♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Tuesday, December 18, 2007

Pengorbanan di perantauan

Macam sedih jer artikel Neezam kali ni. Tetiba rasa rindu sangat nak balik Malaysia walaupun baru jer balik. Huhuhuhu...

Pengorbanan di perantauan

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR

SESUNGGUHNYA semua umat Islam ternanti-nanti akan tibanya Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban yang secara rasminya akan disambut pada tanggal 20 Disember ini di seluruh negara.

Hari Raya Korban memberikan makna yang sungguh mendalam terutamanya bagi rombongan jemaah haji ke Mekah yang menjadi ‘tetamu Allah’ menyempurnakan Rukun Islam yang kelima.

Berdasarkan pengalaman peribadi, menyambut Hari Raya Korban di perantauan tidaklah semeriah seperti yang dirasakan di tanah air. Para perantau sekadar dapat peluang bersolat sunat Hari Raya di masjid atau surau.

Ada juga dalam kalangan komuniti perantau seperti pelajar-pelajar atau pekerja-pekerja yang menganjurkan majlis kenduri kecil-kecilan atau takbir beramai-ramai, sama ada di kedutaan Malaysia, di rumah atau di dewan komuniti. Peluang untuk berhimpun beramai-ramai seperti ini memberikan ruang kepada semua untuk melepaskan rindu terhadap sanak-saudara di Malaysia, bertukar-tukar fikiran, berkongsi suka dan duka, sama-sama menghayati erti yang tersurat dan tersirat tentang pengorbanan.

Sambutan perayaan yang dibuat adalah sederhana, tetapi jauh di lubuk hati masing-masing sedar bahawa mereka sedang melaksanakan erti pengorbanan yang bukan calang-calang.

Pengorbanan untuk meninggalkan keluarga yang tercinta jauh beribu-ribu batu di tanah air, menimba ilmu dan mencari pengalaman di bumi asing, mengangkat senjata membantu menjaga keharmonian dan keselamatan negara-negara yang sedang dilanda krisis, bersusah payah membina kehidupan dan berdikari, dan mentadbir hal ehwal makanan dan pakaian keluarga adalah contoh pengorbanan yang cukup berbeza dan unik jika dibandingkan dengan ibadah korban yang biasa diamalkan di tanah air.

Namun, semua pengorbanan ini tetap bersandarkan kepada matlamat mendapatkan keredaan Allah s.w.t. membawa balik segala ilmu dan pengalaman yang ditimba di luar negara untuk dikongsi bersama dengan anak-anak bangsa, dan meningkatkan martabat negara dan bangsa di mata dunia.

Hari Raya Korban memberikan maksud yang cukup signifikan tentang kewajipan menunaikan tanggungjawab sebagai insan yang berguna dalam menyumbangkan kepakaran dan tenaga kepada pembangunan dan kemakmuran insan sejagat.

Sambutan Hari Raya Korban membuka pintu hati dan minda golongan perantau akan perlunya bersabar, melipatgandakan usaha dan lebih gigih dalam urusan dan kerja masing-masing dan akhirnya bertawakal kepada Allah s.w.t.

Akhirnya, tidak dapat dinafikan bahawa menyambut Hari Raya Korban di perantauan benar-benar memupuk kesedaran tentang maksud sebenar pengorbanan yang tidak boleh disalahertikan dengan melakukan perbuatan yang tidak bersesuaian pada perspektif masyarakat dan juga agama.

Untuk melaksanakan pengorbanan, seseorang perlu mengikut saluran dan cara yang diredai Allah s.w.t. dan selaras dengan aspirasi agama, bangsa dan negara.

KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR ialah pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top