♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Monday, December 31, 2007

2008

Hari ni hari terakhir dalam tahun 2007. Esok masuklah tahun baru, 2008.

Rasa kejap jer tahun 2007. Niesreena pun dah setahun. Tahun lepas pada waktu-waktu macam ni aku masih dalam pantang. Dan kat Johor masa tu tengah dasyat dilanda banjir.

Masuk jer tahun baru semua orang mesti bercakap pasal azam tahun baru. Dan yang pastinya azam aku tahun 2007 masih tak tercapai. Semuanya terbantut. Mungkin bukan rezeki aku lagi. Tunggulah 2-3 tahun lagi untuk capai semua azam dan matlamat aku. Buat masa ni aku hanya perlu sokong Neezam untuk capai semua azam, matlamat dan impian dia. Mendidik dan membesarkan Niesreena sebaik mungkin. Hmmm… mungkin tu lah azam aku tahun ni; untuk Neezam dan Niesreena.

2008… aku rasa aku dah nampak jalan hidup aku sepanjang tahun baru ni. Vacation year! Bercutilah sepuas-puasnya kat negara orang ni. Bukan semua orang dapat peluang macam ni. Tiga tahun lagi, aku nak bentuk hidup aku semula, kerjaya aku. Housewife? I don’t think so.

Nway, selamat tinggal 2007, selamat datang 2008!

Plagiarisme hina keilmuan

Alhamdulillah sempat jugak artikel ni dikeluarkan sebelum berakhirnya tahun 2007 ni. So, kiranya ni lah artikel terakhir Neezam tahun ni. Jumpa lagi tahun depan!

Plagiarisme hina keilmuan

Oleh Khairunneezam Mohd. Noor

GEJALA plagiarisme adalah satu perbuatan yang tidak beretika dan saling tak tumpah konsepnya seumpama merompak. Begitu juga dengan apa yang berlaku dalam dunia penulisan akademik, plagiarisme atau menciplak adalah unsur pemusnah kemurnian dan martabat ilmu pengetahuan.

Plagiarisme berlaku apabila seseorang menghasilkan semula atau menciplak hasil ilmiah milik orang lain sama ada dalam bentuk perkataan-perkataan, idea-idea atau penemuan-penemuan tertentu. Kemudiannya, hasil yang diciplak itu dipersembahkan sebagai hasil ilmiah dirinya tanpa memberi pengiktirafan atau penghargaan yang sepatutnya kepada pemilik asal hasil ilmiah tersebut.

Terdapat tiga bentuk plagiarisme yang biasa diamalkan. Pertama, peniruan secara langsung perkataan-perkataan, perenggan-perenggan, atau sebarang bahan yang diambil daripada bahan terbitan orang lain tanpa usaha yang sewajarnya dalam mengiktiraf sumber asal bahan ilmiah tersebut.

Kedua, pengubahsuaian perkataan-perkataan orang lain tanpa memberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Ketiga, menggunakan idea-idea yang secara langsung diambil daripada orang lain tanpa memberikan pengiktirafan kepadanya.

Dengan teknologi ‘dunia di hujung jari’ melalui Internet pada masa kini, diakui seseorang pelajar mampu menyiapkan kertas kerja atau tesisnya dengan jalan pintas yang cepat.

Namun, mengambil bulat-bulat atau sebahagian daripada karya milik orang lain dan memperakukan bahawa ia adalah hasil karya sendiri adalah satu perbuatan yang membuktikan kemalasan seseorang yang melampau dan sungguh keji. Di mana letaknya kualiti penulisan akademik dan etika seseorang pelajar itu andai dia meniru dan menciplak karya hak milik orang lain sewenang-wenangnya?

Untuk itu, pensyarah dan universiti diminta untuk tidak berkompromi dengan pelajar yang melakukan kesalahan sebegini. Walaupun statistik berlakunya kes-kes plagiat ini masih lagi bersifat terpinggir, namun jika ia dibiarkan terus berleluasa, dirasakan bahawa ia akan memberi impak yang cukup negatif terhadap usaha pembentukan siswazah yang berkualiti dan pengayaan karya-karya akademik yang boleh dikongsi bersama oleh semua pihak.

