleh seorang insan yang bernama ibu. Yakinilah bahawa syurga kita terletak di bawah tapak kaki ibu.

KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR


*juliet le sweetheart : tahun ni, tahun kedua aku menyambut hari ibu sejak bergelar ibu... :)




Friday, November 14, 2008

Apa yang membuatkan aku rindu sangat...

... pada Melbourne.

  1. shopping! Bukan shopping baju ke hapa yer kengkawan... Tapi shopping barang dapur. Kalau kat Desa Bundoora tu, beli barang dapur sebulan, penuh satu troli Safeway tu, mesti tak lebih aud $100. Memang jarang sangat sampai seratus dolah walaupun berbelanja sakan! Serius! Tapi kat sini... *ish... ish... ish... sambil geleng kepala 40x... huhuhu...* tak sampai satu bakul pun dah beratus hengget terbang... Mahalnya barangan dapur kat Malaysia ni yerk.
  2. Alamaro! Rindu kat steak deavola... Yum yum...
  3. cuaca sejuk! Tapi dengar kata sekarang ni tengah panas giler kat Melbourne sekarang yer?
  4. bersukan! Rindunya nak berfutsal... berbadminton... bertampar-tampar... opppssss... maksud aku, berbola tampar... tapi apakan daya... kalau balik sana pun tak boleh nak main buat masa sekarang ni... Maklumlah... hehehhehe... ^_^
  5. kengkawan! Yer... rindu sangat dengan kengkawan kat desa Bundoora nun. Laki aku tu dok rindu dengan anak-anak dara Main Drive. Berani tu dia kan?!
  6. #16, University Mews! Sian rumah tu tak berpenghuni... Apa khabarlah rumah kecik ku itew yer? Huhuhu... Ada sesiapa nak 'memeriahkan' rumah kecil tiang seribu tu tak?
  7. UQL 155! Apa khabarlah 'kereta kecik warna merah' kitorang di sana yer?
  8. ...


*juliet le sweetheart : bila dah balik Melbourne nanti, mesti gatal nak rindu-rindukan Malaysia plak kan? Gatal tol! Hehehe...


Menjaga amanah kepada Allah dan sesama manusia

Artikel Enche Neezam di Utusan Malaysia hari ini, bahagian Rencana.

Menjaga amanah kepada Allah dan sesama manusia

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR

PERKATAAN amanah berasal daripada bahasa Arab. Dari segi lughah atau bahasa dapat ditakrifkan sebagai setia, kepercayaan, lurus dan seumpamanya. Namun, daripada konteks yang lebih mendalam, amanah difahami sebagai kepercayaan yang diletakkan oleh seseorang individu kepada pihak lain dalam memelihara atau menjaga sesuatu perkara sama ada yang bersifat nyata atau tidak nyata.

Sifat amanah dikatakan sebagai sesuatu beban yang tidak terpikul dan telah ditolak oleh makhluk-makhluk Allah SWT yang lain, namun disanggupi oleh manusia untuk memikulnya. Ia berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

'Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan' (surah al-Ahzaab, ayat 72).

Sifat amanah sangat berkait rapat dengan keimanan seseorang. Seseorang yang beriman bersifat amanah dan menerima segala kewajipan yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan jujur. Amanah yang dijunjung oleh manusia meliputi pertamanya amanah kepada Allah SWT. Ia termasuklah menunaikan segala kewajipan yang dituntut kepadaNya, melaksanakan amal ibadah dengan ikhlas dan berterusan, dan menjaga keimanan supaya sentiasa subur.

Konteks amanah yang kedua adalah amanah sesama manusia. Ia meliputi perkara-perkara seperti memberikan hak kepada orang yang berhak, menepati janji, bersikap adil dan saksama, bercakap benar, dan melakukan ihsan kepada masyarakat sekeliling.
Sifat amanah ini adalah merupakan antara empat sifat-sifat wajib yang ada pada Rasul selain Siddiq (Benar), Tabligh (menyampaikan) dan Fatonah (bijaksana). Sifat amanah Nabi Muhammad SAW merupakan model nilai-nilai murni yang sempurna dan unggul yang harus diterapkan dan diteladani dalam kehidupan. Misalnya, dalam urusan pekerjaan, Baginda SAW mengendalikan perniagaan dengan penuh amanah, tanpa mengamalkan penipuan serta bertanggungjawab semasa membantu perniagaan Saidatina Khadijah binti Khuwailid (yang kemudiannya menjadi isteri baginda).

Inilah resipi kejayaan unggul dalam kaedah bekerja yang bukan sahaja menunjukkan budi pekerti Rasulullah SAW yang mulia, bahkan telah berhasil memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada perniagaan Saidatina Khadijah.

Jelasnya, sifat amanah Rasulullah SAW ini terserlah sebagai salah satu nilai-nilai murni dalam Islam yang menjadi tunjang kejayaan dan kesempurnaan seseorang ketika bekerja. Sebagai pekerja, seseorang itu perlulah memenuhi dan mencapai matlamat-matlamat yang telah ditetapkan oleh organisasi atau majikannya. Umumnya masa, tenaga, kepakaran dan idea merupakan antara elemen yang disumbangkan oleh seseorang pekerja kepada organisasi. Begitupun, setiap sumbangan yang diberikan atau kerja yang dilaksanakan itu perlulah turut didasari oleh nilai-nilai keperibadian murni yang digariskan Islam termasuklah sifat amanah.

Dalam membicarakan tentang sifat amanah ketika bekerja, tidak dapat tidak seseorang pekerja wajib memenuhi kedua-dua amanah kepada Allah SWT dan amanah sesama manusia. Ia jelas diisyaratkan melalui firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Anfal, ayat 27).

Sebagai hamba Allah yang beriman, walau sesibuk mana sekalipun kita bekerja, hak-hak kita terhadap Allah perlu dilunaskan, apatah lagi jika ianya adalah membabitkan soal amal ibadah, keislaman dan keimanan kita. Islam telah memberikan rukhsoh atau keringanan dalam hal-hal tertentu pada waktu-waktu tertentu bagi umatnya yang giat melaksanakan pekerjaan bagi memajukan diri.

Misalnya, jika seseorang melaksanakan tugas jauh di tempat lain melangkaui jarak dua marhalah, dia dibolehkan untuk menjamak dan/atau mengqasarkan solat fardhunya. Misalan ini merupakan suatu keringanan yang istimewa diberikan kepada umat Islam agar dapat terus tawaduk melaksanakan amanah untuk beribadah dan melunaskan tanggungjawab pekerjaannya. Namun, bagi segolongan daripada kita yang tidak mempunyai sifat amanah kepada Allah SWT ini, jika diberikan keringanan sebanyak manapun, pasti akan sekadar 'mengambil ringan' hal-hal beribadah terutamanya yang fardu kerana kononnya terlalu fokus terhadap kerja-kerjanya.

