♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Friday, July 20, 2007

Mekanisme kawal minggu orientasi IPT

Hari ni keluar lagi artikel Neezam kat Utusan Malaysia.

Mekanisme kawal minggu orientasi IPT

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR

PASTI sukar untuk digambarkan perasaan bercampur baur bagi seseorang siswa yang baru melangkah ke dunia ‘menara gading’.

Umum setuju bahawa pelajar baru di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu diberikan haluan dan bimbingan. Untuk itu, minggu orientasi sangat besar impaknya dalam menyuluh jalan yang tepat untuk diteladani oleh siswa baru dalam mengharungi dunia menara gading yang serba asing ini. Misalnya, aktiviti pengenalan kepada polisi dan peraturan universiti berperanan memandu arah siswa baru tentang hala tuju universiti.

Aktiviti debat antara siswa memberi panduan supaya siswa bijak mengolah dan mengutarakan pendapat dan bangkangan. Aktiviti keagamaan seperti muzakarah, usrah dan perbincangan moral mengajak siswa untuk berpegang teguh dengan panduan agama masing-masing. Aktiviti kesukanan mencetus kepada gaya hidup siswa yang sihat. Aktiviti kemasyarakatan pula menyerlahkan bahawa siswa begitu besar tanggungjawabnya kepada perkembangan komuniti dan sosial.

Namun, kejayaan pihak universiti mengadakan minggu orientasi yang sempurna, tercalar dengan adanya anasir-anasir yang tidak memenuhi aspirasi universiti. Rungutan yang diluahkan oleh sebilangan ibu bapa dan penjaga tentang sesuatu yang ‘menyimpang’ berlaku kepada anak-anak mereka menjelaskan segalanya.

Umpamanya, pendedahan program minggu interaksi di sebuah universiti yang sangat jelas unsur dan kesan negatifnya. Membincangkan topik-topik melampaui batasan dan ‘hangat’ dalam satu program ‘debat bodoh’ jelas menunjukkan ia tidak mendukung aspirasi pembangunan mahasiswa. Begitu juga dengan penayangan filem dari malam hingga ke subuh yang tersasar jauh daripada objektif membimbing dan mendidik siswa baru ini ke arah yang betul.

Itu belum lagi program sampingan yang dianjurkan siswa senior untuk menunjukkan ‘senioriti’ masing-masing dengan membuli siswa baru.

Ini sangat mengaibkan dan dikhuatiri akan memberi impak negatif kepada siswa baru dari segi semangat belajar dan gaya berfikir mereka. Perkara ini akan seterusnya menjadi budaya negatif yang akan dipraktikkan oleh mereka kepada junior mereka kelak.

Pihak universiti dan Majlis Perwakilan Mahasiswa bertanggungjawab untuk menghindarkan program-program yang tidak berasas sebegini. Sebagai langkah kawalan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semua IPT menegah penyertaan siswa senior selain daripada yang menjadi ahli jawatankuasa penganjur untuk menyertai minggu haluan siswa ini.

Namun, ia mungkin tidak cukup dan pengawalan yang bersifat lebih menyeluruh dan total perlu dilaksanakan.

Beberapa cadangan boleh dijadikan pertimbangan pihak universiti untuk memastikan kelancaran dan kemurnian minggu orientasi siswa ini. Pertamanya, pihak universiti perlu mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap pelajar senior yang didapati membuli para pelajar baru bukan sahaja dalam minggu orientasi bahkan pada sepanjang masa. Ini dapat memberi pengajaran kepada semua siswa bahawa membuli adalah satu kesalahan yang sangat serius dan dilarang.

Kedua, pemilihan ahli jawatankuasa penganjur dan fasilitator di kalangan siswa perlu dilaksanakan dengan lebih teliti. Hanya mereka yang benar-benar matang, serius, menunjukkan sifat kepimpinan dan berakhlak terpuji yang dipilih.

Ketiga, semua aktiviti yang dianjurkan sepanjang minggu orientasi perlu dikawal, dipantau dan diaudit sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang aktiviti yang bercanggah dengan matlamat sebenarnya dalam minggu orientasi.

Keempat, para siswa baru diberikan ruang yang seluas-luasnya untuk membuat aduan sekiranya berlaku sebarang aktiviti buli atau tidak relevan kepada mereka semasa dan selepas minggu orientasi.

Kelima, perlu ada mekanisme kawalan secara langsung terhadap semua aktiviti yang dilaksanakan sepanjang minggu orientasi daripada pegawai-pegawai universiti yang bertanggungjawab.

Pegawai-pegawai seperti di Unit Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti, serta pengurus dan fellow-fellow asrama perlu secara langsung mengawal selia perjalanan setiap program yang dianjurkan.

Jika minggu orientasi di universiti terjamin 100 peratus menepati sasaran keintelektualannya, maka sudah tentulah semua pihak akan menghela nafas kelegaan.

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top