♥ Ya Allah, andai telah Kau titipkan dia milikku, satukanlah hatinya dan hatiku menjadi cinta nan satu...

Amin... ♥

Monday, December 31, 2007

2008

Hari ni hari terakhir dalam tahun 2007. Esok masuklah tahun baru, 2008.

Rasa kejap jer tahun 2007. Niesreena pun dah setahun. Tahun lepas pada waktu-waktu macam ni aku masih dalam pantang. Dan kat Johor masa tu tengah dasyat dilanda banjir.

Masuk jer tahun baru semua orang mesti bercakap pasal azam tahun baru. Dan yang pastinya azam aku tahun 2007 masih tak tercapai. Semuanya terbantut. Mungkin bukan rezeki aku lagi. Tunggulah 2-3 tahun lagi untuk capai semua azam dan matlamat aku. Buat masa ni aku hanya perlu sokong Neezam untuk capai semua azam, matlamat dan impian dia. Mendidik dan membesarkan Niesreena sebaik mungkin. Hmmm… mungkin tu lah azam aku tahun ni; untuk Neezam dan Niesreena.

2008… aku rasa aku dah nampak jalan hidup aku sepanjang tahun baru ni. Vacation year! Bercutilah sepuas-puasnya kat negara orang ni. Bukan semua orang dapat peluang macam ni. Tiga tahun lagi, aku nak bentuk hidup aku semula, kerjaya aku. Housewife? I don’t think so.

Nway, selamat tinggal 2007, selamat datang 2008!

Plagiarisme hina keilmuan

Alhamdulillah sempat jugak artikel ni dikeluarkan sebelum berakhirnya tahun 2007 ni. So, kiranya ni lah artikel terakhir Neezam tahun ni. Jumpa lagi tahun depan!

Plagiarisme hina keilmuan

Oleh Khairunneezam Mohd. Noor

GEJALA plagiarisme adalah satu perbuatan yang tidak beretika dan saling tak tumpah konsepnya seumpama merompak. Begitu juga dengan apa yang berlaku dalam dunia penulisan akademik, plagiarisme atau menciplak adalah unsur pemusnah kemurnian dan martabat ilmu pengetahuan.

Plagiarisme berlaku apabila seseorang menghasilkan semula atau menciplak hasil ilmiah milik orang lain sama ada dalam bentuk perkataan-perkataan, idea-idea atau penemuan-penemuan tertentu. Kemudiannya, hasil yang diciplak itu dipersembahkan sebagai hasil ilmiah dirinya tanpa memberi pengiktirafan atau penghargaan yang sepatutnya kepada pemilik asal hasil ilmiah tersebut.

Terdapat tiga bentuk plagiarisme yang biasa diamalkan. Pertama, peniruan secara langsung perkataan-perkataan, perenggan-perenggan, atau sebarang bahan yang diambil daripada bahan terbitan orang lain tanpa usaha yang sewajarnya dalam mengiktiraf sumber asal bahan ilmiah tersebut.

Kedua, pengubahsuaian perkataan-perkataan orang lain tanpa memberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Ketiga, menggunakan idea-idea yang secara langsung diambil daripada orang lain tanpa memberikan pengiktirafan kepadanya.

Dengan teknologi ‘dunia di hujung jari’ melalui Internet pada masa kini, diakui seseorang pelajar mampu menyiapkan kertas kerja atau tesisnya dengan jalan pintas yang cepat.

Namun, mengambil bulat-bulat atau sebahagian daripada karya milik orang lain dan memperakukan bahawa ia adalah hasil karya sendiri adalah satu perbuatan yang membuktikan kemalasan seseorang yang melampau dan sungguh keji. Di mana letaknya kualiti penulisan akademik dan etika seseorang pelajar itu andai dia meniru dan menciplak karya hak milik orang lain sewenang-wenangnya?

Untuk itu, pensyarah dan universiti diminta untuk tidak berkompromi dengan pelajar yang melakukan kesalahan sebegini. Walaupun statistik berlakunya kes-kes plagiat ini masih lagi bersifat terpinggir, namun jika ia dibiarkan terus berleluasa, dirasakan bahawa ia akan memberi impak yang cukup negatif terhadap usaha pembentukan siswazah yang berkualiti dan pengayaan karya-karya akademik yang boleh dikongsi bersama oleh semua pihak.

Terdapat beberapa pihak yang bertanggungjawab mencegah usaha plagiarisme dalam penulisan akademik iaitu universiti dan fakulti, pensyarah dan para pelajar.

Pihak universiti mesti mewujudkan atau jika sudah ada, kuat kuasakan sebaik-baiknya undang-undang berkenaan plagiarisme dan maklumkan tentang kesalahan dan kesan negatifnya kepada semua pensyarah dan pelajar. Pastikan bahawa dalam buku panduan akademik di setiap fakulti mengandungi maklumat dan kaedah penulisan sumber rujukan atau bibliografi yang tepat sebagai cara mencegah dan menangani sebarang plagiarisme.