Sesungguhnya, pekerja yang amanah dan meletakkan syariat Islam sebagai pegangan semasa bekerja akan sentiasa dilindungi oleh Allah SWT, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Empat perkara sekiranya kamu memilikinya kamu tidak akan ditimpa (balasan) terhadap apa yang kamu tidak buat di dunia: Jaga amanah, bercakap benar, berakhlak baik dan mengawal pemakanan (halal dan haram)." Manakala pekerja yang tidak berhati-hati dalam menjaga amanah adalah tergolong dalam golongan orang-orang yang munafiq. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ada tiga tanda munafiq: Apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia mungkiri dan apabila diberi amanah ia khianati (Muttafaqun 'Alaih).



*juliet le sweetheart : Niesreena; amanah Allah yang paling bernilai dalam hidup aku...



Saturday, November 8, 2008

Kat Berita Harian pulak!

Semalam baru jer artikel Neezam keluar kat Utusan Malaysia. Hari ni keluar pulak kat Berita Harian. Tajuk yang berbeza tapi isi yang hampir sama. Kat Berita Harian ni artikelnya panjang sikit dari yang semalam.

Jom baca!

Pekerja curi tulang hilang keberkatan rezeki

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Kakitangan berdedikasi tak boleh ambil ringan tugas, tanggungjawab diamanah majikan

PERKATAAN amanah berasal daripada bahasa Arab yang dapat ditakrifkan sebagai setia, kepercayaan dan lurus. Namun, dalam konteks umum, amanah difahami sebagai kepercayaan yang diletakkan kepada pihak tertentu untuk memelihara atau menunaikan sesuatu perkara.

Sifat amanah dikatakan sebagai beban yang tidak terpikul dan ditolak makhluk Allah lain, namun manusia sanggup untuk memikulnya berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan." (Surah al-Ahzaab, ayat 72)

Sifat amanah sangat berkait rapat dengan keimanan seseorang kerana orang beriman adalah yang bersifat amanah dan menerima segala kewajipan dipertanggungjawabkan kepadanya dengan jujur.

Amanah yang dijunjung oleh manusia meliputi pertamanya, amanah kepada Allah termasuk menunaikan segala kewajipan yang dituntut kepada-Nya, melaksanakan amal ibadah dengan ikhlas dan berterusan serta menjaga keimanan supaya sentiasa subur.

Konteks kedua adalah amanah sesama manusia meliputi perkara seperti memberikan hak kepada yang berhak, menepati janji, bersikap adil dan saksama, bercakap benar, serta melakukan ihsan kepada masyarakat sekeliling.

Sifat amanah antara empat sifat yang ada pada Rasul selain siddiq (benar), tabligh (menyampaikan) dan fatonah (bijaksana). Sifat amanah Nabi Muhammad SAW adalah model nilai murni yang sempurna dan unggul, harus diterapkan serta diteladani dalam kehidupan.

Contohnya, dalam urusan pekerjaan Baginda SAW mengendalikan perniagaan dengan amanah, tanpa mengamalkan penipuan serta bertanggungjawab semasa membantu perniagaan Saidatina Khadijah Khuwailid (yang kemudian menjadi isteri Baginda).

Inilah resipi kejayaan unggul dalam kaedah bekerja yang bukan saja menunjukkan budi pekerti mulia Rasulullah SAW, bahkan berhasil memberikan keuntungan berlipat kali ganda kepada perniagaan Saidatina Khadijah.

Jelasnya, sifat amanah Rasulullah SAW terserlah sebagai salah satu nilai murni dalam Islam yang menjadi tunjang kejayaan dan kesempurnaan seseorang ketika bekerja. Sebagai pekerja, seseorang itu perlulah memenuhi dan mencapai matlamat ditetapkan oleh organisasi atau majikannya.

Umumnya masa, tenaga, kepakaran dan idea adalah antara elemen disumbangkan pekerja kepada organisasi. Begitupun, setiap sumbangan diberikan atau kerja yang dilaksanakan itu perlulah turut didasari nilai keperibadian murni yang digariskan Islam termasuklah amanah.

Dalam membicarakan mengenai sifat amanah ketika bekerja, tidak dapat tidak seseorang pekerja wajib memenuhi kedua-dua amanah kepada Allah dan amanah sesama manusia. Keadaan ini jelas diisyaratkan melalui firman Allah yang bermaksud:

"Wahai orang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Anfal, ayat 27)

Sebagai hamba Allah yang beriman, walau sesibuk mana sekalipun kita bekerja, hak terhadap Allah perlu dilunaskan, apatah lagi jika membabitkan soal amal ibadah, keislaman dan keimanan. Islam memberikan keringanan dalam hal tertentu bagi umatnya bekerja untuk memajukan diri.

Jika seseorang melaksanakan tugas di luar daerah, dia dibolehkan untuk menjamak atau mengqasarkan solat fardunya. Ini keringanan istimewa diberikan kepada umat Islam supaya dapat terus tawaduk melaksanakan amanah beribadah dan melunaskan tanggungjawab pekerjaannya.

Namun, bagi segolongan daripada kita yang tidak mempunyai sifat amanah kepada Allah, jika diberikan keringanan sebanyak mana pun, pasti akan sekadar 'mengambil ringan' hal ibadah kononnya terlalu fokus terhadap kerja.

Amanah sesama manusia ketika bekerja pula meliputi konsep yang luas. Jika diamati Dasar Penerapan Nilai Islam (DPNI) yang diperkenalkan kerajaan sejak 1985, amanah digariskan sebagai salah satu nilai murni daripada perspektif Islam seperti bersih, cekap, ikhlas, dedikasi dan bertanggungjawab.

Amanah dalam bekerja meliputi skop berikut:

  • Menyedari hakikat bahawa tugas adalah amanah yang perlu dilaksanakan
    dengan sebaik-baiknya.
  • Mempunyai pengetahuan dan kemahiran diperlukan bagi menjalankan tugas
    dipertanggungjawabkan.
  • Menghindarkan dengan rela hati kepentingan diri daripada mengatasi
    kepentingan tugas.
  • Menentukan tiada penyelewengan dalam tugas sama ada dari segi masa, kuasa,
    sumber wang dan peralatan serta tenaga kerja.

Kita selalu dimaklumkan di media cetak dan media massa akan laporan kes pecah amanah, penyalahgunaan wang organisasi, penindasan pekerja bawahan dan sebagainya yang dilakukan oleh sebilangan pekerja atau majikan dalam pelbagai sektor pekerjaan di negara kita.