Terdapat beberapa pihak yang bertanggungjawab mencegah usaha plagiarisme dalam penulisan akademik iaitu universiti dan fakulti, pensyarah dan para pelajar.

Pihak universiti mesti mewujudkan atau jika sudah ada, kuat kuasakan sebaik-baiknya undang-undang berkenaan plagiarisme dan maklumkan tentang kesalahan dan kesan negatifnya kepada semua pensyarah dan pelajar. Pastikan bahawa dalam buku panduan akademik di setiap fakulti mengandungi maklumat dan kaedah penulisan sumber rujukan atau bibliografi yang tepat sebagai cara mencegah dan menangani sebarang plagiarisme.

Hanya dengan cara memberi pengiktirafan terhadap pemilik karya asal, barulah cedukan idea dan frasa-frasa tertentu dari karya asal tersebut ‘dihalalkan’ dalam konteks penulisan akademik.

Pihak pengurusan fakulti boleh mengaplikasikan perisian komputer atas talian yang dapat mengesan sebarang aktiviti plagiarisme dalam penulisan tesis atau tugasan pelajar. Perisian-perisian seperti ini diaplikasikan oleh kebanyakan universiti di seluruh dunia yang digunakan secara meluas dalam menangani isu plagiarisme dalam penulisan akademik oleh pelajar. Misalnya, perisian-perisian komputer seperti Turnitin, Scan My Essay dan Word Check System cukup komprehensif dan efektif dalam menemukan sebarang unsur plagiarisme tesis dan penulisan akademik secara atas talian.

Para pensyarah berperanan untuk membimbing akan konsep plagiarisme kepada para pelajar bukan sekadar dalam penulisan tesis, bahkan dalam tugasan, laporan mingguan, pembentangan, dan sebagainya.

Seelok-eloknya setiap pelajar perlu dilatih tentang bagaimana kaedah penulisan akademik yang baik dengan menggabungkan idea-idea sendiri dan idea-idea daripada pelbagai sarjana dalam bahan rujukan yang lain. Para pelajar perlu diterangkan tentang peripentingnya kaedah penulisan rujukan yang tepat sebagai usaha menghargai para penulis bahan-bahan yang dimuatkan di dalam tugasan akademik para pelajar tersebut.

Pensyarah juga perlu tegas mengambil tindakan terhadap pelajar yang masih degil membuat tugasan akademik secara plagiat sama ada meminta pelajar mengubah suai tugasan tersebut atau melaporkannya kepada pihak universiti.

Para pelajar pula bertanggungjawab dalam menghasilkan sebarang penulisan akademik atau tesis yang tidak mengandungi unsur plagiarisme. Setiap universiti mempunyai buku panduan penulisan akademik dan mereka perlu menuruti semua sistem dan disiplin penulisan yang telah ditetapkan.

Mereka perlu sedar bahawa penulisan akademik adalah satu usaha universiti untuk mengasah dan menyerlahkan tahap kebolehan akademik mereka sendiri. Jadikanlah penulisan akademik sebagai sumber terbaik untuk menyerlahkan daya pemikiran dan keintelektualan. Apalah ertinya kepuasan dalam usaha penulisan akademik andai seseorang pelajar itu mendapat ‘A’ dalam tesisnya, tetapi ia bukan secara mutlaknya hasil karya pelajar tersebut dan diplagiat daripada sumber-sumber lain.

Sekiranya kesemua pihak yang disebutkan di atas secara serius mengambil langkah sewajarnya dalam membendung gejala plagiarisme, adalah diyakini bahawa kemurnian dunia penulisan akademik akan dapat disuburkan. Bahkan, jika ditelusuri dari aspek moral dan keagamaan pun, plagiat adalah satu kesalahan yang serius dan boleh mengundang dosa.

Untuk itu, janganlah kita sewenang-wenangnya memplagiat hak milik orang lain. Andai suatu hari nanti kita terjumpa hasil penulisan akademik kita diplagiat oleh orang lain dan ia dijadikan satu bahan yang dikomersialkan serta mendapat untung, apa agaknya perasaan kita pada masa itu?

KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR ialah Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.

Saturday, December 29, 2007

Sedapnya ikan pari...