Hanya dengan cara memberi pengiktirafan terhadap pemilik karya asal, barulah cedukan idea dan frasa-frasa tertentu dari karya asal tersebut ‘dihalalkan’ dalam konteks penulisan akademik.

Pihak pengurusan fakulti boleh mengaplikasikan perisian komputer atas talian yang dapat mengesan sebarang aktiviti plagiarisme dalam penulisan tesis atau tugasan pelajar. Perisian-perisian seperti ini diaplikasikan oleh kebanyakan universiti di seluruh dunia yang digunakan secara meluas dalam menangani isu plagiarisme dalam penulisan akademik oleh pelajar. Misalnya, perisian-perisian komputer seperti Turnitin, Scan My Essay dan Word Check System cukup komprehensif dan efektif dalam menemukan sebarang unsur plagiarisme tesis dan penulisan akademik secara atas talian.

Para pensyarah berperanan untuk membimbing akan konsep plagiarisme kepada para pelajar bukan sekadar dalam penulisan tesis, bahkan dalam tugasan, laporan mingguan, pembentangan, dan sebagainya.

Seelok-eloknya setiap pelajar perlu dilatih tentang bagaimana kaedah penulisan akademik yang baik dengan menggabungkan idea-idea sendiri dan idea-idea daripada pelbagai sarjana dalam bahan rujukan yang lain. Para pelajar perlu diterangkan tentang peripentingnya kaedah penulisan rujukan yang tepat sebagai usaha menghargai para penulis bahan-bahan yang dimuatkan di dalam tugasan akademik para pelajar tersebut.

Pensyarah juga perlu tegas mengambil tindakan terhadap pelajar yang masih degil membuat tugasan akademik secara plagiat sama ada meminta pelajar mengubah suai tugasan tersebut atau melaporkannya kepada pihak universiti.

Para pelajar pula bertanggungjawab dalam menghasilkan sebarang penulisan akademik atau tesis yang tidak mengandungi unsur plagiarisme. Setiap universiti mempunyai buku panduan penulisan akademik dan mereka perlu menuruti semua sistem dan disiplin penulisan yang telah ditetapkan.

Mereka perlu sedar bahawa penulisan akademik adalah satu usaha universiti untuk mengasah dan menyerlahkan tahap kebolehan akademik mereka sendiri. Jadikanlah penulisan akademik sebagai sumber terbaik untuk menyerlahkan daya pemikiran dan keintelektualan. Apalah ertinya kepuasan dalam usaha penulisan akademik andai seseorang pelajar itu mendapat ‘A’ dalam tesisnya, tetapi ia bukan secara mutlaknya hasil karya pelajar tersebut dan diplagiat daripada sumber-sumber lain.

Sekiranya kesemua pihak yang disebutkan di atas secara serius mengambil langkah sewajarnya dalam membendung gejala plagiarisme, adalah diyakini bahawa kemurnian dunia penulisan akademik akan dapat disuburkan. Bahkan, jika ditelusuri dari aspek moral dan keagamaan pun, plagiat adalah satu kesalahan yang serius dan boleh mengundang dosa.

Untuk itu, janganlah kita sewenang-wenangnya memplagiat hak milik orang lain. Andai suatu hari nanti kita terjumpa hasil penulisan akademik kita diplagiat oleh orang lain dan ia dijadikan satu bahan yang dikomersialkan serta mendapat untung, apa agaknya perasaan kita pada masa itu?

KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR ialah Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.

Saturday, December 29, 2007

Sedapnya ikan pari...

Pagi ni aku ke Preston market. Ingatkan mulanya malas nak ikut Neezam sebab cuaca sangat panas. Tapi disebabkan rasa bosan duduk kat rumah, aku ikutlah jugak Neezam ke pasar.

Macam biasa. Sampai jer kat Preston kitorang akan ke kedai daging halal dulu. Then ke pasar basah Preston. Beli sayur sikit, buah sikit. Pastu ke bahagian ikan. “Nak beli ikan aper ek hari ni? Ikan kat sini sumer tak best. Kalaulah ada ikan pari ke, ikan terubuk ke, ikan talapia ke, kan best…” itulah detik hati aku on the way nak ke tempat ikan.

Masa mata melilau cari ikan. Mata aku terpandang kat satu jenis ikan ni. Macam kenal jer. Tapi macam tak mungkin plak. Aku gi dekat dan dekat lagi ke stall tu. Eeee… memang betul! Ikan kegemaran aku! Ikan pari! Serius punyer terkejut tengok ikan pari. Bestnyer… Tanpa berlengah masa terus beli satu tray ikan pari. Just AUD$5. Arrrrrrr… gembira tak terkata. Dapat jer ikan tu kepala aku ligat berfikir nak masak apa ikan pari tu; bakar, asam pedas, goreng cili. Arrrrgggghhhhh… sedapnya!