Itu tidak termasuk perbuatan tidak amanah lain seperti curi tulang dengan tidur atau keluar minum sesuka hati dalam waktu bekerja, mencuri masa dengan berborak kosong, melayari bahan tidak berkaitan dengan kerja melalui internet dan membuat kerja luar ketika sedang bekerja.

Ini adalah amalan buruk ketika bekerja yang boleh mencacatkan kesempurnaan dan keberkatan bekerja.

Cuba fikirkan, apakah adil jika kita menerima upah atau gaji, tetapi kita tidak melaksanakan kerja dengan beretika, amanah atau sebaik-baiknya? Apakah berkat dan halal wang gaji yang kita peroleh untuk digunakan bagi menyara kehidupan anak dan isteri?

Sesungguhnya, pekerja yang amanah dan meletakkan syariat Islam sebagai pegangan semasa bekerja akan sentiasa dilindungi Allah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Empat perkara jika kamu memilikinya kamu tidak akan ditimpa (balasan) terhadap apa yang kamu tidak buat di dunia: jaga amanah, bercakap benar, berakhlak baik dan mengawal pemakanan (halal dan haram)."

Manakala pekerja yang tidak berhati-hati dalam menjaga amanah adalah tergolong dalam golongan orang munafik seperti hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ada tiga tanda munafik, apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia mungkiri dan apabila diberi amanah ia khianati." (Muttafaqun 'Alaih).

:: Klik sini untuk ke artikel ni kat Berita Harian online ::



*juliet le sweetheart : insaf...


Friday, November 7, 2008

Tidak amanah bekerja tergolong orang munafik

Artikel Neezam di Utusan Malaysia hari ini. Bacalah yer... Semoga dapat memberi peringatan kepada kite semua, expecially kengkawan yang sedang bekerja tu... :)

Tidak amanah bekerja tergolong orang munafik

Oleh Khairunneezam Mohd. Noor

Perkataan 'amanah' berasal daripada bahasa Arab yang boleh ditakrifkan sebagai setia, kepercayaan, lurus dan seumpamanya. Namun, daripada konteks yang lebih mendalam, amanah difahami sebagai kepercayaan yang diletakkan oleh seseorang individu kepada pihak lain dalam memelihara atau menjaga akan sesuatu perkara tidak kira sama ada ia bersifat nyata atau tidak nyata.

Sifat amanah dikatakan sebagai sesuatu beban yang tidak terpikul dan telah ditolak oleh makhluk-makhluk Allah SWT yang lain, namun manusia pula sanggup untuk memikulnya. Ia berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahzaab, ayat 72.
Sifat amanah sangat berkait rapat dengan keimanan seseorang. Seseorang yang beriman adalah orang yang bersifat amanah dan menerima segala kewajipan yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan jujur.

Amanah yang dijunjung oleh manusia meliputi pertamanya amanah kepada Allah SWT. Ia termasuklah menunaikan segala kewajipan yang dituntut kepada-Nya, melaksanakan amal ibadah dengan ikhlas dan berterusan, dan menjaga keimanan supaya sentiasa subur.

Konteks amanah yang kedua adalah amanah sesama manusia. Ia meliputi perkara- perkara seperti memberikan hak kepada orang yang berhak, menepati janji, bersikap adil dan saksama, bercakap benar, dan melakukan ihsan kepada masyarakat sekeliling.

Sifat amanah ini adalah antara sifat wajib yang ada pada Rasul selain Siddiq (benar), Tabligh (menyampaikan) dan Fatonah (bijaksana). Sifat amanah Nabi Muhammad SAW merupakan model nilai-nilai murni yang sempurna dan unggul yang harus diterapkan dan diteladani dalam kehidupan.

Misalnya, dalam urusan pekerjaan, Baginda SAW mengendalikan perniagaan dengan penuh amanah, tanpa mengamalkan penipuan serta bertanggungjawab semasa membantu perniagaan Saidatina Khadijah binti Khuwailid (yang kemudiannya menjadi isteri baginda). Inilah resipi kejayaan unggul dalam kaedah bekerja yang bukan sahaja menunjukkan budi pekerti Rasulullah SAW yang mulia, bahkan telah berhasil memberikan keuntungan yang berlipat ganda kepada perniagaan Khadijah.

Jelasnya, sifat amanah Rasulullah SAW ini terserlah sebagai salah satu nilai-nilai murni dalam Islam yang menjadi tunjang kejayaan dan kesempurnaan seseorang ketika bekerja. Sebagai pekerja, seseorang itu perlu memenuhi dan mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh organisasi atau majikannya.

Umumnya masa, tenaga, kepakaran dan idea merupakan antara elemen yang disumbangkan oleh pekerja kepada organisasi. Begitu pun, setiap sumbangan yang diberikan atau kerja yang dilaksanakan itu perlulah turut didasari oleh nilai-nilai keperibadian murni yang digariskan Islam termasuklah sifat amanah.

Dalam membicarakan tentang sifat amanah ketika bekerja, tidak dapat tidak seseorang pekerja wajib memenuhi kedua-dua amanah iaitu kepada Allah SWT dan amanah sesama manusia. Ia jelas diisyaratkan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Anfal, ayat 27).

Sebagai hamba Allah yang beriman, walau sibuk mana sekalipun kita bekerja, hak-hak kita terhadap Allah perlu dilunaskan, apatah lagi jika ia adalah membabitkan soal amal ibadah, keislaman dan keimanan kita.

Islam telah memberikan rukhsoh atau keringanan dalam hal-hal tertentu pada waktu-waktu tertentu bagi umatnya yang giat melaksanakan pekerjaan bagi memajukan diri. Misalnya, jika seseorang melaksanakan tugas jauh di tempat lain melangkaui jarak dua marhalah, dia dibolehkan untuk menjamak dan/atau mengqasarkan solat fardunya.

Namun, bagi segolongan daripada kita yang tidak mempunyai sifat amanah kepada Allah SWT, jika diberikan keringanan sebanyak manapun, pasti akan sekadar 'mengambil ringan' hal-hal ibadah terutamanya yang fardu kerana kononnya terlalu fokus terhadap kerja-kerjanya.

Amanah dalam bekerja meliputi skop- skop sebagaimana berikut:

* Menyedari hakikat bahawa tugas adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan
sebaik-baiknya;

* Mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi menjalankan tugas
yang dipertanggungjawabkan;

* Menghindarkan dengan rela hati kepentingan diri daripada mengatasi
kepentingan tugas; dan

* Menentukan tiada penyelewengan dalam tugas sama ada dari segi masa, kuasa,
sumber wang dan peralatan serta tenaga kerja.