Pagi ni aku ke Preston market. Ingatkan mulanya malas nak ikut Neezam sebab cuaca sangat panas. Tapi disebabkan rasa bosan duduk kat rumah, aku ikutlah jugak Neezam ke pasar.

Macam biasa. Sampai jer kat Preston kitorang akan ke kedai daging halal dulu. Then ke pasar basah Preston. Beli sayur sikit, buah sikit. Pastu ke bahagian ikan. “Nak beli ikan aper ek hari ni? Ikan kat sini sumer tak best. Kalaulah ada ikan pari ke, ikan terubuk ke, ikan talapia ke, kan best…” itulah detik hati aku on the way nak ke tempat ikan.

Masa mata melilau cari ikan. Mata aku terpandang kat satu jenis ikan ni. Macam kenal jer. Tapi macam tak mungkin plak. Aku gi dekat dan dekat lagi ke stall tu. Eeee… memang betul! Ikan kegemaran aku! Ikan pari! Serius punyer terkejut tengok ikan pari. Bestnyer… Tanpa berlengah masa terus beli satu tray ikan pari. Just AUD$5. Arrrrrrr… gembira tak terkata. Dapat jer ikan tu kepala aku ligat berfikir nak masak apa ikan pari tu; bakar, asam pedas, goreng cili. Arrrrgggghhhhh… sedapnya!

So, menu hari ni ikan pari goreng sambal. Serius sedap. Hehehehehe…

Esok, aku nak masak asam pedas ikan pari plak. Lusa, ikan pari bakar. Tulat, ikan pari goreng pun sodap… Yum yum…

Thursday, December 27, 2007

Chak!!!

Assalamualaikum wbt. Akhirnya aku kembali semula memblogkan diri setelah sekian lama menyepi. Ramai kengkawan aku dan kengkawan Niesreena yang msg kenapa dah lama tak update blog mahupun fp sejak balik dari Malaysia.

Sebab sebelum ni kat rumah baru kitorang ni tak der internet. Baru semalam kitorang daftar line internet. Insya Allah lepas ni aku akan selalu merajinkan diri untuk update aktiviti famili aku kat sini.

Sampai kat sini dulu coretan aku kali ni. Just nak warming up sebab dah lama tak menulis. Hehehehe…

Until next post…

Tuesday, December 25, 2007

Bendigo on Christmas Day

Hari Krismas ni semua perkhidmatan awam boleh digunakan secara percuma. So, kitorang ke Bendigo dengan menaiki V-Line. V-Line ni keretapi. Perjalanan dari Melbourne ke Bendigo memakan masa lebih kurang 1 jam 45 minit. Dan memandangkan hari tu adalah hari Krismas, so, semua kedai-kedai kat Bendigo tutup. So, tak bolehlah nak bershopping. Huhuhuhu...

Bendigo ni satu masa dahulu terkenal dengan gold mining. So, kat sini banyaklah tinggalan sejarah pasal gold mining.

Sampai-sampai jer kat Bendigo kitorang ke Rosalind Park untuk makan. Macam biasa, masing-masing bawak pot luck. Seronok lepak-lepak sambil makan-makan kat taman. Niesreena pun seronok sebab lepas bebas berjalan.

Lepas makan kitorang berjalan di kawasan sekitar pekan Bendigo ni. Bangunan-bangunan kat Bendigo ni kebanyakkannya berusia lebih 100 setahun dan sangat unik. Antara tempat-tempat yang kitorang sempat pergi sekitar Bendigo ni ialah ke Rosalind Park, naik old mine winding tower yang boleh nampak sekitar kawasan Bendigo, Shamrock Hotel, Bendigo Town House, Bendigo Court House dan Bendigo Post Office, dan banyak lagi.

Kitorang sempat jugak menjengah ke La Trobe Uni kat Bendigo ni. Tq to abang Sham yang menjadi tourist guide kitorang kat sini.

Sebelum balik ke Melbourne, kitorang ke rumah abang Sham untuk makan tengahari dah berehat. Kitorang bertolak balik ke Melbourne menaiki V-Line pukul 8.30 malam...


Seronok betul sebab banyaaaaaakkk sangat tempat menarik yang kitorang sempat gi hari ni. Tapi penaaaaaaatttt betul. Dalam train semua orang tidur. Kepenatannnnn...