So, menu hari ni ikan pari goreng sambal. Serius sedap. Hehehehehe…

Esok, aku nak masak asam pedas ikan pari plak. Lusa, ikan pari bakar. Tulat, ikan pari goreng pun sodap… Yum yum…

Thursday, December 27, 2007

Chak!!!

Assalamualaikum wbt. Akhirnya aku kembali semula memblogkan diri setelah sekian lama menyepi. Ramai kengkawan aku dan kengkawan Niesreena yang msg kenapa dah lama tak update blog mahupun fp sejak balik dari Malaysia.

Sebab sebelum ni kat rumah baru kitorang ni tak der internet. Baru semalam kitorang daftar line internet. Insya Allah lepas ni aku akan selalu merajinkan diri untuk update aktiviti famili aku kat sini.

Sampai kat sini dulu coretan aku kali ni. Just nak warming up sebab dah lama tak menulis. Hehehehe…

Until next post…

Tuesday, December 25, 2007

Bendigo on Christmas Day

Hari Krismas ni semua perkhidmatan awam boleh digunakan secara percuma. So, kitorang ke Bendigo dengan menaiki V-Line. V-Line ni keretapi. Perjalanan dari Melbourne ke Bendigo memakan masa lebih kurang 1 jam 45 minit. Dan memandangkan hari tu adalah hari Krismas, so, semua kedai-kedai kat Bendigo tutup. So, tak bolehlah nak bershopping. Huhuhuhu...

Bendigo ni satu masa dahulu terkenal dengan gold mining. So, kat sini banyaklah tinggalan sejarah pasal gold mining.

Sampai-sampai jer kat Bendigo kitorang ke Rosalind Park untuk makan. Macam biasa, masing-masing bawak pot luck. Seronok lepak-lepak sambil makan-makan kat taman. Niesreena pun seronok sebab lepas bebas berjalan.

Lepas makan kitorang berjalan di kawasan sekitar pekan Bendigo ni. Bangunan-bangunan kat Bendigo ni kebanyakkannya berusia lebih 100 setahun dan sangat unik. Antara tempat-tempat yang kitorang sempat pergi sekitar Bendigo ni ialah ke Rosalind Park, naik old mine winding tower yang boleh nampak sekitar kawasan Bendigo, Shamrock Hotel, Bendigo Town House, Bendigo Court House dan Bendigo Post Office, dan banyak lagi.

Kitorang sempat jugak menjengah ke La Trobe Uni kat Bendigo ni. Tq to abang Sham yang menjadi tourist guide kitorang kat sini.

Sebelum balik ke Melbourne, kitorang ke rumah abang Sham untuk makan tengahari dah berehat. Kitorang bertolak balik ke Melbourne menaiki V-Line pukul 8.30 malam...


Seronok betul sebab banyaaaaaakkk sangat tempat menarik yang kitorang sempat gi hari ni. Tapi penaaaaaaatttt betul. Dalam train semua orang tidur. Kepenatannnnn...

Banyak lagi gambar-gambar menarik. Silalah jengah fotopages aku yer. :)

Sunday, December 23, 2007

Mount Cooper

Mt Cooper ni terletak kat belakang rumah kitorang jer. Best petang-petang jalan kat sini. Bleh tengok matahari terbit dan matahari terbenam. Dari puncak mount Cooper ni jugak boleh nampak Melbourne city. Cantik...


Sesekali lepak-lepak kat tempat macam ni rasa tenaaaaaaannnng sangat. Permandangan cantik, cuaca pun best!

Seronok menikmati keindahan alam ciptaan tuhan.

Banyak lagi gambar kat fotopages aku. Silalah singgah yer!

Tuesday, December 18, 2007

Pengorbanan di perantauan

Macam sedih jer artikel Neezam kali ni. Tetiba rasa rindu sangat nak balik Malaysia walaupun baru jer balik. Huhuhuhu...

Pengorbanan di perantauan

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR

SESUNGGUHNYA semua umat Islam ternanti-nanti akan tibanya Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban yang secara rasminya akan disambut pada tanggal 20 Disember ini di seluruh negara.

Hari Raya Korban memberikan makna yang sungguh mendalam terutamanya bagi rombongan jemaah haji ke Mekah yang menjadi ‘tetamu Allah’ menyempurnakan Rukun Islam yang kelima.

Berdasarkan pengalaman peribadi, menyambut Hari Raya Korban di perantauan tidaklah semeriah seperti yang dirasakan di tanah air. Para perantau sekadar dapat peluang bersolat sunat Hari Raya di masjid atau surau.