Kita selalu dimaklumkan di media cetak dan media massa lain akan laporan kes-kes pecah amanah, penyalahgunaan wang organisasi, penindasan pekerja bawahan dan sebagainya yang dilakukan oleh sebilangan pekerja dalam pelbagai sektor pekerjaan di negara kita. Itu tidak termasuk perbuatan- perbuatan tidak amanah yang lain seperti curi tulang dengan tidur atau keluar minum sesuka hati dalam waktu kerja, mencuri masa dengan berborak kosong, melayari bahan-bahan tidak berkaitan dengan kerja melalui internet, membuat kerja luar ketika sedang bekerja, dan sebagainya.

Ini merupakan amalan-amalan buruk semasa bekerja yang boleh mencacatkan kesempurnaan dan keberkatan bekerja. Cuba fikirkan, apakah adil jika kita menerima upah atau gaji, tetapi kita tidak melaksanakan kerja kita dengan beretika, amanah dan sebaik-baiknya?

Kemudian apakah berkat dan halal wang gaji yang kita peroleh itu untuk kita gunakan bagi menyara kehidupan isteri dan anak-anak?

Sesungguhnya, pekerja yang amanah dan meletakkan syariat Islam sebagai pegangan semasa bekerja akan sentiasa dilindungi oleh Allah SWT.

:: Klik sini untuk ke artikel ni kat Utusan online ::



*juliet le sweetheart : selalu jugak "mengular" masa bekerja dulu...


Tuesday, October 28, 2008

Pendidik wajar disanjung, bukan dicemuh

Apa yang menarik dalam Berita Harian hari ni?

Tentulah artikel my Enche Khairunneezam! :)

Artikel Neezam hari ini adalah rentetan daripada berita beberapa minggu yang lepas mengenai sikap kurang ajar students kat Perlis yang menendang cikgu tu. So, baca jangan tak baca wokeh!

Pendidik wajar disanjung, bukan dicemuh

MENGEJUTKAN juga apabila membaca berita mengenai seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua di sebuah sekolah menengah di Perlis yang memukul dan menendang gurunya sendiri, baru-baru ini. Tindakan keterlaluannya itu mengundang padah kepada dirinya apabila dia digantung persekolahan selama seminggu oleh pihak sekolah. Bukan setakat itu saja, rentetan laporan polis yang dibuat guru yang menjadi mangsa, pelajar itu akan turut disiasat mengikut Seksyen 323 oleh pihak polis kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan. Walaupun pelajar berkenaan cuba menyatakan rasa insaf dan memohon maaf kepada guru yang dikasarinya itu, tindakannya tidak ubah seperti 'nasi sudah menjadi bubur'. Andai benar dirinya ikhlas untuk menimba ilmu, pasti sejak awal dia akur apabila ditegur, jujur mengakui kesilapan.

Ini tidak, sudahlah tugasan diberikan gurunya tidak disempurnakan, pelajar itu pula begitu berani menulis perkataan 'gila babi' di belakang buku tugasannya, yang penulis kira adalah luahan rasa tidak puas hati yang tidak kena gayanya terhadap guru berkenaan. Kemuncak tindakan biadab pelajar itu terserlah apabila dia dilaporkan sanggup menghayun tangan memukul dan mengangkat kaki menendang guru yang kemuliaannya diiktiraf hampir setaraf dengan martabat ibu dan bapa. Penulis akur, tindakan pelajar perempuan itu adalah satu manifestasi rasa memberontak sebilangan pelajar sekolah di seluruh negara terhadap guru, namun ia juga membuktikan kedangkalan pemikiran mereka.

Banyak lagi tindakan kurang waras yang acap kali dilakukan akibat rasa tidak puas hati dengan guru seperti mencalarkan kereta guru, menghantar surat layang atau khidmat pesanan ringkas (SMS) caci maki, menconteng dinding tandas sekolah dengan kutukan terhadap guru tertentu, ponteng sekolah dan sebagainya. Namun, tindakan negatif sebilangan kecil pelajar itu tidak mencerminkan keperibadian umum pelajar sekolah di negara kita. Majoriti pelajar lain yang tinggi nilai moral dan sopan santun pasti turut bersama mengikut masyarakat umum mengutuk tindakan negatif rakan itu. Mereka pasti sedar bahawa guru perlu disanjungi, dihormati dan disayangi sama seperti dilakukan kepada ibu bapa sendiri. Sesungguhnya, guru adalah individu yang sangat mulia hati nuraninya. Gurulah pembimbing yang bertanggungjawab dalam mencerna kecemerlangan sahsiah, kerohanian dan intelektualisme anak bangsa. Luhur dan penting jasa guru sehingga masyarakat mentafsirkan diri guru sebagai 'lilin yang ikhlas membakar diri sendiri untuk menerangi kegelapan'. Habis segala peluh dan keringat dicurahkan, masa dikorbankan, tenaga dan idea disumbangkan, bahkan air mata dilinangkan hanya untuk melihat anak bangsanya berjaya.

Jika cara berlembut atau bertolak ansur tidak lagi berkesan dalam memperbetulkan kesilapan pelajar, maka sudah tentulah seorang guru akan menggunakan kaedah mendenda atau menghukum dengan tegas. Pengalaman penulis sendiri dan beberapa rakan yang agak nakal ketika zaman persekolahan dulu, sering didenda serta dimarahi guru. Begitupun, kami tidak berani melawan kerana sedar itulah tandanya guru kasih dan sayang terhadap kami. Dengan izin Allah, hari ini kami semua berjaya dalam kehidupan berkat ketabahan guru mendidik serta membimbing tanpa jemu dan putus asa.

KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR, La Trobe University, Melbourne, Australia.

:: Klik sini untuk ke artikel ni kat Berita Harian online ::




*juliet le sweetheart : budak-budak zaman sekarang ni semakin berani. Setuju?


Chik-ka-boo!!!

Assalamualaikum wbt buat semua kengkawan dan pembaca blogku yang dirindui... cewah!

Dah lama giler aku tak update blog ek? Hehehhehe... Terima kasihlah kepada yang bertanya "asallah Julie dah lama menyepi? Blog pun tak update.", " Very the bz agaknyer Julie ek?"... ;p Hehehehe... Ada jugak yang msg aku, "Julie! Asal ko privatekan blog ko? Sedihlah aku tak dapat nak baca!" Hehehe... Sorry, sebenarnya blog aku ada problem sikit satu hari tu, then aku tak der masa nak setting balik, so aku privatekanlah dulu untuk sementara waktu... Harap maklum yer kengkawan sekalian... :)

Sebenarnya ada banyak kekangan yang membuatkan aku tak dapat nak mengupdatekan blog aku setiap masa, walaupun kat kedua-dua rumah family aku dan rumah fil aku ada internet. Maklumlah bila dah balik ni banyak masa yang perlu dihabiskan dengan insan-insan tertentu. Lagi satu, sejak balik ni kitorang banyak travelling. Sangat penat woooo... So, agak kesuntukkan masa nak updatekan blog.