Banyak lagi gambar-gambar menarik. Silalah jengah fotopages aku yer. :)

Sunday, December 23, 2007

Mount Cooper

Mt Cooper ni terletak kat belakang rumah kitorang jer. Best petang-petang jalan kat sini. Bleh tengok matahari terbit dan matahari terbenam. Dari puncak mount Cooper ni jugak boleh nampak Melbourne city. Cantik...


Sesekali lepak-lepak kat tempat macam ni rasa tenaaaaaaannnng sangat. Permandangan cantik, cuaca pun best!

Seronok menikmati keindahan alam ciptaan tuhan.

Banyak lagi gambar kat fotopages aku. Silalah singgah yer!

Tuesday, December 18, 2007

Pengorbanan di perantauan

Macam sedih jer artikel Neezam kali ni. Tetiba rasa rindu sangat nak balik Malaysia walaupun baru jer balik. Huhuhuhu...

Pengorbanan di perantauan

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR

SESUNGGUHNYA semua umat Islam ternanti-nanti akan tibanya Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban yang secara rasminya akan disambut pada tanggal 20 Disember ini di seluruh negara.

Hari Raya Korban memberikan makna yang sungguh mendalam terutamanya bagi rombongan jemaah haji ke Mekah yang menjadi ‘tetamu Allah’ menyempurnakan Rukun Islam yang kelima.

Berdasarkan pengalaman peribadi, menyambut Hari Raya Korban di perantauan tidaklah semeriah seperti yang dirasakan di tanah air. Para perantau sekadar dapat peluang bersolat sunat Hari Raya di masjid atau surau.

Ada juga dalam kalangan komuniti perantau seperti pelajar-pelajar atau pekerja-pekerja yang menganjurkan majlis kenduri kecil-kecilan atau takbir beramai-ramai, sama ada di kedutaan Malaysia, di rumah atau di dewan komuniti. Peluang untuk berhimpun beramai-ramai seperti ini memberikan ruang kepada semua untuk melepaskan rindu terhadap sanak-saudara di Malaysia, bertukar-tukar fikiran, berkongsi suka dan duka, sama-sama menghayati erti yang tersurat dan tersirat tentang pengorbanan.

Sambutan perayaan yang dibuat adalah sederhana, tetapi jauh di lubuk hati masing-masing sedar bahawa mereka sedang melaksanakan erti pengorbanan yang bukan calang-calang.

Pengorbanan untuk meninggalkan keluarga yang tercinta jauh beribu-ribu batu di tanah air, menimba ilmu dan mencari pengalaman di bumi asing, mengangkat senjata membantu menjaga keharmonian dan keselamatan negara-negara yang sedang dilanda krisis, bersusah payah membina kehidupan dan berdikari, dan mentadbir hal ehwal makanan dan pakaian keluarga adalah contoh pengorbanan yang cukup berbeza dan unik jika dibandingkan dengan ibadah korban yang biasa diamalkan di tanah air.

Namun, semua pengorbanan ini tetap bersandarkan kepada matlamat mendapatkan keredaan Allah s.w.t. membawa balik segala ilmu dan pengalaman yang ditimba di luar negara untuk dikongsi bersama dengan anak-anak bangsa, dan meningkatkan martabat negara dan bangsa di mata dunia.

Hari Raya Korban memberikan maksud yang cukup signifikan tentang kewajipan menunaikan tanggungjawab sebagai insan yang berguna dalam menyumbangkan kepakaran dan tenaga kepada pembangunan dan kemakmuran insan sejagat.

Sambutan Hari Raya Korban membuka pintu hati dan minda golongan perantau akan perlunya bersabar, melipatgandakan usaha dan lebih gigih dalam urusan dan kerja masing-masing dan akhirnya bertawakal kepada Allah s.w.t.

Akhirnya, tidak dapat dinafikan bahawa menyambut Hari Raya Korban di perantauan benar-benar memupuk kesedaran tentang maksud sebenar pengorbanan yang tidak boleh disalahertikan dengan melakukan perbuatan yang tidak bersesuaian pada perspektif masyarakat dan juga agama.

Untuk melaksanakan pengorbanan, seseorang perlu mengikut saluran dan cara yang diredai Allah s.w.t. dan selaras dengan aspirasi agama, bangsa dan negara.

KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR ialah pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.

Thursday, December 6, 2007

On her first birthday

Happy birhtday to you...
Happy birthday to you...
Happy birthday to Niesreena...
Happy birthday to you...

Niesreena dah setahun! Macam tak percaya jer. Dah besar puteri mama sorang ni. Terharu rasanya... :) Rasa macam cepat jer masa berlalu.

Mama & ayah minta maaf sangat sebab tak dapat buat party harijadi Niesreena sebab last month baru buat house warming party. Sian kat Niesreena sebab tak der sambutan harijadi. Mama promise next year ok sayang!

* * * * *

Memandangkan kitorang tak buat birthday party untuk puteri kitorang ni, so, kitorang decided untuk sambut harijadi Niesreena sefamily sahaja. Kitorang bawa Niesreena makan ais krim best kat Il Dolce Freddo di Lygon. Akmal yang kenalkan tempat ni. Memang sedap aiskrim-aiskrim kat situ. Macam-macam perisa ada. Durian pun ada. Sedap giler. Niesreena seronok makan macam-macam jenis aiskrim.

Then kebetulan kedai aiskrim ni dekat dengan Melbourne Museum. So, destinasi kitorang seterusnya ialah ke Melbourne Museum. *Boring jer masa harijadi gi musium ek? Hehehe...*

Cuaca hari tu sangat panas. Bila dah masuk museum rasa lega sangat kena aircond.

Nway, Niesreena seronok gak kat musium. Macam-macam Niesreena tengok dan memang Niesreena nampak interested sangat! Lebih-lebih lagi Niesreena baru beberapa minggu 'dapat kaki'. Seronoklah Niesreena berjalan dalam musium tu. Dan mama dan ayah Niesreena pun seronok tengok si comel yang sedang seronok tu. :)


Ps : Thanx to auntie-auntie yang bagi Niesreena birthday pressie and all the wishes. Tq!

Sunday, December 2, 2007

Trip to Ballarat

Hari ni kitorang ke Ballarat. Tak pernah sampai sana sebelum ni. Ramai kengkawan yang kata tempat tu best. Well, memang best pun!

Kitorang bertolak dari Bundoora lebih kurang pukul 9.30 pagi. Selepas makan kat park kat Ballarat, kitorang ke Sovereign Hill. Tempat ni adalah pekan lama yang ada tinggalan lombong emas. Best lah tempat ni. Diorang mengekalkan lagi tinggalan banggunan kedai-kedai lama, rumah-rumah lama, sekolah, fire brigade dan banyak lagi lah. Bowling centre pun ada! Bola dan pin-pin bowling tu diperbuat daripada kayu. Hehehhe... Tak sangka kan. Yang bestnya lagi ialah semua pekerja-pekerja kat situ turut berpakaian seperti orang zaman dulu kala. Kelasssss...

Thanx to Mahazan yang sudi jadi tourist guide kitorang!!!


Banyak lagi gambar-gambar menarik kat Sovereign Hill ni kat fotopages aku. Jom singgah. Pasti tak menyesal!

Lepas puas pusing-pusing kat pekan Sovereign Hill, kitorang singgah kat Ballarat Wildlife Park plak. Tempat ni tak jauh antara satu sama lain.

Haaaa... first time jumpa kanggaroo setelah berbulan-bulan dok kat Australia ni. Siap bagi makan by hand lagi! Yang bestnya bila dapat tengok kanggaroo yang ada baby dalam poket dia. Comel tol! Memang banyak giler kanggaroo kat sini. Pastu diorang bebas jer kat park ni. Tak der kandang-kandang ni.

Sebenarnya tak banyak jenis haiwan Ballarat Wildlife Park ni, tapi aku rasa seronok gak sebab dapat tengok haiwan-haiwan yang memang aku tak kan dapat tengok kat Malaysia. Kebanyakkan binatang kat sini memang binatang oz lah; kanggaro, koala, etc...

Niesreena pun seronok! Tergelak-gelak Niesreena tengok kanggaroo melompat-lompat. Tapi nak pegang Niereena takut. :)


Nak tengok lagi gambar kat Ballarat Wildlife Park ni, meh singgah kat fotopages aku k!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top