Ada juga dalam kalangan komuniti perantau seperti pelajar-pelajar atau pekerja-pekerja yang menganjurkan majlis kenduri kecil-kecilan atau takbir beramai-ramai, sama ada di kedutaan Malaysia, di rumah atau di dewan komuniti. Peluang untuk berhimpun beramai-ramai seperti ini memberikan ruang kepada semua untuk melepaskan rindu terhadap sanak-saudara di Malaysia, bertukar-tukar fikiran, berkongsi suka dan duka, sama-sama menghayati erti yang tersurat dan tersirat tentang pengorbanan.

Sambutan perayaan yang dibuat adalah sederhana, tetapi jauh di lubuk hati masing-masing sedar bahawa mereka sedang melaksanakan erti pengorbanan yang bukan calang-calang.

Pengorbanan untuk meninggalkan keluarga yang tercinta jauh beribu-ribu batu di tanah air, menimba ilmu dan mencari pengalaman di bumi asing, mengangkat senjata membantu menjaga keharmonian dan keselamatan negara-negara yang sedang dilanda krisis, bersusah payah membina kehidupan dan berdikari, dan mentadbir hal ehwal makanan dan pakaian keluarga adalah contoh pengorbanan yang cukup berbeza dan unik jika dibandingkan dengan ibadah korban yang biasa diamalkan di tanah air.

Namun, semua pengorbanan ini tetap bersandarkan kepada matlamat mendapatkan keredaan Allah s.w.t. membawa balik segala ilmu dan pengalaman yang ditimba di luar negara untuk dikongsi bersama dengan anak-anak bangsa, dan meningkatkan martabat negara dan bangsa di mata dunia.

Hari Raya Korban memberikan maksud yang cukup signifikan tentang kewajipan menunaikan tanggungjawab sebagai insan yang berguna dalam menyumbangkan kepakaran dan tenaga kepada pembangunan dan kemakmuran insan sejagat.

Sambutan Hari Raya Korban membuka pintu hati dan minda golongan perantau akan perlunya bersabar, melipatgandakan usaha dan lebih gigih dalam urusan dan kerja masing-masing dan akhirnya bertawakal kepada Allah s.w.t.

Akhirnya, tidak dapat dinafikan bahawa menyambut Hari Raya Korban di perantauan benar-benar memupuk kesedaran tentang maksud sebenar pengorbanan yang tidak boleh disalahertikan dengan melakukan perbuatan yang tidak bersesuaian pada perspektif masyarakat dan juga agama.

Untuk melaksanakan pengorbanan, seseorang perlu mengikut saluran dan cara yang diredai Allah s.w.t. dan selaras dengan aspirasi agama, bangsa dan negara.

KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR ialah pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.

Thursday, December 6, 2007

On her first birthday

Happy birhtday to you...
Happy birthday to you...
Happy birthday to Niesreena...
Happy birthday to you...

Niesreena dah setahun! Macam tak percaya jer. Dah besar puteri mama sorang ni. Terharu rasanya... :) Rasa macam cepat jer masa berlalu.

Mama & ayah minta maaf sangat sebab tak dapat buat party harijadi Niesreena sebab last month baru buat house warming party. Sian kat Niesreena sebab tak der sambutan harijadi. Mama promise next year ok sayang!

* * * * *

Memandangkan kitorang tak buat birthday party untuk puteri kitorang ni, so, kitorang decided untuk sambut harijadi Niesreena sefamily sahaja. Kitorang bawa Niesreena makan ais krim best kat Il Dolce Freddo di Lygon. Akmal yang kenalkan tempat ni. Memang sedap aiskrim-aiskrim kat situ. Macam-macam perisa ada. Durian pun ada. Sedap giler. Niesreena seronok makan macam-macam jenis aiskrim.

Then kebetulan kedai aiskrim ni dekat dengan Melbourne Museum. So, destinasi kitorang seterusnya ialah ke Melbourne Museum. *Boring jer masa harijadi gi musium ek? Hehehe...*

Cuaca hari tu sangat panas. Bila dah masuk museum rasa lega sangat kena aircond.

Nway, Niesreena seronok gak kat musium. Macam-macam Niesreena tengok dan memang Niesreena nampak interested sangat! Lebih-lebih lagi Niesreena baru beberapa minggu 'dapat kaki'. Seronoklah Niesreena berjalan dalam musium tu. Dan mama dan ayah Niesreena pun seronok tengok si comel yang sedang seronok tu. :)


Ps : Thanx to auntie-auntie yang bagi Niesreena birthday pressie and all the wishes. Tq!