Memang banyak sangat story morry nak habaq mai, sebab memang banyak sangat aktiviti sejak balik Malaysia ni. Cuma masa yang tidak mengizinkan aku menulis *hopefully, just for a time being*.

So, korang, get ready for my backdated entries wokeh! Of courselah aku akan tulis aktiviti-aktiviti tu mengikut tarikh-tarikhnyer okies kengkawan! :)

Chow!



*juliet le sweetheart : rindu berblog sebenarnyer... :D


Monday, October 27, 2008

Melaka lah pulak!

Dari Port Dickson, petang tu kitorang ke Melaka pulak. Sakan berjalan ek? Kali ni dengan my fil pulak...

Macam biasa setiap kali ke Melaka, satu benda yang paling aku tak suka ialah kalau masuk Bandar Hilir, gerenti jem teruk! Tapi nasib baik permandangan dan bangunan yang ada kat kiri kanan jalan yang jem tu sangat indah mata memandang. Bangunan-bangunan lama tapi still cantik dan terjaga lagi. Dan setiap kali ke Melaka mesti ada banyak sangat perubahan. Macam-macam ada... Tup tup ada Dataran Pahlawan, Menara Taming Sari, Eye on Malaysia pun ada...

Yang bestnyer, appartment 3 bilik yang kitorang sewa betul-betul terletak di tengah-tengah Bandar Hilir tu dan di tepi pantai serta mengadap permandangan yang indah. Cewah! Nak tau apa yang best lagi? Betul-betul dari beranda appartment tu nampak 'Eye on Malaysia' dan dari depan pulak nampak 'Menara Taming Sari'. Best!!!

~Sun set betul-betul kat belakang Eye on Malaysia tu... Subhanallah... Cantik betul permandangan!~

Malam tu, kitorang gi open house kat rumah sepupu Neezam kat Klebang. Tapi aku tak larat nak makan, sebab penat dan ngantux! Bila balik hotel, apa lagi! Berdengkur tak hengat dunialah! ZZZZzzzzzzzz...

Keesokkan harinya *hari ni* pagi-pagi lagi kitorang dah check-out dan menuju ke Menara Taming Sari. Best woooooo... Naik 7 minit jer. Tapi memang best! Best giler! Menara Taming Sari ni, ada platform bergerak dari bawah ke atas macam lift lah. Pastu dia berpusing 360 darjah. So boleh nampak permandangan seluruh Bandar Melaka dari atas. Nampaklah semua; Selat Melaka, bangunan-bangunan bersejarah, sungai Melaka, A Famosa, sumer-sumerlah! Jakun wooo naik tu. Huhuhu... Niesreena sangat enjoy. Seronok tengok Niesreena.

~Ni lah Menara Taming Sari~

~Model Menara Taming Sari... Hehehhe... Ok tak? ;p~

~Dah tak sabar nak naik dah mamat ni... Hehehehe...~

~Ready untuk bergerak ke atas!~

~Niesreena relax jer, tak gayat pun~

Permandangan sekitar Bandar Melaka dari atas Menara Taming Sari...

Dari menara kitorang bergerak ke kapal pulak. Kapal kat gambar atas ni. Aku tak ingat apa nama kapal ni tapi ala-ala muzium lah dalam kapal ni. Of course ada banyak cerita-cerita sejarah negeri Melaka dalam muzium ni. Sumer best! Tapi tak sempat nak baca semua, cuma sempat bergambar sakan jer! Hehehe...

~Hang Tuah & Hang Buah~

Penat pusing bandar Melaka! Sayang betul tak sempat nak naik beca. Well, maybe next time lah pulak kan... Masing-masing dah kelaparan. Kitorang terus ke JJ. Bernandos kat sana. Yum yum... Sedap!!!

Sebelum meninggalkan Bandar Melaka, kitorang sekali lagi ke rumah sepupu Neezam kat Klebang tu. Sebab masa gi malam tadi, baby baru diorang masih warded sebab demam dan baru jer keluar tengah hari tadi. So, memang ada rezeki nak jumpa baby Mohd Hakimi Fitri yang baru berusia <> 3 minggu... Comel sangat!

~Baby Kimi bersama tok chu nyer~

Lebih kurang pukul 4.30 petang, kitorang bergerak balik ke Segamat, manakala Nazlee dan Nazrin serta Siti ke KL.

Cuti yang sangat memenatkan! Tapi best giler arrrr! :)


*juliet le sweetheart : balik KL Khamis ni...


Sunday, October 26, 2008

Family Day @ Teluk Kemang, PD

Setelah dirancang selama beberapa minggu yang lepas oleh mak, hari ni hari yang dinanti-nantikan pun tiba... Piknik-piknik @k@ little famili day kat Teluk Kemang, Port Dickson.

Pukul 6.30 pagi lagi aku dah bangun menyediakan makanan untuk dibawa. Alaaa... buat simple-simple jer... naget dan sosej jer... Dalam pukul 8 pagi kitorang bertolak dari Gemereh, manakala famili aku of courselah dari KL.

Dalam pukul 10 lebih, kitorang semua berkumpul kat depan Selesa Beach Resort, Teluk Kemang. Cantik sangat pantainya, cuaca pun sangat ok! Sampai-sampai jer kitorang terus mengalas perut dulu. Mak masak nasi impit dengan kuah lodeh beserta dengan daging sate dan sambal tumis udang. Sedap gilos! Hmmm... selain ahli keluarga terdekat, Sarah @k@ anak angkat mak abah, Shahir @k@ bakal menantu mak abah dan Poji @k@ kawan Joy pun ada... Meriah betul!

~Semua kusyuk makan~

~Pantai bersih! Cuaca best! Orang pun tak ramai! Best! Best!~

~Semua mandi tak henggat punyer!~

Aku memang dah lama giler tak mandi laut. Hari tu masa gi Teluk Batik, tak ramai yang nak mandi, so tak der feel ler... Hari ni ramai geng berendam... So seronok sangat!

Tengah syok-syok mandi, abah tetiba panggil kitorang naik. Ingatkan dah nak balik... Rupa-rupanya abah sewa bot pusing-pusing laut. Best!