Sunday, December 2, 2007

Trip to Ballarat

Hari ni kitorang ke Ballarat. Tak pernah sampai sana sebelum ni. Ramai kengkawan yang kata tempat tu best. Well, memang best pun!

Kitorang bertolak dari Bundoora lebih kurang pukul 9.30 pagi. Selepas makan kat park kat Ballarat, kitorang ke Sovereign Hill. Tempat ni adalah pekan lama yang ada tinggalan lombong emas. Best lah tempat ni. Diorang mengekalkan lagi tinggalan banggunan kedai-kedai lama, rumah-rumah lama, sekolah, fire brigade dan banyak lagi lah. Bowling centre pun ada! Bola dan pin-pin bowling tu diperbuat daripada kayu. Hehehhe... Tak sangka kan. Yang bestnya lagi ialah semua pekerja-pekerja kat situ turut berpakaian seperti orang zaman dulu kala. Kelasssss...

Thanx to Mahazan yang sudi jadi tourist guide kitorang!!!


Banyak lagi gambar-gambar menarik kat Sovereign Hill ni kat fotopages aku. Jom singgah. Pasti tak menyesal!

Lepas puas pusing-pusing kat pekan Sovereign Hill, kitorang singgah kat Ballarat Wildlife Park plak. Tempat ni tak jauh antara satu sama lain.

Haaaa... first time jumpa kanggaroo setelah berbulan-bulan dok kat Australia ni. Siap bagi makan by hand lagi! Yang bestnya bila dapat tengok kanggaroo yang ada baby dalam poket dia. Comel tol! Memang banyak giler kanggaroo kat sini. Pastu diorang bebas jer kat park ni. Tak der kandang-kandang ni.

Sebenarnya tak banyak jenis haiwan Ballarat Wildlife Park ni, tapi aku rasa seronok gak sebab dapat tengok haiwan-haiwan yang memang aku tak kan dapat tengok kat Malaysia. Kebanyakkan binatang kat sini memang binatang oz lah; kanggaro, koala, etc...

Niesreena pun seronok! Tergelak-gelak Niesreena tengok kanggaroo melompat-lompat. Tapi nak pegang Niereena takut. :)


Nak tengok lagi gambar kat Ballarat Wildlife Park ni, meh singgah kat fotopages aku k!

Tuesday, November 6, 2007

Niesreena enjoying her bath time

Niesreena is 11 month today. Sebulan lagi sebelum setahun.

Niesreena seorang baby yang ceria. Selalu enjoy apa ajer yang dia buat... expecially bath time! Kadang-kadang susah nak keluarkan dia dari bilik air. Sampai kecut-kecut jari jemari.

Hehehehe...

Mama sayaaaaang sangat pada Niesreena!

Tuesday, October 23, 2007

Salam Aidilfitri

Selamat_hari_raya

Saturday, October 13, 2007

Mendidik anak-anak bersederhana di Hari Raya

Bersempena dengan hari raya ni artikel Neezam yang disiarkan pun menyentuh tentang hari raya jugak. Bacalah yer kengkawan!

Mendidik anak-anak bersederhana di Hari Raya

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR

TIDAK dinafikan bahawa kanak-kanak adalah golongan yang paling seronok setiap kali Hari Raya Aidilfitri menjelang tiba. Bagi kanak-kanak yang berlatih berpuasa dalam bulan Ramadan, Hari Raya adalah kemuncak kesyukuran kerana berjaya menyempurnakan ibadah yang menjadi salah satu tunjang Rukun Islam.

Ditambah lagi budaya menyambut Hari Raya di Malaysia yang cukup meriah, menyemarakkan lagi perasaan gembira di hati kanak-kanak.

Di Hari Rayalah mereka akan berpeluang memakai baju serba baru, makan pelbagai juadah istimewa seperti ketupat, lemang, rendang, dan kuih raya, mengutip angpau berisi wang pelbagai warna, mengikuti keluarga menziarahi rumah sanak saudara dan sahabat handai, dan menonton rancangan Hari Raya yang pelbagai di televisyen.

Tidak ada salah dan silapnya untuk kanak-kanak merasai keseronokan sebegini sepanjang sambutan Hari Raya. Namun, mereka perlu dibimbing dan difahamkan akan konsep ‘wasadthiah’ atau bersederhana menyambut Hari Raya mengikut lunas-lunas Islam. Selama 11 bulan manusia bergelumang dengan tuntutan keduniaan dan kehendak nafsu, selama itu jualah fitrah asal manusia dicemari dan dirosakkan. Maka dengan izin Allah, manusia dikurniakan ruang terbaik dalam bulan Ramadan untuk berpuasa dan melaksanakan amal ibadah yang dapat menguatkan dan menyucikan semula fitrahnya. Daripada perspektif Islam, sambutan Aidilfitri bermaksud hari yang disambut sebagai tanda kejayaan dalam mengembalikan fitrah seseorang hamba Allah kepada keadaan asalnya yang suci dan bersih.

Dalam hal mendidik kanak-kanak menyambut kejayaan mengembalikan fitrah yang suci di Hari Raya ini, ia tidak sepatutnya disulamkan dengan unsur- unsur negatif. Misalnya boros berbelanja untuk kelengkapan rumah dan pakaian, terlalu leka menonton hiburan di televisyen, makan terlalu banyak dan membazir, lalai melaksanakan solat, bermain mercun dan sebagainya.

Kanak-kanak perlu diasuh untuk meneruskan kesinambungan amal ibadah tidak kira yang bersifat khusus atau umum yang dilaksanakan semasa bulan Ramadan pada bulan-bulan yang berikutnya. Ibadat khusus seperti berpuasa boleh diteruskan dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal dan puasa sunat pada setiap Isnin dan Khamis. Begitu juga dengan meneruskan amalan Qiamullail yang telah diakui kelebihan dan faedahnya daripada pandangan Islam dan perspektif sains.

Bertandang ke masjid atau surau untuk solat berjemaah juga perlu digalakkan. Ajarkanlah juga kanak-kanak untuk memperbanyakkan amalan membaca al-Quran dan memahami maksudnya, berzikir dan berdoa kepada-Nya. Amalan khusus seperti ini berupaya membentuk jiwa kanak-kanak yang ikhlas untuk beribadah dan sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah dengan izin-Nya.

Amalan-amalan mulia seperti menyertai marhaban dan berzanji, menghadiri majlis ilmu, berjimat cermat dalam berbelanja, bersedekah, bantu-membantu orang yang tidak berkemampuan, berziarah, hormat kepada orang tua dan sebagainya adalah ibadah umum yang perlu disuburkan dalam diri kanak-kanak.

Tujuannya supaya mereka faham akan konsep ‘amal makruf, nahi mungkar’ iaitu memperbanyakkan amalan yang mulia dan meninggalkan perbuatan yang dilarang.

Teguhnya peribadi mulia kanak-kanak yang dibentuk sepanjang bulan Ramadan tidak akan bermakna jika kita sebagai ibu bapa atau penjaga tidak turut sama menunjukkan contoh yang baik sebagai ikutan mereka. Bersederhanalah dalam menyambut bulan Syawal sama seperti bersederhana sepanjang Ramadan bersama anak-anak. Wujudkanlah suatu anjakan paradigma yang bertunjangkan syariat Islam semasa menyambut hari lebaran yang diraikan selama sebulan.

Resmi ketam yang mengajar anaknya berjalan betul mesti dibuang jauh-jauh untuk merealisasikan pembentukan jiwa dan minda anak-anak yang mulia dan soleh. Didikan yang tepat akan dapat mengubah tanggapan anak-anak yang selama ini mensinonimkan hari lebaran dengan duit raya, mercun dan bunga api kepada rasa syukur ke hadrat Ilahi dan melipat kali gandakan amal ibadah.

KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR ialah Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.

Friday, October 12, 2007

Si comelku demam di pagi raya

Tahun ni giliran beraya bersama keluarga aku dan seperti setiap tahun keluarga aku akan balik ke kampung abah kat Tapah Road, Perak. Ni tahun pertama aku dan Neezam beraya bersama permata hati kitorang, Niesreena. Yang sedihnya, Niesreena demam sejak malam raya.

Suhu badan Niesreena agak tinggi. Kitorang bawak gi klinik dan doktor kata Niesreena demam biasa jer. Tapi aku dan Neezam risau sangat. Malam tu kitorang tak dapat tidur lena. Kitorang asik terjaga dan lap badan Niesreena dengan air sejuk dengan harapan suhu badan Niesreena akan turun.

Keesokan harinya tu hari raya. Badan Niesreena masih dedar lagi. Niesreena pun nampak macam tak bermaya jer tapi sempat jugak nak bergelak ketawa dan berkeletah.

Sayang anak mama...

~Kitorang di pagi raya~

~Niesreena di samping atuknya. Nampak ceria jer walaupun demam~

~Niesreena di samping wan Niesreena~

~Niesreena di samping mak su nyer~

Tapi alhamdulillah, petang tu suhu badan Niesreena kembali normal dan Niesreena sihat seperti sediakala.

Saturday, October 6, 2007

Coretan sebulan di Malaysia

Harlo kengkawanku… Waaahhhh… Dah lebih daripada sebulan rupanya aku berada kat Malaysia dan selama itu jugaklah aku tak mengupdatekan blog aku ni. Bukan sajer blog, fotopages aku pun aku tak update lagi sedangkan banyak gambar kitorang kat sini. Sakan balik Malaysia ye? Hehehehehe… Selama sebulan lebih ni aku, Neezam and our little Niesreena asyik berulang dari Kuala Lumpur, rumah famili aku, dan Segamat, rumah famili mertuaku. Trying to be fair and square to all as our holidays here is just a few weeks. And it just a few weeks left before we’re going back to Melbourne.