~Me & my Khairuns~

~My little family~

~Pusing-pusing naik kapal pulak~

~Peace!~

~Abah & mak bersama menantu dan bakal menantu. Ooooo yang kecik tu, Sarah, the anak orang yang manja dengan mak abah~

~Joy yang semakin gelap gulita bersama lakiku~

~Semua seronok! Adik mesti bengang tengok gambar ni sebab muka dia ditutup dek tangan Joy. Huhuhu...~

~Bila kapal meluncur lajuuuuuu...~

Balik dari naik boat, aku dah penat nak mandi laut lagi. Tapi bebudak yang lain macam tak reti nak naik darat jer. Dah macam dugong aku tengok. Hehehhe... lantak korang lah... Hmmm... Si Joy dan Poji pulak siap gi skodeng awek pakai bikini lagi. Heheheh... Mentang-mentanglah tak bawak awek! Ligatlah diorang cuci mata... ;p

~Jom mandi dengan pak ngah lagi!~

~Niesreena dan uncle Bajoy~

Dalam pukul 3++ kitorang bersiap sedia untuk balik. Of course, sebelum balik mestilah mamam dulu!!! Lapar oooo bila dah berendam lama-lama. Ditambah pulak mak masak sedap. Yummie!!!

~Dah nak balik, tapi kiter mamam duluuuuuu!!!~


Settle jer semua, family aku bergerak balik ke KL, manakala aku dan Neezam serta Niesreena melencong pulak ke Melaka untuk sambung lagi cuti-cuti Malaysia ni kat sana bersama-sama famili Neezam pulak. Sakan jalan ek? :) Best!!!


*juliet le sweetheart : kulitku terbakar... aduuuhhhhh... sakitnya... hitam plak tu... huhuhu...


Wednesday, September 24, 2008

Winduuuu!!! Waaaaa!!! :(

Baru beberapa hari berpisah dengan si dia... tapi terasa rinduuuuu bangat! Waaaaa... Cedihhhhh!!! Windu kat abang!!!



*juliet le sweetheart : dah lama tak berpisah lama-lama macam ni kan?


Tuesday, September 23, 2008

Hai hai Malaysia!!! ;p

Selamat pagi Malaysia!!! Hahaha... Ye... hari ni aku berblog dari Kuala Lumpur, Malaysia ye tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Harap maklum... Ngeh ngeh ngeh...

So, post kali ni aku nak cerita pasal perjalanan balik aku malam Sabtu yang lepas...

Alhamdulillah, aku bersyukur sangat, perjalanan balik yang lepas sangat smooth. Kitorang sampai jer kat pintu masuk Melbourne Airport tu, q untuk check in terus dibuka. Apa lagi... kitorang pun terus q-in. Orang pertama tu... Satu jer kerisauan kitorang masa tu ialah beg-beg kitorang yang dah terlebih muatan. Patutnya 50kg jer untuk kitorang bertiga *aku, Niesreena dan Ummie* tapi beratnya dah terlebih-lebih. Masa tu memang tawakal jer lah. Dan alhamdulillah, minah salleh yang check-in kan beg-beg kitorang tu buat dunno jer. Lepas semua 60kg++ tanpa sebarang extra cost. Bersyukur sangat! Kalau tak, mau kena tambah aud$50++ every additional kilo wehhhh!

~Seronok bila tiket dah ada dalam tangan~

~Niesreena sempat lepaking kat ruang legar Melbourne Airport tu~

~Bersedia untuk ke dewan berlepas~

~Kitorang ler...~

Bila dah settle check-in, kitorang gi solat isya' dulu. Then Neezam terus nak balik. Sedih sangat masa nak berpisah dengan suami tercinta. Tinggalkan dia sorang-sorang. Sedihhh... Aku tengok muka Neezam pun sedih gak. *Iyer ke sedih? Huhuhu...* Tapi sorang jer tak der muka sedihnya. Saper lagi kalau bukan si kecik Niesreena tu. Huhuhu...

Dah masuk ke balai berlepas, kat kastam pun clear... Alhamdulillah... Pukul 11.30 malam, baru pintu gate 8 dibuka. Kitorang antara orang terawal yang dipanggil masuk sebab ada baby. Yang best, seat kitorang adalah seat paling depan *of course untuk economy class* dan tepi tingkap. Heheheh... Best... best...

Alhamdullillah, sepanjang perjalanan tu Niesreena tak banyak sangat ragamnya. Niesreena tidur jer. Tapi pukul 4 pagi, waktu Malaysia, Niesreena terbangun sebab lampu flight dibuka. Aku baru ingat nak bersahur dengan senang hati, tapi si comel ni bangun plak. Apalagi... ikut bersahurlah sekali si Niesreena ni. Sebuk nak makan sekali. Nasib baik ada Ummi yang banyak menolong aku melayan kerenah Niesreena. Lepas bersahur, Niesreena layan tengok 'Tigger & Pooh'. Aku plak mengantuk giler tapi tak boleh nak tidur.

~Layaaaaannnn...~

Lebih kurang pukul 5.45 pagi, Boeing 777 mula melewati ruang udara Johor Bahru. Dari tingkap kelihatan lampu-lampu jalan yang tersusun tapi tak nampak satu banggunan pun sebab masih gelap.

Kapal terbang landing kat KLIA tepat pukul 6.05 minit pagi... Biasalah... bila dah landing ni hati jadi tak sabar-sabar nak jumpa famili yang sedang menunggu kat balai ketibaan. Tapi yang tak tahannya ialah cuaca. Terasa panaaaassss sangat. Terus rasa rindu nak balik Melbourne. Hehehhee...

Settle ambik beg semua, aku pun tolak troli sementara Niesreena terkedek-kedek ikut aku dari belakang. Kat ruang ketibaan aku tengok famili aku dan Neezam setia menunggu... Tapi... diorang bukan terpa aku dulu... tapi... hmmm guess who? Mestilah semua meluru ke arah Niesreena yang comel jer berjalan terkedek-kedek sambil muka compius tengok ramai sangat orang. Bila atuk-atuk dia dah terpa macam tu, haaa apa lagi... menjeritlah si kecik tu... terkejut! Hehehhehe... Sian Niesreena... Tapi sian gak kat atuk-atuk dan pakcik makcik sedara Niesreena... hampa diorang bila Niesreena takut dan tak nak didokong... Nasib koranglah...

Lepas lepak-lepas hampir setengah jam kat KLIA, kitorang pun bersurailah... Famili Neezam balik ke Segamat sementara aku of courselah balik ke KL bersama famili aku... Terasa tersangatlah penatnya hari itew sehinggalah ke hari ini... :)

Oklah... penatlah... nak berehatlah...


*juliet le sweetheart : missing him sooooo much!!!