Senyap jer aku ek bila dah balik Malaysia sedangkan kat rumah ada internet. Hehehhehe… Malas… Bukannya tak der cerita nak ditulis tapi sebab penyakit malas yang melanda. Dan dikesempatan penyakit malas tengah hilang ni, aku akan cuba untuk menulis sebanyak mana cerita yang boleh, expecially aktiviti kitorang kat Malaysia sepanjang bercuti kali ni.

:: Malaysiaku ::

Penerbangan balik kami ke Malaysia ialah pada pukul 3 petang tapi sajer jer bertolak awal pagi sebab nak pusing-pusing kat airport. Pukul 10 pagi lagi kitorang dah sampai kat Tulamarine Airport ni menaiki teksi yang disponsor oleh bekas tuan rumah kami yang sangat baik hati.

Penerbangan balik ke Malaysia mengambil masa lebih kurang 7 jam.


Seronok giler bila kapal terbang mendarat kat KLIA. Hati berbunga-bunga, senyum tak sudah-sudah. Tak sabar nak tengok wajah-wajah kesayanganku yang setia menanti kat balai ketibaan kat KLIA. Aku rasa diorang yang menanti pun tak sabar-sabar nak jumpa kitorang expecially the only cucu, Niesreena. Bila ternampak muka emak… wahhhh seronoknya… terus aku gi menerpa, memeluk dan mencium mak. Rindu sangat! Sebelum tu sempat aku mencium tangan ayah mertua dan passing Niesreena padanya. Seronok ayah dapat peluk cium Niesreena, selalu tengok kat internet jer, geram jer. Tapi hmmmmm… Niesreena terkejut dan menangis kuat sangat. Gamat balai ketibaan tu jadinya. Lepas sorang, sorang lagi mendukung, memeluk dan mencium Niesreena menyebabkan Niesreena menangis bertambah kuat.

Malam tu emak, Joy dan family Neezam menyambut ketibaan kitorang. Abah tak ikut memandangkan kaki abah yang masih sakit dan adik aku plak ada kelas kat UTM. Tak boleh ponteng. Nazrin kat asrama dan Nazlee kerja. Anyway, happy sangat masa tu.

:: Niesreena takut orang ::

Tu lah sebabnya Niesreena menangis. Niesreena takut dengan strangers. Malam pertama kat KL. Niesreena tersedu sedan sampailah tertidur malam tu. Niesreena punyalah takut sampaikan masa tidur pun dia mengenggam erat baju aku. Bila letak atas katil dia nangis. Terpaksa aku tidur sambil memeluk Niesreena. Cian baby mama… Mesti Niesreena terkejut…

Tapi sekarang ni alhamdulillah. Nampak gayanya Niesreena dah tak takut dengan orang. Dengan semua atuk-atuk dan pakcik makcik dia, dia dah nak. Diorang pun happy. Kalau tak… geram jer lah tengok Niesreena… hehhehehe...

:: Jalan-jalan cari Nandos ::

First week kat KL. Hujung minggu tu adik balik. Kitorang gi pekena Nandos kat KLCC. Memang favourite kitorang. Actually kat Melbourne pun ada Nandos gak tapi sidelines dia tak sama dengan kat Malaysia punyer. Of courselah Malaysia punyer lagi best.


Lepas pekena Nandos, kitorang jalan-jalan kat KLCC. Sama gak macam dulu; kedai yang sama, barang yang sama, cuma Indon dan Bangla jer yang semakin bertambah. Huhuhuhuhu…

:: Aulya Zahra ::

Hujung minggu, minggu pertama tu aku dan famili sempat gi menjenguk sepupu aku yang baru jer lepas bersalin. Alhamdulillah, kak Ita dan Zal dianugerahkan dengan seorang puteri yang sangat comel dan diberi nama Aulya Zahra. Sedapkan nama tu kan. Very unic dan lebih unik lagi ialah Aulya Zahra dah ada sebatang gigi! Haaaa… jangan tak caya. Aulya Zahra dah ada gigi sejak dari dalam belly mummy dia lagi. Tak sabar nak membesar Aulya ni.


:: Merdeka! Merdeka! Merdeka! ::

Kalau nak ucapkan ‘Selamat Hari Kemerdekaan yang ke-50’ dah terlambat ke ha? Hehehehhe… Beberapa hari selepas kitorang tiba kat Malaysia ialah hari kemerdekaan negara yang ke 50. Alhamdulillah… Bersyukur sebab aku hidup semasa di alam kemerdekaan. Tak susah-susah macam orang dulu yang bersusah payah untuk mencapai kemerdekaan.