Saturday, September 20, 2008

Bubbye Desa Bundoora

Hari ni merupakan hari terakhir aku tahun ni di desa Bundoora. Insya Allah, kalau tak der aral melintang, beberapa jam lagi aku dan Niesreena akan terbang pulang ke Kuala Lumpur. Seronoknya!!! Memang seronok! Lebih-lebih lagi sebab nak balik beraya. Mesti jumpa ramai saudara-mara, sepupu sepipi... :)

So, hari ni, aku dan Neezam sangat bz membuat persiapan terakhir mengemas barang-barang yang akan dibawa balik dan juga mengemas rumah. Last minute packing, last minute check list.

~Check list : Dokument penting~

Pasport aku & Niesreena -checked!

Visa aku & Niesreena - checked!

Most important - Flight tickets - Kat Umie; Umie, don't forget the tickets ok!

Ic, kad nikah & lesen memandu yang dah lama bertapa dalam beg - checked!

Surat beranak Niesreena - checked!

Kad kesihatan Niesreena- checked!

Ada apa-apa lagi tertinggal tak?

~Beg-beg yang bakal aku bawa~

Penat betul rasanya. Rasanya selagi belum sampai masa untuk balik, selagi tu lah tak siap-siap berkemas. Hehehe... Nasib baik suamiku itu sangat rajin orangnya. Neezam yang banyak menolong aku mengemas. ^_^ Even sekarang ni pun dia tengah sibuk memasak makanan berbuka kat dapur, dan aku... dok update blog... Aku sejak akhir-akhir ni rasa macam malas-malas jer dan mudah sangat rasa penat. ;p Rasa seronok nak balik, tapi beg pun packing last minit. Macam tak nak balik jer gamaknyer... Hehehe... Tapi alhamdulillah setakat ni, semua barang dah siap packing, rumah pun dah siap kemas. Puas hati rasanya... Dan masa terasa terlalu lambat pulak berlalu hari ni. Kenapa ek?

Well, harap-harap perjalanan balik kali ni smooth seperti tahun lepas. Tapi seronok macam mana pun, aku ada rasa sedih lah sikit. Tak banyak yer puan-puan, cikiiiit jer.... :p sebab aku akan tinggalkan Neezam kat sini sorang-sorang. Berpisah jauh beribu batu plak tu. Cedihnya... Tak pernah berpisah dengan Neezam jauh sangat macam ni. Dah tu bulan puasa ni. Aku takut dia tak terbangun sahur jer... Pastu berbuka dan solat tarawih sorang-sorang... Waaaaa... cedihlah... Actually, aku tahu, hubby aku tu pandai jaga diri, tapi membayangkan dia sorang-sorang kat sini, sedih plak rasanya. Huhuhu...

Nway, berpisah sekejap jer. Tiga, empat hari jer. Ngengada jer ek? ;p Hari Khamis, Neezam akan sampai kat KL plak. :D

Flight kitorang malam ni pukul 12:05 pagi, naik MAS. Insya Allah kalau sempat kitorang akan bertolak dari rumah lepas solat tarawih. Biasanya check-in 2 jam sebelum waktu berlepas. Aku harap sepanjang <> 8 jam perjalanan tu, Niesreena akan tidur jer dalam kapal terbang. Nasib baik ada Umie. So, tak lah cuak sangat nak balik tanpa Neezam ni. Hehehe...

Tak sabar nak jumpa mak abah yang akan datang menjemput kitorang kat KLIA nanti. Insya Allah keluarga Neezam pun akan turun jugak. Seronok diorang semua nak tengok the-only-cucu balik. Hehehhe...

Korang, doakanlah perjalanan kitorang selamat yer... :)

*juliet le sweetheart : kawan-kawan yang tak balik beraya tu jangan cedih-cedih eh. Selamat beraya di perantauan... Jumpa lagi tahun depan, Insya Allah... ^_^

Ole-ole dari Enche Neezam

Pagi-pagi buta lagi, selepas solat subuh, Neezam kejutkan aku dengan artikel dia ni. Sajer jer dia suruh aku tengok komputer pagi-pagi buta. Rupa-rupanya artikel hubby mengenai kehidupan kitorang kat sini, kat Desa Bundoora tercinta ni, tersiar kat surat khabar Utusan Malaysia, hari ni. Patutlah nampak ceria jer dia. ^_^

Kepada semua warga sedesa Bundoora, terimalah ole-ole dari 'tok penghulu Desa Bundoora' *gelaran yang ntah macam mana boleh lekat kat Neezam plak* sebelum balik pulang beraya kat Malaysia... Dan kepada kengkawan yang berada di Malaysia, bolehlah tahu macam mana kehidupan masyarakat Malaysia Desa Bundoora ni serba sedikit.... Oooooo... tidak lupa kepada kengkawan yang berada di Melbourne city, Clayton dan kawasan yang tidak sewaktu dengan Desa Bundoora ni, enjoy the reading ok! Dengan ucapan 'jangan jeles... famous Desa Bundoora seantero Malaysia'... Hehehehe... Minta ampun, maaf zahir batin... Jangan marah arrr, jeles tak per... Huhuhuhu... ;p

Ramadhan Erat Perpaduan Desa Bundoora

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

HARI ini di Bundoora sebuah kawasan pinggiran bandar terletak kira-kira 20 kilometer dari pusat kota raya Melbourne, Australia wujud satu komuniti pelajar dan pekerja warganegara Malaysia yang berbilang bangsa, keturunan dan agama, yang cukup kuat nilai-nilai persaudaraan dan setiakawan.

Walaupun tanah air tercinta ditinggalkan jauh beribu batu, namun seperti mana adatnya di Malaysia, ukhuwah warga 'Desa Bundoora' di sini cukup kuat bertunjangkan ajaran Islam dan tatasusila budaya bangsa pegangan masing-masing.

Penulis sekadar ingin berkongsikan bersama khalayak umum akan kesegaran nilai-nilai silaturrahim yang dinikmati sendiri oleh penulis dan sahabat handai di tempat yang lebih senang untuk kami panggil Desa Bundoora ini.

Beberapa hari sebelum menjelang bulan Ramadan, penulis telah dijemput untuk meraikan satu majlis akikah dan cukur rambut anak sulung seorang sahabat terdekat di sini. Dalam majlis yang serba sederhana tetapi meriah ini, penulis berpeluang berbual panjang dengan beberapa sahabat yang baru sahaja tiba dari Malaysia membawa seisi keluarga bagi melanjutkan pengajian mereka. Sahabat- sahabat ini berkongsikan rasa kelegaan dan syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana dipermudahkan segala urusan mereka.