Bila waktu-waktu merdeka ni aku suka tengok iklan kemerdekaan kat tv. Expecially iklan petronas. Memang aku tunggu iklan petronas setiap kali tibanya hari-hari perayaan. And this year, my favourite ad mestilah iklan pembuat sampan tu. Mesti ramai jugak orang yang sukakan iklan tu. Actually aku dah tengok iklan tu online kat internet. Tapi bila dah dapat tengok kat tv rasa puas sangat! Penuh pengajaran dan pengertian. Logik dengan lumrah masyarakat sekarang ni yang nak hidup senang tapi tak nak berusaha dan bersusah sikit untuk senang; sanggup mengadaikan ikatan persahabatan dan kepercayaan sebab dah malas sangat; akhirnya diri sendiri yang rugi.

Hmmm… tak sabar nak tunggu iklan petronas untuk hari raya tahun ni pulak. Mesti best!!!

:: Ramadhan ::

1 Ramadhan, aku dan famili sambut kat Segamat. Pukul 4 pagi dah bangun untuk menyediakan juadah bersahur. Tak rasa ngantuk sangat sebab 1st day puasa mestilah bersemangat.

Lebih bersemangat lagi bila sediakan juadah berbuka. Lepas Asar kitorang dah keluar untuk mencari juadah berbuka kat pasar Ramadhan. Dua tiga pasar ramadhan kitorang gi. Mata berpinar-pinar, rambang giler tengok makanan yang banyak. Macam-macam rasanyer nak makan, macam puasa itulah sehari jer. Hehehhehe… giler betul!

Hari ni dah masuk hari 24 berpuasa. Aku jadi semakin malas nak bangun sahur tapi aku bangun gak. Siang pulak asyik ngantuk jer. Nasib baik ada famili yang tolong jaga Niesreena. So, bolehlah rehat dan tidur di siang hari. Huhuhuhuhuhu…

:: Berbuka @ Malin’s house ::

Hujung minggu yang ntah biler tarikhnya aku dah tak ingat, aku, Neezam, Nazlee dan Niesreena gi berbuka puasa kat rumah Malin kat Shah Alam. Sajer jer nak menyusahkan x-roomate aku masa kat UTM tu untuk masak dan aku pun nak rasa air tangan dia. Sebab aku rasa Malin ni bukannya reti masak pun. Hehehhehe…. Tapi aku silap. Memang sedap nasi tomato yang Malin buat. Maklumlah… dah jadi isteri orang, mestilah pandai buat kerja kat dapur kan. Bukan jer nasi tomato yang disediakan hari tu tapi ada macam-macam lagi; popia, kek, dadih, macam-macam lah, kuih raya pun ada!!! Best best best…

Malin, bila nak gi serang rumah Zai pulak ni?

:: Salam perantauan ::

Tadi aku jengah kat fotopages Sit. Rupa-rupanya salam perantauan yang Neezam hantar kat utusan dah disiarkan 2 hari yang lepas. Kitorang tak perasan pun. Nasib baik Sit bagi tau. Dan yang bestnyer. Ucapan salam kitorang tu sebelah jer dengan ucapan salam Sit. Hehehhehe… kebetulan betul!

Tapi… tahun ni kitorang tak beraya kat perantauan pun. Tahun ni kitorang raya kat Malaysia. Jangan marah aaaa…. Raya haji nanti kitorang raya kat Melbourne. Masa tu mesti nangis gilernyer lah…


:: Cuti-cuti Malaysia ::

Setakat ni kitorang dah berjalan ke Mersing dan JB. Insya Allah misi cuti-cuti Malaysia ni akan bersambung selepas hari raya nanti. Maklumlah… puasa-puasa ni malas nak jalan. Seronok gi Mersing dan JB walaupun gi sekejap jer. Insya Allah lepas raya ni kitorang nak ke Pangkor atau Melaka plak.

* * * * *

Well, setakat ni dululah coretan aku kali ni. Dah panjang sangat. Maklumlah… dah lama tak tulis.

Until the next post! See ya! Selamat berpuasa!

Thursday, September 6, 2007

Niesreena 9 bulan

Hari ni genap usia Niesreena 9 bulan. Dalam usia Niesreena 9 bulan ni, gigi Niesreena dah ada 6 batang; 2 batang gigi bawah, 4 batang gigi atas. Cepat tak? Alhamdulillah, Niesreena langsung tak meragam atau demam sebab tumbuh gigi. Aku sedar-sedar jer tengok gigi Niesreena dah banyak. Patutlah asyik nak mengigit-gigit jer sejak akhir-akhir ni. Hehehehhe...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi cerita lain...

Thank you for stopping by!

back to top