Umum mengakui bahawa banyak perkara yang sebenarnya begitu kritikal dan memeningkan dalam tahap-tahap awal penghijrahan di luar negara. Lebih-lebih lagi jika urusan sebegini merupakan satu pengalaman pertama yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Sahabat-sahabat tadi melahirkan rasa syukur kerana kehidupan peringkat awal yang difikirkan sangat sukar untuk dilalui di bumi asing dalam mencari rezeki dan ilmu pengetahuan, rupa-rupanya menjadi begitu lancar kerana ada pihak-pihak di sini yang tidak putus-putus bermurah hati memberikan bantuan dan sokongan tidak berbelah bahagi.

Sifat murni dan tanggungjawab ini selaras dengan apa yang dituntut dalam Islam dalam menjaga perhubungan sesama insan (hablum minannas). Rasulullah SAW sendiri mengingatkan kita akan ganjaran yang akan diterima jika kita menjaga hubungan silaturrahim melalui sabda baginda yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, hendaklah ia memelihara hubungan silaturrahim" (riwayat Bukhari dan Muslim).

Apa yang penulis maklum, terdapat beberapa orang rakan menawarkan rumah mereka sendiri kepada rakan-rakan baru yang sukar mendapatkan kediaman sementara tak ubah seperti konsep homestay. Privacy' yang dinikmati, sanggup dibuang jauh-jauh dan tetamu yang menumpang diraikan umpama kaum keluarga sendiri.

Kelihatannya dalam kalangan warga Malaysia di Desa Bundoora ini sudah boleh diumpamakan seperti saudara sedarah sedaging.

Manakan tidak, kalau ada yang sakit pening dan tak termampu menghadapi masalah bersendirian, pasti dengan pantas puluhan tangan akan sudi menghulur bantuan.

Tidak kurang juga meriahnya aktiviti sepanjang bulan Ramadan ini seperti anjuran majlis berbuka puasa, solat sunat tarawih secara berjemaah, dan bertadarus al-Quran yang dilakukan bersama-sama. Pendek kata, memang sukar untuk sesiapa yang berada di Desa Bundoora ini untuk berasa terasing atau diasingkan, kecualilah mereka sengaja mahu memencilkan diri sendiri. Inilah resam perpaduan yang menggambarkan bahawa setiap individu warga Malaysia di Desa Bundoora ini cukup cermat dalam menjaga hubungan silaturrahim.

Hakikatnya, satu-satu perkumpulan masyarakat yang memandang sepi akan kepentingan dan kesan-kesan positif menjalinkan silaturrahim tidak akan merasai nikmat persaudaraan yang sebenar-benarnya.

Tanpa wujudnya sifat-sifat murni seperti mengambil berat, bantu-membantu, nasihat-menasihati, dan kasih-mengasihi kerana Allah SWT, maka hilanglah kemanisan silaturrahim dalam hidup bermasyarakat. Masyarakat tersebut akan mudah berpecah-belah dan tidak dapat 'seiring dan sejalan' dalam apa jua perkara.

Tidak dapat tidak, dalam pada kita giat melalui kehidupan bermasyarakat, pasti akan wujud pertikaman lidah, perbezaan pendapat, silap tutur bicara, mahu pun keterlanjuran perbuatan. Itu merupakan adat dalam kehidupan yang sukar untuk dielakkan.

Ditambah lagi kalau ada segolongan insan yang dipanggil 'batu api' yang gemar menebar fitnah melaga-lagakan orang lain dan memutuskan silaturrahim sesama ahli dalam komuniti.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud 'tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan' (riwayat Muslim).

Lantaran itu, apa yang penting adalah agar semua ahli dalam sesuatu masyarakat mempunyai sikap profesional, menghindarkan rasa iri hati, tidak sombong, tidak mengadu domba, tidak melampaui batas dalam bergaul, bahkan tidak menyimpan sebarang dendam kesumat.
Cukup molek jika semua pihak yang mungkin berkaitan dalam pertelingkahan menyuburkan sifat memaafkan dan reda dengan apa yang telah dilakukan oleh para sahabat yang lain demi mengukuhkan hubungan silaturrahim yang telah dibina.

Hubungan silaturrahim yang ditonjolkan oleh komuniti Malaysia di Desa Bundoora ini merupakan satu contoh terjemahan kekuatan dan kesepaduan ummah.



*juliet le sweetheart : beberapa jam lagi jer nak balik ni... ^_^


Friday, September 19, 2008

Berbuka puasa @ #16, Uni Mews

Alhamdulillah... lepas jugak hajat kitorang untuk mengadakan majlis berbuka puasa untuk kawan-kawan sedesa, sebelum keberangkatan pulang kitorang ke tanahair tercinta. Oleh kerana ramai sangat warga desa Bundoora sekarang ni, so terpaksalah kitorang mengambil 2 hari untuk majlis ni. Maklumlah, teratak hamba ni kecik. Kang roboh pulak, bak kata pak belalang... ;p

Pada hari Ahad yang lepas @k@ hari pertama, kitorang menjemput the juniors @k@ anak-anak dara belaka; dari Barnesway dan Main Drive, 22 orang kesemuanya. Dan pada hari Rabu yang lepas pulak @k@ hari kedua, kitorang menjemput pulak the seniors @k@ families. Hampir 30 orang yang datang dan separuh daripadanya of courselah kanak-kanak. Riuh rendah rumah.

Antara menu pada kedua-dua hari tu ialah ayam goreng bermadu *Neezam's specility*, lompat tikam, ikan goreng keretup, ikan masak kicap, tomyam, sayur campur, puding, buah-buahan, bubur dan macam-macam lagi. Ditambah lagi dengan lauk-pauk yang dibawa oleh para tetamu. So, sangat banyak makanan. Sangat seronok! Sangat best!

.: Antara tetamu yang hadir :.


.: Menu :.


Selepas berbuka puasa, kitorang sempat solat tarawih bersama-sama... Alhamdulillah...

Apa-apa pun tak semua warga sedesa yang kitorang dapat jemput disebabkan kekangan masa. Esok aku nak balik dah. Beg pun belum siap berkemas lagi. Huhuhu... So, bagi pihak aku dan Neezam sekeluarga, kitorang meminta maaf pada saper-saper yang tak terjemput tu. Maklumlah... kenalan sedesa sekarang ni tersangatlah ramai. Insya Allah, kalau ada rezeki nanti kitorang akan jemput jugak semua datang bertandang dan menjamu selera kat rumah kitorang yang chomel ni. Jangan terasa hati yer...

Dan kepada semua yang sudi hadir pada kedua-dua hari tersebut, terima kasih kerana sudi bertandang ke teratak kitorang ni. :) Kitorang minta maaf jika ada yang terkurang pada hari-hari tu, dan jika ada yang terkasar bahasa atau terasa hati... Sorry and tq! :)


*juliet le sweetheart : seronok bila ada tetamu bertandang ke rumah


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top